22 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Suruhanjaya Patut Siasat Punca Kematian Teoh Juga

Majlis Peguam berharap penubuhan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan turut menyiasat punca kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Presidennya Ragunath Kesavan berkata ini adalah kerana kuasa sesebuah inkues bagi menentukan punca kematian adalah terhad berbanding kuasa Suruhanjaya Diraja.

"Selain itu, inkues dikendalikan oleh seorang majistret yang bertindak sebagai koroner dan beliau biasanya merupakan seorang pegawai yang paling junior.

"Koroner tidak boleh mengarahkan supaya siasatan dijalankan bagi menentukan punca kematian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Najib mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti prosedur soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di samping itu, beliau juga mengarahkan supaya satu inkues yang diketuai seorang majistret diimulakan minggu depan bagi menentukan punca sebenar kematian Teoh.

Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Michael Yeoh menyambut baik penubuhan suruhanjaya itu dalam menentukan kaedah soal siasat yang dijalankan oleh SPRM itu menepati standard hak asasi manusia.

Katanya hasil siasatan serta cadangan suruhanjaya itu nanti diharap dapat diguna pakai oleh SPRM dalam prosedur siasatannya pada masa depan.


Era Najib Altantuya : Keluarga Teoh Sambut Baik Penubuhan Suruhanjaya, Bidas Polis Tanya Soalan Tidak Relevan

Ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock menyambut baik langkah penubuhan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan oleh kerajaan. Mereka berharap siasatan akan dibuat dengan adil dan telus.

Sementara itu empat orang ahli keluarga mangsa termasuk tunang mendiang Teoh yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan di ibu pejabat polis Kajang pukul 3 petang tadi mendakwa soalan yang ditanya tidak relevan dan hanya membuang masa.

Sementara itu Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat akan memilih sekumpulan peguamnya untuk mengikuti persidangan (perjumpaan) Suruhanjaya Diraja tersebut sebagai peguam kerajaan negeri.

Sebelum itu mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini telah akur kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Dalam sidang media yang dinanti-nantikanitu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.

Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.

Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.

Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".

Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.

Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.

"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.

Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan berlakunya kematian Teoh.


Era Najib Altantuya : Kabinet Akur Desakan Tubuh Suruhanjaya Diraja

Kabinet sebentar tadi memutuskan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini.

Pada sidang media itu, Najib berkata satu inkues yang diketuai oleh majistret juga akan diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

"Kabinet putuskan tiga perkara iaitu sebuah suruhanjaya diraja akan diwujudkan untuk meneliti dan mengkaji peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi dalam kes itu langkah ini untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang," katanya.

Najib berkata, Suruhanjaya Diraja dan inkues itu mungkin akan memulakan tugas minggu depan.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.


Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Era Najib Altantuya : Islam Larang Siasatan Berbentuk Siksaan - Peguam PAS

Kematian Teoh Beng Hock dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu membuka pelbagai pekung Barisan Nasional.

Kematian Teoh Beng Hock menimbulkan isu teknik siasatan SPRM yang secara jelas bersifat satu seksaan ( torture ) ke atas mereka yang disiasat oleh badan itu. Teknik “torture” ini juga dilakukan oleh pihak polis ke atas mereka yang ditahan di bawah ISA. Yang menghairankan Nazri Aziz tidak segan silu menyokong teknik penyiasatan SPRM tersebut.

Ketua Polis Selangor mengesahkan bahawa rakaman CCTV menunjukkan Teoh iaitu mantan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu. Bagaimanapun siasatan hanya berakhir jam 3.45 pagi Khamis.

Siasatan untuk tempoh yang lama tersebut dengan menafikan hak Teoh untuk tidur adalah semata-mata bertujuan menyiksa mental dan emosi Teoh bagi memudahkan SPRM mendapatkan pengakuan dan maklumat-maklumat tertentu dari Teoh.

PAS menentang cara penyiasatan yang berbentuk penyiksaan sebegini kerana Islam melarang sebarang bentuk “dhorar” berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w “ La dhorar wala dhiror fi al-Islam” (tidak boleh menyiksa dan tidak boleh disiksa dalam Islam”).

Al-Quran sendiri secara jelas menyatakan bahawa “ Allah telah memuliakan Bani Adam” (Al-Isra’ : 17 : 70).

Jenayah penyiksaan ( torture ) pemerintah ke atas rakyat telah dinyatakan di dalam Al-Quran melalui kisah Firaun. Di dalam Surah Tho Ha, Allah s.w.t menyatakan

"Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya ( Firaun ), kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka” ( 20 : 47 )

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad di dalam sanadnya , Rasulullah s.a.w menyatakan “Sesungguhnya Allah s.w.t akan mengazab mana-mana orang yang menyiksa manusia di dunia ini.” ( lihat Sunan Abu Dawud Vol 1V m/s 865 dan Musnad Ahmad b.Hanbal Vol 111 m/s 404 al-Maktab Al-Islami , Cairo )

Dalam satu lagi Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ( radiyallah ‘an huma ) , Rasulullah s.a.w menyatakan bagaimana seorang wanita akan masuk neraka kerana penyiksaan yang perempuan itu lakukan ke atas seekor kucing.

Rasulullah s.a.w menyatakan “Telah masuk seorang wanita ke dalam neraka kerana beliau mengikat kucingnya dengan tidak memberi makan kepada kucing itu dan tidak melepaskannya untuk makan makanannya yang melata di muka bumi” ( lihat Sahih Bukhari, Vol 1V m/s 337 )

Dalam Kitab Al-Kharaj karangan Abu Yusuf dilaporkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz telah menulis kepada pegawai-pegawainya dengan melarang mereka mengikat para banduan dengan rantai atau gari dan memerintahkan mereka member makan secukupnya kepada para banduan dari wang Baitul Mal ( Lihat Abu Yusuf, Kitab Al Kharaj m/s 314-315 )

Imam Ibn Hazam pula menyatakan di dalam Al-Muhalla bahawa Al-Quran atau Al-Sunnah atau Ijma’ tidak membenarkan sebarang penyiksaan dalam bentuk elemen pukul, pemenjaraan, ancaman atau penghinaan bagi tujuan mendapatkan pengakuan seseorang kononnya beliau melakukan jenayah . Ibn Hazam menyatakan bahawa larangan penyiksaan tersebut adalah berasaskan bahawa kulit, darah dan kemuliaan insan adalah suatu yang suci dan tidak boleh dicabuli melainkan dengan satu nas yang terang dan jelas atau dengan satu ijma’.

Berdasarkan nas-nas di atas, PAS menentang sekeras-kerasnya teknik dan gaya penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM ke atas mendiang Teo kerana ianya adalah satu kaedah yang tidak menghormati kemuliaan manusia tanpa mengira kaum atau agama mereka.

PAS meminta mereka yang didapati terlibat dengan penyiasatan ala Gestapo tersebut atau mereka yang mengizinkan teknik penyiasatan tersebut di bawa ke muka pengadilan. Seksyen 331 Kanun Keseksaan mungkin boleh digunakan ke atas mereka yang terlibat dengan penyiksaan ke atas mendiang Teo sehingga membawa kepada kematian beliau.

