22 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Musa Hassan Dan Said Hamdan Yang Perlu Tutup Mulut

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi SPRM, Dato' Ahmad Said Hamdan diminta tutup mulut dari mengulas isu kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Saranan itu dibuat Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar hari ini yang mengulas kenyataan SPRM dan KPN semalam yang mahu orang ramai tutup mulut dari memberi komen berhubung kematian Teoh.

Mahfuz melahirkan rasa bimbang kerana kedua-dua individu itu adalah pihak yang sedang menyiasat (KPN) dan yang disiasat (SPRM).

Beliau mengingatkan bahawa satu ketika dahulu, KPN pernah dikaitkan dengan dakwaan rasuah, dan ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai SPRM telah membuat siasatan ke atas KPN.

Bagaimanapun, siasatan BPR ketika itu kononnya mendapati 'tiada kes' untuk mengaitkan KPN dengan dakwaan rasuah,ujar Mahfuz.

"Kita bimbang yang menyiasat SPRM dengan kes Teoh ini ialah KPN yang sama yang pernah disiasat SPRM dahulu, kita bimbang berlakunya bias,

"Bagi saya satu suruhanjaya diraja yang benar-benar bebas perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat kes ini, dan bukannya polis kerana masing-masing sejarah kepentingan antaradua pihak," ujarnya.


Rakyat juga pelik mengapa KPN dan Ahmad Said mahu semua pihak menutup mulut dari memperkatakan kes ini,sedangkan beliaulah pihak yang patutnya menutup mulut kerana sedang disiasat.

Mengulas kenyataan kerajaan yang kononnya mahu menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca kematian Teoh,Mahfuz menggesa perkara itu diputuskan di Parlimen.

Beliau bimbang, kini tanggungjawab diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mencadangkan kepada Istana penubuhan suruhanjaya serta keanggotaan dan formatnya.

"Kita bimbang, PM juga adalah pihak yang bertanggungjawab kepada SPRM kerana suruhanjaya ini dibawahnya, tentunya akan berlaku bias dalam cadangan penubuhan ini.

"Ada baiknya jika penubuhan ini dibentangkan dalam sidang khas Parlimen yang dipanggil segera dalam masa terdekat, biarlah Parlimen bahas dan bentuk cadangan dari sudut terma, syarat dan keanggotannya," katanya.
Selain itu beliau melihat, kes Video Linggam yang disiasat suruhanjaya pada dua tahun lalu, akhirnya tiada keputusan yang dibuat.


Malah kes itu senyap sehingga kini, justeru atas sebab itu perlunya satu suruhanjaya yang lebih wibawa yang dilantik melalui pembentangan di Parlimen segera untuk menyiasat kes itu. -harakahdaily

1 ulasan:

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.