18 Feb 2015

[MENARIK] Anak Perempuan TGNA: Nak Cari Ilmu Sampai Mana Pun Ayah Akan Tanggung..


Rindu kata-kata mutiara ayah

LIMA hari berlalu pemergian Allahyarham, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak-anaknya mula meluahkan kerinduan terhadap kata-kata mutiara daripada ayahnya.

Anak bongsunya, Nik Asma’ Salsabila, berkata, sepanjang hayat ayahnya itu sentiasa memberikan pesanan yang selama-lamanya akan melekat di dalam hati dan sanubari sebagai seorang Muslim.

“Ketika ini saya rindu untuk mendengar kata-kata ayah dalam ceramah- ceramah yang mempunyai maksud mendalam, perumpamaan mudah untuk difahami dan membawa kebaikan kepada diri saya sendiri dan semua.

“Di saat-saat akhir ayah tidak berpesan apa-apa, tetapi paling saya ingat dan ayah sentiasa pesan ketika hayatnya jangan tinggalkan solat, selalu berselawat dan bacalah ayat Kursi apabila keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di Pulau Melaka semalam.

Biarpun ayah tidak berbahasa puitis dengan anak-anak, namun Nik Asma’ Salsabila memberitahu tutur kata arwahlah dalam memberi nasihat paling diingati untuk pegangan hidup.

Anak ke 10 hasil perkongsian hidup Nik Aziz bersama pasangannya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak itu juga memberitahu, ayahnya itu memang mengutamakan pendidikan agama dalam diri anak-anak.

“Saya masih ingat lagi, semasa saya hendak makan di sisi ayah dan ketika itu ayah sedang membaca kitab, ayah akan berkongsi manfaat bacaannya itu kepada saya,” katanya.

Nik Asma’ Salsabila yang berusia 31 tahun dan mempunyai dua cahaya mata itu juga mengakui sebagai anak bongsu dia lebih rapat dengan arwah bekas menteri besar Kelantan itu.

“Ayah memang tegas, tetapi seorang ayah yang penyayang. Masih teringat lagi ketika zaman kanak-kanak dahulu semasa ayah pulang dan mendapati saya tidur di katilnya, ayah tidak kejutkan saya, sebaliknya ayah yang tidur di bawah,” katanya sambil tersenyum.

Katanya, bilik kedua ibu bapanya itu sangat eksklusif kerana ibunya yang dipanggil dengan panggilan mesra ‘Che’ itu sudah mendidik dari awal-awal lagi tidak boleh sewenang-wenangnya dibenarkan masuk kecuali disuruh.

“Jadi di saat begini saya teringatkan ketika Che membenarkan saya masuk, dapat tidur menggunakan selimut ayah ketika itu dan perkara sedemikian adalah saat yang paling menggembirakan,” katanya.

Tambahnya, sentiasa menjadi pegangan hidupnya apabila ayah selalu berpesan supaya jangan merumitkan keadaan dan jadikan kehidupan itu sesuatu yang mudah.

Selain itu, Nik Asma’ Salsabila berkata, ayahnya memang seorang yang gemarkan masakan kampung, namun dalam tempoh setahun kebelakangan ini arwah lebih sukakan masakan barat terutamanya spageti.

Sementara itu, kakaknya, Nik Amalina, 38, yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, arwah ayahnya itu memang menitikberatkan supaya menuntut ilmu untuk bekalan dunia dan akhirat.

“Ayah berkata, jika mahu mencari ilmu sampai mana-mana pun ayah akan tanggung tetapi kalau nak suruh bawa berjalan (bersiar-siar jauh) tidak boleh.

“Ayah adalah seorang bapa yang baik kerana didikannya boleh mematangkan anak-anak. Masa saya zaman kanak-kanak, abang belajar di Timur Tengah dan ketika itu saya masih ingat dia mahu pulang kerana peperangan, tetapi ayah tidak benarkan dan ayah berkata ‘jika mati nanti kita bertemu di syurga’,” katanya.

Katanya, bukan tidak sayangkan anak, tetapi mementingkan keluarga itu yang diajarnya, namun beliau lebih ke arah mendidik supaya boleh berdikari dalam hidup.

Berkongsi mengenai kegiatan masa lapang pula, Nik Amalina memberitahu arwah lebih suka membaca kitab dan dalam masa sama berkebun.