Kes Teo juga menunjukkan satu amalan diskriminasi yang ketara di pihak SPRM. SPRM seperti biasa agak cepat bertindak jika tuduhan rasuah atau salah guna kuasa dibuat ke atas ahli-ahli politik Pakatan Rakyat. Bagaimana tahap kelajuan penyiasatan kes rasuah dan salah guna kuasa akan berubah dengan drastik jika ia melibatkan para pemimpin Umno.

Dalam kes di Selangor, SPRM cepat menyiasat Mentei Besar Tan Sri Khalid dalam kes korban lembu di mana Pengarah SPRM dengan sombong dan bongkak menyatakan “ kita ada bukti yang kuat untuk mendakwa Tan Sri Khalid”. Dalam kes penyiasatan ke atas Teo kita juga dapat melihat ketergesaan SPRM. Namun apabila terdapat aduan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Khir Toyo kita tidak melihat kelajuan yang sama.

Untuk peringatan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah sebelum ini mendedahkan tiga penyelewengan Datuk Seri Khir Toyo ketika memimpin negeri itu sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Penyelewengan berkenaan membabitkan tindakan cuba mengelak cukai, menukar sistem perakaunan anak syarikat kerajaan negeri, dan pembelian apartmen di Mekah “untuk tujuan yang meragukan”.

Tan Sri Khalid berkata, Khir semasa menjadi Menteri Besar mempengerusikan tiga syarikat negeri dan mendapat imbuhan tiga buah kereta tetapi ini tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Salahguna kuasa kedua yang dilakukan Khir Toyo ialah menerima hadiah jam tangan bernilai RM 150,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad atau PNSB,” katanya.

Beliau berkata, apabila menyedari menerima habuan seperti itu adalah satu kesalahan, Khir cuba membayar balik secara memasukkan wang tunai RM150,000 ke dalam akaun syarikat.

Selain itu, kata Tan Sri Khalid, Khir Toyo juga membuat pembelian apatmen di Mekah untuk “kegunaan beberapa anak Selangor yang terpilih sahaja” dengan perbelanjaan lebih RM 9 juta.

Dan yang terbaru adalah pendedahan Adun Sekinchan ke atas kos banglo mewah Khir Toyo yang didakwa terlalu tinggi.

Kita ingin bertanya apa yang SPRM telah lakukan ke atas Khir Toyo? -Mohd Hanipa Maidin

Era Najib Altantuya : Chua Jui Meng Tarik Sokongan Masyarakat Cina Kepada PKR

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyifatkan tindakan Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai langkah pertama untuk menguatkan sokongan PKR dalam kalangan rakyat bukan Melayu.

Ketuanya, Fariz Musa berkata, beliau yakin tindakan bekas Menteri Kesihatan itu akan diikuti sebahagian besar yang lain khususnya kaum Cina.

Menurutnya, langkah itu dilihat proaktif seiring langkah diambil bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, 13 Jun lalu.

“Kita mengalu-alukan Chua Jui Meng ke dalam PKR. Apa yang membanggakan, beliau yang pernah berkhidmat dengan kerajaan dan salah seorang pemimpin parti besar itu mampu membawa harapan baru pada PKR.

“Kita juga menganggap Chua Jui Meng sebelum ini adalah sebagai ‘Anwar Ibrahim’ dalam MCA memandangkan agenda perjuangan parti itu mempunyai persamaan dengan yang dipegang beliau,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Jui Meng mengumumkan keluar daripada MCA dan menyertai PKR pada satu majlis forum anjuran PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway, di Selangor pada 18 Julai, walaupun menafikan perkara itu dua hari sebelumnya.

Dalam laporan Malaysiakini, Chua berkata, beliau melepaskan jawatan Ketua MCA Bahagian Bakri untuk menempuh perubahan dan menyertai PKR kerana sistem dua parti itu berdepan ancaman.

Menurut Fariz, beliau percaya, langkah yang diambil Jui Meng itu akan diikuti pemimpin lain terutama daripada BN.

Selain itu, beliau percaya ia memberi pengaruh baik kepada golongan muda menyertai PKR seterusnya menjadi ahli AMK bagi memperkasa perjuangan.

“Mereka adalah orang yang mempunyai pengaruh dan pengalaman dalam kepimpinan di samping mampu memimpin dengan baik. Pakej yang ada ini, kita yakin dapat membawa perubahan kepada PKR dan menarik minat orang muda,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, menyatakan tindakan Datuk Chua Jui Meng keluar dari MCA dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendatangkan banyak kesan terhadap senario politik di Johor.

Tetapi beiau mengakui Chua bagaimanapun dijangka menarik sejumlah sokongan kepada PKR terutama di Bakri, di mana beliau mempunyai penyokong selepas menjadi pemimpin MCA di situ selama beberapa tahun, kata Abdul Ghani.

Di dalam satu perkembangan berkaitan Datuk Chua telah menghadiri satu program ceramahnya yang pertama malam tadi di Sungai Besar bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua, yang tewas di dalam pertandingannya merebut jawatan Presiden MCA kepada Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lepas, menyertai PKR minggu lalu, menyatakan keyakinannya yang beliau telah “mengambil keputusan yang betul didalam sejarah pada saat kritikal dan menentukan laluan sejarah negara ini”.

Beliau yang lancar berbahasa Melaysia telah menjelaskan sebab-sebab beliau menyertai PKR.

Di penghujung ucapannya, bersama-sama dengan Anwar, beliau mengalu-alukan beberapa pemimpin akar-umbi MCA ke dalam PKR.

Era Najib Altantuya : Musa Hassan Dan Said Hamdan Yang Perlu Tutup Mulut

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi SPRM, Dato' Ahmad Said Hamdan diminta tutup mulut dari mengulas isu kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Saranan itu dibuat Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar hari ini yang mengulas kenyataan SPRM dan KPN semalam yang mahu orang ramai tutup mulut dari memberi komen berhubung kematian Teoh.

Mahfuz melahirkan rasa bimbang kerana kedua-dua individu itu adalah pihak yang sedang menyiasat (KPN) dan yang disiasat (SPRM).

Beliau mengingatkan bahawa satu ketika dahulu, KPN pernah dikaitkan dengan dakwaan rasuah, dan ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai SPRM telah membuat siasatan ke atas KPN.

Bagaimanapun, siasatan BPR ketika itu kononnya mendapati 'tiada kes' untuk mengaitkan KPN dengan dakwaan rasuah,ujar Mahfuz.

"Kita bimbang yang menyiasat SPRM dengan kes Teoh ini ialah KPN yang sama yang pernah disiasat SPRM dahulu, kita bimbang berlakunya bias,

"Bagi saya satu suruhanjaya diraja yang benar-benar bebas perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kes ini, dan bukannya polis kerana masing-masing sejarah kepentingan antaradua pihak," ujarnya.


