5 Nov 2009

Tolak Permohonan Nizar, Mahkamah Perlu Beri Penjelasan

Angkatan Muda Keadilan memandang serius tindakan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan korum penuh dari Menteri Besar Pakatan Rakyat Nizar Jamaluddin.

Ketika dihubungi TVSelangor, Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin berkata kes sebegini penting harus dihadiri korum penuh 11 hakim kerana bukan sahaja nasib negeri Perak diadili, wibawa badan kehakiman negara juga turut dibicarakan.

"Inilah masanya mahkamah sepatutnya menunjukkan bahawa badan kehakiman adalah bebas untuk kes seberat ini. Dalam kes yang akan menjadi landmark, kes yang mencatat sejarah yang tersendiri di dengar oleh 11 orang hakim" katanya.

Beliau berkata para hakim yang terlibat dalam kes ini perlu mengemukakan hujah yang jelas menjustifikasikan penolakan permohonan ini.

Ini perlu kata Shamsul kerana penolakan ini memberi kesan kepada persepsi rakyat yang prihatin dengan kes ini.

"Pertamanya penolakan institusi kehakiman itu jelas menunjukkan bahawa apa yang disebut sebelum ini sebagai penurunan prestasi atau pun persepsi bahawa badan kehakiman ini tidak lagi bebas adalah benar-benar telah berlaku" tambahnya lagi. -TVS



Era Najib Altantuya : Idris Tuduh Blogger Penulis Fitnah

Ramai yang mempertikaikan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad yang telah menuduh blogger memainkan semula isu Kerajaan Perpaduan (UG) yang menurutnya isu tersebut (UG) telah dikuburkan lebih awal lagi.

Beliau membuat kenyataan itu di Majlis Ijtimak PAS Kawasan Gopeng yang diadakan beberapa hari yang lalu.

Ustaz Idris Ahmad sebelum ini telah menyanggah pendapat Prof Dr Abdul Aziz Bari dan sanggahannya itu telah menerima kritikan dari banyak pihak sebagai sikap beku dan tidak berlapang dada terhadap teguran dan krtikan "orang luar" terhadap kepimpinan parti.

Siapa yang sebelum ini telah menyanggah pendapat orang lain kalau bukan Idris sendiri yang telah terang-terangan menyanggah pandangan Prof Abdul Aziz Bari dengan mempertahankan kepimpinan PAS yang dilihat oleh banyak pihak sebagai kepimpinan yang lesu dan dikuasai oleh mereka yang sebelumnya bertanggunggungjawab mengketengahkan gagasan UG yang merosakkan jemaah itu?

Siapa yang telah mengadakan pertemuan dengan blogger-blogger UMNO kalau bukan mereka yang disifatkan sebagai pemimpin bermasalah oleh Mursyidul Am PAS sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jika benar isu UG telah dikuburkan?

Telah menjadi tabiat dan dasar mereka dari kalangan UG ini akan melabel dan mengcapkan mereka yang menentang gagasan UG sebagai "penulis fitnah" walhal merekalah dari pendokong UG ini yang telah menimbulkan "fitnah besar" kepada parti dan jemaah sehingga menyebabkan parti berpecah-belah dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat merasa sangsi terhadap pendirian PAS yang sebenar.

Isu UG sebenarnya sekalipun diproklamirkan telah dikuburkan, tetapi hanya untuk menipu daya para ahli, sedang jarum-jarum mereka terus-terusan berjalan sepertimana isu PAS Selangor yang terang-terangan menjadi penyebab kepada sekalian kekecohan di dalam parti dan penolakan kaum bukan Melayu terhadap PAS.

Begitu juga isu pertemuan Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharuddin Mat Isa dengan para blogger UMNO yang telah banyak meninggalkan tandatanya di kalangan ahli jemaah.

Apa yag cuba dilakukan oleh Idris tidak lain dari percubaan untuk melakukan pembedahan di pinggiran sedang beliau adalah sebahagian dari penyakit yang menyerang jemaah.

Selagi pemimpin-pemimpin tertinggi PAS yang bermasalah itu masih tidak diambil tindakan terhadapnya, isu UG yang dikatakan telah dikuburkan akan tetap menjadi duri dalam daging kepada jemaah - sampai kiamat.