“Masa lapang ayah dimanfaatkan dengan membaca kitab dan ayah juga akan menerangkan kepada kami secara sejelas-jelasnya isi kandungannya secara mendalam supaya menjadi panduan hidup.

“Pernah juga saya melihat ayah berjalan sekitar kawasan dengan pakaian kebun dan ada penduduk kampung yang tergamam memerhatikannya,”
katanya.

Kongsinya lagi, arwah ayahnya memang seorang yang garang tetapi keperibadiannya itulah menjadikan anak-anak sentiasa hormat dengannya.

“Ayah tegur benda yang memang patut ayah marah seperti baca al-Quran tidak betul. Memang ayah marah.

“Saya reda dengan pemergian ayah. Rindu memanglah sebagai anak mesti terkenangkan ayah. Apatah lagi ketika memandu mesti teringatkan ayah. Namun ketentuan Ilahi itu lah terbaik dan sebagai hambanya kita perlu menerimanya,” katanya.

Katanya, setelah pemergian ayahnya menemui Ilahi keluarga mendoakan yang terbaik demi insan banyak berjasa kepada kami. Tenang dan damailah ayah di sana.

Al-Fatihah. -SH



Isu PasMA: PR Tolak "Permintaan" Iskandar Samad


PR ambil sikap terbuka isu Pasma

KUALA LUMPUR - PR sentiasa mengambil sikap yang terbuka dalam mendengar hujah daripada semua pihak termasuk berkaitan isu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ketika ditemui hari ini berkata, sikap itu bagi mengelak dituduh mendukung mana-mana perjuangan seseorang atau dua individu.

“Pandangan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar A. Samad memohon supaya perkara ini diberikan perhatian.

“Tapi kita di PR sentiasa mengambil sikap yang terbuka. Kita akan mendengar semua pihak yang menerima dasar perjuangan PR.

“Bukan soal kita mendukung perjuangan satu atau dua individu tetapi secara kolektifnya kita menerima prinsip bahawa mana-mana pihak atau organisasi yang mendukung perjuangan PR ,”
katanya ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Iskandar menasihatkan pimpinan PR di Selangor agar tidak terlibat dengan mana-mana program anjuran Pasma memandangkan kerjasama perikatan itu di negeri itu dalam keadaan baik.

Azmin akui memahami maksud kenyataan yang dikeluarkan Iskandar semalam yang menyebut supaya isu Pasma itu diselesaikan oleh Pas secara dalaman.

“Kita perlu dengar dan ‘engage’ dengan mereka supaya kita mengambil sikap yang lebih inklusif bukan sebagai sebuah kelab yang eksklusif dan menolak pihak-pihak yang lain.

“Sementara kita memahami kenyataan tersebut dan juga kita tidak mahu mencampuri urusan dalaman Pas, tetapi sikap yang diambil oleh PR selama ini ialah mendengar, engage dan temu tembung dengan semua pihak yang mendukung dasar PR,”
katanya.

Kenyataan terbaru Pas Selangor itu dilihat selepas nama Pasma kembali hangat diperkatakan dikaitkan dengan gerakan mahu menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pasma, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi bagaimanapun berkata, sudah lali dengan tuduhan itu, dan menganggapnya sebagai isu yang sengaja diperbesarkan untuk menarik perhatian umum menjelang pemilihan parti yang dijangka pada penghujung tahun ini.

ULASAN GB

Ringkas saja ulasan GB hari ini sebab GB telah ulas dengan panjang lebar semalam di dalam entri bertajuk: Apa Hak PAS Selangor Nak Halang DAP & PKR Terlibat Dengan Aktiviti PaSMA?

Hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan. Tahniah YAB MB Selangor yang juga Timbalan presiden PKR yang menolak "arahan" Iskandar Samad tersebut.

Seperti yang GB katakan semalam, tiada sebab untuk PAS Selangor perlu mengeluarkan "arahan" atau "permintaan" supaya PKR & DAP tidak menyertai aktiviti-aktiviti NGO seperti PaSMA kerana bukan saja PAS Selangor malah PAS Pusat sekalipun TIADA KUASA & TIADA HAK untuk berbuat demikian.

Perjuangan kumpulan UG dalam PAS akan tetap gagal. Kita berusaha dan berdoa bersama-sama ke arahnya. InsyaAllah.

