12 Dis 2013

R4BIA Semakin Tersebar Bukti Bahawa Penentang Kudeta Semakin Ramai


Kaherah. Sebuah akhbar UK, The Guardian menyebutkan bahawa semakin meluasnya simbol R4BIA menunjukkan tentang penolakan rakyat Mesir terhadap kudeta militer semakin meluas. Hal ini seperti dimuatkan dalam akhbar berkenaan pada edisi Selasa (10/12/2013) yang lalu.

Penguasa kudeta selalu melakukan usaha membenteras simbol ini. Namun semakin ia diperangi, ia menjadi semakin meluas. Hal ini membuktikan pembohongan tentera kudeta bahawa aksi kudeta mereka mendapatkan dukungan yang luas dari rakyat.

Terakhir, Khalid Bakara, seorang pelajar berumur 15 tahun telah ditangkap dan ditahan bersama tahanan dewasa selama 16 hari, tanpa ada pengadilan. Bakara ditahan hanya kerana membawa sebarang pembaris bergambarkan simbol R4BIA. Tindakan penguasa yang sewenang-wenang kepada pelajar ini hanyalah ugutan untuk menakuk-nakuti para pelajar agar mereka tidak lagi mendukung Presiden Mursi.

Sebelumnya pihak penguasa juga melarang bermain pemain sepakbola Ahmad Abdu Zhahir setelah menunjukkan simbol R4BIA selesai menjaringkan gol semasa pertandingan final Liga Champion Afrika. Malah Abdu Zhahir dijual oleh kelabnya.

Juara kungfu juga ditahan kerana aksi yang sama ketika menerima pingat emas didalam kejuaraan kungfu di Rusia. Yang tidak kurang menggemparkan adalah 21 mahasiswi gerakan “7 Pagi” yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di kota Iskandariah.

Peguam Bakara, Amru Abdul Maqsud, menyatakan bahawa kasus anak guamnya bebas dari politik. Menurutnya, penangkapan Bakara bertujuan menekan pendukung Presiden Mursi agar tidak lagi melakukan demonstrasi menentang kudeta. Apalagi di daerah asal Bakara, Balthim, yang terjadi demonstrasi hampir setiap hari.

Abdul Maqsud menyebutkan, Bakara dituduh berhubungan kepada Jamaah Ikhwanul Muslimin yang dilarang, menjelek-jelekkan tentera, dan provokasi untuk melakukan kekerasan. Tapi di waktu yang sama, menahan anak di bawah umur bersama para tahanan dewasa adalah satu kejahatan yang diancam hukuman seperti tercatat di dalam undang-undang.

[VIDEO & GAMBAR] Mahasiswa, NGO Lancar Gerakan TURUN Kos Sara Hidup


Sekumpulan mahasiswa semalam melancarkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang akan bertindak sebagai kumpulan pendesak bagi membantah kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Majlis pelancaran yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo turut dihadiri pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) iaitu Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat.

Kok Seong berkata, penubuhan Turun adalah manifestasi anak muda yang muak dengan pelbagai janji manis kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, namun sebaliknya berlaku setelah terus berkuasa.

“Kami Pemuda PR, menyokong gerakan ini kerana kita tidak mahu kerajaan terus menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan yang tidak munasabah.

“Bukan saja kos sara hidup meningkat, malah pelbagai kenaikan yang membebankan dikenakan seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus, pemotongan subsidi gas asli, kenaikan cukai taksiran dan lain-lain lagi.

“Kenaikan semua ini juga amat bertentangan dengan janji manis mereka sebelum PRU-13 lalu, akhirnya janji tinggal janji,” katanya.

Suhaizan menambah, Pemuda PR akan bersama gerakan ini untuk mendesak kerajaan supaya tunduk dan mendengar suara rakyat.

Objektif turun adalah bertindak sebagai jentera penerangan kesedaran rakyat supaya turut sama menyuarakan bantahan terhadap kegagalan urus tadbir kerajaan dalam menguruskan kebajikan masyarakat.

Turun juga akan bertindak sebagai pusat pengumpulan anak muda yang ditindas agar nasib mereka dapat diperjuangkan.

Manakala agenda lainnya adalah mendesak kerajaan membanteras korupsi, menstrukturkan subsidi industri, menangguhkan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan memecahkan monopoli terutama pembekal gula.

