Sebuah pesawat Airbus yang dikendalikan oleh penerbangan tambang murah Lufthansa, Germanwings dilaporkan terhempas di selatan Perancis hari ini.
Laporan memetik sumber pihak berkuasa menyebut, pesawat A320 tersebut dalam perjalanan dari Barcelona ke Dusseldorf.
Pesawat Germanwings penerbangan 4U9525 tersebut dilaporkan membawa 150 orang, menurut laporan agensi antarabangsa.
Jumlah itu termasuk dua orang juruterbang dan empat anak kapal.
Laporan media ABC memetik Presiden Perancis Francois Hollande sebagai berkata, "nampaknya tiada yang terselamat" dalam kejadian tersebut.
Menurut Holande, kejadian itu berlaku di kawasan yang sukar dimasuki, di banjaran Alps, lapor Newsweek di Twitter.
Laman penjejak penerbangan Flightradar24 menyebut pesawat dengan nombor penerbangan D-AIPX hilang dari radar pada 09.39 pagi waktu tempatan.
TERKINI: Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata satu daripada kotak hitam pesawat Germanwings yang terhempas di pergunungan Alps Perancis sudah ditemui.
"Satu kotak hitam yang ditemui beberapa jam selepas nahas itu akan terus diperiksa untuk membantu siasatan," katanya di sini.
Beliau berkata, tapak nahas itu akan dikawal bagi memudahkan pihak berkuasa termasuk agensi menyelamat masuk ke kawasan itu. - Reuters
Beberapa hari untuk keluarkan mangsa nahas Germanwings
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls berkata sebuah helikopter sudah mendarat dekat serpihan pesawat Germanwings yang membawa 150 orang di pergunungan Alps Perancis dan mendapati tiada yang terselamat.
Cuaca di kawasan itu semakin buruk menjelang tengah hari, hujan dan sangat sejuk, katanya.
Seorang pegawai kerajaan tempatan pula memberitahu akhbar Echos, pesawat itu berkecai dengan serpihan terbesar adalah sebesar kereta.
Pesawat Airbus A320 milik Germanwings, syarikat penerbangan tambang rendah anak syarikat Lufthansa, yang membawa 144 penumpang dan enam krew terhempas di pergunungan itu selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan udara Perancis pada jam 10.30 pagi pada ketinggian 6,000 kaki (1,828 meter).
Pesawat itu dalam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.
Sementara itu, polis Perancis turut mengesahkan tiada yang terselamat dalam nahas itu dan menjangkakan usaha menyelamat mangsa akan mengambil masa beberapa hari kerana cerun gunung yang curam.
"Akan mengambil masa beberapa hari untuk mengeluarkan mangsa dan kemudian bangkai pesawat," kata pegawai polis Jean-Paul Bloy.
Mengikut polis setakat ini belum ada teori mengenai punca nahas itu.
Pihak berkuasa penerbangan Perancis berkata, juruterbang tidak membuat panggilan kecemasan dan hubungan radio terputus sekali gus menokok misteri kenapa pesawat itu kemudian tiba-tiba hilang altitud selama lapan minit sebelum terhempas.
Dalam pada itu, Germanwings berkata, Penerbangan 4U 9525 membawa 144 penumpang termasuk dua bayi dan enam krew. Mengikut pegawai, 67 warga Jerman termasuk 16 pelajar sekolah tinggi adalah antara penumpang.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Barcelona pada jam 10.01 pagi tetapi mula turun selepas mencecah paras penerbangan 38,000 kaki (11,582 meter). Ia terus turun selama lapan minit sebelum terhempas. -AP
Takziah untok smua waris-waris mangsa
BalasPadamlagi pesawat terhempas..takziah
BalasPadam