27 Jan 2010

SELCAT : Zainal Abidin Sakom Guna Peruntukan Lebih Had Semasa Menjadi ADUN Batang Kali

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mempertikai beberapa kelulusan permohonan Pegawai Daerah (DO) Hulu Selangor, Norhisham Mohd Dahlan yang dianggap luar biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali ketika itu, Datuk Zainal Abidin Sakom didapati menggunakan peruntukan melebihi had yang diperuntukkan kepada setiap ADUN.

Berdasarkan penelitian salah seorang panel Selcat, Haniza Talha, DO Hulu Selangor meluluskan 52 permohonan berjumlah RM513,061.29 sedangkan setiap ADUN hanya diperuntukkan RM500,000 setahun.

Bagaimanapun, Norhisham menafikan jumlah itu dan memberitahu jawatankuasa berkenaan, jumlah sebenar sebanyak RM499,901.74 tetapi tidak dimasukkan ke dalam maklumat yang diperoleh Selcat.

Haniza turut mempertikai bayaran dalam jumlah yang besar diberikan kepada seorang individu yang sama sebanyak RM87,896.95 tetapi tiada sebarang catatan mengenai program atau projek yang dijalankan oleh individu berkenaan.

Terdapat juga beberapa peruntukan diluluskan untuk program parti politik dengan jumlah yang besar.

Haniza Pada 29 Februari, program Wanita UMNO di mana bayaran diberikan kepada seorang individu dengan lima kali bayaran, setiap satu bernilai RM4,000. Jadi, adakah ini satu amalan biasa untuk pejabat daerah mengeluarkan cek untuk aktiviti yang sama dalam jumlah bayaran yang sama?

Norhisham Yang Berhormat, seperti yang saya beritahu tadi bahawa amalan ini memang amalan 50 tahun lepas. Jadi, wang tersebut adalah wang peruntukan ADUN tersebut.

Norhisham juga tidak mengenali individu iaitu seorang wanita yang menerima cek tersebut.

Norhisham juga tidak dapat memperincikan maklumat bagi beberapa soalan daripada Haniza memandangkan fail peruntukan ADUN Batang Kali dan ADUN Kuala Kubu Bharu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 23 Julai tahun lalu.

Beliau juga tidak mempunyai ‘soft copy’ mengenai maklumat peruntukan tersebut dan sehingga kini belum ada siasatan dibuat oleh pegawai SPRM walaupun sudah tujuh bulan fail diambil.

Menurutnya juga, beliau juga tidak mengetahui secara rasmi wang peruntukan tersebut diberikan kepada siapa tetapi hanya menjalankan tugasnya sahaja.

Dalam pada itu, seorang lagi panel Selcat, Mohamad Azmin Ali turut mempertikaikan sejumlah besar yang diluluskan peruntukannya kepada tiga sayap utama UMNO iaitu Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO di DUN Hulu Bernam di mana masing-masing menerima sebanyak RM20,000.

Selain itu, beliau juga mendakwa, MCA menerima RM25,000 dan 40 cek untuk UMNO cawangan dengan jumlah melebihi 100,000.

Selcat juga telah mendedahkan kelulusan permohonan yang dibuat di DUN Kuala Kubu Bharu ketika itu iaitu terdapat 20 cek kepada individu yang berlainan bagi sambutan Thaipusam.

Menurut Azmin, sekiranya benar peruntukan itu untuk program perayaan, bayaran sepatutnya dibuat atas nama kuil yang membuat sambutan perayaan itu bukannya individu.

Selain itu, sebanyak 41 permohonan peruntukan pada tarikh dan tujuan sama iaitu untuk sumbangan balai raya tetapi diberikan atas nama UMNO turut dipersoalkan ketelusannya.

Sementara itu, Zainal Abidin ketika dihubungi semalam berkata, beliau telah menyerahkan perkara yang berkaitan dengan Selcat kepada peguamnya.

“Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai peguam untuk jawab isu ini,” katanya. -SH

1 ulasan:

  1. Sapa nak mengaku kalau dia berak tengah jalan? Tulah perangai orang-orang UMNO biarpun dia ada pendidikan ugama yang diletak sebelah semata-mata kerana fulus! Atas dunia bolehlah buat macam tu.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.