2 Dis 2009

Makkal Sakthi Tajaan Najib Berpecah. Presiidennya Didesak Lepaskan Jawatan Segera

Parti Makkal Sakti Malaysia, yang dilancarkan dua bulan lalu oleh Perdana Menteri, menuju perpecahan dengan kumpulan bertelagah mendesak Presidennya R S Thanenthiran melepaskan jawatannya dengan segera.

Kumpulan yang dipimpin oleh Timbalan Presiden A Vathemurthy yang mendakwa menerima sokongan lebih 15 daripada 27 anggota Jawankuasa Pusat (CC) tidak mahu Thanenthiran memimpin parti ini lagi.

“Kami mahu Thanenthiran melepaskan jawatan presiden dan tidak lagi memimpin parti. Usul untuk menyingkirkan sepatutnya dibincangkan hari ini tetapi mesyuarat CC dibatalkan minit terakhir, kami tidak tahu siapa di belakangnya,” kata Vathemurthy pada sidang di sini sebentar tadi.

Mesyuarat CC yang dijadual membincangkan usul menggugurkan Thanenthiran sepatutnya bersidang malam ini.

Tetapi Setiausaha Agung R Kannan telah membatalkan notis mesyuarat tengah malam tadi.

Parti Makkal Sakti yang didaftarkan Mei tahun ini telah dilancarkan oleh Najib pada 10 Oktober lalu dan pernah dilihat sebagai sebuah parti politik alternatif untuk masyarakat India negara ini.

Bagaimanapun MIC telah memperlihatkan bantahan dengan mengatakan bahawa penubuhannya akan memecahbelahkan lagi masyarakat India yang pernah menyaksikan perpecahan teruk ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Mengulas lanjut, Vathemurthy berkata majoriti anggota CC dan ahli akar umbi jelas sudah tiada keyakinan ke atas kepimpinan Thanenthiran.

“... dan merasakan bahawa kepimpinannya yang berterusan sebagai presiden adalah satu ancaman teruk kepada kestabilan, kemajuan dan masa depan bagi Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru ditubuhkan dan bagi masyarakat India Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau pada sidang media di sini.

Seramai 12 daripada anggota CC yang beliau dakwa menyokongnya hadir pada sidang media hari ini.

Beliau menambah pihaknya amat kecewa kerana tanpa sebarang notis awal dan kelulusan, setiausaha agung secara unilateral telah membatalkan mesyuarat yang dijadual untuk diadakan mulai pukul 7.30 petang ini.

Mesyuarat itu dipanggil oleh kumpulan beliau dan awalnya telah mendapat kelulusan setiausaha agung.

Katanya, berdasarkan perlembagaan parti mesyuarat khas boleh diadakan jika empat anggota CC membuat permohonan dan perlu diadakan dalam tempoh tujuh hari.

“Kami telah mendapatkan nasihat perundangan dan percaya bahawa tindakan setiausaha agung (membatalkan mesyuarat CC pada minit-minit terakhir) adalah tidak sah dan tidak adil buat kami,” katanya lagi.

Beliau mendakwa amalan tidak prihatin Thanenthiran dan gagal memperlihatkan kepimpinan yang efektif telah menyebabkan parti ini berpecah kepada dua.

“Beliau menguruskan parti ini macam hanya milik seorang individu dengan sokongan anggota keluarga dan saudara mara beliau sebagai anggota CC,” katanya. Salah seorang adik Thanenthiran juga merupakan Naib Presiden parti.

Vathemurthy juga mendakwa Thanenthiran tidak telus dan tidak bertanggungjawab dalam soal kewangan.

“Sebagai contoh, apabila kami tanya beliau tentang jumlah wang yang telah dikumpulkan sejak parti ditubuhkan dan sumbernya, beliau tidak melayan pertanyaan kami dan mengatakan bahawa kami tidak wajar menanya perkara-perkara ini.

“Jadi di mana prinsip demokrasi dalam parti yang kita perjuangkan ini?” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta agar Perdana Menteri dan semua pihak yang terbabit agar memutuskan segala urusan dengan Thanenthiran mulai sekarang.

“Oleh kerana isu ini memerlukan perhatian serius, kami akan menggunakan apa jua saluran untuk menyelamatkan parti ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulannya, Vathemurthy berkata beliau akan memohon agar diadakan satu lagi mesyuarat khas CC dalam waktu terdekat.

“Kami akan memberikan mereka satu lagi peluang untuk membincangkan agenda ini (melucutkan kedudukan Thanenthiran).

“Kemudian kami akan bergerak dari sana,” kata beliau sambil menambah akan memilih presiden baru daripada kalangan anggota CC semasa ataupun seorang dari luar parti.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tetapi menegaskan, calon itu bukan bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam. -MI


Angkatan Pemuda Pakatan Rakyat Serah Rakaman P. Bala ke SPRM

Angkatan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan rakaman temuramah penyiasat kontroversi, P Balasubramaniam ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya petang tadi.

