Soalan seks untuk murid sekolah?
SEREMBAN - Soalan berunsur seks dalam borang soal selidik yang diedarkan kepada murid sekolah rendah di Nilai mendorong dua wakil rakyat membuat aduan sekali gus menuntut tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, semalam.
Adun Nilai, J Arul Kumar yang hadir bersama Adun Senawang, P Gunasekaran, mempersoalkan apa relevannya soalan berkaitan keguguran kandungan, kaedah mencegah kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii ditanya kepada murid sekolah rendah.
"Soalan seperti ini tidak sepatutnya ditanya kepada murid sekolah rendah," kata Arul Kumar.
Beliau turut menunjukkan borang soal selidik itu yang antara soalannya ialah 'Saya mempunyai keinginan seks terhadap (a) kaum (jantina) sejenis (b) keinginan untuk menjadi berlainan jantina'.
Satu lagi soalan, 'saya pernah melakukan perkara-perkara berikut (a) membaca/ menonton bahan-bahan lucah (b) melancap/ masturbasi (merangsang diri sendiri secara seksual).
Sinar Harian difahamkan, borang soal selidik itu diedarkan di sekolah-sekolah di negeri ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu Jumaat lalu oleh ibu bapa murid tahun empat yang bimbang persoalan yang dibangkitkan dalam soal selidik itu mencemarkan pemikiran anak mereka.
“Setelah diteliti, kita dapati soalan pada halaman tiga itu memang tidak sepatutnya diajukan kepada murid sekolah rendah. Kita pun hairan bagaimana pihak berkenaan boleh terfikir untuk menyoal selidik budak sekolah rendah dengan soalan seperti itu.
“Cuba bayangkan, apa yang kanak-kanak ini faham tentang keguguran kandungan, kaedah pencegahan kehamilan, penukaran jantina, masturbasi, bertukar-tukar pasangan dan hubungan seks luar tabii,” katanya.
Arul Kumar berkata, tidak timbul masalah jika soalan itu diajukan kepada golongan remaja, khususnya pelajar sekolah menengah memandangkan topik dibangkitkan bersesuaian dengan mereka untuk tujuan kesedaran.
“Ibu bapa itu sendiri kata kepada saya, mereka serba salah apabila anak-anak yang masih kecil ini balik bertanya kepada mereka soalan-soalan yang mereka sendiri tak boleh nak jawab. Pada saya, perkara seperti ini boleh dedahkan anak-anak kepada perkara yang mereka tak sepatutnya tahu lagi pada peringkat usia itu," katanya.
Sehubungan itu, Arul Kumar minta Jabatan Pendidikan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
“Kita harap Jabatan Pendidikan negeri memandang serius perkara ini kerana mengikut maklumat diterima, dipercayai kaji selidik berkenaan bukan saja diedarkan di sekolah terbabit, malah di semua jenis sekolah rendah di negeri ini sejak tahun lalu.
“Bagaimanapun, kita terpaksa menanti sehingga hari ini (semalam) untuk bertindak selepas mendapat bukti mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid ketika dihubungi Sinar Harian berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kaji selidik berkenaan dibuat klinik kesihatan berdekatan tanpa pengetahuan dan kebenaran Jabatan Pendidikan negeri.
"Setakat ini, kita tak pasti berapa banyak yang sudah diedarkan dan sekolah mana terlibat.
"Buat permulaan kita minta pengurusan sekolah yang menerima borang kaji selidik ini supaya menghentikan pengedarannya," katanya.
Kalsom berkata, pihaknya akan membuat siasatan lebih lanjut sebelum sebarang tindakan diambil. -SH
Tinjauan seks: Kementerian tunggu penjelasan JPN
Kementerian Pelajaran menunggu maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPN) berhubung dakwaan tinjauan kecenderungan seks yang dilakukan ke atas murid sekolah rendah kebangsaan di Nilai.
Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata setakat ini pihak kementerian juga belum dapat memastikan jika insiden yang didakwa itu benar-benar berlaku.
"Kita belum dapat maklumat lagi daripada pihak negeri berkenaan perkara ini. Kita kena lihat apa yang sebenarnya berlaku.
"Sistem dan cara kita ada (untuk menangani perkara ini) termasuklah prosedur dia," katanya pada sidang media merasmikan pelancaran buku teks digital Kementerian Pendidikan yang meliputi 313 jenis buku teks di Petaling Jaya pagi ini.
Semalam dua wakil rakyat DAP memfailkan rungutan mereka dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berhubung satu tinjauan berkaitan kecenderungan seks yang didakwa berlaku di satu sekolah rendah di Nilai.
ADUN Nilai J Arulkumar dan ADUN Senawang P Gunasekaran berkata mereka dimaklumkan perkara itu oleh seorang ibu bapa pelajar berusia 10 tahun minggu lepas.
Antara soalan yang ditanya adalah sama ada pelajar pernah melakukan onani atau menonton bahan lucah dan sama ada mereka mempunyai kawan istimewa atau kekasih.
Pelajar juga didakwa turut ditanya jika mereka mempunyai minat terhadap sesama jantina atau berhasrat untuk menukar jantina mereka.
Selain itu mereka juga didakwa ditanya jika mereka ada bertukar-tukar pasangan, melakukan seks sejenis, melakukan seks di luar tabie atau mengamalkan perancangan keluarga. -mk
kementerian pendidikan mesti cepat ambil tindakan sblm pemikiran anak2 bwh umur ini bercelaru. apa lu bikin Jusoh? dulu lobi sana sini mau angkat jd kabinet, now do your job la..
BalasPadam