Era Najib Altantuya : Ahmad Awang Selar Tindakan Hassan Ali Pecat Khalid dan Saari

Resolusi seminar politik PAS hujung minggu ini, sebahagian besarnya, akan memandu siasatan jawatankuasa disiplin terhadap kepimpinan PAS Selangor, kata bekas pesuruhjaya Perak, Ahmad Awang.

Menurutnya, resolusi seminar itu juga penting untuk melihat sokongan akar umbi ke atas kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS itu menjelaskan, seminar sehari itu - selain anggota majlis syura dan ahli jawatankuasa pusat - juga akan mendengar pandangan pesuruhjaya PAS negeri dan pemimpin peringkat kawasan-kawasan.

"Keputusan besarnya adalah pandangan menyeluruh daripada akar umbi PAS, dan bukan keputusan kepimpinan tertinggi PAS sahaja," kata Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya lagi, isu melibatkan pergeseran antara bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad dengan pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali, juga tidak dapat dielakkan daripada dibincangkan.

Ahmad juga berkata kehadiran ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari - yang akan mengulangi analisisnya tentang kelemahan PAS dan mempertahankan tulisan kontroversinya bulan lalu - pasti mengundang pandangan balas daripada peserta.

"Seminar ini mengenai memperkasakan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, tetapi akan timbul juga hujah-hujah daripada peserta tentang masalah kepemimpinan di Selangor," katanya.

Sokongan bukan Melayu

Dr Abdul Aziz secara tidak langsung mendorong penganjuran seminar berkenaan susulan tulisannya yang mengungkit kemerosotan sokongan bukan Melayu di Bagan Pinang bulan lalu.

Dalam artikel pada 19 Oktober lalu di sebuah akhbar, pakar perlembagaan itu mendakwa kemerosotan itu disebabkan, antaranya, beberapa tokoh PAS yang bermasalah berhubung idea kerajaan perpaduan, khususnya di Selangor.

Dr Abdul Aziz juga menganggap kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang lemah dan perlu berundur bagi menyelamatkan parti itu.

Jika usulnya itu terlalu berat untuk dilaksanakan, beliau menggesa Nasharuddin Mat Isa berundur daripada timbalan presiden PAS dan Dr Hassan pula disingkirkan daripada exco kerajaan Selangor.

"Itu tidak dapat dielakkan. Sudah tentu (Dr Abdul Aziz) akan pertahankan apa yang beliau sudah tulis," kata Ahmad lagi.

"Hal berkenaan tidak dapat dielakkan kerana masalah kepimpinan yang dialami parti itu sekarang kebanyakannya memang berpunca daripada masalah di Selangor."

Menurutnya, krisis dalaman PAS di negeri pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat itu dikesan apabila mesyuarat dewan harian bertindak memecat Khalid sebagai timbalan pesuruhjaya dan Saari Sungib daripada ketua penerangan negeri.

"Mana boleh mesyuarat dewan harian pecat ketua penerangan dan timbalan pesuruhjaya negeri, sedangkan ia hanya boleh dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri.


Segerakan siasatan

"Dari situ kita sudah nampak kepimpinan di Selangor tidak teliti dan tidak ikut peraturan," kata Ahmad.

Tambahnya, hujah para peserta seminar tersebut nanti juga akan membantu menyediakan garis panduan dan menyegerakan siasatan jawatankuasa disiplin ke atas kepemimpinan Selangor.

"Resolusi ini juga akan menunjukkan sama ada Jawatankuasa Disiplin ada locus standi (asas) untuk siasat kepimpinan di Selangor, dengan cadangan-cadangan yang boleh dibawa ke jawatankuasa pusat.

"Jawatankuasa pusat pula akan timbangkan garis panduan yang diresolusikan oleh seminar. Kalau garis panduan mereka lemah, mereka kena perketatkan," katanya lagi.

Seminar ini diadakan sebagai menggantikan muktamar khas yang asalnya disarankan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melenting selepas membaca artikel Dr Abdul Aziz, 'Pengajaran Dari Bagan Pinang' di Sinar Harian. - malaysiakini

Era Najib Altantuya : Pendaftaran PR Petanda Evolusi Politik Tanah Air

Tindakan Pakatan Rakyat memohon secara rasmi untuk mendaftar sebagai sebuah parti mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak.

