17 Okt 2009

Era Najib Altantuya : MCA Parah, Ong Tee Keat Madah Berhelah

Jangkaan presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan meletakkan jawatan setelah menerima undi tidak percaya oleh perwakilan nampaknya jauh meleset.

Ong Tee Keat tetap berdalih untuk memegang jawatan itu dan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu semalam Ong Tee Keat mengumumkan akan mengadakan satu lagi mesyuarat agong luar biasa (EGM).

Beliau semalam telah mengarahkan setiusaha Agungnya, Datuk Wong Foon Meng untuk mengadakan EGM mengikut peruntukan Perkara 30.1 perlembagaan MCA.

EGM kali ini untuk menentukan sama ada perlu atau tidak pemilihan parti diadakan sekali lagi bagi menyelesaikan permasalahan parti itu.

TV Selangor turun padang mendapatkan respon daripada beberapa orang ahli politik Pakatan Rakyat berbangsa Cina untuk mengetahui pandangan mereka terhadap isu ini.

"Walau bagaimanapun, kita nampak selepas EGM ini presiden MCA masih enggan berundur dengan pelbagai alasan. Saya berpendapat ianya akan mengundang lebih banyak percakaran dalam parti sesama kumpulan beliau dan ini telah dijangka. Dan masyarakat Cina menganggap apa yang berlaku dalam MCA ini sudah parah", ujar ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Malah Suee Lim berpendapat, keengganan Ong Tee Keat meletakkan jawatan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini,menggambarkan sikap pemimpin itu yang tidak berpegang pada janji.

Sebelum ini Ong Tee Keat dengan lantang menyatakan pendiriannya yang akan meletakkan jawatan sekiranya hanya menang minoriti pada EGM 10 Oktober lalu.

Namun apa yang berlaku sebaliknya dan tindakan beliau meletakkan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden hanyalah sebagai helah politiknya.

"Ong Tee Keat selama ini kita nampak sebagai seorang berprinsip. Cakap serupa bikin. Pendekar kononnya. Tetapi setelah memegang jawatan presiden MCA perwatakan beliau banyak berubah. Itu satu pertukarakan yang terlalu nyata dan saya nampak Liow Tiong Lai hanya sebagai perkakas yang diletakkan di situ sahaja", tambah beliau.

Menurut Suee Lim lagi, apa yang berlaku dalam MCA jelas berlunaskan kepada perebutan kuasa dan kepentingan diri sendiri.

"Sekarang kita nampak perjuangan dan pergelutan sesama pemimpin mereka berlandaskan dua faktor. Faktor pertama kuasa, kuasa bukan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan yang kedua, untuk mendapat jawatan. Ini semua bertentangan, jauh sekali bercanggah dengan perjuangan MCA untuk membela masyarakat Malaysia khususnya kaum Cina".

Sementara itu, bagi ADUN Damansara Utama, Cheah Wing Yin, MCA pada masa ini telah memasuki zon merbahaya sehingga terpaksa menggunakan segala bentuk perundangan dalam parti itu dan mangsa keadaan ini tentunya para perwakilan dan ahli-ahli MCA sendiri.

"Nampaknya ini sudah memasuki ke peringkat yang sangat kompleks dan ia sudah tertakluk kepada perundangan parti itu. Dan ini akan membuat keadaan itu bertambah rumit dan menyebabkan bukan sahaja parti itu bertambah bingung bahkan ahli-ahli parti itu juga tidak tahu bagaimana cara mahu memilih".

Sementara itu bagi exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, apa yang berlaku dalam MCA hanyalah perebutan kuasa semata-mata.

"Nampaknya krisis dalam MCA ini akan berlarutan. Sebelum itu ada dua puak iaitu puak Chua Soi Lek dan puak Ong Tee Keat tetapi sejak keputusan EGM itu, puak Ong Tee Keat juga telah berpecah. Nampaknya orang kanan dia seperti Liow tiong Lai mahu naik dan menggantikan tempat dia. Tetapi nampaknya Ong Tee Keat pula belum rela untuk turun walaupun dia janji kalau dia gagal dia gagal dalam undi keyakinan itu, dia akan letak jawatan". -TVS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.