17 Okt 2013

Rakyat Sabah & Sarawak Sahut Cabaran ISMA Untuk Keluar Dari Malaysia

Kuching: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) telah menyeru masyarakat Kristian Malaysia untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan mengharamkan penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh mingguan Katolik The Herald.

Katanya, mereka sentiasa boleh mempertimbangkan berhijrah jika tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pelawaan Isma disambut baik oleh rata-rata penduduk Sabah dan Sarawak yang ingin menyatakan hasrat untuk keluar dari Persekutuan Malaysia yang diluahkan dalam Facebook mereka.

“Itu yang sebaiknya. Keluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. Suruh Isma buat kertas cadangan. Hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Harry Nelson J. Seliang.

Daniel Aishiteru pula berkata,”Malaysia- bawah Thailand, atas Singapura manakala Sabah & Sarawak dalam pulau Borneo. Jauh panggang dari api bah….memang kita layak keluar. Jangan tunggu lagi…”

“Peluang sudah Isma bagi. Sabah Sarawak bantah isu kalimah Allah, keluar Malaysia. Kita tak payah sain sain surat tak susah payah gaduh mulut. Bagus lah idea Isma bagi nih,” ujar Philip Harry Son.

Beberapa orang tidak merasakan, Malaysia tidak bermakna sudah bagi mereka.

“Saya di Borneo bukan di Malaya. Saya tidak mahu bah Malaya,” ujar Collin Ontak.

Gafpelz Blizt Ridexz pula berkata, “Kita bantah perkauman… Mereka semua nak keluarkan kita jadi teruskan… Lebih cepat lebih bagus.. Tak payah nak peduli bah. .Tolong keluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia….Kami sedia utk keluar!”

Eva Claude menambah, “Siapa tahu Tuhan sedang bagi jalan sama Sabah Sarawak keluar Malaysia,”

Presiden Isma Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, sebagai rakyat Malaysia, orang Kristian mesti menerima ketuanan Islam di negara ini.

“Mereka boleh memilih untuk bergerak ke mana-mana negara lain jika mereka tidak dapat menerima ketuanan Islam dan royalti yang melindungi ketuanan agama,” ujar Abdullah Zaik Abd Rahman dalam satu kenyataan kelmarin.

Sebelum ini Najib telah menandatangani sepuluh perkara di mana membenarkan penduduk Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam Alkitab (Bible) bahasa Indonesia, Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan Dusun dan Lun Bawang. -FMT


ISMA seru kumpulan Kristian menjaga keharmonian hubungan kaum dan agama


BANGI, 14 Okt – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini menyeru kumpulan Kristian supaya menjaga keharmonian hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Seruan itu disampaikan oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dalam satu kenyataan kepada wartawan ISMA berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang melarang penerbitan gereja menggunakan kalimah Allah pagi tadi.

Ustaz Abdullah turut menyeru agar pihak Kristian meninggalkan sebarang usaha yang akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

“Tinggalkan sebarang usaha yang akan menjejaskan keharmonian kaum kerana orang Islam di negara ini akan menentang sebarang niat jahat dari mana-mana pihak yang ingin mengancam masa depan mereka,” kata beliau.

Tambahnya, sebagai warganegara mereka harus akur dengan kedaulatan Islam, ketinggian hukum dan syiar Islam di negara ini.

“Tindakan mencabar hakikat tersebut boleh menjejaskan kesetiaan mereka kepada raja dan negara.

“Mereka boleh buat pilihan lain untuk berpindah ke mana-mana negara kalau sudah tidak lagi boleh menerima kedaulatan Islam dan raja yang menjaga kedaulatan agama itu,” katanya lagi.
-ismaweb


Buat Kenyataan Perkauman: Ali Rustam Disiasat Polis

Calon Naib Presiden Umno, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam (gambar) disiasat polis kerana dituduh membuat kenyataan menghasut terhadap komuniti Cina dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Polis Kuala Lumpur sudah memulakan siasatan mereka selepas laporan polis dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana dari DAP, Lai Kuen Ban di Balai Polis Tengkera pada 9 Oktober.