Malah menurut pengamal perundangan, Profesor Aziz Bari, sudah sampai masanya kematangan Pakatan diterjemahkan melalui cara ini.

"Dalam rangka kita hendak mewujudkan sistem dua parti daripada perspektif rakyat, ini benda yang tidak dapat tidak atau pun mesti dilakukan kerana ini adalah kesempatan terbaik dalam tempoh lebih 50 tahun negara merdeka".

Ujarnya tindakan Pakatan Rakyat itu juga memudahkan rakyat untuk membuat dua pilihan yang jelas.

"Bersedia atau tidak, saya tidak rasa ia bukanlah perkara yang terlalu penting, yang penting sudah ada dan sudah nampak potensinya. Apa yang menjadi masalah saya rasa halangan dan sekatan" tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Aziz berpendapat tindakan Pendaftar Pertubuhan dilihat sebagai terpaksa kerana desakan rakyat yang memerlukan perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

"Saya merasakan pendaftar pertubuhan itu sendiri semacam terpaksa dan kalau kita bercakap dari sudut perundangan, ini hak rakyat dan bukan kuasa mereka. Jadi tidak perlu berterima kasih kepada pendaftar kerana ini bukan bersifat ihsan, ini memang sesuatu yang memang hak rakyat".

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Keadilan, PAS dan DAP.

Pendaftaran sebagai sebuah entiti politik akan membolehkan Pakatan Rakyat mengatasi pelbagai kekangan Suruhanjaya Pilihanraya dan juga permasalahan kecil yang melibatkan ikatan rasmi ketiga-tiga parti itu. -TVS


Era Najib Altantuya : Kerajaan Perlu Bayar Berganda Kepada Kelantan

Kerajaan Pusat perlu membuat pembayaran berganda iaitu wang ihsan yang akan diberikan dan royalti minyak yang selayaknya diterima rakyat Kelantan, kata Exco Ekonomi Kelantan Datuk Husam Musa.

Mengulas mengenai pemberian wang ihsan, terdapat 12 telaga minyak dan 5 pelantar carigali serata perairan Kelantan yang kerajaan perlu ambil-kira dalam pembayaran wang ihsan.

“Kalau ikut Perdana Menteri telaga Kelantan hanya ada 1 iaitu Bumi Selatan dan telaga-telaga lain tidak berada di perairan Kelantan. Kalau Bumi Selatan itu melayakkan Kelantan terima wang ihsan, bermakna telaga-telaga lain juga boleh melayakkan Kelantan untuk dibayar wang ihsan" ujar beliau.

Kelantan akan menerima wang ihsan bermula 2010 dalam bentuk projek yang akan disalurkan melalui agensi Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri Najib Tun Abdul Razak sebelum ini menolak semua permohonan kerajaan negeri dan berkata rakyat Kelantan tidak layak terima royalti minyak.

"Dari segi perundangan, negeri seperti Kelantan dan Terengganu hanya mempunyai hak untuk menuntut pembayaran royalti, bagi sumber petroleum yang dihasilkan daripada perairan negeri tersebut. Dalam hal ini perairan negeri masing-masing, adalah ditakrifkan sebagai kawasan yang terletak tidak melebihi 3 batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau persisir pantai negeri tersebut" ujar Najib.

Menyanggah alasan Kerajaan Pusat, Husam berkata Akta 144 Petronas tidak menetapkan jarak 3 batu nautika sebagai syarat melayakkan Kelantan atau mana-mana negeri mendapat royalti minyak.

“Yang pertama ialah jawapan Perdana Menteri adalah tidak tepat. Melalui beberapa segi dan sudut. Yang pertama kalau Kelantan dikatakan hanya layak untuk wang ihsan, kerana pengairan itu berada di luar 3 batu nautika dari pantai Kelantan, di Sabah dan Sarawak, telaga-telaga mereka juga berada di luar 3 batu nautika” ujar Husam.

