12 Dis 2013

[VIDEO & GAMBAR] Mahasiswa, NGO Lancar Gerakan TURUN Kos Sara Hidup


Sekumpulan mahasiswa semalam melancarkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang akan bertindak sebagai kumpulan pendesak bagi membantah kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Majlis pelancaran yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo turut dihadiri pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) iaitu Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat.

Kok Seong berkata, penubuhan Turun adalah manifestasi anak muda yang muak dengan pelbagai janji manis kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, namun sebaliknya berlaku setelah terus berkuasa.

“Kami Pemuda PR, menyokong gerakan ini kerana kita tidak mahu kerajaan terus menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan yang tidak munasabah.

“Bukan saja kos sara hidup meningkat, malah pelbagai kenaikan yang membebankan dikenakan seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.89 peratus, pemotongan subsidi gas asli, kenaikan cukai taksiran dan lain-lain lagi.

“Kenaikan semua ini juga amat bertentangan dengan janji manis mereka sebelum PRU-13 lalu, akhirnya janji tinggal janji,” katanya.

Suhaizan menambah, Pemuda PR akan bersama gerakan ini untuk mendesak kerajaan supaya tunduk dan mendengar suara rakyat.

Objektif turun adalah bertindak sebagai jentera penerangan kesedaran rakyat supaya turut sama menyuarakan bantahan terhadap kegagalan urus tadbir kerajaan dalam menguruskan kebajikan masyarakat.

Turun juga akan bertindak sebagai pusat pengumpulan anak muda yang ditindas agar nasib mereka dapat diperjuangkan.

Manakala agenda lainnya adalah mendesak kerajaan membanteras korupsi, menstrukturkan subsidi industri, menangguhkan GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan memecahkan monopoli terutama pembekal gula.

Turun akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat bermula dengan forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Sabtu ini (14 Disember). -Roketkini

NGO, siswa lancar gerakan turun kos sara hidup


Kumpulan NGO dan mahasiswa hari ini melancarkan gerakan mendesak kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat, antaranya ekoran tindakan kerajaan menghapuskan subsidi secara perlahan-lahan dan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Gerakan yang disokong parti politik pembangkang itu antaranya mempersoalkan kenaikan kos sara hidup rakyat selepas pilihan raya umum ke-13 lalu.

Berucap dalam perhimpunan awal membantah perkara itu di ibu negara semalam, Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) Ahmad Afif Zulkifli menyeru golongan muda tampil mendesak kerajaan melalui Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN).

"Buktinya satu demi satu isu kezaliman berlaku kepada kita, kenaikan barang makan dan minum juga mengalami kenaikan.

"Adakah golongan muda mahu berdiam diri lagi? (Mahu) lawan atau senyap?" soalnya lagi sambil dijawab "lawan" oleh sebahagian besar daripada kira-kira 50 peserta yang hadir.

Turut hadir Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat (gambar atas, di tengah), Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong dan beberapa pemimpin aktivis mahasiswa.

Gimik tangan terikat

Pada masa yang sama, beliau juga mengkritik kerajaan BN yang didakwa tidak jujur dan sudah menipu rakyat, berbeza dengan manifesto pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

"BN janji macam-macam dalam PRU tetapi bila memerintah macam-macam naik (harga). Ada penyelewengan, ada rasuah.

"Graduan lepasan universiti akan bekerja di sektor awam mahupun swasta dengan gaji yang sedikit membuatkan kelompok ini tertekan dan terpaksa bekerja lebih masa menampung kehidupan," kata Suhaizan.

Sementara itu, demonstrasi di sebuah pusat membeli belah itu diwarnai dengan gimik pelancaran menyaksikan tiga peserta diikat tangan dan masing-masing memegang replikas berupa tol, petrol dan logo Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kemudian, Pengerusi TURUN Azan Safar tampil memotong ikatan tangan itu dan kesemua peserta melepaskan ke udara belon kuning bertulis perkataan "TURUN".

Orang ramai yang lalu-lalang, kebanyakan membeli belah untuk jualan hujung tahun, ada yang berhenti menjengah sebentar.

Dalam masa terdekat, gabungan itu merancang mengadakan forum membincangkan masalah kenaikan kos sara hidup dan mahu menyerahkan hasil penyelidikan mereka kepada pelbagai anggota Parlimen supaya membangkitkannya di Dewan Rakyat.
-mk





1 ulasan:

  1. Macam yg saya komen sebelum-sebelum ni. Kalau PR nak ambil alih kerajaan, tolong bekerja lebih masa di kawasan FELDA.

    GB, tolong sampaikan pada orang PR.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.