Rakyat juga pelik mengapa KPN dan Ahmad Said mahu semua pihak menutup mulut dari memperkatakan kes ini,sedangkan beliaulah pihak yang patutnya menutup mulut kerana sedang disiasat.

Mengulas kenyataan kerajaan yang kononnya mahu menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca kematian Teoh,Mahfuz menggesa perkara itu diputuskan di Parlimen.

Beliau bimbang, kini tanggungjawab diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mencadangkan kepada Istana penubuhan suruhanjaya serta keanggotaan dan formatnya.

"Kita bimbang, PM juga adalah pihak yang bertanggungjawab kepada SPRM kerana suruhanjaya ini dibawahnya, tentunya akan berlaku bias dalam cadangan penubuhan ini.

"Ada baiknya jika penubuhan ini dibentangkan dalam sidang khas Parlimen yang dipanggil segera dalam masa terdekat, biarlah Parlimen bahas dan bentuk cadangan dari sudut terma, syarat dan keanggotannya," katanya.
Selain itu beliau melihat, kes Video Linggam yang disiasat suruhanjaya pada dua tahun lalu, akhirnya tiada keputusan yang dibuat.


Malah kes itu senyap sehingga kini, justeru atas sebab itu perlunya satu suruhanjaya yang lebih wibawa yang dilantik melalui pembentangan di Parlimen segera untuk menyiasat kes itu. -harakahdaily

PAS UMNO : Geragau Kering - Enak?

Selama 3 hari bermula 10-12 Julai 2009, aku berkesempatan mengiringi Ketua Jabatan ke lawatan penyelidikan ke Daerah Larut Matang dan Kerian, Perak. InsyaAllah bermula dengan entri pada hari ini, aku akan menyelitkan apa yang menarik di daerah tersebut. Mana yang baik ambillah ia dijadikan contoh. Manakala yang tidak dijadikan ingatan sepanjang hidup.

Aku pasti, bila ditanya tentang udang geragau. Pasti kalian rasa teruja dengan rasanya. Udang geragau ini apabila dimasak dengan nasi goreng memang menyelerakan. Itu belum lagi di tambah dalam masakan-masakan lain dan ada sesetengah mereka menjadikannya bahan utama utama untuk resipi sambal dan kuah bagi mee.

Aku terjumpa secara tidak sengaja industri ini ketika hari terakhir selepas tiba di jeti Kuala Gula, Kerian semalam. Aku lihat masyarakat di sini yang merupakan nelayan kebanyakannya, menjadikan udang geragau sebagai hasil pendapatan mereka. Aku agak terkejut dengan penemuan ini. Lihat sajalah udang yang dijemur itu hanya diletakkan di atas kanvas di atas tanah. Selalunya bagi mereka yang arif, penjemuran seperti ini dibuat di atas pangkin khas.



Udang geragau yang basah dijemur. Kemudian pekerja Indonesia membalik-balikkan udang itu supaya ia cepat kering. Apa yang tidak sepatutnya berlaku ialah, pakaian pekerja berkenaan.


Lihatlah mereka hanya berpakaian seluar pendek sahaja. Rambut dan peluh bila-bila masa sahaja boleh tercampur sekali dengan geragau tersebut.


Lihat juga kasut yang mereka pakai. Kasut itulah juga digunakan untuk memijak tanah di luar kanvas. Sedap bukan udang geragau yang kita makan?


Ini pula penemuan yang lebih mengejutkan! Tiba-tiba aku ternampak dua ekor anjing berkeliaran di kawasan jemuran tersebut.


Anjing-anjing tersebut dengan selamba melalui kawasan kanvas jemuran. Manakala pekerja industri itu hanya membiarkan anjing-anjing itu tanpa dihalau.


Lihatlah betapa enaknya geragau yang bakal tiba di rumah kita dikongsi bersama dengan anjing-anjing ini. Malah dapat dilihat anjing-anjing berkenaan memijak geragau yang sedang dijemur tersebut.


Aku semakin teruja melihat gelagat anjing-anjing tersebut dan terus menghalakan D60 untuk meneruskan kerja-kerja mengambil gambar. Dan…..


Gambar di atas menjadi finale kepada industri geragau yang aku lihat! Lihatlah kelibat sang anjing di kiri gambar yang sengaja kencing hanya beberapa sentimeter sahaja dari kanvas jemuran! Astagfirullah! Jadi kalian, masih mahu makan udang geragau lagi? Entah mengapa aku geleng kepala. Dalam keadaan kita gegak gempita dengan isu makanan halal di Malaysia, kita masih terlupa melihat perkara syubhah seperti ini. Aduhai! -bluehikari

Era Najib Altantuya : Tan Boon Hwa Fail Saman Terhadap SPRM

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah, 39, memfailkan saman tersebut bagi mendapatkan pengisytiharan dan ganti rugi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa ditahan tanpa sebarang kuasa sah untuk disoal siasat, minggu lalu.

Tan mendakwa beliau disoal siasat SPRM dari jam 8.45 malam, 17 Julai lalu, sebelum dilepaskan keesokan harinya pada jam 1.35 petang.

Saman pemula itu difailkan pada jam 12.30 tengah hari di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini, menerusi tetuan Karpal Singh & Co

Boon Wah, dalam saman pemula itu telah menamakan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan iaitu Ketua Suruhanjaya SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli selaku Penolong Penguasa SPRM Selangor dan SPRM masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.


Plaintif mendakwa sesiapa yang disiasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (akta 694) hanya boleh direkodkan pernyataan sebagai saksi dalam waktu pejabat iaitu mulai pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan bukannya selepas tempoh yang ditetapkan.

Plaintif sehubungan itu memohon deklarasi bahawa defendan telah bertindak bertentangan dengan proviso di bawah Seskyen 30(3)(a) akta tersebut.

Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi (termasuk teladan dan teruk) ekoran dakwaan penahanan salah, faedah atas jumlah penghakiman, ganti rugi, kos dan perintah lanjutan serta relif yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Pasca Manek Urai : Majoriti Tipis Bukan Makna Rakyat Tolak PAS

PAS berkata kemenangan tipis parti itu ke atas Barisan Nasional (BN) dengan majoriti hanya 65 undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai lepas, tidak bermakna sokongan rakyat terhadap parti itu semakin merosot.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata keputusan itu bersifat sementara dan tidak menggambarkan apa yang akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Bedah siasat keputusan pilihan raya kecil itu masih belum selesai tapi kita percaya kemenangan tipis di Manik Urai bukan gambaran awal kepada pencapaian kita pada pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima lawatan rombongan pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Nasr, Mansourah, Mesir di kediaman Menteri Besar, JKR 10, di sini Selasa.

Mohd Amar berkata pencapaian tersebut yang jauh merosot berbanding yang diperoleh PAS sebelumnya, hanya bersifat sementara disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran yang berlaku pada parti itu kebelakangan ini.

