14 Apr 2009

KEKALAHAN UMNO BUKIT GANTANG : UMNO akan hadapi protes dari ahlinya sendiri.

Kejayaan PAS mempertahankan kerusi Bukit Gantang bukan disebabkan undi protes. Tetapi kerana pengundi kurang senang dengan "rampasan kuasa" yang didalangi Najib Tun Razak di Perak. Ikuti bual bicara ANIS NAZRI dan FAIZ ABDULLAH bersama Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustafa Ali bagi mengupas beberapa isu di Bukit Gantang.

Bagaimana Dato' melihat senario pola pengundian di Bukit Gantang berbanding Kuala Terengganu mengikut kaum, di mana PAS mendapat sokongan Melayu di Kuala Terengganu. Tetapi di Bukit Gantang tidak berjaya mendapat undi Melayu. Sedangkan di Perak, PAS memerintah manakala di Terengganu, BN memerintah?

DATO' MUSTAFA ALI: Pertamanya di Kuala Terengganu, majoriti pengundi Melayu memang tinggi sehingga 80 peratus lebih berbanding kaum lain. Berbeza dengan Bukit Gantang di mana Melayu dalam 62 peratus, dan selebihnya kaum lain.

Kita memang akui ada bezanya, tetapi masih ada lonjakan dalam undi Melayu. Cuma ada di sesetengah tempat itu, undi Melayu merosot sikit khususnya di kawasan luar bandar.
Dan ini, saya rasa antara sebabnya kerana dalam dunia informasi sekarang, para pengundi luar bandar tidak terdedah dengan saluran informasi yang pelbagai dan alternatif. Mereka bergantung kepada media yang jelas digunakan BN sepenuhnya. Manakala bagi kawasan bandar, berlaku peningkatan dalam undi kepada PAS.

Selain faktor ketiadaan akses kepada media baru di kalangan pengundi Melayu di luar bandar, mungkinkah kelemahan jentera parti untuk menyampaikan maklumat alternatif dan fakta yang seimbang kepada golongan itu juga menyumbang kepada faktor gagalnya PAS mendapatkan sokongan?

Dari segi jentera, bagi saya semuanya baik. Boleh dikatakan semua UPU berjalan secara baik dan Alhamdulillah membantu. Tinggal lagi di sesetengah tempat di mana tenaga tempatan agak kurang. Ertinya keberkesanan dalam berkempen itu tidak cukup. Namun dari segi bantuan petugas luar dan dalam Perak itu sendiri, Alhamdulillah saya nampak kesungguhan itu ada.

Di kalangan orang Melayu, fitnah yang dilemparkan kepada PAS itu serba sedikit memberi kesan kepada pengundi Melayu seperti isu derhaka, boneka DAP. Walaupun kami tidak ada kajian saintifik mengenainya, mungkin ada kesannya kepada Melayu tetapi tidak cukup mengubah pendirian Melayu secara besar-besaran.

Bagi pandangan Dato', adakah pengundi Melayu ini lebih bersikap sentimen, berbanding mengikut fakta dalam proses memilih pemimpin mereka?

Ianya berhubung kait dengan sentimen dan kurang bermaklumat, tetapi maklumat yang sampai melalui media yang berat sebelah pihak apabila disogokkan setiap hari. Maka mereka akan terkesan dan berfikiran sedemikian akibat menerima info yang berat sebelah.

Adakah keputusan ini melambangkan suatu referendum rakyat menuju ke arah pembubaran Dun atau sebagai tanda menolak kepimpinan PM baru, Najib Tun Razak?

Kalau dilihat dari sudut itu, ia memang satu petanda dan mesej jelas bahawa kemelut yang berlaku di Perak itu tidak disenangi oleh sebahagian besar masyarakat dan mahukan keadilan, bukan dengan cara rampasan kuasa. Dengan demikian perlu bagi keadaan baru ini memberi satu keselesaaan kepada sikap rakyat. Untuk berlaku adil, peralihan kuasa ini tidak memberi kesan kepada masyarakat. Walaupun dikatakan beralih pemimpin, tiada memberi kesan kerana tidak melibatkan perubahan dasar. Kerana Umno tetap Umno.