Ketika dihubungi TV Selangor, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohamad Akin berkata rakaman temubual ini adalah bukti jelas hubungan rapat Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Di dalam CD tersebut ada lebih kurang tujuh perkara yang telah diberikan fokus,dimana tujuh perkara itu telah saya simpulkan dan jadikan ia sebagai satu laporan rasmi terhadap SPRM. Antara yang penting ialah kita minta SPRM menyiasat terdapat usaha daripada pihak dato najib sendiri melalui agen agennya menawarkan wang sejumlah 5juta ringgit bagi mendorong balasubramaniam menarik balik akuan sumpah betarikh 1julai 2008”, kata Shamsul.

Shaariibuugiin Altantuyaa mati dibunuh dua pengiring Najib pada Oktober 2006 di Shah Alam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati keatas Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar, namun membebaskan pembantu Najib, Abdul Razak Baginda.

P. Bala mengundang kontroversi dengan akuan bersumpah yang mengaitkan Najib kepada pembunuhan Altantuya.

Bekas anggota Cawangan Khas yang diupah Abdul Razak Baginda untuk memantau gerak-geri Altantuya mendakwa pihak polis telah membuang maklumat perselingkuhan Najib dan wanita Mongol itu.

P. Bala menghilangkan diri bersama keluarga, sebelum muncul kembali tahun dan mendedahkan bahawa beliau telah dibawa lari ke India oleh kerajaan Malaysia.

Rakaman perbualan P Bala bersama 3 orang peguam membutirkan perencanaan menutup hubungan Najib-Altantuya dari terbongkar.

P Bala mendakwa beliau disogok RM5 juta ringgit untuk menarik balik akuan bersumpah itu oleh Deepak Jaikshnan, yang dikatakan rapat dengan isteri PM, Rosmah Mansor.

Tambah Shamsul lagi,“Terdapat keyakinan dan ulangan beberapa kali Balasubramaniam yang mengatakan beliau konsisten dengan pendirian affidavit yang pertama yang ditandatnagani pada 1julai 2008 itu,ia satu affidavit yang sah,yang mengzahirkan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang hubungan rapat Dato Najib dengan perempuan Mongolia yang dibunuh itu iaitu Altantuya”.

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Rakyat akan melipat-ganda tekanan terhadap Najib sehingga Perdana Menteri itu sendiri tampil membuat penjelasan terbuka kepada rakyat Malaysia.

Shamsul berkata jentera sayap pemuda PKR, Pas dan DAP akan mengadakan kempen melalui laman sosial Facebook, meraih sebanyak mana tandatangan rakyat menggesa inkuiri bebas diadakan bagi menyiasat skandal memalukan ini.

“Saya ingin mendesak perdana menteri dan saya ulangi petang tadi di hadapan pejabat SPRM supaya beliau tampil dan berikan pendirian beliau dan ulasan beliau memberi penjelasan dimana kita lihat ini ada kaitan dengan soal kepimpinan,ini memalukan Negara dan kerajaan”, katanya lagi.



Ronnie Kesal Hasutan Noh Omar

Exco Selangor, Ronnie Liu, kesal dengan cubaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menghasut penduduk berhubung perpindahan tokong dan rumah nelayan di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Ronnie berkata dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar bahawa kerajaan negeri mengugut untuk membatalkan projek pembinaan jeti di kawasan itu adalah tidak benar sama-sekali.

"Hari ini saya ingin menegaskan disini bahawa apa yang dikatakan oleh Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar dimana dia kata negeri ataupun saya memberi satu amaran bahawa kita akan batalkan projek jeti di pasir Penambang di Kuala Selangor saya ingin menegaskan itu bahawa tidak benar sekali dan isu ni tidak langsung dibangkitkan apabila beliau berjumpa dengan saya di Pasir Penampang”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) hari ini.

Pada tahun 2006, pihak LKIM mengambil-alih tapak kediaman dua keluarga berkenaan dan Tokong Sei Ling bagi tujuan pembinaan, dan digantikan dengan tapak baru seluas 1,093 ekar kepada pihak tokong.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bagaimanapun berpendapat tapak kediaman baru yang disediakan untuk dua keluarga berkenaan terletak terlalu hampir dengan kawasan tokong, lantas digantikan dengan tapak yang baru.

"Kita akan mementingkan interest dan kepentingan kedua-dua pihak sebab kerajaan negeri ada hak, ada kuasa untuk mencari tanah dan juga cara penyelesaian yang paling baik.

“Kita minta Noh Omar janganlah, ikutlah undang-undang dan kes ini boleh diselesaikanlah. Dan kita harap pihak tokong dan juga pihak penduduk terlibat boleh bertenang dan bersabar dan kita akan cari satu penyelesaian", katanya.

Terdahulu, Ronnie Liu dan Noh Omar bertegang leher dalam satu sedi dialog mengenai isu pemberian tanah kepada dua keluarga yang terbabit dalam projek pembinaan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Ahad lalu.

Di sesi dialog berkenaan Ronnie mendakwa Noh membawa pengikut untuk membuat kacau dalam sesi itu ketika kerajaan negeri cuba memberi penerangan kepada penduduk.

“Dia batu api, dia yang menjemput saya tetapi cara dia tidak betul dengan memanggil semua kawan dia membawa bendera BN dan meminta mereka membuat bising. Setiap kali kita memberi penjelasan orang dia buat kacau,”katanya. -TVS


MB N9, Isteri Menteri Kanan Terbabit Seludup Wang Negara

Skandal dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan menyeludup keluar RM10 juta ringgit wang negara adalah sekelumit dari ratusan kes sedemikian rupa.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata Bank Negara mengesahkan 114 kes penyaluran wang secara haram berjaya dikesan bank pusat itu sejak 2006.