Pilihan raya kecil itu dimenangi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang memperoleh 5,348 undi manewaskan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, yang mendapat 5,283 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Manik Urai, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lepas akibat sakit jantung. -bernama

Era Najib Altantuya : Media Dilacuri Dengan Hebat

Dalam tempoh beberapa hari lalu, perkembangan berikut berlaku di stesen-stesen televisyen milik Media Prima dan akhbar-akhbar utama:

- TV3, NTV7 dan 8TV diarah untuk tidak melaporkan sebarang komen/pandangan pemimpin Pakatan Rakyat mengenai kematian Teoh Beng Hock dan SPRM. Hanya komen BN dan pihak rasmi dibenar untuk disiarkan.

- Penerbit Berita Inggeris NTV7 diarah untuk memalsukan hasil tinjauan orang ramai ketika siaran berita stesen itu pada 21 Julai. Soalan berbunyi "Adakah Pakatan Rakyat telah mengeksploitasi isu Beng Huat. 88 peratus responden menjawab TIDAK. Hanya 12 peratus yang menjawab YA.

Namun arahan "atas" memaksa penerbit untuk mengumumkan bahawa 56 peratus daripada responden kononnya menjawab YA.

- Penerbit berita Saluran 8 atau 8TV dibidas oleh pihak "atasan" kerana menyiarkan visual polis menggunakan kekerasan ke atas orang ramai yang berkumpul sebagai tanda simpati terhadap Beng Hock depan pejabat SPRM Selangor Jumaat lalu.

Selain itu RTM, TV3, NTV7, 8TV, RTM diarah untuk tidak menyiarkan sebarang berita mengenai istana Khir Toyo atau mengaitkan isu itu kepada pemborosan Barisan Nasional, mahupun keengganan SPRM menyiasat mantan Menteri Besar Selangor itu.

- Semua suratkhabar diarah untuk tidak membesar-besarkan persoalan mengenai peranan SPRM dalam kematian Beng Hock.

- Akhbar Cina khususnya diberi arahan untuk tidak "lebih-lebih' dalam menyiarkan laporan mengenai kematian Beng Hock dan taktik-taktik yang digunakan SPRM. Akibatnya Akhbar Sin Chew terpaksa menarik balik berita pada saat terakhir yang mengupas cubaan Berita Harian untuk menjadikan kontrovesi kematian Beng Hock sebagai isu perkauman.

Minggu lalu, seorang penolong pengarang NTV7 Florence Looi diturunkan pangkat setelah beliau meminta seorang tamu di rancangan yang dikendalikannya untuk menilai prestasi Najib selepas 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri. Tamu berkenaan memberikan markah C atau D kepada Najib, yang jelas tidak menggembirakan pejabat Perdana Menteri.

Semua perkembangan ini adalah lanjutan daripada arahan yang diterima oleh pengarang-pengarang media sebelum ini, sejurus selepas Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara dan berjanji untuk mendokong kebebasan media.

Arahan itu termasuk memastikan semua media memberi keutamaan untuk membuat liputan majlis-majlis Rosmah Mansor, isteri Najib. Arahan istimewa diberi kepada TV3, iaitu berita Rosmah harus disiarkan sebagai antara berita utama dan terawal dalam Buletin Utama 8 malam. "Must cover, Must use,(Mesti diberi liputan, mesti disiarkan)" itulah arahan yang diterima oleh Meja Berita TV3 bersabit majlis-majlis Rosmah.

Jelas, manipulasi berita malah fitnah yang mewarnai media arus perdana sekian lama berterusan, malah bertambah serius di bawah Najib. Beliau memberi kuasa kepada Datuk Ahmad Talib untuk menguruskan semua kandungan berita di stesen-stesen televisyen TV3, NTV7, TV8 dan akhbar NST dan Berita Harian.

Pelantikan itu disusuli dengan rombakan besar-besaran yang menyaksikan pengarang-pengarang kanan seperti Datuk Kamarulzaman Zainal diberhentikan. Begitu juga dengan Pengarang NTV7, Mohsin Abdullah. Pengarah Berita TV3, Wee Your Lee pula dipindahkan ke jabatan lain.

Ahmad Talib membawa masuk konco-konconya seperti Asraf Abdullah, Manja Ismail dan Ahiruddin Atan untuk memastikan berita yang disajikan kepada rakyat setiap malam di televisyen dan menerusi akhbar, adalah mengikut rentak pentadbiran Najib.

Semuanya tentu dibuat atas nama "kebebasan media" yang dicanang oleh Perdana Menteri 1Malaysia Najib. - TVA


Era Najib Altantuya : Tak Perlu Takut Tubuh Suruhanjaya Diraja

Kematian Teoh Beng Hock menjadi isu. Pihak Pakatan Rakyat mendesak agar kerajaan tubuh badan bebas untuk diadakan siasatan. Mana mungkin polis menyiasat polis. Kerana itu adalah perkara mustahil untuk melahirkan keputusan yang adil.

Dibimbangi berlaku ”bias”, ekoran itulah islam menghalang anak menjadi saksi untuk bapanya dalam sesuatu kes. Lihatlah bagaimana kes tuduhan yang dilakukan oleh Ali terhadap seorang yahudi atas tuduhan mencuri. Syuraih Al-Qadi tidak mahu menerima saksi yang dikemukakan oleh Ali, kerana saksi itu adalah Husain, anak lelaki Ali. Disebabkan tiada saksi lain yang dapat dikemukakan, menyebabkan kes itu diberikan kemenangannya kepada si Yahudi.

Ini undang-undang dunia yang telah ditetapkan oleh Islam. tujuannya adalah, supaya keputusan itu tidak berpihak kepada yang tidak sepatutnya.

Asas inilah, tindakan pihak Pakatan Rakyat mendesak agar ditubuhkan suruhanjaya bebas, dalam menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.

Menariknya dalam isu kes kematian Teoh beng Hock ini, didapati pihak UMNO/BN agak gelabah dengan desakan Pakatan Rakyat atas penubuhan badan bebas itu.

Jika merujuk kepada blog-blog UMNO/BN, mereka tidak habis-habis menyalahkah DAP dalam kes ini dengan dakwaan Teoh Beng Hock ada kaitan dengan samseng dan mafia.

Jika wujud pun kaitan Teoh Beng Hock dengan mafia atau samseng, apakah tindakan yang hendak dikenakan kepada Teoh Beng Hock itu sampai membawa kepada kematian. Bukankah tindakan itu sudah dikategorikan sebagai zalim??

Dalam Islam pun, jika seseorang yang dikenakan hukuman sebat seratus kali lantaran zina, hukuman itu hendaklah sebat seratus kali sahaja, tidak boleh dilebihkan. Jika dilebihkan juga, itu sudah mengandungi maksud zalim.

Justeru, tidak perlu UMNO/BN takut untuk menubuhkan badan Bebas dalam kes kematian Teoh Beng Hock. Malah, hendaklah mereka sokong terhadap desakan Pakatan Rakyat itu.

