23 Okt 2013

Menang Ketua Wanita UMNO, Keluarga Shahrizat Belum Bayar Satu Sen Pun Hutang NFC


Tiada syarikat akan ambil alih hutang NFC, kata Najib Tawaran pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kini tertutup apabila rundingan antara kerajaan dengan syarikat Kirimotonas Agro Sdn Bhd (KASB) gagal dimuktamadkan, menurut jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis berkenaan berkata, PASB, syarikat usahasama antara Otoshitos Sdn Bhd dan Hannan Food Group dipilih berdasarkan persetujuan untuk menyuntik sejumlah RM20 juta sebagai modal.

"Sehingga kini kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan dan rundingan tersebut tamat,"
kata jawapan berkenaan.

KASB menawarkan untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti NFC dalam usaha untuk memulihkan kembali NFC.

Pua dalam sidang medianya di Parlimen hari ini berkata, laporan berkenaan NFC yang disediakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah siap.

Bagaimanapun, oleh kerana mesyuarat jawatankuasa di bawah Parlimen, pendedahan berkenaan dilakukan selepas selesai sidang Dewan Rakyat.

"Sebenarnya siasatan dan laporan sudah selesai dan dimuktamadkan dalam PAC lalu. Tetapi laporan disiapkan dalam sesi terakhir Parlimen penggal lalu, jadi tidak dapat bawa ke dalam Parlimen.

"Sekarang ia akan dibentangkan semula kepada ahli PAC yang baru dan jika semua ahli bersetuju dengan laporan PAC sebelum ini, kita akan bentangkan dalam Parlimen," kata Pua, yang juga anggota PAC.

Beliau berkata, berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya berhubung dana RM250 juta projek yang diuruskan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu, menunjukkan tiada syarikat bersedia mengambil alih liabiliti projek berkenaan.

"Tidak ada syarikat akan ambil alih projek NFC. Kita tidak terkejut kerana mana ada syarikat mahu membayar dan mengambil alih RM250 juta dan tambah pelaburan untuk uruskan NFC.

"Apa jadi tunggakan RM250 juta itu, NFC yang dimiliki keluarga Shahrizat yang baru menang besar sebagai Ketua Wanita Umno itu masih berhutang dengan kerajaan.

"Kenapa satu sen pun belum dipulangkan. Kenapa tiada tindakan undang-undang diambil untuk mendapatkan balik wang tersebut," katanya.

Pua dalam kenyataaannya sebelum itu menuntut Kementerian Kewangan menyatakan kedudukan pinjaman RM250 juta kepada NFC dan juga kedudukan terkini projek ternakan lembu fidlot berkenaan. -TMI


Mazlan Menang: Mahkamah Perintah Polis & K'jaan Malaysia Bayar RM370K


Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini mengarahkan polis dan kerajaan Malaysia membayar RM370,000 kepada Pengerusi Anak Felda (Anak), Mazlan Aliman.

Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya mendapati polis bersalah membuat tangkapan terhadap Mazlan dalam kes Felda Lembah Klau, Raub, Pahang.

Akhtar memerintahkan kerajaan Malaysia membayar Mazlan RM300,000 bagi ganti rugi am dan ganti rugi teladan (RM50,000) serta kos mahkamah (RM20,000).

Polis menangkap Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di Felda Lembah Klau, Raub pada 18 Ogos lalu.

Sehubungan itu, Mazlan melalui peguamnya menyaman polis dan kerajaan Malaysia atas dakwaan membuat tangkapan salah dan memalukannya.

Mazlan diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud. -TMI

BERITA SEBELUM INI

Keputusan Mazlan saman polis, kerajaan 23 Okt


TEMERLOH: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir hari ini menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh keputusan perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman terhadap polis dan Kerajaan Malaysia.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata pada 16 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Saman bernilai RM2 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu.

Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Hamidun merupakan peneroka yang telah melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah kediaman dan ladang.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Wan Rohimi berkata, perbicaraan hari ini ialah plaintif mencabar tangkapan dan penahanan yang kononnya dikenakan di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka semalam. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

“Dalam kes ini Hamidun telah menjelaskan semua hutangnya dengan Felda, beliau telah mendapat hak milik tanah dan tidak terikat dengan Akta GSA. Jadi tidak ada pencerobohan jenayah dilakukan Mazlan ke atas harta Felda.

“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambah Wan Rohimi, keputusan pada 23 Oktober nanti juga akan menetapkan jumlah ganti rugi kepada plaintif.