Walaubagaimanapun butiran penyeludupan wang ini dirahsiakan dari pengetahuan awam.
Menurut Tian, beliau menerima maklumat ada dua kes membabitkan isteri seorang menteri kanan dan seorang bekas menteri.

“Sebenarnya dalam rekod yang didapati oleh saya, di antara 2006 sehingga 2009, seperti dalam jadual yang ditunjukkan, sebanyak 114 pengiriman tidak mematuhi syarat telah berlaku. 114 kes tetapi sehingga ke hari ini, hanya 1 kes sahaja yang diambil tindakan manakala yang lain seolah-olah tidak siasatan lanjutan dilakukan”.

Tian bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat dalam tangannya sehingga Bank Negara selesai menyiasat skandal ini.

“Di sini saya ingin mendesak Bank Negara mengambil siasatan yang adil dan tegas dalam kes-kes yang berkenaan”. -TVS



DAP Perak Mohon Maaf Isu Pijak Gambar Adun

Akibat dikecam pelbagai pihak, DAP Perak Rabu memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan beberapa pemimpin parti itu memijak poster wajah tiga anggota Bebas Dewan Undangan Negeri Perak pada Ahad lepas, lapor Bernama.

Sambil mengakui perbuatan itu satu kesalahan, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berharap isu berkenaan akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping, berkata parti itu bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap tiga anggotanya yang meletakkan poster itu di pintu masuk ke konvensyen parti itu.

Pada konvensyen DAP Perak Ahad lepas, poster yang memaparkan wajah Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu memijak gambar mereka.

Hee sebelum ini adalah daripada DAP manakala Jamaluddin dan Mohd Osman adalah daripada Parti Keadilan Rakyat.

Ulasan GB

Sikap mahu mengakui kesilapan dan lantas meminta maaf adalah satu langkah mulia yang seharusnya diberikan pujian.

DAP Perak telah melakukan atu tindakan yang akan meningkat imejnya di mata rakyat Perak.

Biar Pemuda UMNO Pulau Pinang masih berdegil dengan hal pembakaran poster KM Pulau Pinang. Rakyat dapat mengenal yang mana benar-benar keras kepala dan samseng di dalam politik tanahair.

Rakyat Sokong BTN Dirombak

Keputusan kabinet untuk merombak semula kursus Biro Tata Negara (BTN) mendapat reaksi positif rakyat Selangor.

Mereka ketika di temui TvSelangor menyokong keputusan itu kerana dilihat BTN selama ini satu program yang meracuni pemikiran rakyat dengan menggunakan sentimen Melayu.

Muhamad Nazirul Fikri berpendapat rombakan ini wajar dilakukan jika Perdana Menteri Najib Razak mahu formula perpaduannya, 1Malaysia tercapai.

“Kalau ikut pendapat saya sebenarnya saya sokong. Sebab yang kita tahu program tuh lebih kepada perkauman.Perdana Menteri Najib pun cakap nak bentuk gagasan satu Malaysia”.

“Dari persepsi lain, benda tu memang kena rombak la.sebab kalau kita tengok memang banyak kaum la.Cina,India,Melayu,orang asli.Benda tu lebih banyak negatif dari positif, rombak untuk tengok dari sudut yang positif",tambah beliau lagi.

Bagi Norfara Liyana Norslee pula, rombakan yang akan dibuat itu adalah terbaik bagi menggambarkan Malaysia sebuah Negara demokrasi dan lambang perpaduan.

“Kalau kita rombak tu maknanya kita nak suruh rakyat bersatu padu,dari Melayu,cina,india semua.kalau kita amalkan perkauman bila nak maju dan bersaing dengan Negara lain.Lagipun Negara kita mengamalkan sistem demokrasi”.

“Bagi saya pemikiran masyarakat sekarang lebih terbuka.Tidak boleh disekat sesuka hati.Diorang lebih open minded terhadap benda macam ni.memang patut dirombak”,kata Norsyazwani Mohamad.

Manakala,bagi Mishati Misdi,yang pernah mengikuti program tersebut, beliau menyokong penuh rombakan tersebut asalkan modul yang menyentuh semangat patriotisma dikekalkan.

“Kalau nak penambahbaikan untuk merubah apa yang sedia ada ok.Tapi kalau nak merombak untuk kurangkan apa yang sedia ada rasanya tak perlu la”. -TVS



Dr. M Dapat Lihat Sendiri Kemusnahannya Seperti Didoakan Almarhum Ust Fadzil Noor

Kini Mahathir baru terkejut dengan apa yang telah terjadi kepada UMNO dan ahli serta para pemimpinnya. Harakahdaily menyiarkan berita bahawa Mahathir berkata “UMNO kini busuk hingga ke ususnya“.

Ketika ramai di kalangan kita tidak hairan dan terkejut dengan apa yang kini telah menimpa UMNO, mungkin kita terkejut kerana Mahathir baru terkejut.

