Beliau ditemani Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Lotfi Wan Ismail membuat laporan itu pada pukul 12.00 tengahari tadi. Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan polis menerima laporan Wan Ahmad dan akan menyiasat mengikut lunas undang-undang. Beliau juga menggesa rakyat Terengganu tidak mempercayai SMS yang tersebar luas.
Kes itu akan diberi keutamaan dan pihaknya akan menyelesaikannya secepat mungkin kerana ia melibatkan pucuk pimpinan negeri dan orang kenamaan.
"Perkara ini terlalu awal untuk diulas. Saya tidak boleh komen lagi kerana kes ini masih dalam siasatan," katanya di Kuala Terengganu.
Terdahulu juga di Kuala Terengganu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said memberitahu, beliau tidak terkejut dengan tindakan wakil rakyat BN itu dan tidak akan menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.
Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah ADUN Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
"Tidak hadir Dewan perkara biasalah bagi orang politik... saya tidak akan memujuk mereka supaya datang (esok)," katanya yang banyak mengelak soalan daripada wartawan.
Malah Ahmad juga berkata, beliau tidak tahu punca 10 ADUN BN negeri itu tidak menghadiri sidang DUN hari ini.
Katanya, beliau juga tidak mengetahui bahawa tiga ADUN BN telah menerima SMS ugutan yang mengancam nyawa mereka, malam semalam.
"Saya baru balik dari Kemaman kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.
"Saya tidak tahu perkara sebenar berhubung SMS dan tindakan 10 ADUN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berhenti rehat tengah hari ini.
Ditanya mengenai pegawai kanan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan penghantaran SMS itu, Ahmad menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya kerana tiga ADUN berkenaan telah membuat laporan mengenai perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.