5 Apr 2015

[VIDEO] Tragedi Semenyih: Yang Terkorban & Yang Terselamat


Penerbangan ke Subang menaiki helikopter AS365N2 Dauphin selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Pekan, Pahang ditakdirkan gagal sampai ke destinasi.

Helikopter itu meletup di udara ketika hujan lebat sebelum terhempas dalam kawasan ladang getah di Sungai Pening, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada pukul 4.55 petang, Sabtu dan mengorbankan semua enam individu didalamnya.

Enam individu terlibat, termasuk bekas menteri yang juga Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Tragedi yang menyayat hati: Datuk Azlin Alias dan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis bergambar kenangan pada majlis resepsi anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa di Pekan, Pahang yang dihadiri oleh mereka pada Sabtu beberapa jam sebelum helikopter yang mereka naiki terhempas di Semenyih pada petang hari yang sama.

Pengerusi PRIMA itu dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan kedua iaitu pernikahan anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PRIMA, Datuk Abdul Mutalib Alias pada Sabtu malam di Pusat Persidangan Sime Darby dan ternyata hasratnya tidak kesampaian.

Turut terkorban adalah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias; juruterbang, Kapten Clifford Fournier; pegawai operasi, Eidiana Baiziera; ahli perniagaan, Datuk Tan Seng Huat dan pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain yang turut menaiki helikopter itu terselamat kerana lebih awal turun di Bandar Tun Razak, Muadzam untuk menziarahi kematian.

Pasukan mencari dan menyelamat membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi dan berjaya menemui mayat terakhir pada pukul 8.15 malam.

Operasi ditamatkan sebaik semua mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi tragedi itu pada pukul 9.30 malam.

Terdahulu, ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, kedua-dua kenamaan itu sempat merakamkan beberapa gambar kenangan.

Mayat semua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Perdana Menteri, isteri serta pasangan pengantin baharu, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev turut bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapat maklumat berhubung kejadian itu sebelum ke HKL bagi menemui ahli keluarga mangsa.

Sebaik arahan dikeluarkan Najib supaya siasatan terperinci dijalankan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan pasukan khas ditubuhkan untuk tujuan itu dan siasatan bermula Ahad.

Setakat pagi Ahad, jenazah Jamaluddin dan Azlin sudah dikenal pasti dan dibawa ke kediaman masing-masing di Mines Resort Golf and Country Club Seri Kembangan dan Saujana Impian, Kajang untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan.

Jamaluddin akan dikebumikan di Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara, manakala Azlin di Tanah Perkuburan Islam Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Kajang sebelum Zuhur. -mstar


Nahas Helikopter: Adun Bukit Ibam Terselamat Kerana Turun Lebih Awal

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahussin boleh disifatkan sebagai individu yang sangat bernasib baik kerana terselamat dalam nahas helikopter yang terhempas di Semenyih pada petang Sabtu.

Semuanya kerana beliau yang turut sama berada dalam helikopter tersebut turun lebih awal di Muadzam Shah, Rompin sebelum helikopter berkenaan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Wan Kadri berkata Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan telah meninggalkan majlis awal untuk menghadiri satu lagi majlis malam di Kuala Lumpur.

"Sepatutnya helikopter malang itu mendarat di Subang petang semalam," katannya kepada Bernama.

Beliau yang turut bersama dengan anggota Parlimen Rompin itu dan lima yang lain menaiki helikopter malang itu dari Pekan ke Bandar Tun Razak semalam kerana Jamaluddin ingin menziarah seorang kakitangannya yang baharu sahaja kematian ayah.

"Bagaimanapun kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Berikutan keadaan itu juga kami terpaksa membatalkan hasrat untuk melawat tanah milik Allahyarham yang sebelum ini ingin diwakafkan kepada sebuah pusat tahfiz," katanya.
-mstar








[VIDEO & GAMBAR] Kapten Lee: Helikopter Terhempas Bukan Kerana Cuaca Buruk


Seorang juruterbang helikopter yang menjadi saksi di udara berhubung tragedi korban enam penumpang dalam helikopter yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih pada petang Sabtu, menceritakan dia melihat pesawat malang itu menjunam hingga ke tanah dan mengeluarkan asap hitam.