Suatu masa dahulu ketika Dr. M menerajui UMNO, Shahnon Ahmad pernah memperkatakan tentang kebusukkan apa yang ada di dalam usus UMNO, ramai pemimpin dan ahli UMNO menentang dan marah. Kemarahan mereka dibawa hingga ke dalam teks khutbah Jumaat (di seluruh masjid negeri Selangor ketika itu).

Apakah ini seperti yang pernah IB sebut sebelum ini – Al-Marhum Ustaz Fadzil Doa Mahathir Dipanjang Umur … ?

Namun kemusnahan yang dialami UMNO kini berpunca tidak lain dari Mahathir sendiri. Dalam era pemerintahannya yang hampir suku abad itu telah sedikit demi sedikit merosakkan UMNO dari sistem hingga ke orang-orangnya sekali. Kemusnahan ini tidak terbendung di dalam UMNO sahaja malah wabak ini berjangkit hingga ke parti-parti komponen BN yang lain dengan apa yang kita dapat lihat hari ini.

Malangnya bagi negara kita, kerana kekuasaan BN dan kekuatan mereka, kemusnahan ini turut terkesan kepada kita semua rakyat yang biasa hinggakan boleh juga kita lihat tercerna pengaruhnya di dalam pemikiran sesetengah ahli dan pimpinan parti lawan (yang mungkin sebelum ini mereka pernah bergelumang dalam UMNO dan terikut-ikut dengan budaya sana) – dan PAS pun terkesan sama.

Mungkin ini menjadi suatu cerminan untuk pemimpin PAS memerhati perilaku dan budaya kita supaya tidak terikut-ikut kemusnahan yang dilalui UMNO. -IbrahimBaba


Al-Marhum Ustaz Fadzil Doa Mahathir Dipanjang Umur …

Dalam perjalanan untuk hadir ke satu majlis pada tahun 2000, Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah berkata kepada kami dalam kereta yang dipandu IB sendiri ketika itu, bahawa beliau mendoakan agar Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kemusnahan yang telah dilakukannya sendiri.

Apakah kini doa Al-Marhum mantan Presiden PAS itu dimakbulkan satu demi satu?

Kemusnahan institusi kehakiman, kerosakan akhlak remaja [dan orang-orang tua pun!], kebejatan sosial, rasuah berleluasa, asas ekonomi yang mula goyah … sebahagian besarnya ini adalah hasil tangan Mahathir sendiri. Kebanyakan rungutan yang Mahathir luah kini adalah berpangkal dari Mahathir sendiri. Pak Lah mungkin sebagai perlengkap sahaja.

Saban hari, satu demi satu isu dan pelbagai pembongkaran dihebahkan di dada akhbar dan lain-lain media untuk dihukumkan oleh masyarakat. Kini Mahathir seolah-olah sedang dibicarakan oleh rakyat umum. Walaupun Mahathir tetap menjawab namun suara-suara yang dulu pernah dikunci beliau sudah tidak lagi menikus dengannya. Tidak mungkin mampu Mahathir membela dirinya untuk segala tuduhan dan isu yang dilodehkan oleh mereka yang pernah berada di sekeliling beliau ketika berkuasa selama lebih 22 tahun.

Mereka yang dulu mendiam diri kini bangkit berani bersuara.

Senarai “pendakwa raya” “perbicaraan rakyat” Mahathir panjang dan kini bertambah setiap hari [tidak mungkin IB boleh lengkapkan senarai yang kian bertambah itu]. Pak Lah yang sebelum ini hanya sekadar menepis pelbagai tuduhan Mahathir kini telah kian lantang membongkar pula pelbagai dakwaan terhadap Mahathir.

Walaupun ada yang menyebelahi Mahathir dalam krisis kini untuk menjadi “peguam bela” namun ramai dari “peguam bela” ini sendiri turut terbabit dalam pelbagai kes yang dibongkar itu. Dan mereka ini adalah sebenarnya antara barisan “saksi” utama dalam “perbicaraan rakyat” ini.

Dalam membela dirinya, Mahathir turut, tanpa disedarinya sendiri, membongkarkan pelbagai perkara yang sebelum ini rakyat umum tidak tahu. Betul atau tidak kata-kata Mahathir itu dalam keadaan beliau tersempit – banyak yang kita boleh persoalkan. Sememangnya persaksian orang-orang seperti Mahathir ditolak dalam Al-Qur’an.

Apabila seseorang berbohong dia akan berbohong lagi untuk menutup pembohongan lamanya [when you compound a lie, you compounded the consequences]. Dan dia akan terus dengan pembohongan demi pembohongan. -IbrahimBaba


Jangan Angkuh, Amaran PPP Kepada Murugiah

Parti Progresif Penduduk (PPP) memberi kata dua kepada Senator Datuk T. Murugiah, yang enggan tunduk kepada desakan melepaskan jawatan timbalan menteri walaupun telah dipecat enam bulan lalu, agar jangan bersikap degil dan angkuh.

"Saya member nasihat di sini, janganlah terlalu degil dan angkuh. Buat sahajalah kerja sebagai timbalan menteri, janganlah pandai-pandai mahu cari pasal dengan PPP," kata Ketua Penerangan PPP A. Chandrakumanan dalam satu kenyataan.

PPP mengeluarkan reaksi terbaru ini ekoran pendirian Murugiah (gambar) bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam tempoh 14 hari yang diberikan oleh Presiden PPP Datuk M. Kayveas kelmarin.

