26 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Tuduhan SPRM Diarah Buang Oleh Koroner

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini mengarahkan supaya semua keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, mengenai dakwaan DAP mendapatkan keuntungan kewangan, dibuang dari rekod mahkamah, ekoran bantahan dari para peguam.

Azmil berkata, pendedahan itu tidak termasuk dalam skop siasatan inkues kematian Teoh Beng Hock.

"Inkues mesti menumpukan kepada punca kematian Teoh," katanya.

Sebelum ini, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Anuar Ismail memberitahu inkues tersebut mengenai butiran siasatan hasil kenyataan yang diambil dari Teoh.

Teoh dipanggil ke pejabat SPRM Selangor pada 15 Julai sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri.

Mayatnya ditemui pada hari berikutnya di tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor itu. Inkues tersebut diadakan untuk menentukan punca kematiannya.

Sebelum itu, menjawab soalan peguam SPRM, Abdul Razak Muda, Mohd Anuar mendedahkan bahawa dakwaan amalan tersebut didedahkan sewaktu siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, ia dibantah oleh peguam Salim Bashir, Gobind Singh Deo dan Rajpal Singh. Salim mewakili exco negeri Selangor dan bos Teoh - Ean Yong Hian Wah. Gobind pula mewakili keluarga Teoh dan Rajpal mewakili Majlis Peguam.

Gobind menuduh Abdul Razak menukar inkues tersebut menjadi perbicaraan rasuah dan menggunakan forum itu untuk "mendapatkan publisiti'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.