30 Apr 2009

Hadapi Tekanan Kerajaan Haram UMNO BN Perak, Ketua Kampung Berhimpun

Ketua-ketua Kampung dan JKKK seluruh Perak berhimpun di Dewan Majlis Bandaraya Ipoh, Taman Meru pagi tadi. Perhimpunan tersebut diadakan bagi menyatakan sikap dan pendirian Ketua-ketua Kampung ekoran daripada notis penamatan khidmat mereka sebagai Ketua Kampung dan pembubaran JKKK seluruh Perak yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah masing-masing.

Perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh YAB Dato' Seri Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin, YB Hj Zainuddin Yusuf, YB Nga Khor Ming, ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dan pimpinan PR Negeri Perak.

Dalam perhimpunan tersebut YAB Dato' Seri Hj Nizar telah menyampaikan ucapan dan amanat penting kepada seluruh Ketua Kampung dan JKKK. Dalam ucapannya beliau banya menyetuh kronologi krisis negeri Perak dan perkembangan terkini politik negeri Perak. Beliau juga mengajak seluruh Ketua Kg dan JKKK berdiri teguh di belakang Pakatan Rakyat bagi menuntut supaya DUN dibubarkan.

Manakala YB Zainuddin dan YB Nga Khor Ming yang turut menyampaikan ucapan menegaskan bahawa notis penamatan khidmat Ketua-ketua Kampung yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah adalah tidak sah kerana bercanggah dengan peraturan-peraturan perlantikan Ketua-ketua kampung yang diguna pakai oleh kerajaan PR.

Mereka dipilih melalui pilihanraya dan setelah dipilih dan diberi watikah perlantikan oleh Kerajaan Negeri, mereka akan berkhidmat selama dua tahun. Ketua-ketua Kampung yang telah dipilih dan diberi watikah tidak boleh ditamatkan perkhidmatan mereka semata-mata bertukar kerajaan.

Turut berucap dalam perhimpunan tersebut ialah Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak, Tn Hj Osman, Pengerusi Perhubungan PKR negeri Perak dan En. Ridzuan Asid, Ketua Kampung Sg. Ati juga turut berucap mewakili seluruh Ketua-ketua Kampung negeri Perak.

Perhimpunan Ketua-ketua Kampung telah menerima 6 ketetapan dan resolosi untuk dilaksanakan dan bersetuju melantik Jawatankuasa Bertindak bagi melaksnakan 6 resolusi tersebut.

RESOLUSI PERHIMPUNAN KETUA-KETUA KAMPUNG NEGERI PERAK

05 JAMADIL AWAL 1430/30 APRIL 2009

1. BERSETUJU MEMBENTUK JAWATANKUASA BERTINDAK KETUA-KETUA KAMPUNG SELURUH PERAK BAGI MENGGERAKKAN KEMPEN MENENTANG PEMECATAN KETUA KAMPUNG OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL NEGERI PERAK.

2. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT AKAN MENYERAHKAN MEMORUNDUM KEPADA KERAJAAN BN MENUNTUT MENGEKALKAN KETUA-KETUA KAMPUNG DAN MENGEKALKAN JKKK SEHINGGA TEMPOH PERKHIDMATAN TAMAT.

3. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT AKAN MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP PEMECATAN KETUA-KETUA KAMPUNG & PEMBUBARAN JKKK.

4. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT SELURUH KETUA-KETUA KAMPUNG DAN JKKK MENERUSKAN PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT WALAUPUN TIDAK DIIKTIRAF OLEH KERAJAAN BN.

5. BERSETUJU DAN BERSEPAKAT UNTUK MEMBUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KERAJAAN BN YANG MENAMATKAN PERKHIDMATAN KETUA-KETUA KAMPUNG DAN MEMBUBARKAN JKKK SEBELUM TEMPOH PERKHIDAMATAN TAMAT.