Murugiah menyerang bekas bosnya sambil mempersoalkan “siapakah dia Datuk M. Kayveas yang mahu keluarkan notis” memintanya agar mengosongkan jawatan timbalan mentri dalam 14 hari.

“Datuk M. Kayveas tidak layak untuk meminta saya meletakkan jawatan sebagai timbalan mentri,” tegas Murugiah.

“Ini jawatan kerajaan yang pelantikannya dibuat oleh Perdana Menteri. Ini bukan jawatan parti. Oleh itu, nampaknya Kayveas tidak menghormati keputusan Perdana Menteri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider kelmarin.

Sehubungan itu, Chandrakumanan memberitahu beliau juga hairan dengan kenyataan Murugiah yang boleh mengatakan bahawa Kayveas tidak ada kuasa untuk mendesaknya meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Sebab jawatan ini dipikul oleh beliau melalui PPP. Jadi mengikut artikel 6.10 Perlembagaan parti, beliau harus meletak jawatannya kerana beliau bukan lagi ahli PPP.

"Tak perlu jadi Peguam Negara untuk hantar notis... budak pejabat pun boleh hantar notis ini kepada timbalan menteri yang degil dan sombong ini.

"Selalu dia mengunakan nama Perdana Menteri, memang PPP tahu bahawa jawatan ini dilantik oleh Perdana Menteri dan kerajaan, tetapi dia perlu tahu macam mana kerajaan beri jawatan ini kepada beliau, bukan kerana Murugiah tetapi untuk PPP sebagai parti komponen Barisan Nasional.

"Jadi melalui PPP dia memikul jawatan ini, dia tak harus lupakan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu, Chandrakumanan memberitahu PPP juga mahu Najib mengambil satu tindakan wajar dengan segera terhadap Murugiah sebab mengikut perlembagaan parti, beliau tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan kerana bukan lagi ahli parti.

"Perdana Menteri juga harus mengambil tindakan ini dengan segara kerana kerap kali Murugiah membuat kenyataan dan berkata Perdana Menteri menyokong beliau, perkara seperti ini tidak baik untuk Barisan Nasional," katanya lagi. -MI

3 Hakim Ditukar Secara Mengejut?

Sistem kehakiman negara ini makin hilang kredibiliti apabila tiga hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman serta berpegang kepada prinsip keadilan dan bebas dipindahkan secara mengejut dipercayai bermotifkan politik.

Menurut sumber badan kehakiman, tiga hakim berkenaan adalah Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Lau Bee Lan dan Mohamad Ariff Md Yusoff.

Hakim Alizatul Khair Osman, dalam penghakiman terbarunya menolak rayuan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menangguh keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiystiharkan DUN Kota Seputih sebagai kosong dan kes Anwar Ibrahim, Bee Lan pula dengan kes Krisis Perlembagaan Perak manakala Mohamad Ariff dengan kes Anwar Ibrahim.

Tiga hakim berkenaan sebelum ini mengendalikan Mahkamah Tinggi bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Kuala Lumpur.

Tindakan ini dilihat sebagai usaha Barisan Nasional untuk membersihkan “pengacau” kepada usaha parti pemerintah itu memastikan kemenangan dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan mereka.

Mulai Disember, mereka tidak lagi akan terbabit dalam kes politik kerana ditukarkan ke bahagian Mahkamah Dagang.

Akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan edisi terbaru 30 November dipetik melaporkan pemindahan itu dilihat sebagai usaha Umno-BN menguatkan cengkamannya ke atas badan kehakiman dengan “membekukan” saki-baki hakim yang bertindak secara adil dan bebas dari telunjuk mana-mana pihak.

Sebagai ganti, parti itu mendalangi pemindahan hakim yang pro-Umno-BN. Antara hakim baru yang akan bertugas di Bahagian Rayuan ialah Datuk Mohamed Apandi Ali, bekas Bendahari Umno Kelantan sebelum beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2003.

Peguam kanan Edmund Bon yang diminta mengulas mengenai pemindahan tiga hakim berkenaan, berkata beliau dan rakat sejawatan pelik dengan tindakan itu.

“Ketiga-tiga hakim berkenaan tidak pernah menjadi sasaran aduan atau rungutan daripada mana-mana pengamal undang-undang sepanjang perkhidmatan mereka di bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas.

“Apakah kriteria objektif yang digunakan untuk menukar mereka ke bahagian lain kerana tempoh perkhidmatan mereka hanya baru antara satu hingga lima tahun sahaja?” tanya Edmund.

Edmund berkata tanpa alasan lojik, pertukaran itu akan menimbulkan persepsi bahawa ada unsur politik di sebalik tindakan itu.

“Pertukaran mereka juga akan meningkatkan jumlah kes tertunggak kerana hakim baru terpaksa meneliti semula semua dokumen untuk memahami kes-kes yang diwarisinya.

“Jadi kalau hakim ditukar sesuka hati sudah tentu KPI badan kehakiman pun akan terjejas. Prinsip keadilan juga mesti ditegakkan walaupun dalam bidang pentadbiran badan kehakiman ,” kata beliau lagi.

Pada 16 November lalu Alizatul adalah hakim yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Sebelum itu hakim yang sama memutuskan untuk menolak permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadap bekas pembantunya.

