Sementara itu empat orang ahli keluarga mangsa termasuk tunang mendiang Teoh yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan di ibu pejabat polis Kajang pukul 3 petang tadi mendakwa soalan yang ditanya tidak relevan dan hanya membuang masa.
Sementara itu Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan Pakatan Rakyat akan memilih sekumpulan peguamnya untuk mengikuti persidangan (perjumpaan) Suruhanjaya Diraja tersebut sebagai peguam kerajaan negeri.
Sebelum itu mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini telah akur kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.
Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:
Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.
Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.
Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.
Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.
Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Dalam sidang media yang dinanti-nantikanitu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.
"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.
Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.
Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.
Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".
Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.
Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.
"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.
Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan berlakunya kematian Teoh.
Sedih memikirkan betapa maruah PDRM dan SPRM semakin menjunam. Kepada agensi mana lagi yang kita boleh percayai? Sekarang dah cam ni. zaman anak cucu kita nanti???
BalasPadam