6. BERSEPAKAT MENUNTUT SUPAYA KEMELUT DAN KRISIS POLITIK NEGERI PERAK DISELESAIKAN MELALUI PEMBUBARAN DUN BAGI MEMBOLEHKAN RAKYAT MEMILIH SEMULA KERAJAAN BARU NEGERI PERAK.

- misbahulmunir

UMNO BN Semakin Kecut: Pilihanraya Kecil Ke 7 Bakal Menjelma

Belum pun reda isu Penanti, kemungkinan negara perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil yang ketujuh yang boleh menyebabkan UMNO dan BN menggigil sampai ke gigi.

Kemungkinan ini mula 'terbayang' ekoran desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan di Kamunting akan melepaskan kedudukannya.

Bagaimanapun sama ada beliau, antara pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya akan diketahui Sabtu ini.

"Saya tidak mengesahkan apa-apa, tunggu sehingga Sabtu, saya menemui suami saya di Kamunting Sabtu ini," kata isterinya, S. Puspaleela demikian dilaporkan oleh akhbar MSTAR.

Puspaleela ditanya mengenai laporan media bahawa suaminya sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN.

"Saya tidak tahu... tunggu sehingga saya menemui suami saya, tunggu saya di Kamunting Sabtu ini," katanya.

Manoharan antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Satu sumber yang rapat dengan peguam tersebut berkata, beliau semakin kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat kepada para pengundinya di DUN tersebut.

"Beliau juga menyedari bebanan yang ditanggung oleh isterinya yang terpaksa menjadi wakilnya semasa ketiadaannya sekarang," tambah sumber itu.

"Isterinya terpaksa membahagikan masanya antara menjaga empat anak-anak mereka, menjaga firma guamannya dan kawasan pilihanrayanya," kata sumber itu lagi.

Manoharan bertanding atas tiket DAP di DUN tersebut dalam pilihanraya umum tahun lalu, dan berjaya menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Dengan majoriti sedemikian terasa amat mustahil untuk BN merampasnya dari tangan Pakatan Rakyat, demikian menurut beberapa penganalisis politik tempatan.

Walaubagaimana pun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan berita peletakan jawatan M. Manoharan masih sebagai satu spekulasi.


Kabinet Najib Altantuya : Isu Doktor Ponteng Kerja Di Hospital KL

Isu doktor ponteng sebenarnya bukan satu perkaara baru.

Sekalipun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan kenyataan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan bahawa terdapat doktor Hospital Kuala Lumpur 'curi tulang' waktu bekerja adalah tidak benar, ia hanya satu usaha untuk menutup kelemahan doktor-doktor dan para pegawainya di Kementerian Kesihatan.

Terlalu banyak kes, bukan sahaja di Hospital Kuala Lumpur seperti yang dikesani oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, tetapi ianya berlaku hampir di mana-mana hospital kerajaan.

Sikap Menteri Kesihatan yang cuba menutup kelemahan kementeriannya dalam isu "doktor ponteng" ini adalah sama dengan cara bagaimana menteri kesihatan terdahulu, Dr Chua Soi Lek melakukan penutupan kementerian yang sama terhadap isu kulat di bangunan hospital-hospital kerajaan satu ketika dahulu.

Apakah itu satu budaya menteri di dalam Kementerian Kesihatan - iaitu tidak pernah mahu mengakui kelemahan kementerian dan kemudian melakukan "cover-up" seperti "cover-up" Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican di dalam isu Kugan?

Berikut ialah berita awal mengenai kejadian tersebut seperti dilapor oleh MSTAR:

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan.

"Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagi pun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan, yang jelas kelihatan kesal, kepada Bernama.

Saravanan berkata beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.


Liow mendakwa siasatan mendapati doktor itu baru selesai memeriksa pesakit terakhir dan sedang menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya.

Persoalan kini, walaupun doktor itu sedang menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya, atas alasan apa yang membenarkan doktor itu bersenang lenang membaca akhbar di dalam waktu bekerja? Doktor yang ditangkap boleh saja memberikan seribu satu alasan untuk menutup kesalahannya kononnya cuma membelek akhbar yang ditinggalkan pesakit sebelumnya. Apa hak doktor itu berbuat demikian yang sepatutnya doktor itu mencari jalan mengembalikan akhbar tersebut kepada pemiliknya.