Husam menegaskan isu wang ihsan dijadikan alat politik dan rakyat Kelantan dijadikan tahanan oleh Kerajaan Pusat.

“Wang ihsan ini adalah tindakan politik dan bukan tindakan undang-undang, untuk menafikan hak-hak negeri berkenaan menguruskan wang mengikut acuan mereka masing-masing’. - TVS





Permohonan Nizar Untuk 11 Hakim Ditolak Tanpa Alasan

Perbicaraan kes Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengundang pelbagai spekulasi.

Permohonan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Nizar Jamaluddin merayu korum 11 hakim untuk mengadili kes ini ditolak tanpa alasan oleh pihak mahkamah.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sharif yang mengepalai panel 5 hakim dalam perbicaraan ini seraya mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan segera.

Nizar melalui peguamnya, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan memfailkan permohonan tersebut melihat kepada kepentingan kes ini.

“Saya rasa patut dilakukan yang penting ini mahkamah sepatutnya tidak menolak sebab untuk mengelak sebarang unsur dilihat mahkamah ini ada unsur berat sebelah dan sebagainya, sebaiknya semua korum 11 itu mendengar kes ini, sebab ini juga pernah dicadangkan oleh Tun Salleh Abas dalam buku dia Media Book Justice, sebab tu masa Umno dulu dia menetapkan 11 korum supaya tidak ada lagi timbul orang mengatakan bahawa ketua hakim ni menentukan korum dia. Kalau semua dengar kes, tidak adalah timbul siapa yang menentukan korum ni”, kata Datuk Ambiga.

Selain Alauddin, empat hakim lain dalam perbicaraan ini adalah Tan Sri Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Peguam Hanipa Maidin berkata pasukannya akan bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada Nizar.

Apa yang lebih penting adalah, kata Hanipah, prosiding hari ini membuktikan Sultan tidak mempunyai kuasa mutlak.

“Semua hakim kena dengar kes kita. Kami merasakan bagaimanapun mahkamah dah buat keputusan, kita akan teruskan, kita rasa hujah pada pagi ini menunjukkan secara jelas bahawa apa yang kita nak tonjolkan bahawa Sultan ini dari segi sejarahnya, dari segi bahasa dalam Perlembagaan, menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai kuasa mutlak hatta dalam Perlembagaan Perak sendiri menyatakan bahawa Sultan itu sendiri jika dia gagal hadir dalam sidang dewan negara boleh dianggap telah kosong, maknanya dia punya jawatan boleh dianggap telah terlucut. Tapi dalam kes Menteri Besar tidak ada peruntukan yang sama, kalau sekiranya ada peruntukan yang sama dan tentu diletak dalam perlembangaan itu, membolehkan Menteri Besar itu sekiranya dia tidak meletak jawatan, dia dianggap letak jawatan”, katanya.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini digulingkan Barisan Nasional setelah beberapa wakil rakyat Pakatan menyertai Barisan Nasional sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat kekurangan kerusi untuk mengekalkan kerajaan.

Datuk Seri Nizar diwakili sekumpulan peguamnya yang diterajui oleh peguam kanan, Sulaiman Abdullah manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula diwakili oleh peguam kanannya, Cecil Abraham. -MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Era Najib Altantuya : Pakatan Mohon Daftar Jadi Parti Politik

Pakatan Rakyat telah memohon secara rasmi untuk berdaftar sebagai sebuah parti politik dengan bekas Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim sebagai pengerusinya.

Sumber-sumber memberitahu bahawa permohonan itu telah dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan awal minggu ini untuk mendapat kelulusan.

Zaid, anggota Biro Politik Parti Keadilan Rakyat sebelum ini memberitahu bahawa beliau berharap memperolehi kelulusan berkenaan sebelum Konvensyen sulung Pakatan Rakyat pada bulan hadapan.

Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Keadilan, PAS dan DAP. Zaid turut membayangkan kemungkinan Pakatan Rakyat dianggotai oleh beberapa lagi parti dalam masa terdekat.

Gagasan itu kini memerintah Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Ia turut menubuhkan kerajaan negeri di Perak selepas pilihanraya umum 2008 sebelum Umno-BN melancarkan rampasan kuasa awal tahun ini.

