PKR kekalkan kubu kuat, undi Melayu meningkat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) memastikan kubu kuatnya kekal ampuh selepas menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Kemenangan itu diperoleh selepas PKR yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 30,316 undi berbanding Suhaimi Shabudin daripada BN yang mengutip 21,475 undi.
Dr Wan Azizah yang menang dengan majoriti 8,841 undi turut menewaskan dua calon lain daripada PRM (101) dan bebas (367).
Kemenangan kali ini lebih manis apabila PKR berjaya meningkatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu sekitar empat hingga lima peratus khususnya dalam kalangan pengundi muda walaupun peratusan keluar mengundi hanya 74 peratus.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, kemenangan itu juga menunjukkan rakyat bersimpati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuktikan Ketua Umum PKR itu masih relevan di hati rakyat.
“Kemenangan kali ini adalah bukti bahawa rakyat khususnya di Permatang Pauh mahu sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.
“Ia bukan hanya kemenangan PKR sahaja tetapi rakyat yang menentang kezaliman BN terhadap Anwar Ibrahim.
“Ini adalah satu referendum rakyat menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan rasuah, dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media sebaik diumum sebagai pemenang di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.
Dr Wan Azizah juga mengaitkan kemenangannya dengan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenuhi skandal.
“Ini juga manifestasi rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri yang dipenuhi ketirisan, kelemahan pemimpin dan skandal terutamanya 1MDB sehingga terpaksa menggunakan dana Tabung Haji,” katanya. -selangorku
Perutusan khas Dr Wan Azizah Wan Ismail
Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT, di atas kurnia-Nya, memberi kemenangan kepada calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil P.44 Permatang Pauh yang berlangsung hari ini, 7 Mei 2015.
Kemenangan hari ini adalah bukti bahawa rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Permatang Pauh, mahukan sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.
Kemenangan ini, bukan hanya kemenangan KEADILAN sahaja. Tetapi ianya adalah kemenangan rakyat, yang menentang kezaliman Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar Ibrahim dan ianya merupakan suatu referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan terhadap rasuah dan salahguna kuasa.
Dalam Pilihan Raya Kecil ini, kita menyaksikan peningkatan undi kepada KEADILAN sekitar 4 hingga 5 peratus daripada kalangan masyarakat Melayu, khususnya anak-anak muda.
Ternyata pemenjaraan bermotifkan politik oleh Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar, menzahirkan simpati yang tinggi dan ianya adalah bukti bahawa beliau masih relevan kepada rakyat.
Menerusi Pilihan Raya Kecil ini menterjemahkan manifestasi kepada kekecewaan rakyat terhadap kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dipenuhi dengan pelbagai ketirisan, kemewahan pemimpin dan pelbagai skandal, terutamanya skandal 1MDB, yang terkini terpaksa menggunakan dana dari Tabung Haji.
Pilihan Raya Kecil ini adalah pencetus dan pemberi inspirasi kepada sebuah gerakan rakyat yang lebih besar untuk menuntut suatu perubahan yang total, bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh kepimpinan serta pendukung Pakatan Rakyat, daripada KEADILAN, PAS dan DAP yang sejak awal-awal lagi bertungkus lumus membantu kita memenangi pilihan raya ini.
Walaupun saya, Saudara Anwar dan KEADILAN difitnah menerusi media arus perdana setiap hari, walaupun mereka berusaha sedaya upaya memburukkan prestasi saya di Kajang, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memecah belahkan kesatuan kita dengan pelbagai isu, namun ternyata segala tohmahan mereka tidak berkesan.
Terima kasih kepada pegawai SPR dan polis yang bertugas untuk memastikan Pilihan Raya Kecil ini berjalan lancar.
Bagi pihak KEADILAN, insya Allah segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat sepanjang Pilihan Raya Kecil ini, akan kami tangani seberapa segera. Untuk itu juga kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang sudah membuat pengumuman untuk membantu kita di Permatang Pauh ini.
Terima kasih rakyat Permatang Pauh yang sudi menerima Kak Wan untuk kembali berbakti. Reformasi! Hidup Rakyat!
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
Calon KEADILAN Permatang Pauh.