Maka jelas dakwaan Saravanan adalah benar dan Kementerian Kesihatan perlu memperbaiki etika para pekerjanya.

Tentang bilangan yang didakwa Saravanan seramai 20 orang pesakit sedang menunggu rawatan tetapi dinafikan Liow yang menyatakan hanya tiga daripadanya sedang menunggu dirawat manakala lima lagi pesakit asma sedang mendapatkan rawatan, manakala selebihnya adalah waris dan pengiring yang berada di tempat menunggu, Saravanan tidak boleh dipersalahkan kerana siapa yang dapat membezakan diantara pesakit dengan warisnya?

Di mana-mana hospital kita akan dapati aduan mengenai kelewatan mengeriama rawatan dari doktor sering berlaku, kesesakan bermula seawal kaunter pengambil nombor angka giliran dibuka, dan apa langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk memperbaiki keadaan ini? Itu yang sedang dinantikan oleh rakyat. Bukan menutup kesalahan-kesalahan para pegawainya untuk memperlihatkan kononnya Kementerian Kesihatan sudah cukup professional sehingga tiada masalah lagi di dalam hal "mendahulukan rakyat" seperti slogan Kerajaan BN yang diwarwarkan.

Kali ini, Kementerian Kesihatan akan menjadi perhatian rakyat yang akan memantau siapakah yang benar dan siapa yang salah, Liow atau Sarvanan.


Gagasan 1Malaysia Najib Altantuya Hanyalah Satu Kosmetik

Laungan di atas cukup melunakkan setelah Pakatan Rakyat difitnah sebagai alat Cina!

Setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan satu Malaysia.

Alahai mirip “Malaysian Malaysia” yang dituntut DAP sekian lama tetapi diserang Umno sebagai perkauman Cina. Akhirnya pimpinan Umno sekonyong-konyong melutut kapada tuntutan perkauman.

Namun jika ditinjau mendalam, apa yang diamalkan adalah sekadar kosmetik, atau botox yang menggantikan bedak sejuk dan celak. Kelonggaran dan liberalisasi adalah untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.

Ini berbeda dengan gagasan kita merangka Agenda Ekonomi Malaysia yang menjurus kapada kepentingan rakyat terbanyak, termasuk kaum majoriti Melayu-Bumiputera terpinggir dan miskin atau Cina dan India lainnya.

Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani.

Demikian slogan ampuh. Bagaimana pula dengan pengamalan “Satu Malaysia”? Lihat saja mesej perkauman dan asabiyah sempit dalam kursus BTN!

Di media umum dibicara perpaduan satu Malaysia. Tetapi dalam kursus diracuni fahaman Melayu terjerat akibat gelojoh Cina dan muslihat serta khianat. Bukankah munafik namanya?

Lagi pun tujuan mereka adalah untuk menyalahkan kalangan lain dan bukannya penjenayah dan perasuah besar yang menyebabkan Melayu hidup merempat setelah diperintah Umno selama satengah abad.

Disebalik tabir, dalam gelap dan berselindung mereka menyerang tetapi bacul manakala berdepan! -anwar ibrahim


PAS UMNO : Isu Kerajaan Perpaduan Dibawa Ke Muktamar

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mencadangkan isu kerajaan perpaduan yang disaran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibincangkan dalam muktamar parti Jun ini untuk dinilai semula.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, berikutan terlalu banyak salah faham yang timbul ekoran cadangan itu, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menerusi muktamar.

"Seeloknya kita bincang perkara ini dalam muktamar. Sama ada hendak bincang dalam muktamar terdekat atau mahu diadakan muktamar khas, itu terpulang kepada ahli parti," katanya yang bersedia untuk dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden pada muktamar itu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu, Abdul Hadi menyarankan supaya diadakan perbincangan dengan UMNO ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan bertujuan untuk membela kepentingan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun timbul polemik apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Beberapa hari lalu, anak Nik Abdul Aziz, Nik Mohd Abduh yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan dalam laman blognya mengatakan, penentangan ayahnya terhadap cadangan itu adalah disebabkan oleh maklumat salah diberikan oleh pembantu-pembantu Menteri Besar Kelantan itu yang menjurus kepada kepentingan mereka sendiri.

Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataan baru-baru ini, meletakkan syarat supaya jawatan-jawatan strategik dalam Kerajaan Persekutuan seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran diberikan kepada pemimpin parti itu yang menurut beliau lebih memudahkan pihaknya melaksanakan dasar-dasar Islam.

Azizan bagaimanapun berkata: "Ramai yang salah faham tentang isu ini. Mereka anggap Pas dan UMNO akan bersatu dalam satu parti dan membentuk kerajaan.

”Itu bukan keraaan perpaduan yang dimaksudkan (oleh Abdul Hadi).”

Katanya, apa yang diamalkan dalam parti Pas ialah apa jua isu akan dibincangkan dalam muktamar hanya akan diterima pakai setelah semua ahli menyatakan persetujuan dengan cadangan yang diusulkan.

“Selepas semua setuju, baru boleh laksanakan. Bukan hanya berpandukan kepada kenyataan Presiden semata-mata atau kenyataan yang keluar seseorang pemimpin tertentu sahaja,” katanya.

Penanti : Mansor akan dilantik Timbalan Ketua Menteri jika menang

Dr. Mansor Othman, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I jika menang kerusi itu pada 31 Mei ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata mesyuarat Exco Pulau Pinang semalam bersetuju dengan cadangannya itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Warisan Dunia Georgetown, di sini, pagi ini.

Pemilihan Dr Mansor Othman sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumum penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat reaksi positif daripada pengundi di kawasan berkenaan.

Ishak Endut berkata, calon PKR yang bakal diletakkan itu adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang politik.

Dia berharap pemimpin yang akan dipilih nanti tidak kira dari apa parti sekali pun perlu melakukan perubahan dalam membangunkan kawasan Penanti.

Mohd Rodzhan Abdullah, 45, berkata, sokongan yang tidak berbelah bahagi menunjukkan rakyat tetap bersama PKR.

Dia menyifatkan pemilihan Mansor sebagai calon di kawasan berkenaan adalah tepat kerana beliau seorang yang berdisiplin, setia selain berpengalaman dalam bidang politik.

“Saya mewakili penduduk di sini berharap wakil rakyat yang dipilih nanti akan lebih kerap turun padang bagi meninjau serta cuba mengatasi masalah rakyat dengan lebih efisien dan sistematik dari segi kebajikan dan keselamatan rakyat.

“Harapan kami semoga beliau boleh bantu golongan miskin, sederhana selain peniaga kecil yang masih ramai di sini,” katanya.

Abdul Wahid Mohd Fauzi, 43, menyokong calon yang akan bertanding nanti kerana Mansor merupakan seorang pemimpin lama dalam PKR, selain memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri.

Selain itu, calon wakil rakyat tersebut tidak pernah lari dari asas perjuangan serta seorang yang mengutamakan kerja.

“Walaupun begitu, tidak kiralah siapa yang akan dipilih nanti, harapan kami agar wakil rakyat akan bekerja keras dan membantu penduduk tanpa mengira agama, bangsa serta dapat melakukan pengorbanan demi kemajuan kawasan ini,” katanya.


NIZAR : PR tidak amal sikap diskriminasi

Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah mengamalkan diskriminasi dalam memberikan bantuan kepada golongan tertentu sebaliknya bantuan diberikan kepada semua yang layak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sepanjang 11 bulan menerajui Perak, PR memberikan pelbagai bantuan dan sumbangan kepada rakyat seperti pemberian air percuma, sumbangan kepada anak-anak yang berjaya memasuki universiti dan sebagainya.

