18 Feb 2010

Perarakan Maulud Nabi : TGNA Tetap Dengan Pendiriannya

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya berhubung sambutan Maulidur Rasul yang dikatakannya tiada fadilat biarpun kenyataannya itu dikecam hebat pemimpin dan pandangan berbeza daripada tokoh agama.

Nik Abdul Aziz berkata, sambutan Maulidur Rasul walau diadakan dengan apa cara sekalipun oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Pusat yang turut menyambutnya secara besar-besaran, baginya tetap tidak mempunyai fadilat.

Katanya, berbeza dengan Kerajaan Kelantan yang mengambil kesempatan sempena bulan ini dengan mengadakan ceramah mengenai Islam serta mengekalkan kewujudan kerajaan Pas bersandarkan syiar Islam sepanjang masa.

“Kalau nak buat teknik tu tak apa, nak buat teknik lain pun tak apa. Kalau Kelantan teknik sambutan Maulidur Rasul ialah buat ucapan. Paling jelas di Kelantan ialah mewujudkan kerajaan yang berdasarkan kepada membangun bersama Islam.

“Ini sebenar-benar Maulidur Rasul dan bukan sekali setahun bahkan setiap hari kami sayang ke Nabi. Ini sebenar-benar pelaksanaan Maulud Nabi. Halal haram kami ambil kira, syurga neraka kami ambil kira, dosa pahala kami ambil kira.

“Orang Melayu yang menolak Islam ini sibuk apa dengan Maulidur Rasul. Islam pun dia tolak. Tolak Islam ini bererti tolak Nabi Muhamad SAW, tolak Allah SWT. Kenapa sibuk dengan Maulidur Rasul sedangkan dia sendiri tolak Islam,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Kelantan, Mohamed Jaafar Hussain.

Nik Abdul Aziz turut membidas segelintir masyarakat termasuk UMNO yang sibuk mempertikaikan isu sambutan Maulidur Rasul yang disifatkannya sebagai isu remeh.

“Kenapa nak sibuk dengan isu remeh ini. Lebih 20 tahun saya pegang Kelantan, saya tidak pernah berarak.

“Kita kena ingat maulid ini disambut selepas pada 300 tahun kemangkatan Nabi SAW. Masalah kita orang Melayu ini ialah Islam diterima bukan dengan belajar tetapi terima dengan tradisi. Sebab datuk nenek Islam yang belajarnya sedikit sahaja. Yang belajar pun kadang-kadang belajar lain buat lain,”
katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak ia merupakan isu yang sengaja dipolitikkan ekoran kemelut sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang, Nik Abdul Aziz menafikan bahawa kerajaan Kelantan di bawah pimpinannya meniru kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

“Kelantan bukan tiru Pulau Pinang, Pulau Pinang yang tiru Kelantan. Kelantan dulu baru ada Pulau Pinang. Dia nak tiru itu masalah dia, saya tidak peduli itu masalah Pulau Pinang,” katanya. -SH

1 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.