10 Apr 2014

Kehilangan MH370 Dedahkan Kelemahan Ketara Pemerintahan BN Pimpinan Najib!


Kolumnis terkenal Bloomberg semalam menulis bantahan global atas kehilangan pesawat MH370 menekankan kelemahan paling ketara ke atas Putrajaya, dan terlalu sedikit tentang kekuatannya.

Padahal, kata William Pešek enam bulan lalu Presiden Amerika Syarikat, Barak Obama memuji Malaysia sebagai "satu contoh ekonomi yang dinamik" dan disebut-sebut kerana kepelbagaian budayanya sebagai model kepada orang lain, namun pujian itu kini menjadi naif ekoran kejadian tragis ini.

Merujuk kepada kritikan yang ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan usaha Putrajaya dalam menangani krisis, Pešek berkata: "Wajar atau tidak, sejak 8 Mac apabila pesawat MH370 hilang dalam perjalanan ke Beijing, Malaysia kehilangan banyak kedudukannya di rantau ini dan juga di seluruh dunia."

Beliau juga mengecam pendekatan Putrajaya dalam mengendalikan perselisihan dalaman dan toleransi antara agama – antara lain, sabitan pemimpin DAP, Karpal Singh atas tuduhan menghasut dan terbaliknya keputusan pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan diam kepada usaha konservatif Islam untuk mengehadkan penggunaan kalimah Allah – dan berkata pentadbiran yang diterajui Najib memerlukan lebih daripada sekadar perhubungan awam untuk meningkatkan imejnya.

"Negara itu memerlukan lebih kepada revolusi politik," kata Pešek.

"Krisis penerbangan MH370 mendedahkan sepenuhnya bahaya membenarkan satu parti sahaja memerintah negara selama enam dekad.

Sejak memegang jawatan tertinggi pada 2009, Najib terpaksa mengalihkan perhatiannya daripada pemuliharaan ekonomi Malaysia kepada mengekalkan Umno ditampuk kuasa."

Pešek menambah pengendalian buruk Putrajaya terhadap MH370 bukan suatu penipuan.

"Kejadian ini mendedahkan elit politik yang tidak pernah menghadapi soalan daripada rakyatnya, apatah lagi dari dunia luar
.

"Budaya politik yang sama dicipta dalam menguruskan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines (MAS). Tidak menghairankan, sebelum ini, syarikat penerbangan itu jauh terkebelakang dalam persaingan global yang semakin meningkat," katanya.

Pandangan Pešek bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh wartawan New York Times Thomas Fuller beberapa hari selepas penerbangan MH370 hilang.

Pakar hal ehwal Asia Tenggara itu berkata kekurangan koordinasi dari jabatan-jabatan di Malaysia dan maklumat yang bercanggah antara satu sama lain dalam pencarian MH370 hanya menunjukkan bagaimana teruknya cara pemimpin negara mengendalikan krisis.

"Tetapi keraguan di seluruh dunia tentang kehilangan penerbangan MH370 mencabar budaya politik negara dan mendedahkan kelemahan pemimpinnya dalam menghadapi pengkritik dari seluruh dunia," katanya.

Fuller juga merujuk kepada dua kes besar mahkamah yang melibatkan Anwar dan Karpal dalam kritikannya yang disifatkannya sebagai usaha menyekat perbezaan pendapat politik di Malaysia.


Reuters hari ini melaporkan misteri penerbangan MH370, yang hilang lebih daripada sebulan lalu mencetuskan operasi mencari dan menyelamat paling mahal dalam sejarah penerbangan, tetapi maklumat konkrit membuktikan ia sesuatu yang mengecewakan.

Sehingga kini, 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan 13 kapal dijangka terlibat dengan usaha pencarian besar-besaran yang sehingga kini terbukti sia-sia dalam mengenal pasti apa-apa bukti fizikal dari bangkai pesawat itu.

Pencarian hari ini datang dengan satu keyakinan, selepas pegawai Australia berkata mereka mengesan dua isyarat baru "ping" yang mungkin datang daripada perakam kotak hitam pesawat. -TMI



Muhyiddin Di Dubai: 3 Jam Majlis Rasmi 10 Jam Di Padang Golf

Muhyiddin lebih pentingkan golf dari majlis rasmi?