Pada satu majlis anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) 8 Oktober lalu, Mohd Ali yang juga Pengerusi PUNB mengecam kaum Cina kerana terlibat dengan “perniagaan haram” di negara ini.

"Kita umat Islam tidak boleh membuka kasino, 4D, Toto, perjudian, rumah urut dan syarikat pinjaman wang haram. Ini semua haram. Kaum Cina sahaja yang terlibat dengan semua perniagaan haram ini," katanya pada majlis itu.

Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong yang menemani Lai untuk membuat laporan polis berkata, dalam laporan berkenaan, Lai mendakwa kenyataan Mohd Ali merupakan satu hasutan dan mahu polis menyiasat perkara itu.

Lai kini berada di luar negara.

“Polis merakamkan kenyataan Lai pada hari sama,” kata Khoo.

Polis Brickfields menyiasat kes itu berikutan kenyataan Mohd Ali itu dibuat di sebuah hotel di ibu kota.

Ketua Polis Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan laporan sudah dibuat dan penyiasatan akan dilakukan tetapi enggan memberikan kenyataan lanjut.

Bagaimanapun, The Malaysian Insider difahamkan bahawa polis sudah mula merakamkan kenyataan beberapa orang yang berada di majlis itu termasuk wartawan.

Dalam majlis itu, Mohd Ali juga bercakap mengenai soal keperluan mengekalkan orang Melayu di agensi kerajaan, termasuk polis dan tentera.

Untuk memenangi undi golongan konservatif Umno, bekas Ketua Menteri Melaka itu turut berkata: "Kaum Cina mahukan segalanya. Orang Melayu telah layan mereka dengan baik.

"Apabila kaum Cina mahukan pertolongan membina sekolah dan biasiswa, kerajaan berikan kepada mereka. Tetapi pada hari pilihan raya, mereka lupa semua ini. Apa yang penting bagi mereka mengambil alih kuasa orang Melayu dan menjadikan mereka 'pendatang’,” katanya.

Kenyataan Mohd Ali itu mengganggu emosi 100 hadirin di majlis itu sambil sesetengahnya menjerit, “suruh Cina balik kampung.”

Mohd Ali adalah salah seorang daripada enam calon yang mahu mengisi tiga kekosongan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno Sabtu ini.

Calon lain ialah penyandang Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal and Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selam Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa dicabar oleh sesiapa.

Dalam pemilihan Umno 2009, Mohd Ali bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi dibatalkan pencalonannya kerana didapati terlibat dengan politik wang. -TMI

ULASAN GB

Soalsiasat Ali?

Biasanya di dalam kes melibatkan pemimpin UMNO, tiada sebarang tindakan diambil berbanding dengan kes yang melibatkan pemimpin Pakatan.

Keputusan Mahkamah Hanya Untuk Semenanjung, Atau Junaidi Cuba Selamatkan Undi Sarawaknya?

Timbalan menteri dalam negeri membuat kenyataan yang sangat mengarut, dengan memberikan alasan paling tidak logik bagi mempertahankan kerajaan dalam usaha untuk menyelamatkan undi Sarawaknya,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Wan Junaidi semalam yang menyebut bahawa kabinet membenarkan kalimah 'Allah' digunakan dalam Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Pua berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari Isnin lalu tidak menyatakan secara khusus bahawa kalimah 'Allah' tidak boleh digunakan dalam The Herald.

Sebaliknya, penghakiman itu menegaskan pengharaman ke atas penggunaan kalimah tersebut oleh kesemua agama lain.

Malah, katanya, pengerusi panel hakim berkenaan Datuk Seri Mohamad Apandi Ali menyatakan dengan jelas bahawa ancaman ke atas Islam dalam konteks negara ini ialah pengembangan agama lain ke atas pengikut Islam.

Tambahnya, para hakim berkenaan turut memutuskan bahawa kalimah 'Allah' tidak melengkapkan fahaman dan ajaran Kristian, khususnya dari aliran Gereja Roman Katolik.

