26 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Selangor Fail Afidavit Bela Saman Pemula Peguam Negara

Kerajaan Negeri Selangor hari ini memfailkan afidavit pembelaan terhadap saman pemula oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ia berhubung pembatalan pekeliling oleh Ghani mengenai arahan kerajaan Selangor yang melarang kakitangannya di temuduga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di luar pejabat dan luar waktu bekerja.

Peguam Kanan Persekutuan, See Mee Chun hadir mewakili pihak plaintif, sementara pihak kerajaan negeri Selangor selaku defendan diwakili peguam Fahda Nur Ahmad Kamar dan Yusmadi Yusoff.

Fahda Nur Ahmad Kamar yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata, mahkamah telah menetapkan 8 September depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

“Tadi merupakan pengurusan kes dan kami telah memohon masa untuk menjawab afidavit Tan Sri Ghani Patail. Dan telah di beri tarikh selanjutnya 8 September 2009,” katanya.

Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim mengeluarkan arahan itu di dalam kamar semasa prosiding pengurusan kes tersebut, hari ini.

Peguam kanan yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Tommy Thomas bagaimanapun hari ini tidak dapat hadir kerana mengendali kes lain.

Pada 20 Ogos Abdul Ghani memfailkan saman menuntut pengisytiharan pekeliling SUK Selangor yang melarang kakitangannya ditemubual oleh SPRM di luar pejabat dan luar waktu bekerja, tidak sah dan terbatal.

Pekeliling ini diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 22 Julai 2009, bertujuan menjamin keselamatan pegawai, di samping memberi kerjasama kepada pihak SPRM.

Keputusan itu dibuat berikutan kematian Setiausaha Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui di Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai 2009 lalu, ketika berada dalam tahanan SPRM. -TVSelangor



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.