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin didakwa lebih banyak menghabiskan masa di padang golf daripada di majlis rasmi dalam lawatannya ke Dubai dari 8 Hingga 12 April 2014.

Menurut ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ketua Audit Negara perlu menyiasat bukan sahaja lawatan Muhyiddin ke Dubai ini, tetapi juga mana-mana perjalanan lain Muhyiddin yang dilakukan oleh beliau sejak kebelakangan ini.

Kata mereka, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan nampaknya sedang menikmati percutian golf lima hari di Dubai dengan dibiayai oleh wang pembayar cukai Malaysia.

“Jadual perjalanan “lawatan kerja” Muhyiddin ke Dubai, United Arab Emirates (UAE) dari 8 hingga 12 April 2014, kononnya untuk menghadiri Gulf Education and Training Exhibition (GETEX) 2014, mendedahkan bahawa penerbangan Timbalan Perdana Menteri adalah dengan menggunakan “pesawat khas,”
kata mereka berdasarkan laporan blog peniupwisel2020.blogspot.com.

Mereka mendakwa beliau juga menginap di hotel lima bintang Shangri-La Dubai selama lima hari, sementara tugas Muhyiddin di GETEX hanya memerlukan beliau untuk menghadiri majlis pembukaan rasmi, merasmikan Education Malaysia Pavilion, serta menerima jemputan hormat Menteri Pendidikan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Pembangunan Masyarakat UAE.

“Akhir sekali, beliau dijadual menandatangani MOU mengenai pendidikan tinggi. Semua program di atas dijadualkan antara jam 10 pagi hingga 1 petang pada 9 April, dari mana beliau akan bertolak ke Kelab Golf Montgomerie, dan kemudian disusuli dengan makan malam di atas kapal layar,” kata mereka lagi.

Steven Sim dan Zairil menambah hari-hari yang berikutnya di Dubai akan diisi dengan “program peribadi” dan makan malam tidak rasmi dengan beberapa tokoh perniagaan dan diaspora Malaysia.

“Pada hari terakhir, sekali lagi beliau mengisi masa dengan acara golf. Dalam erti kata lain, Muhyiddin menghabiskan lima hari di Dubai untuk tiga jam program rasmi berkaitan dengan pendidikan, 10 jam di padang golf dan dua hari untuk “program peribadi.” dakwa mereka.

Kedua-dua ahli parlimen DAP itu berkata rakyat mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos untuk perjalanan mewah ini, termasuk kos “pesawat khas,” penginapan di hotel lima bintang Shangri-La Dubai untuk keseluruhan rombongan, dan kos lain berkaitan yang akan ditanggung oleh Kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Education Malaysia, TalentCorp (yang menaja makan malam diaspora Malaysia pada 11 April) dan Jabatan Perdana Menteri (di mana Pejabat TPM diletakkan).

“Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar antara semua kementerian dalam Belanjawan 2014 (RM54 bilion atau 21 peratus daripada Belanjawan Persekutuan), namun pencapaian murid sangat teruk sejak kebelakangan ini,” dakwa mereka.

Kata mereka lagi, bukan sahaja pelajar Malaysia makin merosot dalam penilaian antarabangsa seperti PISA (Programme for International Students Assessment) dan TIMSS (Trends in International Math and Science Study), KPM juga baru-baru ini mendedahkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris juga merosot dalam kalangan guru dan pelajar kita, menurut laporan oleh Cambridge English.

“Tiada sesiapa yang menafikan bahawa pendidikan adalah bidang kritikal yang harus diberikan perhatian termasuk daripada segi sumber dana, namun kerajaan perlu membelanjakannya untuk program yang benar-benar meningkatkan pencapaian pelajar dan bukannya “cuti mewah” di mana Menteri Pendidikan boleh bermain golf,” kata mereka lagi. -FMT



Pilihanraya Indonesia: Tiada Isu Seks, Liwat Dan Dakwat Benar-benar Kekal -Prof Agus

Pemilu Indonesia: Isu masa depan negara jadi fokus - Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus

SHAH ALAM - "Kempen Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014 hanya berkisar mengenai kesejahteraan hidup rakyat dan masa hadapan negara," kata penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang kini berada di Indonesia untuk membuat perhatian pilihan raya di sana. Gambar: Prof Agus menunjukkan dakwat kekal yang tak hilang walau telah dicuci.

