Saya orang Islam, tidak boleh terlibat penipuan – Mejar Zaidi
Pegawai Kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad menyatakan sebagai seorang penganut agama Islam beliau tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan perkara yang tidak betul.
Menurutnya, sebagai seorang Islam beliau harus menceritakan perkara yang sebenar.
“Saya tidak boleh menjadi sebahagian dalam penipuan ini dan saya harus menceritakan perkara sebenar kerana saya dijanjikan dakwat tersebut tidak boleh hilang dengan cara yang mudah tetapi sebaliknya mengapa ia (dakwat) hilang dengan mudah,” katanya di sambut tepukan gemuruh penonton yang hadir dalam satu forum di ibu negara, malam tadi.
Zaidi berkata demikian, merujuk kepada tindakan pihak atasannya yang memerintahkannya untuk tidak lagi melakukan penerbangan dan sebaliknya disimpan di dalam kem sahaja.
“Selepas saya buat laporan polis, saya tidak dibenarkan lagi ‘fly’ seolah-olah mereka meletakkan saya di dalam ‘cold storage’. Lebih baik saya duduk di luar dan saya boleh bercakap daripada duduk di dalam tidak boleh buat apa-apa,” katanya lagi.
Bukan itu sahaja, pada forum tersebut Zaidi turut menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon Hasnan yang didakwanya tidak memberikannya ruang untuk membela diri.
Selain itu beliau juga mendakwa terdapat “kuasa besar” yang memerintahkan supaya hukuman tersebut dijatuhkan ke atasnya sehinggakan Yang Dipertua Mahkamah membuat keputusan sedemikian
“Mesti ada ‘something yang powerful’ di atas. Cara dia (Saadon) menegur adalah tidak betul. Sebab itu saya marah, ‘at least’ beri saya peluang untuk bercakap, ” katanya.
Zaidi didapati bersalah kerana membuat laporan polis dan mengadakan sidang media bagi menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU).
Beliau membuat laporan polis selepas dakwat kekal di jarinya hilang sebaik sahaja dibasuh beberapa jam selepas membuang undi pada PRU13 lalu. -FMT
Mejar Zaidi ditawarkan pekerjaan di Pulau Pinang
Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera baru-baru ini mungkin akan diambil bekerja di Pulau Pinang.
Memetik laporan sebuah portal berita hari ini, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd Rashid Hasnon dikatakan, sedang mencari peluang pekerjaan bagi membantu bekas pegawai tentera itu.
Menurut Mohd Rashid, buat masa kini, pihaknya masih meninjau kekosongan pekerjaan di kawasan Bertam atau Tikam Batu.
"Dia adalah kawan rapat saya dan ini masanya untuk saya bantu rakan yang memerlukan.
"Kami akan mempertimbangkan untuk menawarkan dia kerja dalam NGO mungkin," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.
Mejar Zaidi dibuang kerja 12 Januari lalu selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.
Zaidi mencetuskan kontroversi semasa pilihan raya umum lepas Mei 2013 apabila beliau memberitahu media bahawa dakwat kekal yang digunakan boleh dikeluarkan dengan mudah.
"Akan ada peluang untuk Zaidi di mana beliau secara aktif boleh menyumbang kepada rakyat," kata Rashid, sambil menambah bahawa pada masa ini tiada kekosongan jawatan di pejabatnya. -SH