2 Dis 2009

Simpati Dari MB Kedah Untuk Seorang Sahabat

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tuduhan liwat yang didakwa terhadapnya.

Katanya, sebagai sahabat, beliau akan tetap memberi sokongan moral terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, memandangkan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

“Kita akan memberi sokongan moral kepada Anwar memandangkan tuduhan yang dilemparkan amat berat. Saya simpati padanya sebab ada pihak yang tak henti-henti melakukan serangan peribadi terhadapnya,” katanya.

Azizan berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang menolak permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan meliwat terhadapnya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.

“Walaupun kita belum tahu keputusan siapa di pihak yang benar, namun sudah berkali-kali ada pihak yang cuba menjatuhkan Anwar melalui pelbagai cara. Eloklah kita serahkan sahaja kepada mahkamah untuk memutuskan kes ini,” katanya.

Azizan tidak menolak kemungkinan Anwar menjadi mangsa konspirasi untuk menjatuhkannya, tetapi enggan mengulas lanjut berikutan ianya menjadi kes mahkamah.

“Kes mahkamah tidak perlulah kita masuk campur. Biar mahkamah sahaja yang memutuskannya kelak. Kita tak usah campur tangan kerana mahkamah ada undang-undang dan prosedurnya,” katanya.
Bagaimanapun, Azizan berharap mahkamah dapat memberi pengadilan yang adil kepada Anwar dan telus dalam sebarang keputusan yang dibuat.

Pada 17 Jun lalu, Anwar membuat permohonan membatalkan pertuduhan terhadapnya setelah mengaku tidak bersalah pada 10 Mac terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 27 Jun tahun lepas. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.