Oleh yang demikian, kata Pua, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kalimah tersebut tidak dibenarkan daripada digunakan dalam Bible dalam apa juga bahasa.

Menurut Pua, larangan itu akan menjejaskan berjuta-juta pengikut Kristian di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Al-Kitab.

Katanya, Wan Junaidi dalam kenyataan kepada portal berita The Malaysian Insider tersebut juga menyebut bahawa keputusan mahkamah hanyalah undang-undang kes yang tidak dapat dikuatkuasa walaupun ia menjadi sebahagian dari undang-undang di negara ini.

“Sekali lagi, Wan Junai membuat putar belit tidak logik dalam hujahnya bahawa keputusan mahkamah 'biasanya tidak boleh dikuatkuasa'. Jika begitu, kenapa perlu pergi ke mahkamah untuk mendapat pengadilan?

“Adakah ia bermakna jika The Herald tidak mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan maka tiada agensi yang boleh 'menguatkuasakannya' ke atas mereka?,” soalnya. -mk


Keputusan mahkamah tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, kata Wan Junaidi


Larangan penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald dan bukannya kepada penerbitan Kristian lain atau Bible dalam bahasa Melayu, Al-Kitab yang digunakan di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab di Sabah dan Sarawak serta jaminan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 2011 masih terpakai.

Katanya, isu ini masih belum selesai dan beliau percaya kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

"Saya percaya akan ada lagi semakan kehakiman."

Wan Junaidi berkata keputusan oleh Mahkamah Persekutuan kelak akan mengakhiri segala perkara berbangkit.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan nanti akan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

"Keputusan yang diputuskan mahkamah adalah berpandukan Perlembagaan dan tidak menerima tekanan daripada sesiapa.

"Bermakna polis atau agensi lain tidak mempengaruhi keputusan mereka," katanya ketika ditemui dalam satu acara penyembelihan korban di Tabuan Hilir, Sarawak.

Namun, Wan Junaidi berkata kerajaan berpandukan undang-undang boleh menggunakan kuasanya untuk menarik balik keputusan mahkamah melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau memberi amaran kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak membabitkan negeri di Malaysia Timur terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UPKO berkata penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak tidak mendatangkan apa-apa masalah di sana.

Katanya, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah itu sejak 100 tahun lalu dengan aman dan harmoni.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing turut senada dengan Madius.

"Datuk Zulkifli Noordin tinggalkan keputusan itu di Semenanjung dan jangan bawanya ke Sabah dan Sarawak untuk merosakkan keharmonian di sini."

Masing-masing turut menyuarakan kebimbangan sekiranya keputusan itu terpakai kepada Al-Kitab akan memungkiri janji Datuk Seri Najib Razak di Sibu pada 2010.

"Sekiranya perkara itu benar berlaku akan merosakkan kredibiliti Barisan Nasional (BN) dan Najib sebagai Perdana Menteri," katanya.
-TMI


Polis Yang Pelawa Dulu, Tetapi Kini Enggan Beri Jaminan Keselamatan

Surendran cuba baju perisai, tapi...

Naib Presiden PKR, N Surendran hari ini mencuba mengenakan baju perisai polis sebagai persediaan untuk menyertai operasi polis. Bagaimanapun, beliau belum menandatangani perjanjian indemniti yang diperlukan oleh pihak polis.

Surendran, seorang peguam dan ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, berkata terdapat bahagian dalam perjanjian itu yang perlu dibincangkan dengan penasihat undang-undangnya dan pemimpin parti itu.

Menurut penasihat undang-undangnya, R Sivarasa, indemniti itu, antara lain, membebaskan polis daripada tanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian, dan Surendran tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap kerajaan Malaysia, pihak polis, ketua polis negara, atau mana-mana pegawai yang terlibat dalam operasi itu.

