26 Nov 2009

Pahang Lulus Pembalakan Tanpa Pengetahuan Exco dan EIA

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh melahirkan kebimbangan dengan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Pahang yang meluluskan aktiviti pembalakan di negeri itu tannpa melalui Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Beliau berkata, aktiviti pembalakan seluas 42,000 ekar berkenaan bukan sahaja tidak melalui EIA, bahkan ia juga tidak mendapat kelulusan Exco.

“Saya nak tunjukkan peta, ini adalah kawasan yang telah diluluskan untuk pembalakan dalam tempoh setahun setengah di Pahang yang melibatkan dua hutan simpan,"katanya di Lobi Parlimen semalam.

“Dia punya total ialah 42 ribu ekar atau 17 ribu hektar secara total tetapi ianya dipecahkan kepada kompartmen-kompartmen yang diluluskan kurang daripada 500 hektar maksudnya tidak perlu EIA. Dan mereka melanggar sistem tanpa membuat EIA, tanpa kelulusan EXCO. Ia terlepas dari kerajaan negeri tetapi apabila kita petakan, ia kelihatan seperti ini,"katanya.

Ujar Fuziah, tindakan tidak bertanggungjawab ini akan mengakibatkan hutan yang sepatutnya menjadi tempat tadahan air menjadi gondol dan menyebabkan kejadian banjir lumpur dan banjir kilat.

Malah menurut Fuziah, sekiranya tiada kawalan yang sewajarnya dilakukan, bandar Kuantan yang kecil berbanding dengan kawasan pembalakan tersebut mungkin akan tenggelam akibat bencana alam yang tidak dijangka.

“Saya tahu, Pahang memang ada masalah dari segi penguatkuasaan dan inilah masalahnya yang akan menimpa di Pahang. Jadi setakat ini kerajaan negeri memberitahu saya, tidak mungkin berlaku,"katanya.

Namun ujar Fuziah, meskipun kerajaan negeri menafikan tindakan mereka itu, Fuziah mempunyai bukti keterlibatan kerajaan negeri dalam meluluskan kompartmen-kompartmen yang berjumlah 17 ribu hektar.

“Tapi di sini, saya ada surat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Pahang, mesyuarat exco dan sebagainya dan total semuanya ada di sini. Daripada Oktober 2007, Oktober 2008 dan Mac 2009. Luluskan sedikit demi sedikit dan kini menjeadi sebegitu banyak,"katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.