Menurutnya, sepanjang Barisan Nasional (BN) menerajui Perak, rakyat dibiarkan merempat dan hidup dalam kemiskinan serta memilih orang tertentu untuk diberikan bantuan.

“Mereka tidak membantu rakyat dan membiarkan rakyat hidup miskin kerana mereka menyokong Pas dan tidak menyokong parti mereka.

“Hari ini politik baru Malaysia kita tidak boleh ambil politik perkauman dan Islam menentang perkara itu,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Situasi Politik Semasa di Markaz PAS Teluk Intan, Padang Tembak.

Menurutnya, kemenangan beliau di Bukit Gantang pada Pilihan Raya Kecil lalu sebenarnya memberitahu BN bahawa rakyat Perak sebenarnya mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Beliau berkata, rakyat di Bukit Gantang sebenarnya mewakili seluruh rakyat Malaysia yang menolak UMNO dan BN serta menyatakan bahawa mereka tidak mahu lagi politik perkauman.

Menurutnya, UMNO sanggup merampas hak rakyat dan tidak pernah mengambil tahu sama ada perbuatan mereka itu halal atau haram.

Nizar berkata, UMNO langsung tidak menghormati Speaker dan melanggar peruntukan undang-undang sesuka hati dengan menentukan sendiri kerajaan mereka tanpa mengira pandangan demokrasi rakyat.

Menurutnya, UMNO juga membuktikan bahawa pemimpin mereka terlibat dalam rasuah, malah masih memegang jawatan tertentu walaupun sudah terbukti terlibat dalam politik.

Beliau berkata, Pas mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus membantu merayu undi dan kempen sehingga berjaya memenangi kerusi Parlimen itu.

Menurutnya, semua pihak harus bersyukur di atas kemenangan ini dan selain itu perlu muhasabah diri kepada Allah dengan meminta keampunan supaya segala tindakan yang dibuat direstui.

Penyokong PR mendengar ceramah perdana yang disampaikan Nizar di Markaz Pas Teluk Intan. -sinarharian


"Ulama Mee Celup" Tidak Wujud Dalam Islam - Mufti

Tidak wujud istilah ‘Ulama Mi Celup’ dalam Islam sebaliknya itu adalah istilah ‘nakal’ yang tidak sepatutnya digunakan untuk menggelar individu-individu tertentu.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid (gambar) berkata, dalam Islam, perkataan ulama merujuk kepada individu yang berpegang teguh dengan ajaran Islam, mengetahui hukum hakam agama, bahkan tidak ‘menjual’ agama demi kepentingan dan kemewahan dunia.

Menurutnya, seorang ulama juga akan bercakap mengenai agama dengan tegas, tidak kira di mana juga mereka berada tanpa berasa gentar atau peduli dengan ugutan yang diterima.

“Tidak ada istilah ‘ulama mi celup’ dalam Islam dan ini adalah satu istilah nakal kerana tidak sepatutnya perkataan ulama dikaitkan dengan sesuatu yang negatif terutamanya untuk melabelkan individu tertentu.

“Saya tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ini bahkan secara peribadi, saya berpendapat tidak sepatutnya ulama dilabelkan dengan sesuatu yang negatif,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penggunaan istilah ‘ulama mi celup’ bagi menggambarkan golongan ulama yang hanya menghafal istilah-istilah agama namun tidak mengamalkannya.

Kata beliau, Islam adalah agama menyeluruh, bukan sekadar ritual sebaliknya apa juga urusan yang dijalankan perlulah berlandaskan lunas-lunas agama.

KKatanya, sebagai ulama, mereka juga perlu menjaga status diri dan ini termasuklah dari segi percakapan atau perbuatan.

“Jolokan nama seperti menggunakan istilah ‘ulama mi celup’ ini juga dengan sendiri akan menjejaskan individu berkenaan. Sepatutnya mereka (ulama) menjaga tingkah laku masing-masing dan menyelesaikan masalah dengan cara yang baik.

“Saling tuduh menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain bukanlah cara yang diamalkan dalam Islam,” katanya yang menyifatkan isu berkenaan telah dipolitikkan untuk kepentingan individu.