Turun akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat bermula dengan forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Sabtu ini (14 Disember). -Roketkini

NGO, siswa lancar gerakan turun kos sara hidup


Kumpulan NGO dan mahasiswa hari ini melancarkan gerakan mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat, antaranya ekoran tindakan kerajaan menghapuskan subsidi secara perlahan-lahan dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Gerakan yang disokong parti politik pembangkang itu antaranya mempersoalkan kenaikan kos sara hidup rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Berucap dalam perhimpunan awal membantah perkara itu di ibu negara semalam, Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) Ahmad Afif Zulkifli menyeru golongan muda tampil mendesak kerajaan melalui Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN).

"Buktinya satu demi satu isu kezaliman berlaku kepada kita, kenaikan barang makan dan minum juga mengalami kenaikan.

"Adakah golongan muda mahu berdiam diri lagi? (Mahu) lawan atau senyap?" soalnya lagi sambil dijawab "lawan" oleh sebahagian besar daripada kira-kira 50 peserta yang hadir.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat (gambar atas, di tengah), Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong dan beberapa pemimpin aktivis mahasiswa.

Gimik tangan terikat

Pada masa yang sama, beliau juga mengkritik kerajaan BN yang didakwa tidak jujur dan sudah menipu rakyat, berbeza dengan manifesto pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

"BN janji macam-macam dalam PRU tetapi bila memerintah macam-macam naik (harga). Ada penyelewengan, ada rasuah.

"Graduan lepasan universiti akan bekerja di sektor awam mahupun swasta dengan gaji yang sedikit membuatkan kelompok ini tertekan dan terpaksa bekerja lebih masa menampung kehidupan," kata Suhaizan.

Sementara itu, demonstrasi di sebuah pusat membeli belah itu diwarnai dengan gimik pelancaran menyaksikan tiga peserta diikat tangan dan masing-masing memegang replikas berupa tol, petrol dan logo Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kemudian, Pengerusi TURUN Azan Safar tampil memotong ikatan tangan itu dan kesemua peserta melepaskan ke udara belon kuning bertulis perkataan "TURUN".

Orang ramai yang lalu-lalang, kebanyakan membeli belah untuk jualan hujung tahun, ada yang berhenti menjengah sebentar.

Dalam masa terdekat, gabungan itu merancang mengadakan forum membincangkan masalah kenaikan kos sara hidup dan mahu menyerahkan hasil penyelidikan mereka kepada pelbagai anggota Parlimen supaya membangkitkannya di Dewan Rakyat.
-mk





Hebahkan Sumbangan Isteri Hanya Helah Najib Tutup Keborosan Rosmah

Kenyataan Kadir Jasin lambang kekecewaan penyokong Umno, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat kenyataan bekas wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin tidak boleh dipandang remeh dan perlu mendapat perhatian pemimpin kerajaan kerana ia menggambarkan kekecewaan seorang penyokong Umno.

Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata meskipun cadangan Kadir lebih dilihat sebagai sindiran namun perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia memberi kesan kepada kepimpinan kerajaan dan Umno terutamanya.

“Pandangannya berbentuk sinis tetapi perlu diberikan perhatian serius. Amat penting bagi pemimpin kerajaan memahaminya secara serius kerana ia melihatkan penyokong Umno sudah mula mengeluarkan pandangan yang melambangkan kekecewaan.

“Jangan dibiarkan orang yang menyokong kerajaan ini semakin kecewa dengan apa yang berlaku.” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kadir pada Ahad lalu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula peranan menteri Kabinet selain melantik isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Menteri Tugas Khas.

Katanya melalui pelantikan itu, tiada pihak boleh membantah campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.

“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan dilantik menjadi menteri malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat kepercayaan rakyat jelata,”
katanya yang menyatakan usaha itu boleh dibuat melalui pelantikan Rosmah sebagai senator.

Wan Saiful berkata tidak mudah bagi melantik Rosmah sebagai menteri dan menyifatkan pendedahan Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2013 (PAU 2013) pada Sabtu tidak akan meredakan kemarahan rakyat terhadap isteri Perdana Menteri itu.

“Tidak semudah itu kerana Rosmah tidak mempunyai jawatan dalam parti dan kerja yang dilakukannya tidak terlalu melibatkan isu politik. Ia sindiran dan tidak serius. Bagaimana bagus kerja yang dibuat oleh Rosmah, kritikan masyarakat juga perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata penglibatan Rosmah dalam gerak kerja kerajaan perlu didefinisikan dengan betul dan didatangkan secara berstrategi agar tidak bertindih dengan peranan kementerian.

“Saya lihat kesilapan strategi perhubungan awam Najib. Ia boleh disebut kerana Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sendiri selalu memuji isterinya. Itu perkara biasa tetapi di Malaysia suasananya agak tegang.

