Lawatan itu diketuai koroner Azmil Muntapha Abas yang tiba di tingkat 14 bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada jam 9.50 pagi.
10 minit kemudian, dilihat koroner dan peguam menjenguk keluar dari tingkap di tingkat 14, bangunan berkenaan tempat Teoh didakwa jatuh.
Tinjauan itu disertai peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili peguam Negara, wakil dari majlis peguam, peguam kerajaan negeri dan peguam keluarga Teoh.
Tumpuan inkues ialah di tingkat 14, 15 dan tingkat 5, di mana mayat Teoh ditemui dan merangkumi bilik Teoh disoal siasat, serta sofa yang dikatakan Teoh berehat serta tingkap di tingkat 14, tempat mendiang dikatakan jatuh.
Bagaimanapun, pada akhir tinjauan itu, peguam mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan siasatan pihak polis berhubung kematian Teoh yang dikatakan berpunca daripada kemalangan.
Gobind yang ditemui di perkarangan Plaza Masalam berkata, sekurang-kurangnya dua bukti baru ditemui semasa lawatan hari ini dan memohon pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut, yang mungkin boleh membantu menentukan punca kematian Teoh.
“Kami melihat secara teliti di tingkat 14 dan 15 yang dipercayai ada sebahagian pejabat SPRM, dan lawatan ke tempat mayat dijumpai, dalam masa itu telah memohon kepada pihak polis agar menyiasat 2 perkara baru yang dilihat dan saya rasa pihak polis, akan beri bantuan dan kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Gobind juga menjelaskan, siasatan polis setakat ini dihadkan atau berkisar kepada dua teori iaitu Teoh terjatuh atau membunuh diri.
Katanya, siasatan polis tidak mencakupi teori kemungkinan Teoh dibunuh atau ditolak.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara baru yang ditemui itu.
Lawatan hari ini bagi membolehkan pasukan inkues mendapatkan gambaran jelas mengenai perkara-perkara yang disebut dalam prosiding inkues selama tiga hari di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Teoh ditemui mati di tingkat lima, sehari selepas dia dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14, bangunan ini untuk memberi keterangan mengenai dakwaan salah guna peruntukan ADUN Selangor.
Prosiding inkues akan diteruskan Isnin depan dan menurut Gobind, kemungkinan pasukan forensik akan dipanggil pada hari rabu sebagai saksi berikutnya.
“Inkues akan diteruskan pada Isnin depan dan mungkin pada rabu, saya rasa pakar forensik akan dipanggil dan mereka akan memberi keterangan lanjutan dan mendalam mengenai apa yang kita lihat di pejabat SPRM di tingkat 5, Plaza Masalam di mahkamah,” katanya. -TVSelangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.