Sementara itu, Exco Dewan Muslimat Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud menafikan terdapat ‘ulama mi celup’ dalam parti itu.

Menurut beliau, tindakan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz membuat kenyataan mengenai wujudnya golongan ulama ‘mi celup’ yang hanya menghafal istilah-istilah agama namun tidak diamalkan, adalah satu tindakan yang tidak bijak.

“Beliau tidak seharusnya membuat kenyataan seperti itu dan tidak perlu menonjolkan masalah dalaman Pas.

“Saya lihat isu ini semakin berlarutan dan kenyataan beliau menjadi senjata bagi UMNO untuk membuat serangan ke atas Pas,” katanya.

Beliau berkata, apabila Nik Abduh mengeluarkan kenyataan termasuklah menerusi blognya sebagai contoh, mengenai terdapat puak-puak dalam kepimpinan Pas, itu adalah persepsi beliau sendiri memandangkan Nik Abduh juga adalah ahli politik.

“Dakwaan Pas menggunakan pendekatan ‘menghalalkan cara’ dengan mengizinkan perkara yang sepatutnya tidak boleh dilakukan bagi mendapatkan sokongan, perlu dikemukakan bukti yang kukuh bagi menunjukkan parti ini menyalahi hukum Islam,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus mengenai kekurangan ulama dalam Pas menyebabkan parti itu tersasar dari perjuangan Islam disifatkan Dr Mariah sebagai mengakui bahawa selama ini parti berkenaan memperjuangkan Islam.

Penanti : SPR Berdegil Mahu Terus Larang Pondok Panas

PPengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tetap berdegil menyatakan bahawa mereka tetap dengan keputusan untuk melaksanakan larangan kepada parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi dan mahu semua parti politik dan penyokong parti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mematuhi larangan berkempen pada hari mengundi mengikut Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Pakatan Rakyat bahawa pondok panas parti politik perlu diadakan bagi memudahkan para pengundi menyemak status mengundi, Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak mahu pondok panas dijadikan medan untuk berkempen di saat-saat akhir.

Jelasnya, isu semakan status mengundi sepatutnya tidak timbul kerapa para pengundi sepatutnya menyemak nama mereka sebelum hari mengundi dengan menggunakan pelbagai saluran yang disediakan pihaknya.

"Pengundi sepatutnya tak semak di saat-saat akhir, mereka boleh semak dengan SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) ataupun di pondok panas SPR sendiri.

"Tapi apa yang kita lihat dari pengalaman-pengalaman lalu, pondok panas bukan berfungsi sebagai tempat semakan pun, tapi lebih kepada tempat berkempen... itu yang kita tak mahu.

"Kita tak mahu isu pondok panas dijadikan alasan untuk mana-mana pihak berkempen di saat-saat akhir," katanya.

Sementara itu di dalam perkembangan berkaitan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat menolak syor pendekatan baru proses pengendalian pilihan raya.

Justeru, Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd, Akin berkata, pihaknya menolak 'kekecewaan' Wan Ahmad yang sepatutnya bersikap neutral dalam menjalankan amanah SPR.

Kini SPR bercadang menguatkuasakan beberapa pendekatan baru iaitu mengehadkan bilangan penyokong parti politik yang bertanding pada hari penamaan calon, menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung.

"Apa yang sedang dirangka oleh SPR ini, sangat jelas bertentangan dengan amalan demokrasi di mana-mana negara demokratik.

"AMK percaya bahawa pendekatan ini diilhamkan dalam keadaan lima pilihan raya kecil yang berlangsung, sebermula di Permatang Pauh sehinggalah yang terkini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, menyaksikan BN ditenggelami dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir sewaktu penamaan calon," kata beliau dalam kenyataannya semalam.

Sehubungan itu, kata beliau, harus diingat bahawa seramai manapun bilangan penyokong yang hadir, ia bukan satu masalah sekiranya pihak keselamatan bersikap profesional untuk mengawal provokasi melampau daripada mana-mana pihak.