Mahu dikenali sebagai Kapten Lee, dia yang ketika itu membawa penumpang dari Senai, Johor ke Subang memberitahu laluannya sama dengan helikopter tersebut dan sempat berkomunikasi antara mereka untuk memaklumkan keadaan waktu dan ketinggian.

Katanya, menjadi suatu yang biasa sebagai juruterbang untuk memerhatikan mana-mana kapal terbang atau helikopter yang berada di sekelilingnya.

“Jadi sampai sahaja di Kajang, saya nampak satu helikopter IGB memang keluar dan menuju ke Kajang sedang turun. Bila saya nampak, saya sambung terbang.

“Dalam dua tiga minit, bila saya pandang balik helikopter tu, saya nampak ia dah menjunam, muncung helikopter ke bawah dan saya perhatikan sampai helikopter tu jatuh ke tanah, keluar asap hitam,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Tambah Kapten Lee, pada ketika kejadian cuaca kelihatan cerah walaupun hujan panas, namun dia menafikan adanya hujan ribut.

“Berdasarkan pengalaman saya, yang jatuh tu bukan disebabkan cuaca. Terpulang pada siasat.

“Rasa ngeri. Selepas kejadian, saya terus maklum kepada pengawal di menara kawalan,” katanya yang terpaksa meneruskan perjalanan bersama penumpangnya.

Semalam, helikopter jenis S365 milik IGB Corporation, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang. -therakyatpost


Najib arah siasatan penuh nahas helikopter di Semenyih



SEMENYIH: Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu siasatan penuh rapi dan menyeluruh dijalankan untuk mengetahui punca nahas helikopter di Semenyih petang semalam.

Helikopter itu, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang.

Perdana menteri menjelaskan bahawa mengikut prosedur beliau tidak boleh mengesahkan identiti mangsa selagi belum disahkan oleh pihak forensik.

"Namun berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai, tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangannya kepada kerajaan, parti dan negara," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi nahas di Kampung Sungai Pening, Semenyih di sini malam ini.

Najib yang nyata sedih dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu kehilangan yang amat besar buat diri dan keluarganya memandangkan Jamaluddin adalah kenalan sejak zaman universiti lagi selain amat rapat dari segi sejarah perjuangan dan kerjaya politik.

"Saya anggap Tan Sri Jamaluddin Jarjis seorang yang berkebolehan tinggi, banyak jasanya kepada kerajaan, parti dan negara. Ramai kenalannya di dalam dan luar negara," katanya mengenai Jamaluddin yang pernah bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

"Jamaluddin telah memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat," kata Najib sambil menambah kata, Jamaluddin juga terus banyak memberi nasihat dan pandangan kepadanya walaupun tidak lagi menjadi duta.

Najib, yang dilihat cuba menahan sebak pada sidang media itu, berkata: "Oleh itu kehilangan beliau adalah satu tragedi besar buat saya dan saya amat sedih atas apa yang berlaku."

Selain semasa di universiti, Najib berkata beliau dan Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rompin, turut seiring ketika pembabitan awal dalam UMNO dan seterusnya dalam dunia pentadbiran kerajaan.

Bercakap tentang Azlin yang disifatkan sebagai 'Chief of Staff' di Pejabat Perdana Menteri, Najib berkata pegawainya itu berperanan menentukan pelbagai perkara penting dalam hal-ehwal pejabat itu.

"Secara peribadi beliau telah bersetuju meninggalkan kerjayanya dalam bidang korporat untuk berkhidmat dalam kerajaan sebagai khidmatnya untuk negara," katanya.

"Beliau telah bekerja dengan penuh dedikasi, amanah dan disenangi semua pihak, ketiadaan beliau satu kehilangan besar bagi saya," kata Najib.

Perdana menteri berharap keluarga mereka tabah dan bersabar menempuh dugaan ini dan ketentuan Ilahi.

"Saya dan semua rakan berdoa apa yang telah berlaku itu, sekiranya telah disahkan nanti, kita berdoa kepada Allah supaya roh mereka dicucuri rahmat," katanya.