Kalau tengok tindakan akhir yang dilakukan PM untuk mengubah suasana di mana keadaan yang mereka sendiri terkebelakang seperti dengan membebaskan tahanan ISA, menarik balik penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan, menghantar Tun Mahathir berkempen, dilihat tidak dapat mempengaruhi rakyat dan usaha tersebut tidak berjaya.

Mungkinkah hari pengundian yang diadakan pada hari Selasa, bukannya Sabtu atau Ahad menyebabkan peratusan keluar mengundi berkurangan?

Kami tidak buat analisis cara itu. Secara umumnya, peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding sebelum ini. Tapi saya yakin jika diadakan pada hari tidak bekerja sudah tentu peratusannya lebih tinggi. Kita memang ada kajian yang menjangka peratus keluar mengundi akan mencecah 70 hingga 80 peratus. Oleh kerana ini adalah pilihan raya kecil, maka kedua-dua pihak parti sedaya upaya berusaha mengeluarkan seramai mana pengundi berbanding pilihan raya umum. Tapi apa yang saya nampak, jentera BN tidak berapa kuat. Jika di Kuala Terangganu sudah nampak kurang, di Bukit Gantang ini lagi kurang.

Jika selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu dulu, Dato' pernah berkata tahap keakraban yang baik antara Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu, dan adakah kesinambungan keakraban itu berlaku di Bukit Gantang?

Saya nampak begitulah. Kekuatan, kerjasama dan keakraban itu terus berlaku dan semakin mantap. Tergambar jelas perpaduan di antara Pakatan Rakyat, yang mana membawa keyakinan rakyat bahawa Pakatan Rakyat adalah satu parti yang memiliki kesepaduan yang mantap, dengan petugas DAP, KeADILan, dan PAS.

Saya sebenarnya agak risau juga dalam dua hari sebelum hari mengundi. Apabila terdapat maklumat bahawa pengundi Cina mahu 'swing' kepada BN dalam beberapa isu seperti tanah KTMB, pembebasan ISA dan sebagainya.

Dengan itu saya dengan segera meminta semua jentera bergerak ke akar umbi untuk melihat suasana tersebut. Memang ada sedikit kesan, tapi kemudiannya dengan penerangan kita akhirnya nampak baik. Apa yang boleh dikatakan sekarang, tidak ada tembok pemisah di antara PAS dengan pengundi bukan muslim, yang dahulunya nampak wujud di antara mereka dengan PAS.

Mungkinkah keputusan ini akan memberi ruang selesa dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 13?

Keputusan ini akan membina satu persepsi, bahawa bukan BN sahaja yang mampu perintah, BN bukan tidak boleh dikalahkan. BN kini bukan sahaja boleh dikalahkan dan bukan hanya parti yang boleh memerintah dan ini saya lihat memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum ke 13. Kalau 'trend' ini berlaku dan saya yakin akan terus berlaku, dengan prestasi kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat itu cukup baik, ertinya Umno akan menuju ke arah kerajaan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 13 nanti.

Terdapat pandangan jika BN kalah, ertinya wujud undi protes di kalangan ahli Umno sendiri. Bagi pandangan Dato', adakah kekalahan BN ini satu undi protes atau undi 'solid' rakyat kepada PAS?

Ini bukan undi protes lagi. Ini undi tidak yakin kepada BN. Yang dikatan undi protes ini berlaku apabila tidak berpuashati dengan seseorang calon. Protes ini juga bukan seluruhnya hanya ada segmen yang kecil, tapi protes saja tidak cukup untuk kita menang. Yang nyata kali ini adalah undi yakin kepada Pakatan Rakyat.

- sanggahtoksaga

1 ulasan:

  1. Bro, aku ni pengundi Bukit Gantang tempoh hari. Pada aku Pas kawasan Bukit Gantang tak berapa buat kerja. Nampak buat kerja time ada pilihanraya ja. Betul2 harap kat tenaga kerja luar ja. time pilihanraya ja nak bertemu dengan rakyat. Sama macam UMNO BN la bro. Sampai bila nak menangguk di air yang keruh bro?

    Kasi tukaq la sket MO tu. Adakan banyak program yang ajak semua kaum. Tackle thru program sukan, boleh tarik belia. Untuk orangtua, buat la program kesihatan ka, melawat Kelantan ka. Banyak lagi la kalau nak pikirkan.

    Ni cadangan gua.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.