Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri dalam sidang media pagi tadi menjelaskan tiga Adun yang menerima SMS ugutan berkenaan berasa keselamatan mereka terancam jika datang ke persidangan DUN hari ini.
"Kita akan hadir hari terakhir sidang dewan esok jika mendapat jaminan keselamatan daripada polis," katanya.
Selain Rosol, dua lagi Adun yang menerima SMS ugutan ialah Adun Permaisuri, Abd Halim Jusoh dan Adun Paka, Zakaria Ariffin.
Rosol berkata, mereka menerima SMS yang berbunyi, "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" daripada nombor telefon mudah alih seorang pegawai kanan kerajaan yang bekerja di pejabat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Sepuluh Adun yang tidak hadir sidang DUN semalam ialah:
Adun Ajil-Datuk Rosol Wahid (Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri); Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alur Limbat); Zawawi Ismail (Kuala Berang); Abd Halim Jusoh (Permaisuri); Ramlan Ali (Jabi); Zakaria @Mohd Ariffin Abdullah (Paka); Muhammad Ramli Nuh (Tepuh); Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera); Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).
Selain 10 Adun berkenaan, Rosol mendakwa tiga lagi Adun BN yang menyokong tindakan mereka tidak hadir sidang dewan hari ini, tetapi tidak bersama mereka dalam sidang media itu.
Di dewan undangan negeri, kehilangan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), menarik perhatian wakil rakyat Pas yang bertanya mengapa penyokong kerajaan yang tidak hadir, pagi ini.
Tengku Hassan Omar (Ladang-Pas) yang bangun bertanya Yang Dipertua, Datuk Tengku Putera Awang, kenapa ramai penyokong kerajaan yang tidak datang.
Tengku Putra menjelaskan beliau juga tidak tahu kenapa ramai wakil rakyat BN yang tidak hadir hari ini.
"Bila saya masuk dewan (pagi) tadi, saya dapati banyak kerusi yang kosong, saya akan tanya kepada YB (Yang Berhormat) berkenaan nanti," katanya bagi menjelaskan bahawa beliau tidak dimaklumkan kenapa 10 Adun berkenaan tidak hadir.
Ketidakhadiran Adun BN berkenaan dikaitkan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) ancaman yang dihantar kepada tiga mereka awal pagi tadi.
Ia dipercayai berkaitan dengan khabar angin akan ada undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam sidang dewan hari ini atau esok.
Sebelumnhya, ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kirakira 12.40 tengah malam manakala ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.
Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kirakira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.
Dalam SMS itu, katanya, individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.
"Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat.
"Nyawa orang tidak boleh nak ugut... saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran," katanya.
Abdul Halim berkata, pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi "baik jangan teruskan niat Yb, YB tak sayang nyawa?.
"Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (ADUN) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.
"Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini). Saya merasa amat terancam... saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.
UMNO bertindak lagi!!! hati-hati!!!
BalasPadam