Sekian

p/s : mungkin ada beda antara RM 2,400 dengan RM 24 Juta?? Ataukah, kedua-duanya ada kaitan satu sama lain?? - Ustadz One-G

Era Najib Altantuya : Konspirasi Semakin Nyata - Mahkamah Benarkan Penangguhan Sementara Serahan Barangan Bukti Kes

Hari ini Pendakwa raya berjaya mendapat penangguhan sementara (interim) terhadap perintah mahkamah agar menyerahkan sebahagian besar dokumen bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebentar tadi selepas membenarkan pendengaran permohonan itu ditunda ke Jumaat ini bagi membolehkan pembelaan memfailkan afidavit jawapan.

Isnin lalu pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan.

Pada 16 Julai, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen berkenaan dalam masa tujuh hari.

Tempoh tujuh hari itu berakhir pada Khamis.

Mohamad Zabidin dalam keputusannya, bagaimanapun menolak permohonan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana sampel itu telah disita oleh ahli kimia dan pihak pembela boleh memeriksanya setelah ia dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Antara dokumen yang dibenarkan diberi kepada pihak pembelaan ialah kenyataan Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, pemilik kondominium berkenaan Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga saksi utama lain.

Dokumen lain ialah salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pos pengawal di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, dan di kawasan menunggu lif di Blok 11 kondominium itu dari 25 hingga 27 Jun, 2008.

Mahkamah menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan permohonan Anwar bagi mengetepikan tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya dan tarikh sebutan perbicaraan kes itu.


Era Najib Altantuya : Ku Li Tak Termakan Bodek Muhyiddin

Timbalan perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin semalam menyifatkan tindakan bekas Menteri Undang-undang yang kini anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zaid Ibrahim mengajak Tengku Razaleigh Hamzah menyertai pembangkang kononnya cuba merendah-rendahkan kewibawaan veteran Umno itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata ini kerana Tengku Razaleigh bukan sembarang orang sebaliknya merupakan seorang pejuang parti Umno.

"Beliau menjadi pengasas parti sejak dari dulu lagi, ini macam Zaid merendah-rendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh, walaupun beliau tidak berjawatan tetapi beliau masih aktif dan cergas (dalam Umno)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia hari ini.

Beliau menegaskan Tengku Razaleigh merupakan satu daripada sebab Umno mendapat kemenangan moral pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai di Kelantan pada 14 Julai lepas apabila calon Barisan Nasional (BN) kalah tipis dengan majoriti 65 undi kepada PAS.

"Jadi saya fikir, Zaid kena hormatlah, dia sudah masuk PKR tidak mengapa," katanya mengulas pelawaan Zaid supaya tokoh politik tersohor Umno itu yang juga anggota Parlimen Gua Musang menyertai parti pembangkang yang dibuat melalui blognya

Demikian kenyataan Muhyiddin yang kini terdesak untuk menyelesaikan terlalu banyak masalah yang menghantui negara setelah beliau "diuji" apabila PM Datuk Seri Najib Razak tidak berada di dalam negara minggu lalu.

Muhyiddin dilihat "lemah" dalam segala segi dan masih tidak berupaya untuk berperanan sebagai seorang TPM yang berketrampilan, tetapi lebih dilihat hanya sebagai seorang pemimpin UMNO totok yang terlalu bersifat rasisma dan tidak mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan masalah daripada hanya sekadar menyampaikan ucapan-ucapan bersifat retorik.

Mentalitinya hanya terpelosok dengan isu-isu remeh dan bersifat mentaliti "budak sekolah", maka dengan sebab itu agaknya beliau meminta hanya ingin menjadi seorang Menteri Pelajaran sebagai tambahan kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri di dalam barisan kabinet Najib.

Maka itulah sebabnya juga dalam pertemuan dengan ahli Umno Shah Alam beliau dilaporkan meminta ahli Umno perlu balik ke sekolah untuk belajar semula. Ini penting, katanya dalam usaha mengembalikan semula semangat perjuangan ahli-ahli Umno yang kelihatan semakin luntur. Bagi 'menghantar semula ahli Umno ke sekolah', buat permulaan ahli Majlis Tertinggi parti itu bakal menghadiri kelas khas di Janda Baik sedikit masa lagi. Sekadar itu dalam mentaliti Muhyiddin - budak sekolah - dan ahli-ahli UMNO semua disifatkan sebagai budak sekolah belaka dan dirinya sebagai cikgu disiplin.

Kembali kepada persoalan Ku Li, di dalam keadaan negara sedang menghadapi isu kematian Teoh Beng Hock di ibu pejabat SPRM tatkala Muhyiddin menyelar Pakatan Rakyat kononnya disifatkan sebagai cuba mengalihkan isu, Ku Li pula menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkannya telah menjadi "penjahat", dan tidak ada sebarang perkara yang perlu dilindungi di dalam usaha untuk mencari sebab kematian pembantu exco DAP itu.

Ku Li menyatakan rakyat Malaysia merasakan sudah tidak selamat apabila seornag saksi yang dipanggil didapati terlantar menjadi mayat pada keesokan harinya.

"Saya rasauah negara seperti ini. Kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Perlukah ada seornag saksi yang dipanggil kemudian berakhir di dalam keranda?" soalnya.

Polis kini sedang menyiasat kematian tersebut dan kabinet dijangka akan membincangkan syor dari pelbagai pihak bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat tragedi berkenaan.

Tengku Razaleigh sebaliknya beranggapan seruan untuk penubuhan Suruhanjaya Diraja tidak mempunyai makna apa-apa jika kerajaan tidak mematuhi cadangan yang dikemukakan (oleh suruhanjaya berkenaan nanti) sepertimana kerajaan telah mengabaikan cadangan-cadangan dari pelbagai suruhanjaya seperti yang berlaku di dalam suruhanjaya siasatan V.K. Lingam yang melibatkan kes hakim yang khianat di dalam menjalankan tugasnya dan juga suruhanjaya penambahbaikan perkhidmatan PDRM.

Malah Ku Li menyifatkan pengenepian cadangan oleh kerajaan terhadap syor-syor yang pernah dikemukakan oleh Suruhanja Diraja sebelum ini sebagai "menghina DYMM Yang Dipertuan Agong."

Ku Li juga membidas SPRM yang mengejar kesalahan-kesalahan kecil tetapi mengabaikan kes-kes besar, sambil menyatakan model SPRM yang ada kini perlu dinilai semula.

"Ini soal kematian. Rakyat ingin tahu. Saya juga ingin tahu. Bagaimana ia boleh berlaku? Seorang saksi, yang dipanggil untuk memberikan keterangan dan beliau bukan pula seorang suspek terhadap tuduhan wang sebanyak RM2,400. Ada yang dah memunggah berjuta ringgit, mereka terlepas dan tidak dipanggil pun untuk disiasat."


Era Najib Altantuya : Hishamuddin Terlibat Dalam Konspirasi Musa dan Gani Menzalimi Anwar

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dua aduan polis berhubung "kenyataan- kenyataan palsu" yang terdapat dalam afidavit pihak pendakwaan berhubung kes liwat terhadapnya dan juga tiada tindakan konkrit berhubung aduannya terhadap peguam negara dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Kenyataan tersebut berhubung siasatan terhadap Abdul Gani yang dituduh oleh mantan timbalan perdana menteri, dalam laporan polisnya, pernah terlibat memalsukan kes mata lebamnya.