Royalti... Apakah K'jaan Kelantan Sudah Tidak Berminat Menuntutnya Lagi?


Jika ikhlas sanjung Nik Aziz, pulangkan hak royalti minyak

Sekiranya benar Barisan Nasional (BN) ikhlas menyanjung bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia Khamis lepas, parti itu seharusnya memulangkan hak royalti minyak kepada rakyat negeri itu, kata PAS.

Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan tindakan menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak.

"Ketika Almarhum Nik Aziz menjadi menteri besar, antara perkara utama membabitkan hak rakyat yang diperjuangkan ialah royalti minyak."

Mahfuz berkata pujian dan sanjungan yang diberi Putrajaya terhadap ketokohan Nik Aziz haruslah selari dan disusuli tindakan memulangkan royalti minyak bagi membuktikan ia tidak hanya berpura-pura.

"Bahkan, terdapat ura-ura BN tidak perlu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sebagai tanda hormat kepada Almarhum," katanya merujuk DUN yang diwakili Nik Aziz semasa hayatnya sejak 1990.

"Alangkah lebih baik sekiranya Najib menunaikan hak yang dituntut rakyat Kelantan iaitu royalti minyak," katanya.

Ini katanya susulan kegigihan Nik Aziz sendiri yang pada 30 Ogos 2010 hadir sendiri ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memfailkan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh daripada perairan negeri itu.

"Justeru, saya berharap agar perasaan simpati dan sanjungan yang diberikan kepada Almarhum itu bukanlah sebuah kepura-puraan.

"Hasrat Almarhum perlulah diterjemahkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui Petronas dengan berlaku jujur dan berani dalam melaksanakan janji yang termeterai seperti di dalam Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974, iaitu membayar tuntutan royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan," katanya.

Minggu lepas, lautan manusia memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mursyidul am PAS itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baru dan turut menghantarnya ke tanah perkuburan, serta ramai yang memuji ketokohan dan kehebatan beliau termasuk pemimpin BN. – TMI

ULASAN GB

Sebelum ini GB sudah ulas dari perspektif yang berbeza, iaitu dari sudut kemungkinan UMNO tidak meletakkan calon di DUN Cempaka. Petikan:

Jika benar UMNO BN tidak bertanding di DUN Cempaka, ia boleh ditafsir dari pelbagai sudut.

Ada yang berkata UMNO takut, UMNO pasti kalah, UMNO belum kukuh malah bertambah rapuh.

PAS pula melalui kenyataan Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan langkah UMNO itu sebagai satu penghormatan.

Soalnya betulkan ia satu penghormatan, atau ada maksud lain yang lebih tersirat dari yang tersurat?

Sebenarnya buat masa ini UMNO amat memerlukan sokongan PAS terutama di dalam isu Anwar Ibrahim yang telah dipenjara.

UMNO BN ini dibelasah habis-habisan dari dalam dan luar negara kerana banyak pihak percaya tindakan pemenjaraan Anwar adalah bermotifkan politik. Jika tidak masakan pendakwa kes tersebut, Mohd Shafee Abdullah masih terus menghentam Anwar di saat Anwar sudah tidak lagi dapat membela dirinya?

UMNO amat berharap PAS akan berlembut dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersamanya. Masa depan UMNO sudah gelap selepas dan ia hanya akan mampu bangun jika PAS menghulurkan tangan untuk menyelamatnya.

Pilihan yang ada ialah memberi laluan mudah untuk PAS menang di DUN Cempaka. Dengan harapan PAS akan rasa terhutang budi.

Tetapi apakah PAS mahu menggadai "body"nya nanti dengan budi yang kecil itu?

Rakyat Kelantan ada jawapannya, apakah royalti rakyat Kelantan yang dicuri selama ini nak didiamkan begitu saja?

Yang pelik, hal ini terpaksa disuarakan oleh Sdra Mahfuz Omar, ketua Penerangan PAS Pusat. Kerajaan PAS Kelantan semacam dah tak kisah sangat lagi hal royalti.... Ia hebat sewaktu Allahyarham TGNA sebagai Menteri besar dan Husam Musa masih sebagai exco, sekarang sudah sejuk. Rakyat Kelantan sendiri kini yang terpaksa berhempas pulas untuk menuntut kembali hak mereka...