“Bila Najib berkata demikian, ia akan menambahkan kemarahan orang. Ia tidak membantu langsung. Ini hanya masalah strategi komunikasi masyarakat. Ini penglibatan yang baik tetapi tidak distrategikan dengan betul sehingga menjadi alat untuk menyerang kerajaan dan Umno sendiri,” katanya.

Najib semasa ucapan penangguhan PAU 2013 menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.

Katanya, bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir untuk masuk ke negara itu tanpa visa.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan cadangan Kadir bagi melantik Rosmah akan lebih menggugat kedudukan Najin selain tiada keperluan melaksanakannya.

“Itu kenyataan sinis daripada seorang bekas wartawan. Sudah tentulah ada yang ingin disampaikan sama ada mengkritik secara langsung atau cadangan serius.


“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, akan lebih menyukarkan kedudukan Najib. Bagi saya cadangan itu tidak praktikal. Tiada keperluan walau sehebat manapun Rosmah,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Dr Jayum Jawan pula berpendapat Najib tidak seharusnya menghebahkan sumbangan isterinya itu kepada khalayak ramai kerana perkara itu lebih bersifat peribadi.

Katanya, Rosmah bukanlah mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai pemudah cara kepada suaminya yang menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Itu cerita peribadi yang diceritakan Najib dalam PAU 2013. Rosmah tidak mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai wakil kepada suaminya.

“Ini bukan saranan yang ikhlas tetapi cuba memperli. Cadangan itu tidak masuk akal. Ada benda lain yang ingin dikritik dan beliau bermain dengan kata-kata,” katanya yang melihat Najib juga berhak mendedahkan sumbangan isterinya kepada negara.

Kadir ketika diminta mengulas dalam sebuah laman portal menarik balik tulisannya atas arahan kerajaan berkata, cadangan yang dikemukakannya atas hak sebagai wartawan dan rakyat bebas menyuarakan apa sahaja asalkan tidak melanggar undang-undang. -TMI

ULASAN GB

GB pernah ulas sebelum ini, petikan:

Belum ada isteri-isteri PM sebelum ini yang bertindak liar seperti yang dilakukan oleh isteri Mohd Najib, Rosmah Mansor namanya.

Najib nampaknya seperti tidak dapat mengekang dan mengawal tindakan Rosmah yang besar sangat nafsunya menjadi "diplomat" sekalipun bukan berhormat dan tidak pula bertauliah.

Rakyat BERHAK untuk mendesak Najib mengarahkan isterinya berhenti dari berkelakuan jelek yang menghabiskan wang rakyat.


Justeru itu, apa yang dilakukan Najib (menghebakah sumbangan Rosmah) hanyalah helah Najib menutup keborosan Rosmah selama ini yang telah merembat wang rakyat melalui PERMATA yang bukan di bawah mana-mana kementerian dan lansung tidak pernah diaudit aliran wang keluar masuknya.

[KISAH BENAR] Uskup Dedahkan Ikhwanul Muslimin Selalu Lindungi Gereja


Kaherah - Uskup Wilayah Almenya di Mesir bernama Makarius, menyatakan bahawa para demonstran yang menentang kudeta selalu membentuk jawatankuasa sosial bagi melindungi gereja-gereja, terutama jika jalan-jalan berhampiran gereja tersebut sering dilalui oleh konvoi-konvoi demonstran, portal dakwatuna dipetik.

Hal itu dinyatakannya ketika beliau diwawancarai oleh lamanwab masralarabia.com, Jumaat (6/12/2013) minggu lepas.

Beliau mengatakan bahawa jika Ikhwanul Muslimin yang menyelenggarakan demonstrasi, maka mereka akan melindungi gereja.

Sebaliknya, Makarius menyatakan pihak polis yang telah mengabaikan tugas utamanya yang di antaranya melindungi gereja. Bahkan terdapat individu-individu tertentu dalam polis yang mempunyai hubungan erat dengan mereka yang selalu melanggar undang-undang, atau preman.

Sedangkan ketua pejabat polis wilayah lansung sama sekali tidak mengetahui peta keadaan wilayah provinsi Almenya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Makarius itu sekaligus menolak propaganda yang dikeluarkan oleh pihak kudeta yang menyatakan Ikhwanul Muslimin bertindak ganas menyerang gereja-gereja semasa berlakunya demonstrasi di Mesir.

Hal yang sama turut berlaku bilamana para demonstran beragama Islam menunaikan solat, maka umat Kristian akan membantu mengadakan kawalan supaya mereka tidak diganggu dan umat Islam dapat menyempurnakan solat mereka dengan aman, lapor akhbar thedailymail.