Kedua-dua laporan polis itu akan dibuat awal petang ini.

Aduan pertama berhubung pendirian tiga hakim bebas yang menilai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Gani yang mendapati seorang daripada anggota panel itu berhujah bahawa terdapat kes jenayah terhadap peguam negara.

Bagaimanapun afidavit yang disediakan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Razak dan timbalan pendakwaraya Hanafiah Zakariah, pada 30 Jun lalu, menyatakan ketiga-tiga hakim tersebut mendapati tiada kes terhadap Abdul Gani.

"Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam afidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan dalam prosiding mahkamah nanti," kata Anwar.

"Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian daripada konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu."

Ahli parlimen Permatang Pauh mendakwa "Razak dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi" dengan berkata tiga hakim bersara tersebut Datuk Kadir Sulaiman, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Datuk Mohama Noor Abdullah "mendapati Abdul Gani tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah."

"Razak ... sewajarnya menyedari sekurang-kurangnya seorang ahli panel daripada tiga hakim tersebut mendapati Abdul Gani sememangnya melakukan kesalahan jenayah," kata Anwar dalam satu kenyataan berhubung aduan polis terbarunya.

"Hanafiah pula selaku timbalan pendakwaraya kanan semestinya sudah menyiasat dan meneliti fakta-fakta tersebut sebelum memasukkan afidavit Razak yang mengandungi kenyataan palsu ke dalam afidavit pendakwaan (untuk menjawab permohonan Anwar agar kes liwatnya diketepikan)."

Kes ini akan disebut pada 24 Julai, sementara esok mahkamah akan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perintah menyerahkan dokumen kes liwat kepada Anwar yang diperolehinya daripada hakim, 16 Julai lalu.

Aduan kedua Anwar dibuat berhubung dakwaan polis gagal menyiasat laporan olehnya pada 20 Februari lalu ke atas Abdul Gani dan Musa susulan peranan mereka yang dituduhnya memalsukan laporan polis berkaitan penahanannya pada 20 September 1998.

Peguam cara saya telah menghantar surat bertarikh 23 April lalu kepada ketua balai Damansara (Utama) untuk mengetahui status laporan, namun sehingga ke saat ini belum ada sebarang jawapan," kata Anwar lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein - dalam jawapannya kepada soalan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah di Dewan Rakyat 22 Jun lalu - berkata laporan yang dikemukakan Anwar telah dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut pada 21 Februari.

"Peguam saya kemudiannya menghantar surat bertarikh 26 Jun lalu kepada SPRM bertujuan untuk mengetahui kedudukan penyiasatan kerana kami belum mendapat sebarang maklum balas dari mereka selama ini," kata Anwar.

"Kami terkejut apabila menerima maklum balas bertulis bertarikh 10 Julai lalu yang menyatakan mereka telah menerima laporan tersebut, telah menelitinya dan mendapati kesalahan yang didakwa berlaku adalah luar dari bidang kuasa mereka.

"Mereka merujuk semula laporan tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya."

Mantan timbalan perdana menteri itu menambah, perkembangan ini bermakna polis dan pegawai Kementerian Dalam Negeri "menyebabkan Hishammuddin mengelirukan Parlimen" dengan mengemukakan jawapan pada 22 Jun kepada Sivarasa, juga ahli parlimen Subang.

"Polis yang menerima semula laporan tersebut daripada SPRM gagal untuk berbuat apa-apa. Kesimpulannya adalah jelas - wujud satu perancangan dalam polis untuk memastikan tidak ada tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh saya serta memastikan jenayah yang berlaku disembunyikan," kata Anwar dalam kenyataan yang sama.

"Oleh kerana laporan saya ini menyatakan Abdul Gani dan Musa terbabit memalsukan laporan, usaha menutup serta menyembunyikan dakwaan saya ini pastinya datang dari pihak atasan."

Akibat sikap kedua-dua agensi penguatkuasaan itu, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Musa "dilindungi secara politik demi menyembunyikan peranan yang dimainkan mereka merekayasa pertuduhan palsu terhadap saya pada 1998 dan sekarang," katanya lagi.



Era Najib Altantuya : Tindakan Perlu Diambil Ke Atas Zahid

Langkah pegawai khas Ahmad Zahid Hamidi menafikan Menteri Pertahanan itu menemui Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Perancis baru-baru ini mendedahkan Zahid sebagai pembohong yang cuba mencari modal politik murahan.

Zahid dalam laporan akhbar 19 Julai lalu dipetik oleh BERNAMA sebagai mendakwa beliau mengadakan pertemuan dengan Netanyahu semasa pertunjukan udara Paris di Perancis Jun lalu.

Malah beliau mendakwa Perdana Menteri Israel sendiri yang memohon untuk berjumpa dengan beliau walaupun Kuala Lumpur dan Tel Aviv tidak mempunyai hubungan diplomatik.

Zahid mendakwa kononnya beliau mengenakan beberapa syarat ke atas pemimpin Yahudi itu. Pada "pertemuan" berkenaan, Zahid mendakwa telah memberi kata dua kepada Netanyahu mengenai pembunuhan kejam rakyat Palestin dan keperluan Israel mengiktiraf kerajaan Palestin.

Namun sehari selepas laporan Bernama itu, pembantu khas Zahid, Abd Halim Majid mengeluarkan kenyataan menafikan pertemuan berkenaan, tanpa penjelasan.

Abd Halim hanya berkata Zahid bertemu dengan Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak pada majlis koktail di pertunjukan udara berkenaan.

Penafian itu menimbulkan spekulasi kerajaan Israel memandang serius pembohongan Zahid dan bercadang mengambil tindakan susulan.

Dalam pada itu, KEADILAN amat kecewa dengan tindakan Zahid mengadakan perjumpaan dengan Ehud Barak dan cuba mendakwa beliau bertemu dengan Netanyahu.

Ketua Penerangan KEADILAN Latheefa Koya berkataa Zahid sepatutnya tidak langsung mengadakan perjumpaan dengan mana-mana pemimpin Zionis yang terus mengganas di bumi Palestin dan Lubnan.

"Amat menyedihkan jika Zahid berfikiran bahawa pertemuan sedemikian akan mengubah pemikiran Israel yang menindas rakyat Palestin sedangkan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat tidak berjaya berbuat demikian,"

"Maka kita boleh simpulkan bahawa pertemuan itu lebih dari apa yang kita sangkakan sebagai hubungan diplomatik antara kedua-dua Menteri Pertahanan itu walaupun suatu ketika dulu Kerajaan Malaysia pernah mengecam tindakan menteri itu yang membuat serangan udara terhadap negara Islam," jelas Latheefa.

Latheefa seterusnya mempersoalkan apakah kepentingan dan agenda Zahid dalam masa yang singkat menjadi Menteri Pertahanan sehingga sanggup bertemu dengan Barak.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus menjelaskan perkara ini kepada rakyat.

