11 Dis 2009

Konvensyen PR Langkah Pertama Ganti BN

Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 19 Disember ini akan membuka lembaran baru yang lebih jelas, nyata dan tepat terhadap hala tuju perjuangannya yang berteraskan kesejahteraan rakyat.

Ia bakal menjadi satu titik permulaan atau langkah pertama menuju destinasi yang diuar-uarkan dengan bergerak di bawah landasan satu polisi atau ‘common policies’.

Selain mengukuhkan ikatan pakatan parti yang menjadi tunjang PR, konvensyen julung-julung kali ini akan menggariskan wawasan yang komprehensif untuk menawarkan rakyat satu tahap kepimpinan yang berkualiti dengan meletakkan rakyat sebagai ketuanan dalam perjuangan.

Seramai 1,500 delegasi kepimpinan akan menghadiri konvensyen itu yang membabitkan PAS, PKR dan DAP.

Setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim ketika ditemubual oleh Free Malaysia Today (FMT) menjelaskan konvensyen ini mengesahkan PR sebagai satu pakatan yang sahih yang diiktiraf dan memberi alternatif terbaik untuk rakyat menggantikan Barisan Nasional.

"Ini adalah konvensyen yang sulung untuk PR, muncul sebagai satu pakatan yang jitu dengan berjuang atas landasan yang digariskan untuk kepentingan rakyat," katanya .

Beliau berkata, selama ini PR hanya bergerak atas landasan yang longgar tapi mereka kini sedang berusaha keras untuk memperkukuhkan ikatan itu dengan bergerak dan bergabung di bawah ‘common policies’ yang sudah diperseutjui oleh majlis kepimpinan.

Common policies atau polisi bersama itu akan diumumkan oleh pemimpin PR pada konvensyen itu yang akan diterima pakai serta dihormati oleh parti dalam gabungan PR itu. Satu slogan khas akan dinamakan terhadap polisi itu yang akan diumumkan pada konvensyen berkenaan.

PR akan berjuang dengan satu polisi bersama dari aspek ekonomi, pembangunan insan dan demokrasi.

Salehuddin berkata, konvensyen ini juga untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa PR telah, sedang dan akan terus bekerjasama dalam perjuangan untuk rakyat.

"Parti-parti yang mendukung PR juga sudah mengatasi perbezaan yang wujud dan kami semakin hari semakin memahami hala tuju perjuangan," katanya

Beliau berkata, walaupun konvensyen itu hanya sehari tapi segala isu termasuk tiga aspek perjuangan sudah dibincangkan berbulan-bulan di pelbagai peringkat kepimpinan dan konvensyen ini adalah kemuncak persetujuan yang telah dicapai.

"Ia belum terlambat untuk semuanya ini. Polisi ini sudah dibincangkan lebih awal dan kita masih mempunyai lebih tiga tahun lagi sebelum PRU13 untuk memberikan satu tahap kepimpinan yang berkualiti, telus semata-mata untuk kesejahteraan rakyat. Malah sebelum ini pun kita telah bergerak bersama tapi konvensyen ini akan mengukuhkan pegang perjuangan," katanya.

Bagaimanapun, Salehudin menjelaskan PR tidak perlu gopoh untuk menjadi seperti BN. PR sedang berusaha menuju ke arah itu.

"Sudah tentu kita berusaha keras tapi kita tidak mahu mengambil jalan singkat dengan mengenepikan beberapa realiti.

"PR sudah bersama lebih setahun melalui pelbagai cabaran dan masalah apatah lagi percubaan memecahbelahkannya. PR sudah bersedia mengambil pendekatan yang proaktif untuk mengenepikan sebarang perbezaan yang wujud.

"Kami sudah mula duduk berbincang untuk mengatasi perbezaan-perbezaan yang ada. Kami mungkin belum lagi menemui solusinya tapi kami sudah memulakannya," katanya.

Beliau berharap perwakilan yang menghadiri konvensyen ini akan melihat PR dalam skop yang lebih besar serta arah tujunya. Bila mereka balik, mereka akan dapat memaklumkannya kepada pemimpin dan pengikut peringkat akar umbi akan situasi dan perkembangan terbaru ini.

“Kita tidak mahu mengatakan, segala masalah akan dapat diselesaikan selepas konvensyen ini. Tapi kita sedang menuju ke arah pembentukan perpaduan yang sejati di bawah satyu pakatan pelbagai parti yang berhak dinikmati negara ini.

"Saya juga tidak nafikan, akan ada pelbagai maklum balas yang pro dan kontra apabila perbincangan konvensyen ini disampaikan ke peringkat bawah tapi sekiranya semua peringkat sudah memahami perkara yang kita setuju dan tidak setuju serta pentingnya kerjasama, kita akan mampu mempunyai satu pakatan atau gabungan yang kekal.

Semua media dan blogger sama ada yang pro PRK atau tidak akan dijemput membuat liputan konvensyen ini. -FMT

1 ulasan:

  1. Ayahku dah berjanji pada 19 Disember ni kami tak akan turun ke laut sebab kami akan bertolak ke Shah Alam untuk melihat konvensyen yg penuh sejarah buat pertama kalinya ini...

    Duit hasil tangkapan ikan 3 hari lalu yg aku kumpul akan digunakan utk beli baju t-shirt berwarna oren di bundle pekan sehari di kampung aku utk dipakai pada konvensyen tersebut dan sbg perbelanjaan utk kesana...

    Kepada anak nelayan khususnya dan rakyat m'sia amnya, jom kita turun ramai-ramai dgn mengenakan baju berwarna oren...

    Pedulikan mereka yg bersuara sumbang, jgn risau anak nelayan skrg merupakan pelajar terbaik SPM seluruh negara tempohari...

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.