Bagaimanapun Hakim Alizatul menasihati Anwar mengemukakan kes itu di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.

Hakim Lau dilihat bertindak berani dalam memutuskan Speaker Perak V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat dan enam orang lagi mempunyai hak mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Keputusan itu membolehkan Pakatan Rakyat terus mencabar kesahihan kerajaan negeri Barisan Nasional menerusi proses undang-undang.

Hakim Mohamad Ariff pula memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung penggantungan 12 bulan ke atas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Namun beliau menempelak tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia membekukan gaji dan elaun Gobind, dan mengarahkan enoulmen Ahli Parlimen itu di pulihkan seperti biasa.

Pada 25 Mac lalu, Mohamad Ariff juga menarik diri daripada mendengar saman Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Menteri besar lantikan Umno, Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau sanggup bertindak demikian bagi mengelakkan persepsi negatif memandangkan beliau bekas ahli PAS dan penasihat undang-undang parti dalam beberapa petisyen pilihan raya sebelum menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.

Menurut Edmund, antara fungsi Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas ialah mendengar semua kes semakan kehakiman yang berkaitan Perlembagaan Negara dan undang-undang pentadbiran yang mempunyai kepentingan awam.

Ini termasuk kes yang melibatkan kementerian, agensi dan jabatan kerajaan serta badan berkanun seperti SPR, Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia.

“Bahagian ini amat penting kerana ia mengendalikan kes-kes yang mempunyai hubung kait politik,” kata Edmund.

Justeru, campurtangan politik akan memastikan pelantikan hakim-hakim di bahagian berkenaan harus disesuaikan dengan kepentingan pihak pentadbir. -freemalaysiatoday

Dungun Dan Marang Dilanda Banjir..

Banjir di Terengganu bertambah buruk dengan lebih ramai mangsa daripada empat daerah dipindahkan dan beberapa jalan ditutup kepada kenderaan mulai pagi Rabu, lapor Bernama.

Sehingga pukul 9 pagi ini, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 561 orang berbanding 422 malam tadi melibatkan daerah Dungun seramai 81 orang, Marang (321), Hulu Terengganu (25) dan Kuala Terengganu (136) orang.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (JKM) Terengganu berkata setakat ini 13 pusat pemindahan dibuka iaitu di Dungun (tiga), Marang (lima), Hulu Terengganu (satu) dan Kuala Terengganu (dua).

Kebanyakan pusat pemindahan ialah di sekolah, balai raya, dewan sivik dan surau, katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Beliau berkata sebanyak sembilan batang jalan negeri melibatkan daerah Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu ditenggelami air antara 0.3 meter dan 1.5 meter, ditutup sama ada kepada semua kenderaan atau kepada kenderaan ringan sahaja.

Paras air Sungai Setiu, di Kampung Bukit meningkat kepada 13.16 meter melebihi paras 12 meter manakala sungai-sungai yang lain masih di tahap biasa.

Ulasan GB

Kalam Ilahi terus berjalan. Bacalah dengan mata hati.

Kepada pemimpin dan penyokong PAS terutama di kawasan yang dilanda banjir, kena pantas turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Berdoalah kita agar Allah menyelamatkan saudara-saudara kita dan diberikan kesabaran menempuh ujian tersebut.

Simpati Dari MB Kedah Untuk Seorang Sahabat

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tuduhan liwat yang didakwa terhadapnya.

Katanya, sebagai sahabat, beliau akan tetap memberi sokongan moral terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, memandangkan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Kita akan memberi sokongan moral kepada Anwar memandangkan tuduhan yang dilemparkan amat berat. Saya simpati padanya sebab ada pihak yang tak henti-henti melakukan serangan peribadi terhadapnya,” katanya.

Azizan berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang menolak permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan meliwat terhadapnya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.

“Walaupun kita belum tahu keputusan siapa di pihak yang benar, namun sudah berkali-kali ada pihak yang cuba menjatuhkan Anwar melalui pelbagai cara. Eloklah kita serahkan sahaja kepada mahkamah untuk memutuskan kes ini,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan Anwar menjadi mangsa konspirasi untuk menjatuhkannya, tetapi enggan mengulas lanjut berikutan ianya menjadi kes mahkamah.

“Kes mahkamah tidak perlulah kita masuk campur. Biar mahkamah sahaja yang memutuskannya kelak. Kita tak usah campur tangan kerana mahkamah ada undang-undang dan prosedurnya,” katanya.
Bagaimanapun, Azizan berharap mahkamah dapat memberi pengadilan yang adil kepada Anwar dan telus dalam sebarang keputusan yang dibuat.

Pada 17 Jun lalu, Anwar membuat permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya setelah mengaku tidak bersalah pada 10 Mac terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 27 Jun tahun lepas. -SH

Isu BTN : Nazri Bidas Ahmad Maslan

Isu kursus BTN terus menimbulkan kecelaruan di kalangan anggota kabinet dari Umno apabila berlaku percanggahan pendapat mengenai kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Nazri Aziz.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan mendakwa kurikulum BTN tidak dirombak, sebaliknya dibaikpulih sedikit.

“Ia cuma akan melalui proses “penambahbaikan’ minimum. Kita tambah baiklah…dalam ceramah kita tambah sebut 1Malaysia, lagu kita tambah,” kata timbalan menteri yang bertanggungjawab atas BTN.