Begitu juga juga Zahid yang dulunya menerajui hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. ".

"Kenapa beliau menjadi hipokrit setelah beralih kementerian." tanya Latheefa.

Sementara itu, PAS mengecam tindakan Menteri Pertahanan Malaysia yang berjumpa Ehud Barak.

Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit dengan Barak adalah satu pertemuan yang mengguris perasaan umat Islam di Palestin dan saudara seagama di Asia Barat.

Persoalannya, adakah kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan haram ini?

Zahid mesti disiasat kenapa beliau berani berbuat demikian. Paling merbahaya, beliau adalah Menteri Pertahanan yang sanggup berjumpa dengan manusia yang saban hari menyembelih umat Islam di Palestin.

Siapakah Zahid yang hendak berlagak dan tunjuk hero kepada dunia untuk berbincang dengan Israel?

Seperti sedia maklum bahawa pemimpin Israel bukan bangsa yang boleh berbincang.

Israel hanya faham dengan bahasa jihad sahaja. Buktinya, berapa banyak perundingan mengenai masalah Palestin terutamanya, telah gagal kerana dikhianati oleh Israel.

Tentu kita masih ingat, Dr Mahathir Mohamad, sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulupun, menafikan pertemuan dengan pemimpin Israel kerana takut umat Islam marah.

Sudah pasti pertemuan Zahid dengan Barak ini mendapat restu daripada Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib Razak, ini satu lagi hadiah 1Malaysia pada rakyat.

Era Najib Altantuya : Pendakwaraya Kemuka Akuan Palsu Ke Mahkamah - Anwar

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memfailkan laporan polis terhadap Timbalan Pendakwaraya Hanafiah Zakariah dan Pengarah Pendakwaaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Razak Musa kerana memalsukan afidavt dalam kes Liwat II.

Razak dituduh berbuat demikian selepas mendapati afidavit beliau bagi mengagalkan permohonan Anwar supaya mahkamah menggugurkan pertuduhan liwat mempunyai maklumat palsu.

Hanafiah selaku pendakwaraya yang meneliti afidavit Razak pula dituduh terbabit sama kerana meluluskan akuan bersumpah palsu itu.

Anwar dalam permohonannya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta supaya pertuduhan digugurkan kerana ia bermotifkan politik yang dirancang oleh Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan.

Razak dalam akuannya berkata kesemua panel tiga anggota yang ditubuhkan SPRM bagi menyiasat campurtangan Gani dan Musa dalam kes Anwar Ibrahim mendapati dua individu terbabit adalah tidak bersalah.

Namun akuan bersumpah ini palsu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz di Dewan Rakyat berkata salah-seorang dari panel mendapati adanya unsur-unsur campurtangan dari Gani dan Musa.

"Pihak pendakwaraya dengan jelas telah memanipulasikan bukti dalam kes ini, yang bermakna penipuan tidak terhenti setakat 1998 hingga 2009," tegas Anwar ketika ditemui media di Balai Polis Damansara. - TVA


1. Hari ini saya telahpun membuat dua laporan berasingan di Balai Polis Damansara

2. Laporan polis pertama adalah berkaitan prosiding perbicaraan saya di mana saya telah pun menfailkan permohonan mengenepikan pertuduhan yang dikenakan ke atas saya kerana ianya merupakan satu konspirasi politik berniat jahat.

2.1 Affidavit yang saya kemukakan untuk menyokong permohonan menolak pertuduhan terhadap saya, menjelaskan dari perenggan 53 sehingga 63 bagaimana Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan terlibat di dalam membuat laporan palsu oleh ACP Koh Hong Sun berhubung penahanan saya di bawah ISA pada 20/21 September 1998. Gani dan Musa juga terlibat memalsukan bukti di dalam siasatan serangan ke atas saya oleh Tan Sri Rahim Noor. Ini antara contoh peranan kedua-dua mereka sehingga kini yang terlibat di dalam konspirasi politik dan memalsukan keterangan/bukti terhadap saya.

2.2 Dato Razak bin Musa ( Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM ) dan Hanafiah bin Hj Zakariah ( Timbalan Pendakwa Raya yang berada di dalam pasukan pendakwaan)telah menfailkan affidavit bertarikh 30 Jun 2009.

2.3 Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam affidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan di dalam prosiding mahkamah nanti. Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian dari konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu.

2.4 Razak dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi, walaupun sudah mengangkat sumpah, dengan berkata panel yang dianggotai oleh tiga hakim bersara ( Datuk Kadir bin Sulaiman, Datuk Wira Mohd Noor bin Ahmad dan Datuk Mohama Noor bin Abdullah) telah mendapati Gani tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah. Razak selaku ketua jabatan perundangan dan pendakwaan SPRM sewajarnya menyedari sekurang-kurangnya seorang ahli panel dari tiga hakim tersebut mendapati Gani sememangnya melakukan kesalahan jenayah.

2.5 Hanafiah pula selaku Timbalan Pendakwaraya Kanan semestinya sudah menyiasat dan meneliti fakta-fakta tersebut sebelum memasukkan affidavit Razak yang mengandungi kenyataan palsu ke dalam affidavit pendakwaan.

3. Laporan polis kedua yang saya kemukakan berhubung kegagalan pihak polis untuk menyiasat laporan yang dibuat oleh saya pada 20 Febuari 2009 ke atas Gani dan Musa berkaitan peranan mereka memalsukan laporan polis berkaitan penahanan saya pada 20 September 1998 yang difailkan oleh ACP Koh Hong Sun.

3.1 Peguam cara saya telah menghantar surat bertarikh 23 April 2009 kepada OCS Balai Damansara untuk mengetahui status laporan, namun sehingga ke saat ini belum ada sebarang jawapan.

3.2 Datuk Hishamuddin Hussein di dalam jawapan yang bertarikh 22hb terhadap soalan yang dikemukakan oleh YB Sivarasa di dalam Parlimen berkata laporan yang dikemukakan saya telah pun dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut pada keesokan harinya(21 Febuari 2009)

3.3 Peguam saya kemudiannya menghantar surat bertarikh 26 Jun 2009 kepada SPRM bertujuan untuk mengetahui kedudukan penyiasatan kerana kami belum mendapat sebarang maklum balas dari mereka selama ini.

3.4 Kami terkejut apabila menerima maklumbalas bertulis bertarikh 10 Julai 2009 yang menyatakan mereka telah menerima laporan tersebut, telah menelitinya dan mendapati kesalahan yang didakwa berlaku adalah luar dari bidangkuasa mereka. Mereka merujuk semula laporan tersebut kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya. Adalah munasabah untuk menganggap SPRM selepas membuat kesimpulan sedemikian merujuk kepada PDRM sesegera mungkin.