Dalam pada itu, Mazlan berkata hari ini beliau melalui pengalaman pertama bercakap dalam kandang saksi di mahkamah.

Turut mengiringi Mazlan ke Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Anak Pahang Yohanis Ahmad, Penasihat Undang-Undang Anak Harris Abdullah, Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid serta kira-kira 30 penyokong.
-HD


[VIDEO & GAMBAR] SAH: Satu Lawan Satu Di Sungai Limau


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menyaksikan saingan dua penjuru apabila hanya wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS menyerahkan borang pencalonan masing-masing sehingga proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi Rabu.

Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Limau, Abd Rashid Othman mengumumkan Dr Ahmad Sohaimi Lazim daripada BN dan Mohd Azam Samat yang mewakili PAS disahkan layak bertanding. Pengumuman dibuat pada jam 10.15 pagi ini.

Calon PAS Ustaz Azam Abd Samat menyerahkan borang pencalonan jam 9.05 minit pagi manakala calon BN Ahmad Sohaimi pada jam 9.04 pagi.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.


Tak Akui Rejim Kudeta Mesir, 122 Negara Keluar Sidang Menteri Luar


Suasana kosong ketika sambutan menteri-menteri luar rejim kudeta Mesir, Nabil Fahmi, di sidang Majlis Umum PBB pada 16 hingga 26 Oktober ini menjadi perbincangan ramai warga Mesir.

Ketika Nabil menyampaikan ucapan aluannya, terlihat banyak sekali kerusi perwakilan negara yang kosong. Ada 122 perwakilan negara yang tidak mengikuti sidang tersebut.

Oleh karenanya, Nabil hanya menyampaikan aluannya di hadapan beberapa kerat negara yang tersisa di ruangan sidang. Kebanyakan negara itu adalah negara-negara yang mendukung kudeta. Di antaranya Saudi, Iran, Israel, Emirat, Kuwait, Syria, Benin, Togo, Gambia, dan Croatia.

Suasana ini jelas sangat berbeza ketika dalam kesempatan yang sama pada tahun 2012 lalu, Presiden Mursi yang juga mengetuai rombongan delegasi Mesir berpidato di Majelis Umum PBB yang dihadiri dari pelbagai negara.

Beliau mendapat sambutan yang sangat hangat dari para perwakilan berbagai negara. Bahkan tercatat tidak ada satu pun negara yang tidak hadir dalam sidang pembacaan aluan Presiden Mursi saat itu, seperti terlihat dalam video dibawah ini. -islamedia


Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia Jadi Bahan Tertawa Dunia -ULASAN GB


Allah bermaksud tuhan, semua jenis tuhan,” kata intelektual Islam Amerika

Intelektual Islam Amerika Syarikat terkemuka turut sepakat dalam kritikan terhadap larangan penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu merupakan satu keputusan politik.

Dalam satu wawancara bersama radio BFM, Reza Aslan (gambar) menegaskan, penganut Kristian menggunakan kalimah Allah yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab dan ianya bukanlah satu ancaman kepada Islam.

"Pengganas Taliban meletakkan bom bersama Al-Quran dan membawanya ke sebuah masjid di Pakistan pada Hari Raya Korban. Inilah ancaman kepada Islam," katanya.

Minggu lalu, seorang Gabenor di Afghanistan terbunuh selepas sebutir bom yang diletakkan berhampiran Al-Quran meletup semasa beliau sedang menyampaikan ucapan Aidiladha.


Reza yang menulis buku “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” hairan dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Malaysia kerana kalimah Allah merupakan istilah merujuk kepada Tuhan, “sebarang jenis Tuhan”.

"Allah daripada perkataan Al-Ilah. Itulah asal perkataannya. Al-Ilah bermaksud Tuhan. Allah bukan nama Tuhan. Sesiapa yang fikir Allah adalah nama Tuhan bukan sahaja silap tetapi bertentangan dengan Al-Quran itu sendiri.

"Ini bukan satu interpretasi. Ia fakta sejarah,"
katanya.

Minggu lalu, tiga panel Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menetapkan "kalimah itu bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian serta penggunaannya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam".

Keputusan itu mencetuskan perdebatan di antara sarjana sementara masyarakat Islam antarabangsa melahirkan rasa hairan atas kecelaruan yang terjadi.

Reza turut tertawa kecil mengenangkan keputusan mahkamah sambil berkata, "bagaimana anda boleh membacanya dan tidak tertawa?"