Sivarasa berkata beliau telah menasihatkan Surendran supaya tidak menyertai operasi polis itu, manakala Surendren memberitahu media bahawa beliau masih bersedia untuk meneruskannya, tertakluk kepada perbincangannya dengan pemimpin parti dan penasihat undang-undangnya.

Katanya, beliau tidak meminta jaminan supaya tiada apa yang akan berlaku ke atas dirinya (dalam operasi itu).

Surendran berkata, ini kerana memang akan terdapat risiko apabila terlibat dalam operasi dengan suspek yang bersenjata.

Katanya, beliau tidak meminta sesuatu yang sangat tidak munasabah untuk memastikan supaya beliau tidak cedera, sambil menambah bahawa sedikit keraguan mereka ialah apabila pihak polis berkata mereka (polis) tidak boleh dipertanggungjawabkan jika apa-apa berlaku.

Itu, tegas Surendran, adalah satu cadangan yang berbeza sama sekali -mk




Mengapa saya terima jemputan ‘shoot-out’ – Surendran


Mengapa saya terima jemputan ‘shoot-out’ – Surendran Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyuarakan pandangan mereka terhadap isu jemputan KPN kepada saya untuk sertai satu operasi “shoot-out” bersama PDRM. Ramai juga yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan saya jika saya menyertai operasi sebegitu.

Jemputan KPN yang dibuat kepada saya Jumaat lalu adalah disebabkan kritikan keras saya terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri yang telah menyebut tentang dasar “tembak dahulu” pihak PDRM, dan pembelaan kenyataan tersebut oleh pimpinan tertinggi polis.

Telah begitu lama pihak kerajaan dan juga pimpinan polis mengatakan mereka yang mengkritik tindak-tanduk PDRM tidak menghargai jasa dan pengorbanan serta cabaran yang dilalui anggota polis yang berhadapan dengan penjenayah bersenjata.

Umum tahu dan sedar bahawa respon ini tidak masuk akal.

Kami tidak pernah berkata pihak polis tidak berhadapan dengan ancaman atau bahaya dalam menjalankan tugas mereka; namun kami tidak akan meminta maaf kerana mengkritik tindakan mana-mana anggota polis sekali pun yang melanggar undang-undang terutamanya dalam cara mereka mengendali suspek polis.

Dalam memberi respon kepada kritikan saya, KPN telah mencabar saya untuk menyaksikan sendiri operasi polis. Ia respon tersentak atau “knee-jerk” kepada satu kritikan yang munasabah, tetapi saya telah menerima tawaran beliau dengan hati terbuka.

Namun jemputan KPN ini tidak menjawab kritikan saya terhadap dasar “tembak dahulu” Menteri Dalam Negeri dan peningkatan jumlah kes suspek yang mati ditembak dalam operasi polis. Umum masih menanti jawapan dan penjelasan yang munasabah tentang hal ini dari KPN dan pihak kerajaan.

Tidak mengira penyertaan saya dalam operasi ini atau apa pun yang akan berlaku nanti, Kementerian Dalam Negeri dan pimpinan PDRM mesti menghentikan kejadian tembakan suspek polis yang keterlaluan dan salah di sisi undang-undang.

Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan, dan hak untuk hidup seperti termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dikompromi.

Dikeluarkan oleh,
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN, KEADILAN
AHLI PARLIMEN PADANG SERAI


Bolehkah Merakam Hubungan Intim Suami-Isteri?

Rakaman video intim beredar dimana-mana. Jangankan yang sudah menikah, perzinaan dirakam dan tersebar terutama di internet. Mulai dari artis yang kemudian dipenjara dan dibebaskan dan dialu-alukan bak pahlawan, hingga menjadi seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat yang katanya terhormat.

Bagaimana dengan suami-isteri menurut Islam? Bolehkah merakam adegan yang sangat peribadi itu?

Masalah ini terus ramai menjadi pembicaraan, sementara bala’ dari perbuatan tersebut telah menimpa mereka, mulai dari anak-anak hingga orang tua.