Perdana menteri berharap sumbangan Jamaluddin dan Azlin kepada negara selama ini dapat dicontohi masyarakat.
-astroawani








[GAMBAR TERBARU] Dato Jamaluddin Jarjis Disahkan 6 Individu Yang Terkorban

Ahli Parlimen Rompin terbunuh dalam nahas helikopter

Bekas menteri yang juga ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis terbunuh dalam nahas helikopter berhampiran Semenyih petang ini. Beliau berusia 63 tahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu Bernama bahawa Jamaluddin adalah antara enam penumpang helikopter malang itu

Turut terbunuh ialah Azlin Alias, setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Empat orang lagi ialah hartawan Robert Tan - pemilik pusat membeli-belah terbesar di negara ini, Mid-Valley City - kapten juruterbang Cliff Fournier, pembantu juruterbang Ajdiana Baiziera, dan pengawal peribadi Tan yang dikenal pasti sebagai Raskan.

Helikopter itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Najib di Pekan, Pahang.

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Bomba Selangor berkata kesemua enam mayat mangsa nahas helikopter itu telah ditemui.

Helikopter itu yang dipercayai dimiliki oleh sebuah syarikat swasta, terhempas dan terbakar pada kira-kira jam 4:55 petang ini.

Sementara itu, Bernama memetik seorang jurucakap JPAM sebagai berkata nahas itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.

Jamaluddin yang merupakan pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), pernah berkhidmat sebagai menteri dan juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Dalam pilihan raya umum 2013, Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen Rompin dengan majoriti 15,114 undi, menewaskan calon PAS Nuridah Mohd Salleh.

Jamaludin memperolehi 30.040 undi, manakala Nuridah meraih 14.926 undi. Penggundi di situ terdiri daripada 87 peratus Melayu, 2 peratus Cina dan 8 peratus lain-lain, yang kebanyakannya Orang Asli. -mk


Jamaluddin Jarjis antara terkorban

Semenyih: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tan Sri Jamaluddin Jarjis antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, petang tadi.

Beliau berkata, Jamaluddin berada di dalam helikopter berkenaan ketika nahas berlaku.

Sementara itu, Pengarah Bomba Negeri Selangor, Othman Abdullah berkata, keenam-enam mayat mangsa nahas helikopter sudah ditemui dan akan dibawa keluar dalam masa sejam. -BH

Helikopter jenis AS365 Dauphin terhempas berhampiran Jalan Sungai Lalang-Kampung Pasir Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, seorang saksi Roslan Harun, 53, yang berada berhampiran lokasi kejadian melihat api marak di kawasan kebun kelapa sawit.

Menurutnya, dia tidak dapat menghampiri lokasi kejadian dan berada kira-kira 200 meter dari serpihan badan utama helikopter berkenaan.

"Ketika kejadian hujan lebat dan saya terus menghubungi bomba memaklumkan kejadian itu.

"Saya kemudian keluar dari lokasi nahas untuk menunjukkan jalan kepada pihak berkuasa untuk masuk ke sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian nahas.
-HM


Saksi dakwa lihat helikopter meletup di udara

SEMENYIH: Seorang saksi yang juga penduduk kampung mendakwa melihat sebuah helikopter meletup di udara sebelum terhempas di Kampung Pasir Baru, Sungai Pening, di sini, petang tadi.

Pengawal keselamatan, Roslan Harun, 53, berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 4.30 itu, beliau sedang berehat di rumahnya.

"Mula-mula pak cik dengar bunyi kipas kuat...nampak helikopter meletup dan terbakar di udara. Selepas itu helikopter mula jatuh ke bawah.

"Tiba-tiba, pak cik dengar letupan kali kedua, mungkin waktu itu, ia sudah berada di darat. Hujan juga ketika itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan. Kawasan kejadian itu juga sudah ditutup kepada orang awam sejak jam 6.30 petang.
-BH


Jamaluddin (dua dari kanan) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri di Pekan, pagi Sabtu, beberapa jam sebelum Jamaluddin terbabit dalam nahas helikopter yang mengorbankannya serta lima lain di Semenyih.

Dato Jamaluddin, Cliff, Robert Tan, Dato Azlin