Pertikaian menentukan kesahihan kerajaan negeri Barisan Nasional di Perak kini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Pendaftaran sebagai sebuah entiti politik akan membolehkan Pakatan Rakyat mengatasi pelbagai kekangan Suruhanjaya Pilihanraya, termasuk peraturan bahawa parti-parti yang tidak bertanding dilarang menaikkan bendera mereka pada sesuatu pilihanraya kecil.

Ini menghalang PKR, PAS dan DAP membantu sesama mereka secara berkesan apabila satu daripada tiga parti itu bertanding menentang Barisan Nasional yang merupakan parti berdaftar dengan 14 anggota komponen.

Pendaftaran rasmi Pakatan Rakyat akan menandakan bermulanya sistem politik yang berteraskan dwi-parti sebagaimana di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Walaupun menjadi sasaran laporan berat sebelah dan fitnah oleh media arus perdana di samping menangani pelbagai kemelut dalaman, hubungan rapat antara Keadilan, PAS dan DAP membolehkan Pakatan Rakyat menang tujuh daripada sembilan pilihanraya kecil sejak Mac tahun lalu. -sk

Nizar Gagal Untuk Dapatkan 11 Hakim Dengar Kesnya

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin supaya rayuannya berhubungi kes menteri besar yang sah, didengar oleh panel 11 orang hakim, lapor malaysiakini.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.

Keputusan tersebut menimbulkan tandatanya kerana mahkamah tertinggi di negara ini itu sebelum ini pernah membenarkan panel tujuh hakim mendengar dua kes dadah.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Nizar, sebelum itu berhujah bahawa panel 11 hakim itu penting kerana kes itu membabitkan kepentingan awam dan banyak implikasinya.


Katanya, ia juga memberi kesan pada semua negeri dan serta Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, seluruh dunia sedang mengikuti kes tersebut, termasuk para akademik dan orang awam "kerana ini adalah satu kes yang unik".

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang membantu menterjemah perlembagaan Perak dan perlembagaan Persekutuan, berkata permohonan tersebut tidak seharusnya dibuat melalui usul.

Sebaliknya, kata beliau, ia seharusnya dibuat melalui semakan kehakiman.

Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Ia juga bukan sahaja akan menentukan menteri besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas. Foto ehsan MalaysianInsider

Royalti : Najib Altantuya Selewengkan Fakta

Ahli Parlimen PAS kesal dengan penyelewengan fakta yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dewan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum kepada rakyat Kelantan.

Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.

Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.

"PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan.

"Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau di dewan rakyat pagi tadi meminta Najib menyatakan bilakah tuntutan royalti kerajaan kelantan akan dilangsaikan petronas.

Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan.

Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih.

Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu.

"Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu.

"Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir,"

"Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan.

"Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya.

Khalid Samad (PAS Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

"Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat,"

"Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan.

Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi.

"Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan,"

"Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya. -harakahdaily video -TVS





Era Najib Altantuya : Hadi Suruh Bakar Bahan Bukti?

Salam Pakatan.

Diberitakan baru-baru ini Khalid Samad telah berjumpa dan meberi amaran kepada Tuan Ibrahim Tuan Man supaya pita-pita rakaman yang berada dibawah simpanan JawatanKuasa Displin tidak dipadam. Ini kerana TG Hadi Awang telah menitahkan kepada Tuan Ibrahim supaya memadamkan segala bukti-bukti rakaman supaya jejak grup pro "Unity Government" seperti Hasan Ali, Mustafa Ali, Nasarudin Mat Isa dan beberapa individu lain terpadam.

Tujuan perintah TG Hadi Awang dipercayai kerana ingin "menjaga parti" supaya rahsia parti terus terpelihara. Ini menyebabkan Khalid Samad berjumpa sendiri dengan dan memberi amaran kepada Tuan Ibrahim, jika Tuan Ibrahim memadam bukti-bukti rakaman terbabit bagi menutup jejak pro UG, beliau akan mendedahkan terus rakaman-rakaman yang ada pada simpanan beliau di blog peribadi beliau. Buat makluman yang belum tahu, Timbalan Mursyidul Am PAS iaitu Prof. Dr. Dato' Harun Din adalah Mursyidul Am "Unity Government". Tuan Ibrahim Tuan Man kadangkala dilihat cenderung kepada Harun Din walaupun ia mempunyai pertalian darah dan kekeluargaan dengan Mursyidul Am PAS, TG Nik Aziz. Arahan terbaru Presiden PAS supaya memadamkan bukti rakaman terbabit amat meragukan. Lebih baik tidak membuang masa dengan mengadakan JawatanKuasa Displin. Kenapa perlu menyelamatkan 4-5 pemimpin PAS jika terbukti benar mereka mengadakan rundingan secara gelap dengan UMNO ??