Ahmad Maslan bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sekadar berkata beliau yakin Nazri tidak menyampaikan mesej tepat mengenai kursus BTN.

“Saya tidak yakin dia kata begitu, saya rasa dia maksudkan, (kursus BTN) harus diperbaiki,” tambah beliau.

Kenyataan Ahmad Maslan itu disanggah oleh Nazri di lobi parlimen petang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata hakikat ialah kursus BTN selama ini disalah guna untuk mempromosi pemimpin kerajaan tertentu.

Justeru, tegas beliau, kurikulum BTN harus dirombak, dan bukan sekadar di tambah baik.


Nazri berkata Maslan bertindak salah dalam cuba menafikan sebuah keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri.

Nazri berkata semua pihak harus akur bahawa barisan pemimpin pembangkang yang dahulunya dalam kerajaan, arif tentang isi kandungan dan matlamat kursus-kursus BTN.

Justeru, kata beliau tidak ada guna untuk menafikan kurikulum BTN harus dirombak dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

Ulasan GB

Isu kontroversi BTN mendedahkan satu gejala baru, pertentangan di antara kumpulan Najib dan Muhyiddin di dalam kabinet dan UMNO.

Nazri berdiri di belakang Najib dengan gagasan 1Malaysianya. Manakala beberapa pemimpin UMNO Johor termasuk Ahmad Maslan dan Hishammuddin Hussein terpaksa mempertahankan kenyataan TPM Muhyiddin Yassin yang telah melakukan pembelaan tiga suku mati terhadap BTN.

Memijak Poster Wajah Ahli Politik Tidak Wajar

Sembilan ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengutuk tindakan membakar dan memijak gambar ahli-ahli politik sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang dan juga DAP di Perak baru-baru ini.

Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengeluarkan kenyataan keras tidak bersetuju dengan tindakan-tindakan seumpama itu.

Sementara itu sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai oleh Datuk Zahrain Mohd Hashim (PKR-Bayan Baru) menyifatkan tindakan rakan-rakan mereka dari DAP memijak gambar bekas adun DAP, Hee Yit Foong dan dua adun PKR, Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi sebagai satu tindakan kebudak-budakan, biadap dan kurang ajar.

Mereka juga turut menyifatkan tindakan balas yang dilakukan oleh Pemuda Barisan Nasional di Pulau Pinang sebagai biadap, kurang ajar dan tidak patut dilakukan.

Malah mereka menuntut siapa yang terlibat dalam memijak poster gambar tiga adun di Perak itu dan juga tindakan membakar gambar Lim Guan Eng di Pulau Pinang supaya segera memohon maaf.

"Ini bukanlah satu budaya orang Asia, malah bagi orang Melayu jika tersentuh kepala seseorang pun sudah dianggap biadap, inikan pula memijak gambar mereka. Jadi kami tidak setuju dengan perbuatan seumpama ini," kata Zahrain.

Malah katanya, perbuatan seumpama ini semua memberikan pengajaran yang tidak baik ke atas generasi muda.

Malah Mohd Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) berkata, tindakan-tindakan seumpama ini hanya akan menyebabkan pihak yang lain melakukan perbuatan yang serupa dan oleh itu ia hendaklah dielakkan.

Tujuh lagi ahli parlimen PKR yang turut hadir dalam sidang akhbar yang berlangsung di lobi parlimen itu ialah Wee Choo Keong (Wangsa Maju); N. Gobalakrishnan (Padang Serai); Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru); Abd Aziz Kadir (Ketereh); Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai); Ahmad Kassim (Kuala Kedah) dan Azan Ismail (Indera Mahkota).

Baru-baru ini pada Konvensyen DAP Perak, para delegasi ke persidangan itu telah bertindak meletakkan gambar poster ketiga-tiga adun yang mengisytiharkan diri mereka sebagai adun bebas itu di atas lantai dan bertindak memijak-mijak gambar ahli-ahli politik berkenaan.

Perbuatan mereka telah menyebabkan Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang mengadakan perhimpunan di Pulau Pinang dan membakar gambar poster Lim Guan Eng pula iaitu ketua menteri negeri tersebut yang juga setiausaha agung DAP. -mstar

Ulasan GB

GB yakin bahawa tindakan DAP itu sebagai satu luahan kemarahan yang teramat sangat kepada mereka yang melompat parti. Namun hendaklah kita sentiasa tidak emosional di dalam melakukan sebarang tindakan justeru "what goes around turns around. You get what you gave, hence, poster of Lim Guan Eng was torn and burnt".

Jika ia dilakukan ahli-ahli biasa atau oleh orangramai sendiri, kemungkinan ia boleh diterima lantaran kita tiada akses untuk mengawal secara khusus terhadapnya tetapi apabila ia dilakukan di atas nama parti yang melibatkan pemimpin-pmimpin kanan parti, ia sudah memberi gambaran negatif kepada parti berkenaan.

GB akui pada satu ketika GB sendiri ada menyiarkan gambar Najib dipijak, posternya disimbah cat dan seumpamanya, tetapi tiada siapa tahu siapa yang melakukannya secara pasti. Ia dilakukan oleh orangramai yang marah dan benci kepada Najib. Kita sekadar merakamkan kemarahan itu.

