4 Feb 2009

Najib Takut Dibaling Kasut?

Khabarnya Datuk Seri Najib akan mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 4 petang ini dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terbaru pergolakan politik di Perak.

Najib menjadi sasaran rakyat Perak yang tidak berpuashati dengan tindak tanduknya kerana dipercayai merupakan dalang sebenar terhadap segala kemelut yang berlaku di Perak kini.

Telah menjadi pengetahuan umum yang tidak mungkin dapat dinafikannya lagi bahawa isu "kehilangan" dua ADUN PKR (ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering) adalah hasil daripada perancangan licik dan kotor Najib untuk membawa mereka masuk ke dalam UMNO/BN.

Sekalipun telah dinafikan oleh salah seorang ADUN berkenaan yang menyatakan bahawa beliau ke Pahang untuk mendapatkan rawatan tradisional kerana sakit tulang belakang namun tidak ada sesiapa pun yang siuman boleh mempercayai alasannya itu kerana yang jelas beliau hanya muncul selepas Speaker mengumumkan perletakan jawatannnya sebagai ADUN.

Sementelah lagi sewaktu beliau di "rumah tukang urut" di Pahang beliau telah boleh menghantar surat penafian perletakan jawatan kepada Pengerusi SPR pada hari berikutnya dan telah juga mampu menghantar surat penafian perletakan jawatan untuk satu sidang media yang kononnynya disampaikan oleh Firdaus Saharuddin yang mendakwa dirinya adalah pegawai khas kepada Jamaluddin Mat Radzi yang sebenarnya adalah seorang kontraktor di Behrang dan merupakan seorang ahli UMNO di Perak.

Mana mungkin Najib tidak terlibat? Sedangkan pada hari-hari kehilangan dua orang ADUN PKR, Datuk Seri Abdullah tiba-tiba membuat kenyataan bahawa ada ahli PKR yang akan menyertai UMNO dan ia sepastinya dimaklumkan oleh Najib kerana waktu itu Abdullah baru pulang dari luar-negara yang tidak menyedari apa-apa yang berlaku di dalam negara!

Kredibiliti Najib kini merudum. Hasil kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center menunjukkan hanya 41 peratus dari rakyat Malaysia yang percaya Najib mampu menjalankan tugasnya sebagai PM nanti berbanding Abdullah yang mendapat 46%. Peratus ini semakin menunjukkan tren yang merudum berbanding 80% diperolehinya pada awal kenaikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004 dahulu.

Najib mempunyai terlalu banyak track record yang buruk. Beliau disyaki terlibat di dalam mempengaruhi hakim untuk "melepaskan" rakan karibnya Abdul Razak Baginda dari kes Altantuya dan kini telah berdepan dengan satu dakwaan oleh Ketua Bhagian PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda di mana Najib dikatakan telah mencuba untuk memujuknya supaya melobi dua ahli dewan undangan negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat di Perak supaya melompat parti. Tawaran RM50juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.

ANGKATAN Muda KeADILan (AMK) sebelum ini mendesak agar Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantung tugas Najib Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Isu "kehilangan" beberapa orang penting di dalam sesuatu kes maka Najib menjadi fokus utama kerana rakyat mempercayai bahawa beliau adalah dalangnya yang gemar menggunakan modus operandi sedemikian untuk melakukan "turning over" terhadap mangsa yang hilang.

Beliau yang baru saja menjadi Pemangku Pengeru UMNO Perak telah berusaha untuk membawa ADUN PKR ke dalam UMNO/BN setelah tersentak dengan berita pengumuman Datuk Nasaruddin Hashim, ADUN Bota yang berhijrah ke PKR.

Di dalam perkembangan mutakhir di mana tren membaling kasut oleh mereka yang tidak berpuashati terhadap pemimpin apakah nanti tidak ada yang akan melakukan perkara yang sama kepada Najib sekiranya rakyat yang menjadi begitu marah kepadanya di atas segala kucar-kacir yang beliau telah timbulkan ini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.