Roadshow Hasan Ali

Sekarang Hasan Ali sedang berjalan satu Selangor untuk menerangkan bahawa diri dia tidak bersalah dan membuktikan bahawa orang lain yang sebenarnya bersalah. Tuan-tuan boleh melihat road tour Hasan Ali di sini. Tuan-tuan sendiri boleh lihat tarikh-tarikh yang dicatatkan. Ia sangat berdekatan dengan tarikh Seminar Khas yang akan diadakan pada Sabtu ini pada 7 November. Ini menimbulkan banyak persoalan. Bercakap disalah sebuah tempat, Hasan Ali telah mempertahankan tindakannya memecat Khalid Samad dan Saari Sungip. Ini point-point kenapa Hasan Ali memecat mereka berdua :

1. Fahaman mereka terlalu liberal
2. Mereka bersetuju untuk melaksanakan p/raya PBT sedangkan PAS Pusat tidak merestuinya. Hassan berhujah jika ianya dilaksanakan, maka orang Melayu di Sabak Bernam dan Kuala Selangor lah yang akan menjadi majoriti ahli majlis PBT. Khalid dan Saari berhujah “let got it, kita perlukan ahli-ahli majlis yang berwibawa dan layak untuk menduduki kerusi ahli majlis”.
3. Isu bantuan kerajaan negeri terhadap sekolah swasta/agama. Mereka bersetuju dengan cadangan exco DAP untuk menyamaratakan bantuan tersebut.
4. Isu ganti tanah kepada kuil-kuil. Jika didapati ada kuil-kuil yang haram dan hendak dirobohkan, maka kerajaan negeri hendaklah menggantikan dengan tanah yang baru. Termasuk lah tanah-tanah yang dimiliki oleh MAIS. Mereka bersetuju.
5. Isu pembinaan Pusat Kebudayaan Cina di sebelah masjid baru yang dibina di suatu tempat. Pada mulanya tanah tersebut hanyalah 2-5 ekar tetapi diminta oleh exco DAP tambahan tanah sehingga menjadi 15-18 ekar tanah yang bernilai RM 3.8 juta (kalau tidak silap). Mereka bersetuju.
6. Penguatkuasaan enakmen Islam. Mereka tidak bersetuju kerana ianya merupakan enakmen zaman UMNO memerintah. Hassan berhujjah enakmen itu adalah berkaitan tangkap khalwat, zina, yang bercumbu-cumbuan, orang minum arak etc. Beliau dengan sinis mengatakan “tak kan perkara ini pun tidak boleh sedangakn enakmen yang hendak dikuatkuasakan itu adalah standard dengan negeri-negeri lain”.


Sebenarnya, kesemua point-point tersebut adalah rekacipta Hasan Ali. Sedangkan kebanyakan point-point itu berlaku dalam tahun ini sedangkan Khalid Samad dan Saari Sungip dipecat pada tahun lepas lagi. Pemecatan itu pula berlaku tanpa rundingan dengan Dewan Harian PAS Selangor.

Kenapa Hasan Ali memecat mereka berdua ??

Sebab utama pemecatan Khalid Samad dan Saari Sungip ialah mereka kacau daun plan Unity Government di negeri Selangor. Setiap bulan laporan dari setiap negeri akan diberi kepada PAS Pusat untuk dilaporkan tentang aktiviti dan masalah mereka. Khalid Samad mempertikaikan laporan yang dibikin dari negeri beliau sendiri. Kerana setiap bulan laporan PAS negeri Selangor selepas kemenangan 8 Mac 2008 berunsur negetif dan berniat jahat dengan Pakatan Rakyat. Setiap kali laporan bulanan, PAS negeri Selangor menceritakan bahawa mereka tidak sesuai berada dibawah kawalan Pakatan Rakyat dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Laporan PAS Selangor juga menyatakan setiap bulan yang mereka ini tidak sesuai berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Setiap bulan juga, Ronnie Liew menjadi kambing hitam dalam laporan bulanan PAS Selangor.