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Reza dalam kiriman Twitter menulis, "Bagaimana Malaysia boleh menjadi bodoh? Di Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, saya rasa Amerika telah melarang perkataan 'twerking' kepada mereka yang berumur 17 tahun".

"Larangan itu bukan sathaja menyebabakan penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah itu tetapi turut memberi ancaman kepada Islam.

"Rakyat Malaysia (orang Islam) sangat bodoh jika mereka mendengar penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, mereka pula yang menjadi Kristian. Maksud saya kebodohan kenyataan itu terserlah," katanya dalam temubual itu.

Reza mengulangi pendirian sarjana dan penulis Islam bahawa penganut Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad merujuk Tuhan mereka sebagai Allah.

"Mengapa? Sebab mereka berbahasa Arab. Bukannya kerana kalimah Allah merujuk spesifik kepada Tuhan tetapi ia dalam bahasa Arab yang merujuk kepada Tuhan. Ia bukan satu pandangan. Ia fakta,"
katanya.

"Jika ada Imam yang memberitahu Tuhan mempunyai nama. Mereka sesat. Allah bukanlah nama Tuhan. Umat Islam tidak memiliki kalimah itu."

Reza yang merupakan Profesor sejarah Islam berkata keputusan Mahkamah Rayuan telah menjadikan Malaysia bahan tertawa serata dunia.

"Ini melihatkan umat Islam di Malaysia perlu dilindungi oleh mahkamah kerana mereka tidak mampu berfikir sendiri. Kami mentertawakan anda.

"Ia satu pencabulan kepada kemodenan, Perlembagaan dan demokrasi sebuah negara Islam seperti Malaysia," katanya. -TMI

ULASAN GB

Bukankah GB sudah utarakan sebelum ini bahawa pengharaman penggunaan kalimah ALLAH oleh masyarakat bukan-Islam hanya akan menjadi kita bahan tertawa masyareakat dunia.

Kedua, apa yang dinyatakan oleh Reza Aslan di atas menyamai apa yang dinyatakan oleh Raghib Al-Isfani, seorang pakar bahasa Arab yang terkenal, iaitu kalimat ALLAH itu adalah perkembangan dari kalimat "AL-ILAH" dan kalau jamak, orang Arab menggunakan istilah "AL-ALIHAH". Jadi ALLAH itu merujuk kepada Zat Yang Maha Berkuasa yang mana kesemua fikiran murni tanpa mengira apa agamanya, akan sampai kepada kesimpulan bahawa dari tuhan-tuhan dan dewa-dewa yang mereka katakan banyak itu, hanya satu jua Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Esa dan Maha Mulia. (rujuk HAMKA, Tafsir AL-Azhar, Jilid 1 hal 69).

Inilah yang difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? Al-Ankabut:61

Ketiga, ramai umat Islam Malaysia beranggapan kalimat ALLAH itu adalah suci, justeru itu dipertahankan kalimat itu dan tidak dibenarkan orang lain menggunakannya. Sedangkan kita umat Islam tidak sepatutnya mensuci dan menyembah kalimat ALLAH kerana kita tidak menyembah perkataan "ALIF LAM LAM HA" itu (malah di dalam bangsa kita, ada yang menjadikan kalimat ALIF LAM LAM HA itu sebagai tangkal azimat). Sedangkan kita sepatutnya mensuci dan menyembah ZAT Yang Maha Berkuasa yang dipanggil ALLAH. Jika kita mensuci dan menyembah ALIF LAM LAM HA, itulah syirik namanya!

Keempat, Islam yang sampai ke tanah air kita pun, melalui apa yang tertulis di atas Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu, yang ditulis di dalam tulisan Jawi kira-kira tahun 1303 Masehi, orang Melayu ketita itu meneyebut ALLAH sebagai Dewata Mulia Raya.


Kelima, sekalipun ada ulamak menyatakan kalimat ALLAH itu adalah lafaz Jalallah, iaitu lafaz yang amat tinggi yang tidak boleh ditafsir dengan sembarangan tafsiran, namun ia tetap tidak boleh menjadikan kalimat itu sebagai "bahan sembahan". Yang perlu dan wajib disembah ialah hanyalah Zat Yang Maha Berkuasa dan Maha Agong yang disebut ALLAH. Ramai yang terperangkap oleh syirik khafi (halus) di sini.

Demikian, keterangan-keterangan yang dapat GB kemukakan buat ketika ini untuk memenuhi permintaan beberapa rakan berhubung polemik yang berlaku menyentuh kalimat ALLAH.