"Malah terbukti dalam siri-siri pilihan raya kecil sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan ugutan dan provokasi melampau oleh samseng upahan yang 'jelas kelihatan' menyokong BN.

"Demikian juga dengan penguatkuasaan larangan memancing undi dan juga pondok panas.

"AMK tidak lupa bagaimana pada pilihan raya Umum 2004, larangan yang sama dikenakan ke atas semua parti politik, tetapi BN dengan angkuh tetap membina pondok-pondok panas di kawasan pusat pengundian," kata Shamsul.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan menerima alasan kononnya untuk mengelakkan ketegangan dan ketakutan di kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi memang akan sukar dan takut untuk mengundi jika dua perkara dihalalkan oleh SPR iaitu kebanjiran pihak polis dan juga hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja, katanya lagi.


Badan disiplin Umno lebih hebat dari SPRM?

Indeks rasuah begitu tinggi di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan, sezaman dengan Malaya Merdeka. Negara-negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong adalah negara-negara "pariah" dengan rasuah.

Singapura yang mencapai kemerdekaan pada 1965 menjadikan "jihad" melawan rasuah yang dipelopori oleh regim Lee Kuan Yew.

Di penghujung pemerentah Lee Kuan Yew indeks rasuah menurut piawaian antarabangsa mencapai mata 9.5 per 10, yakni sebuah negara yang mencapai taraf rasuah di tahap kosong.

Tunku Abdul Rahman cuba membentuk Badan Pencegah Rasuah yang dipimpin oleh Tan Sri Harun Hashim dan memberi arahan supaya negara Malaya dikeluarkan dari senarai negara "pariah" dengan rasuah.

Harun Hashim begitu senang menjalankan tugas menghambat perasuah tanpa mengira kedudukan jawatan dan kedudukan orang yang disiasat untuk dibawa kepada pendakwaan.

Keharuman nama Badan Pencegah Rasuah lama-kelamaan semakin pudar terutama di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Pendakwaan terpilih menjadi bahan mulut rakyat Malaysia.

Misalnya seramai 18 orang "jerung besar" yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah dan fail siasatan telah diserah kepada pihak Peguam Negara. Kerajaan Abdullah Ahmad Badawi berjanji untuk mendakwa mereka yang berprofil tinggi yang terlibat dengan rasuah.

Setelah lama menunggu, tidak ada pendakwaan terhadap kes "18 SX" tadi kecuali terhadap Eric Chia. Janji awal pemerentahan Abdullah untuk memerangi rasuah, namun ia berakhir dengan pertumbuhan rasuah yang lebih "gemilang" di akhir pemerentahan Abdullah.

Sehingga timbul ungkapan jalanan terhadap kerajaan Abdullah: "Kalau di zaman Dr Mahathir rasuah di bawah meja, tetapi di zaman Abdullah, rasuah berlaku di bawah meja, di atas meja dan dengan meja-mejanya sekali." Ertinya, rasuah dan politik wang berleluasa di zaman Abdullah dan ia tidak dapat dikawal lagi.

Untuk membina imej antirasuah semula terhadapnya, sedangkan hal rasuah terus berleluasa, maka Abdullah di akhir pemerintahannya telah menaiktaraf Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Harapan rakyat tinggi menggunung terhadap Abdullah dan kerajaan untuk mencegah dan membasmi rasuah.

Sepantas kilat SPRM menunjukkan wibawa dengan berjaya membawa dua orang Exco Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat ke muka pengadilan. Kecekapan SPRM itu - walaupun kerajaan Pakatan Rakyat Perak merasa gusar - saya sendiri amat kagum di atas ketangkasan mereka menjalankan tugas.

Wibawa SPRM sekali lagi terserlah apabila berjaya membongkar kes "salah guna kuasa" Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga membawa kepada perletakan jawatan beliau sebagai TKM1 dan Adun.