Khalid Samad dan Saari Sungip mempertikaikan laporan bulanan negeri Selangor yang berunsur 'malafide' ini. Kerana sebahagian besarnya adalah rekaan semata-mata dan mempunyai unsur mahu khianat terhadap Pakatan Rakyat. Oleh kerana tidak tahan telinga dan tidak tahan dijatuhkan integriti dan kredibiliti oleh mereka berdua, atas nasihat ulamak "Unity Government" Hasan Ali terus memecat mereka berdua sebagai langkah menenangkan keadaan. Hasan Ali berkira-kira dengan pemencatan itu, cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor akan tercapai tidak lama lagi. Hasan Ali tidak sedar bahawa dirinya adalah bidak catur bagi agenda Task Force 2010. -Ali Bagan Pinang

Era Najib Altantuya : Malaysia Perlu Pemulihan Menyeluruh

Reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh adalah perlu untuk Malaysia mencapai negara maju.

Bercakap kepada lebih 500 hadirin di Petaling Jaya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata enjin ekonomi negara mampu dipacu laju hanya jika ia diuja iklim yang menggalakkan persaingan.

"Dasar ekonomi yang berjaya perlu disaluti dasar pengagihan yang adil dan sama-rata, dengan memastikan semua rakyat daripada pelbagai keturunan mendapat peluang sama-rata berasaskan keperluan dan meritokrasi," tegas Khalid.

"Hal ini tidak bermakna orang Melayu kehilangan hak mereka. Apabila kerajaan negeri Selangor mensasarkan program untuk golongan miskin, ia tidak dinafikan sebenarnya menguntungkan sejumlah besar orang Melayu," tambahnya.

Tan Sri Khalid, diantara tokoh korporat yang disegani di negara ini berkata demikian di wacana Bajet 2010 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Tan Sri Khalid dalam ucapannya memberi penekanan kepada persaingan terbuka sebagai tujahan melawan kelembapan ekonomi hari ini.

Namun anjakan ini hanya akan berlaku sekiranya rakyat bawahan diberdayakan, autonomi penjawat awam dari pengaruh politik kepartian diperkukuh dan perbelanjaan ringgit didisplinkan.

"Pada tahun 2008, RM8.2 bilion dibelanjakan oleh Kementerian Pertahanan, di mana 54% dibuat secara runding terus. Ini bermakna bahawa tender terbuka berkurangan sejak tahun 2006. Walhal semua dokumen berkaitan perlu disertakan sebagai bukti kepada rakyat bahawa kerajaan mengamalkan sikap kebertanggungjawaban," kata Khalid.

"Saya diberitahu keseluruhan projek KPI kini dijadikan aktiviti berbayar kepada firma rundingan di luar kerajaan. Adakah ia bermakna yang semua projek kerajaan, termasuk NKRA mesti dikendalikan konsultan yang dibayar dengan upah yang mahal walhal tugas tersebut mampu dilaksanakan pegawai-pegawai kanan kerajaan?" soalnya.

Selain terlepas-pandang masalah keperluan asas seperti beban sewa kediaman, lonjakan harga makanan dan rawatan kesihatan, tanggungan kenderaan peribadi dan awam serta kos pendidikan yang tinggi, Khalid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu mengemukakan dasar yang jelas membasmi musuh nombor satu negara: rasuah.

"Apabila kita membaca buku bajet 2010, kita dapati ia kekurangan hala tuju ekonomi dalam situasi ekonomi negara sekarang. Ungkapan-ungkapan seperti "ekonomi pendapatan tinggi", "perubahan daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi berasaskan industri", dan "peralihan kepada model ekonomi berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tambah tinggi" sebenarnya merupakan percubaan yang lemah dan kekurangan isi. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah perulangan yang kerap didendangkan sebelum pembentangan bajet 2010 ini," kata Khalid.