Bagi seorang ahli PAS pula, sekalipun mungkin kita turut marah sama seperti kemarahan rakan-rakan kita di dalam DAP terhadap mereka yang melompat parti, Allah tidak sekali-kali mengizinkan kita dengan perbuatan yang melampaui batas syariat. Jika hal ini dihakimi, maka nanti kita "terpukul" dengan ayat yang menegah.. "sedangkan kamu membaca al-kitab.."

GB pernah menegur beberapa rakan-rakan yang bertentangan pendapat di mana terdapat pula diantara mereka yang membalas dengan menggunakan bahasa-bahasa "mencarut" yang tak sepatutnya muncul dari mulut seorang yang beriman.

Kritikan keras dan pedas tidak semestinya menggunakan bahasa mencarut dan cabul. GB pernah terjumpa seorang yang bergelar ustaz di dalam parti yang menulis di dalam blognya menggunakan perkataan "teloq" yang menyebabkan GB terus hilang rasa hormat kepada ustaz berkenaan.

Sejahat-jahat kita, jika kita seorang bergelar dari ugamawan seperti seorang ustaz, hormatilah kopiah yang kita pakai atas kepala, jika marah sangat sekalipun tapi tak tahu bagaimana nak luahkan dalam bentuk bahasa paling sesuai, maka ikutilah saja langkah Mursyidul Am kita, berdoalah kepada Dia terhadap kezaliman yang mereka lakukan ke atas kita. Di blog, kita nanti bertanggungjawab semua tulisan kita, di depan Dia di saat kita menemuiNya.

"famai ya'mal mithqal la zarratiin khairai yaroh
wamai ya'mal mithqal la zarratiin syairai yaroh"

BTN Menteri Umno Makin Bercelaru, S;ngor Sokong Rombakan

Anggota kabinet dari Umno hari ini mempamerkan keretakan dan percanggahan sesama diri dalam menangani isu kursus BTN.

Sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz tampil mendedahkan bahawa kursus berkenaan akan dirombak atas arahan Perdana Menteri, Timbalan Menteri JPM Ahmad Maslan cuba memberi gambaran sebaliknya.

Beliau menafikan kurikulum BTN akan dirombak, sebaliknya cuma akan melalui proses “penambahbaikan’ minimum.

”Kita tambah baiklah... dalam ceramah kita tambah sebut 1Malaysia, lagu kita tambah,” kata timbalan menteri yangg bertanggungjawab atas BTN.

Ahmad Maslan bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sekadar berkata beliau yakin Nazri tidak menyampaikan mesej tepat mengenai kursus BTN.

“Saya tidak yakin dia kata begitu, saya rasa dia maksudkan, (kursus BTN) harus diperbaiki,” tambah beliau.

Nazri semalam berkata Najib mengarahkan kursus BTN dirombak untuk memastikan ia tidak menggugat perpaduan kaum dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya.

Beliau memberi arahan itu meskipun timbalannya Muhyiddin Yassin mendakwa kursus BTN sudahpun disesuaikan dengan konsep 1 Malaysia dan tidak perlu diolah.

Najib memberi arahan itu selepas Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan pegawai kerajaan negeri dan pelajar universiti menyertai kursus BTN.

Ini kerana kurikulum BTN didapati menjurus kepada memupuk sentimen perkauman di samping menggembleng sokongan untuk Umno-Barisan Nasional.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata larangan itu bertujuan melindungi pelajar dan pegawai kerajaan daripada dakyah politik yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sementara itu, Kerajaan negeri Selangor menyambut baik keputusan Kabinet untuk merombak semula sukatan program Biro Tata Negara (BTN) yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata usaha kerajaan negeri mendedahkan mengenai intipati kursus berkenaan akhirnya membuka mata Kabinet.

"Sama ada pihak kerajaan persekutuan bersetuju atau tidak impact(kesan) hasil daripada keputusan Kerajaan Negeri Selangor telah membuka beberapa perbahasan bagaimana cara pengajaran nasionalisme dan patrotisme dapat dilakukan," katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kualiti 2009 di Shah Alam pagi tadi.

Jelas Tan Sri Khalid, keputusan ini adalah yang terbaik setelah BTN dilihat menyebarkan sentiment perkauman dan menyuntik kepentingan politik Barisan Nasional semata-mata.

Beliau turut mencadangkan penglibatan semua pihak dalam merangka silibus dan modul kursus itu supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

"Saya rasa ada baiknya kira mengadakan perbincangan antara pelbagai pihak termasuk badan-badan politik, badan bukan kerajaan(NGO) dan juga pihak-pihak akademik supaya kita mencari lagi satu usaha supaya modul-modul yang kita lakukan itu mengambil kira keinginan kita untuk menjadikan negara malaysia ini negara yang berbilang kaum dan dapat menyatukan negara ini," katanya.

Menurut Tan Sri Khalid, melalui pendekatan yang dicadangkan ia membolehkan semua pihak memantau serta memberi cadangan mengenai unsur yang akan diterapkan dalam modul kursus tersebut untuk mewujudkan kesepaduan di kalangan masyarakat.

"Jadi ini kita akan cadangkan kalau tak ada dipersekutuan kita boleh lakukan dinegeri," katanya. -TVS