Ketika mengulas mengenai pembuangan undi oleh rakyat Indonesia hari ini, menurutnya isu kempen pilihan raya Indonesia lebih menjurus kepada kempen untuk menjadikan Indonesia lebih baik dan tiada isu moral pesaing dimainkan.

"Bandar seluruh Indonesia pagi ini lenggang. Rakyat beratur mengundi seawal jam 7 pagi hingga 1 petang apabila tempat mengundi ditutup.

"Di tempat mengundi tadi, saya berbincang dengan beberapa orang. Kata mereka, isu utama pilihan raya adalah ke arah menjadikan Indonesia lebih baik dan sejahtera, tiada isu 'kotor' yang dimainkan," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Rakyat Indonesia menunaikan tanggungjawab mereka hari ini untuk mengundi pada Pemilu Parlimen Indonesia 2014.

Nasib calon-calon yang merebut 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau parlimen Indonesia akan ditentukan oleh 185.5 juta pengundi berdaftar negara tersebut.

Selepas tiga minggu kempen parti politik berakhir Sabtu lepas, pengundi berdaftar Indonesia akan menentukan pemimpin mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.

Rakyat Indonesia secara serentak akan memilih lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah.

Ini merupakan kali keempat Indonesia melaksanakan Pemilu sejak kembali ke sistem demokrasi selepas 32 tahun dikuasai satu parti sahaja.


INDONESIA MEMILIH

Bandar seluruh Indonesia pagi ini lenggang. Rakyat beratur mengundi seawal 7 pagi. Jam 1 petang, tempat mengundi ditutup.

Mengundi menggunakan dakwat kekal. Saya cuba dakwat tersebut. Saya balik bilik, cuba cucikan dan memang kekal, tetapi tidak tahulah untuk berapa lama. Cuma diberitahu kekal untuk seminggu.

Jam 1 petang nanti, pengiraan undi dibuat di tempat mengundi. Saya akan ke situ sekejap lagi. Satu tempat mengundi mempunyai 300-380 pengundi.

Di tempat mengundi tadi, saya berbincang dengan beberapa orang. Kata mereka, isu utama pilihan raya ialah kesejahteraan hidup rakyat dan masa depan negara. Kata mereka lagi, di sini tidak ada isu seks dan politik liwat.

Dengan perlahan, saya keluar baris. Aduh!
-FB Prof Muhammad Agus




[VIDEO] Utusan Pernah Akui "Putar" Fakta Berita, Skrg Tuduh Org Lain Tidak Beretika


Utusan tuduh kewartawanan Mkini 'zaman batu'

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menggiatkan semula serangan ke atas Malaysiakini, dengan dakwaan bahawa portal akhbar ini mengeluarkan berita tidak beretika dan mengamalkan “kewartawanan zaman batu”.

Tanpa merujuk kepada mana-mana laporan khusus, rencana tulisan seorang editornya Zulkiflee Bakar mendakwa Malaysiakini berpura-pura menyiarkan laporan seimbang.

“Sebaliknya, semua orang amat mengetahui ke mana kecenderungan laporan mereka, apa niat mereka dan apa agenda tersirat mereka,” tulisnya.

Beliau juga mendakwa Malaysiakini mengamalkan kewartawanan songsang dan menyiarkan perkara yang didakwa menjejas keharmonian kaum dan agama.

“Malaysiakini tidak akan mampu menolak andaian bahawa mereka mengamalkan corak kewartawanan zaman batu mungkin selaras dengan kempen pengurusannya yang menjual batu bata untuk membina bangunan portal berita tersebut,” tulisnya lagi.

Ia merujuk kepada kempen Malaysiakini untuk mengutip dana daripada orang ramai untuk membiaya pembinaan pejabat baru di Petaling Jaya.

Penyumbang berpeluang mengabadikan nama mereka di bata berkenaan untuk pameran.

Zulkiflee seterusnya bersyarah mengenai kewartawanan bertanggungjawab yang didakwa tidak diamalkan oleh Malaysiakini.