Islam telah menetapkan bahawa hubungan badan hanya boleh dilakukan antara seorang laki-laki dengan isteri dan hamba sahayanya (lihat QS al-Muminun [24]: 5-7). Selain itu, syara’ juga telah menetapkan batas-batas aurat yang harus dijaga kecuali di antara mereka. Bagi suami-isteri, masing-masing diperbolehkan melihat seluruh bagian tubuh pasangannya. Bahz ibn Hakîm telah meriwayatkan dari bapaknya dari datuknya, datuknya berkata:

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, manakah bahagian aurat kami yang harus kami tutupi dan mana yang boleh kami biarkan?” lalu Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Jagalah auratmu, kecuali dari isterimu atau hamba sahaya perempuanmu.” (HR Abu Dawud).

Mesikipun demikian, Islam mengharamkan menceritakan aurat pasangannya dan perihal hubungan badan itu kepada orang lain. Dalam Hadits riwayat Muslim, Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya manusia yang paling jelek kedudukannya di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah seseorang yang menyetubuhi isterinya dan isteri bersetubuh dengan suaminya, kemudian suami menyebarkan rahasia isterinya,” (HR Muslim dari Abi Said al-Khudri).

Keharaman menceritakan tersebut termasuk keharaman suami yang mempunyai dua isteri atau lebih, yakni hubungan badan suami-isteri dengan isteri satu disampaikan kepada isteri yang lain.

Berdasarkan nas-nas di atas, maka keharaman hukum menceritakan tersebut termasuk keharaman merakam adegan ranjang untuk disebarkan, agar boleh ditonton orang lain. Dengan keras Nabi saw. menggambarkan mereka seperti syaitan:

“Tahukah apa permisalan seperti itu?” Kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya permisalan hal tersebut adalah seperti syaitan wanita yang bertemu dengan syaitan laki-laki di sebuah lorong terdedah, kemudian syaitan laki-laki tersebut menunaikan hajatnya (bersetubuh) dengan syaitan perempuan, sementara orang-orang melihat kepadanya.” (HR Abu Dawud).

Adapun merakam adegan hubungan badan seperti itu untuk keperluan sendiri, termasuk perbuatan sia-sia dan tidak ada gunanya, yang sebaiknya ditinggalkan:

“Tanda dari baiknya keIslaman seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.” (Hr Ibn Majah).

Lebih dari itu, jika hasil rakaman tersebut lalu disimpan, maka dapat menjadi wasilah yang menghantarkan kepada perbuatan haram. Sebab, siapa yang dapat menjamin rakaman itu tidak jatuh kepada orang lain? Dalam hal ini, dapat diterapkan kaedah syara’:

“Hal-hal yang boleh menghantarkan kepada yang haram, maka hukumnya jelas-jelas haram.”

Adapun hukum memberitakan dan memperbincangkan peristiwa seperti ini juga diharamkan, kerana termasuk menyebarkan perbuatan maksiat. Nabi SAW dengan tegas menyatakan:

Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali orang-orang menampak-nampakkannya dan sesungguhnya di antara bentuk menampak-nampakkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan perbuatan pada waktu malam, sementara Allah telah menutupinya, kemudian pada waktu pagi dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan ini dan itu.” Padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabb-nya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabb-nya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah (Muttafaq ‘alayh).

Kerana itu, hendaknya seorang Muslim menjaga lisannya dari membicarakan perbuatan maksiat orang-orang seperti mereka (mujahirin), bukan untuk menutup aib mereka, tetapi agar tidak terlibat dalam menyebarkan perbuatan keji maksiat mereka di tengah-tengah orang Mukmin. Juga termasuk menjaga lisan dan fikiran dari perkara-perkara yang sia-sia, kecuali untuk menjelaskan hukumnya, agar umat tidak melakukan kemaksiatan serupa.

Kerana seluruh perbuatan di atas diharamkan, maka memuat-turun, menyimpan, menyalin dan menyebarkannya jelas hukumnya adalah haram. Wallâhu a’lam. [sumber: konsultasi]