3.5 Pertamanya, ini bermakna PDRM dan pegawai Kementerian Dalam Negeri telah menyebabkan Menteri Datuk Hishamuddin mengelirukan Parlimen dengan mengemukakan jawapan pada 22 Jun 2009 bahawa laporan tersebut sekian lama ada di SPRM sejak dari 21 Febuari 2009 untuk tindakan lanjut

3.6 Kedua, pihak polis yang menerima semula laporan tersebut dari SPRM(yang menerimanya pada penghujung Febuari 2009)gagal untuk berbuat apa-apa. Kesimpulannya adalah jelas wujud satu perancangan di dalam PDRM untuk memastikan tidak ada tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh saya serta memastikan jenayah yang berlaku di sembunyikan. Oleh kerana laporan saya ini menyatakan Gani dan Musa Hassan(Ketua Polis Negara)terbabit memalsukan laporan, usaha menutup serta menyembunyikan dakwaan saya ini pastinya datang dari pihak atasan.

3.7 Oleh kerana SPRM menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyiasat dan pihak polis hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan, ianya jelas kepada saya bahawa Gani dan Musa dilindungi secara politik demi menyembunyikan peranan yang dimainkan mereka di dalam merekayasa pertuduhan palsu terhadap saya pada tahun 1998 dan sekarang.

ANWAR IBRAHIM



Era Najib Altantuya : Manoharan Beri Keterangan Memprotes Tindakan Polis

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M.Manoharan hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kematian Setiausaha Politik Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu.

Manoharan yang tiba di pejabat Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah kira-kira jam 3.20 petang tadi ditemani isterinya, S Pushpaneela.

Beliau kemudian memberi keterangan kepada ASP Mohd Amirul Abdullah dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam yang tiba pada jam 3.45 petang, secara empat mata di bilik perbincangan pejabat Ean, selama tiga jam.

Manoharan adalah antara dua orang yang terakhir menghubungi Teoh sebelum Teoh disoal siasat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Teoh ditemui mati di bumbung tingkat lima, dipercayai jatuh dari pejabat SPRM, kira-kira jam 1.30 petang keesokan harinya.

Sementara Ean Yong Hian Wah pula akan memberi keterangan kepada pihak polis, juga di pejabatnya jam 3 petang, esok.

Selepas memberi keterangan kepada pihak polis, Manoharan yang ditemui pemberita berkata, selain menubuhkan Suruhanjaya Diraja, kes ini sepatutnya disiasat mengikut Akta 302 Kanun Keseksaan, berbanding Akta 112 Kanun Acara Jenayah.

Beliau juga tidak berpuashati siasatan dijalankan ke atasnya kerana Teoh adalah anak guamnya dan sudah pasti beliau menghubungi Teoh sebelum Teoh ke pejabat SPRM.


“Saya memberi keterangan memprotes tindakan pihak Polis kerana tidak berpuas hati dengan penyiasatan mereka dan mahukan Suruhanjaya Di Raja menyiasat Teoh dan menukar akta 112 Kanun Acara Jenayah kepada akta 302 Kanun Keseksaan kerana ini bukan kematian secara mengejut,” katanya.

Malam tadi, polis mendapatkan keterangan daripada ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa yang membuat laporan polis berhubung siasatan SPRM ke atas beliau, sebelum Teoh ditemui mati.


Era Najib Altantuya : Hadiah RM10,000 Cari Pembunuh Teoh

Seorang individu berpangkat 'Datuk' menawarkan RM10,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan pembunuh Teoh Beng Hock.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata rakyat amat tidak berpuas hati dengan kematian Teoh yang berada dibawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehinggakan seorang datuk yang tidak mahu identitinya didedahkan sanggup membuat tawaran sebegitu rupa.

"Ramai orang mahu tahu apakah punca dan situasi yang membawa kepada kematian Teoh, dan tawaran ini adalah galakan kepada mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil ke hadapan dan membantu siasatan polis," kata Nga.


Era Najib Altantuya : Mangsa Keganasan Polis Serah Memo Kepada SUHAKAM

Adun Rawang Gan Pei Nei dan tiga pembantu khas kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat yang dikasari polis dalam perhimpunan aman Jumaat lalu memfailkan aduan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Mereka turut menyerahkan memorandum mengutuk keganasan polis dalam meleraikan perhimpunan tersebut yang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab keatas kematian Teoh Beng Hock.

Dalam pertembungan antara aparatus kerajaan dan orang awam Jumaat lalu, Gan Pei Nei cedera di kepala manakala pembantu kepada Adun Bukit Lanjan, Loo Chuan Boon, yang diseret sejauh 30 meter oleh polis. Manakala pembantu kepada Adun Klang, Sarah Vanitha Devaraj dan Ng Yap Hwa turut dikasari polis. Turut ditahan adalah Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan Exco Selangor Xavier Jeyakumar.

Memorandum kepada Suhakam itu menuntut supaya satu inkuiri dijalankan keatas insiden keganasan polis serta pencabulan pihak berkuasa keatas Fasal 10 Perlembagaan yang membenarkan perhimpunan secara aman.

Menerima memorandum tersebut bagi pihak Suhakam adalah Persuruhjaya Siva Subramaniam.

Dalam aduan kepada Suhakam, memorandum berkata arahan meleraikan perhimpunan adalah dari Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar.

"Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar memberi arahan supaya perhimpunan dileraikan. Kira-kira 20 anggota polis berpakaian biasa, berseragam dan unti anti-rusuhan menyerbu kearah orang awam dan menahan beberapa orang termasuk wakil rakyat dan pembantu-pembantu mereka," menurut memorandum.

"Gan ditarik keluar secara kasar oleh lelaki-lelaki yang tidak berseragam. Ketika orang-ramai cuba menyelamatkan beliau, polis berpakaian preman tekan Gan ke lantai lalu kepala Gan terhantuk. Polis lelaki menggunakan kekasaran melampau terhadap seorang perempuan, yang juga satu kesalahan seksual terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri," tambah memorandum itu lagi.

Rakaman kejadian dan gambar kekasaran polis ditunjukkan kepada Siva Subramaniam sebagai bukti keganasan hari itu. Pengadu juga menuntut Suhakam supaya memantau mana-mana perhimpunan aman dan menjadi perantara antara orang awam dan polis sekiranya kerajaan terus mencabul hak untuk berhimpun secara aman.

"Loo dipukul berulang-kali oleh polis lalu terjatuh ke lantai. Seorang anggota memijak pergelangan tangan, dikasari dan digari. Loo diheret sejauh 30 meter sehingga beliau jatuh pengsan," menurut memorandum itu.

Siva Subramaniam mendengar dengan teliti butiran kejadian dari pengadu sepanjang sesi aduan. Sebelum sesi berakhir, Siva memberi jaminan pihaknya akan menyoal pihak polis berkenaan kekasaran ini.

"Suhakam memandang serius kejadian ini, dan kita berulang-kali menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman harus dihormati dan semua undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun harus dimansuhkan segera," tegas Siva menjawab aduan mereka.

"Kami akan meminta butiran lanjut dari pihak berkuasa. Saya memberi jaminan bahawa hak warganegara yang termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan akan dikuatkuasakan," tegas Siva.

Salinan memorandum dihantarkan juga kepada Jawantakuasa Penyelaras Antarabangsa Keatas Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (ICC), Amnesty International Malaysia (AI Malaysia) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).