“Kewartawan yang bertanggungjawab tidak akan memaparkan fakta yang belum tentu benar, tidak akan memaparkan isu yang boleh mencetuskan kontroversi dan sudah pasti sama sekali tidak akan memutarbelit fakta demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Namun jika kita melihat corak pemberitaan Malaysiakini ia jelas membuktikan kesemua itu seolah-olah tiada dalam perkiraan mereka,” katanya.

Dalam satu lagi laporan, Utusan memetik kenyataan seorang jurucakap NGO Jaringan Melayu Malaysia Hamdan Mohd Salleh yang mengaitkan Malaysiakini dengan satu golongan didakwa sebagai Red Bean Army (RBA).

Hamdan dalam laporan itu mendakwa Malaysiakini dan RBA berkongsi agenda dan fokus yang sama.

“Malaysiakini dan RBA mempunyai hubungan yang akrab untuk menjatuhkan kerajaan. Dana yang mereka peroleh amat besar dan mereka menafikan serta bersikap berdiam diri ketika pendedahan dibuat,” dakwanya.

Malaysiakini telahpun menjelaskan dakwaan tersebut berkali-kali. -mk

ULANGSIAR


Utusan Mengaku Putar Fakta Berita Supaya Berpihak Kepada BN

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pengamal media dibolehkan "memutar" fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak.

Menurutnya, langkah itu adalah "serangan berhemah" kepada pembangkang yang kini menguasai persepsi umum sehingga menyebabkan kerajaan BN "dibicarakan" dalam ruang politik negara.

"Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan).

"Dari segi perang psikologi kita jangan ikutlah blatant lie, kita jangan tulis pembohongan.

"Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta tersebut memihak kepada kita, itu OK," kata Zaini.

Beliau turut mengakui kelebihan kini berpihak kepada pembangkang dalam perang psikologi politik menerusi media sosial.

"Kalau kita lihat sebelah sana, media (mereka) tidak tengok duit.

"Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah).


"Tetapi kita di sini, minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera)," kata Zaini sewaktu bercakap pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur.

Zaini yang popular dengan kolum Cuit dalam akhbar Utusan Malaysia turut mengakui bahawa media kini memainkan peranan yang jauh lebih penting berbanding faktor wang dan jentera dalam memenangi pilihan raya.

"Dalam konteks Malaysia, media dah jadi tempat pertama (dalam memenangi pilihan raya)," kata Zaini.

Ketua Sekretariat Himpunan Ulama Muda Umno, Fathul Bahari Mat Jahaya yang turut menjadi panelis forum pula menggesa pengamal media sosial agar memeriksa fakta di sebalik sebarang dakwaan yang bersifat politik.

"Islam dan agama lain ajar kita kalau ada tohmahan, kita kena ada
bukti sama ada ia benar atau tidak benar," katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa pengamal media sosial pro-BN supaya mengamalkan "muslihat" dalam perang psikologi terhadap pembangkang.

Menurutnya, Nabi Muhammad turut mengamalkan muslihat dalam peperangan dengan menghitamkan rambut tentera Islam yang berusia agar kelihatan muda dan gagah pada mata musuh. -mk



Ulasan GB

Ternyata sekarang akhbar arus perdana menggunakan falsafah haiwaniah "matlamat menghalalkan cara" untuk memenangkan UMNO BN di dalam siri pilihanraya.

Al-Quran telah menempelak golongan yang menyembunyikan dan memutarkan "kebenaran"

Mereka yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya (kebenaran), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman. -Al-An'am :20

Anda mahu beli @ baca lagi Utusan selepas ini sedangkan pengakuan bahawa fakta sebenar telah diputarkan? Anda mahu lagi bersekongkol untuk mendapat saham dosa percuma dengan menyokong akhbar yang telah terang-terangan mengaku melakukan kerja-kerja mungkar dan pembohongan tersebut?

Biar dituduh berada di zaman batu, daripada melakukan pemutaran (spin) fakta berita seperti yang diajarkan Utusan kepada para wartawanny, dan melaluinya gaji diterima dengan hasil kerja pemutaran berita itulah diberi makan anak-bini mereka!