Sekali lagi kecekapan SPRM terserlah apabila ia berjaya membongkar "salah guna kuasa" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam isu lembu korban dan penyalahgunaan kereta peribadinya. Walaupun ia pahit bagi Pakatan Rakyat tetapi kita salute (tabik hormat) di atas kecekapan SPRM.
Kesungguhan SPRM untuk mencegah dan membasmi rasuah yang begitu hebat berleluasa kini telah tercemar teruk.

Jawatan kuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (SELCAT) yang dibentuk kerajaan Selangor untuk menjalankan penyiasatan terhadap penyalahgunaan wang oleh bekas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan isterinya terhadap wang Balkis (Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat) telah menemui unsur penyelewangan dan ini amat mengejutkan semua pehak.
Penyalahgunaan wang GLC, wang dana Balkis nampak begitu ketara. Namun, yang menghairankan kita, mengapa SPRM tidak mengetahui penyelewengan ini?

Hairan bin Ajaib apabila badan secekap SPRM tidak mengetahui unsur penyelewengan (rasuah) sebegitu rupa berlaku di Selangor. Jawatan kuasa disiplin Umno yang diketuai oleh Tengku Ahmad Rithaudin rupa-rupanya lebih berwibiwa daripada SPRM dalam membongkar rasuah dan mendedahkannya kepada orang ramai, berbanding SPRM.

Ketua Menteri Melaka yang dihukum oleh jawatankuasa disiplin Umno kerana rasuah tetapi tidak diambil apa-apa tindakan oleh SPRM. SPRM tak ubah seperti sebuah badan seumpama "kelab menyokong Umno" yang dilabelkan oleh rakyat sekarang ini. Wibawanya hilang sama sekali ditelan dengan hilang kewibawaan kerajaan Barisan Nasional itu sendiri. -mohdsabu

Isu Kerajaan Nizar : BN Usulkan Lucut Sivakumar Sebagai Speaker

Bernama hari ini melaporkan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri, Rabu mengesahkan pejabat Setiausaha DUN Perak telah menerima satu usul pada minggu lepas untuk melucutkan V. Sivakumar daripada jawatan Speaker DUN Perak pada persidangan DUN 7 Mei ini.

Beliau juga mengesahkan telah menghantar melalui pos, surat kepada semua Anggota DUN (ADUN) Perak mengenai perkara itu yang turut mengepilkan bersama borang pencalonan Speaker baru.

Walaupun Abdullah berkata perkara itu tidak sepatutnya dihebahkan sebelum persidangan DUN itu dilangsungkan, beberapa portal berita internet hari ini melaporkan Abdullah di dalam suratnya menyatakan bahawa borang pencalonan Speaker baru itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran DUN selewat-lewatnya esok.

"Surat itu dihantar secara pentadbiran. Ia sepatutnya adalah untuk makluman dan tindakan daripada semua ADUN yang berkenaan," kata Abdullah ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco kanan Datuk Hamidah Osman ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau adalah penyokong usul untuk melucutkan Sivakumar yang dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dihantar ke pejabat Setiausaha DUN Perak pada Khamis lepas.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ia adalah insiden pertama dalam sejarah Malaysia untuk melucutkan seorang Speaker

Beliau yang juga ADUN Sungai Remis dan ahli Parlimen Taiping merasa terkejut dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang luar biasa.

Sehubungan itu, Nga mengecam BN kerana menggunakan Abdullah yang telah dipecat oleh Speaker sebelum ini, utnuk mengeluarkan surat tersebut.

Katanya, semua itu menunjukkan bahawa BN telah bertindak sewenang-sewenangnya.

Katanya, menurut peraturan tetap DUN Perak, Speaker (Sivakumar) mempunyak hak untuk menerima atau menolak sebarang usul, termasuk usul untuk memecatnya.

Nga menyamakannya dengan tindakan Speaker DUN Melaka menolak usul tidak percaya yang dibentangkan oleh wakil DAP terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Beliau mendakwa tindakan Zambry itu menghina mahkamah, kerana prosiding kes sama ada beliau merupakan menteri besar Perak yang sah. masih belum selesai.