"Kini malahan setiap pemilik kad kredit dikenakan bayaran RM50 walaupun sebelumnya kad tersebut diperoleh tanpa dikenakan caj tertentu. Datuk Seri Najib berkata kajian sedang di peringkat akhir tentang impak cukai barangan dan perkhidmatan dan kerajan pusat akan membayar RM22 juta untuk melaksanakan kajian ini. Walhal negara perlu meneroka sumber hasil alternatif selain petrol dan gas kerana dalam jangka masa terdekat Malaysia mungkin jadi pengimport minyak," tambah beliau.

Tan Sri Khalid menyatakan kebimbangan kerana belanjawan 2010 tidak mengemukakan dasar yang ampuh memaksimakan kepenggunaan sumber negara. Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan melihat semula skim penswastaan besar-besaran yang dirancang dalam belanjawan ini.

"Walaupun pada peringkat awalnya ia merupakan premis yang berkesan untuk mengurangi saiz perbelanjaan kerajaan, namun kita perlu faham bahawa penswastaan di Malaysia dipenuhi pelbagai kecacatan. Misalnya, pada masa lalu, selepas sahaja badan-badan kerajaan diswastakan, mereka biasanya berakhir dengan kerugian besar, yang memaksa kerajaan membantu membayarkan hutang-piutang berjumlah ratusan juta ringgit," tegas beliau.

"Rakyat Malaysia sebenarnya sudah melalui pengalaman pahit akibat penswastaan yang hanya menguntungkan kroni dan individu tertentu. Duit pembayar cukai sebenarnya digunakan untuk memewahkan individu tertentu ini," tambahnya. -TVS



Era Najib Altantuya : Hishamuddin Dalangi Keputusan ROS

Kemelut MCA semakin kusut apabila Pendaftar Pertubuhan Syarikat (ROS) mengiktiraf Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden MCA yang sah mengikut undang-undang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Gan Pei Nei menyifatkan pemimpin tertinggi MCA sebagai tidak menghormati Perlembagaan Malaysia sehingga wujudnya dua Timbalan Presiden dalam satu masa yang sama.

Dalam masa yang sama, mereka tidak menghormati keputusan mesyuarat agong mereka lalu yang sudah dipersetujui di peringkat akar umbi.

“Saya nampak mereka langsung tidak menghormati Perlembangaan ataupun mandat yang telah diberi kepada wakil-wakil malahan wakil mereka yang dipilih dalam mesyuarat agong mereka setelah mereka ada EGM, saya rasa satu Malaysia isu yang jelas telah disampaikan oleh akar umbi mereka, supaya satu lagi mesyuarat diadakan untuk buat pemilihan semula tetapi semua tidak dihormati”, katanya.

Beliau bercakap kepada Tv Selangor ketika dihubungi melalui telefon mengulas kemelut dalaman MCA hari ini.

Tambahnya, UMNO adalah dalang di sebalik keputusan ROS hari ini kerana Datuk Seri Hishamuddin merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam pentadbiran ROS Malaysia.

Ini berikutan resolusi MCA pada EGM lepas sudah pun direstui Umno.

“Saya jangka yang keputusan ROS ni kalau kita kaji menteri yang bertanggungjawab adalah Hishamuddin, jadi akhir-akhirnya saya nampak keputusan itu sebenarnya keputusan yang telah dirancang dan dibuat oleh Umno dan hanya diikuti oleh MCA sahaja”, jelasnya lagi.

Gan menyelar pemimpin tertinggi MCA kerana gagal memperbaiki perkhidmatan masing-masing kepada rakyat malah mereka berebut kuasa pula sesama sendiri.

“Saya rasa khasnya dalam masyarakat cina rata-rata maklum balas yang kita dapat dia orang rasa kecewa dengan MCA, perhatiannya atau penumpuannya seharusnya diberikan kepada macam mana hendak meningkatkan perkhidmatan mereka ataupun sumbangan mereka kepada masyarakat rata-rata, tapi sekarang MCA nampaknya mereka lebih berminat kepada merebut jawatan daripada menjaga kebajikan rakyat”, ujarnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)