4 Sep 2013

Tanda Putera Gagal, Hanya Layak Ditayang Di Pawagam Kecil


Filem kontroversi Tanda Putera gagal mencapai sasaran pecah panggung pada minggu pertama tayangannya menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Filem memaparkan babak yang boleh dipersoalkan berhubung rusuhan kaum 13 Mei itu mula ditayangkan Khamis lalu, tetapi hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan hingga Isnin.

“Ini sangat memalukan dan menyedihkan,” kata Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof dan memberitahu kos produksi filem itu berjumlah RM4.8 juta.

Skim Wajib Tayang mewajibkan filem tempatan diberi hak tayangan di pawagam di Malaysia.

Mustapha memberitahu The Malaysian Insider, kutipan box office Tanda Putera sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

“Tanda Putera sebuah filem yang bagus namun selera penonton berbeza-beza. Disebabkan kurang sambutan yang diterima, filem berkenaan harus ditayangkan di panggung yang lebih kecil.

“Kontroversi yang melanda filem itu bukan penyebab ia kurang sambutan, tetapi genre filem berkenaan yang tidak menepati selera penonton masa kini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerugian yang dialami kerajaan berhubung tiada sambutan terhadap tayangan filem berkenaan, Mustapha berkata, filem sejarah tidak perlu dikira untung ruginya kerana setiap negara perlu ada identiti tersendiri.

Beliau berkata, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengarahkan filem berkenaan dengan amat baik sekali tetapi mungkin Shuhaimi sendiri tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, maka elemen fiksyen lebih ditekankan dalam filem itu.

Katanya, dalam Skim Wajib Tayang, filem tempatan hanya diberi keistimewaan untuk mendapat hak tayangan di panggung perdana untuk empat hari sahaja.

“Prestasi filem itu akan dinilai pada hari keempat iaitu pada hari Ahad selepas mengambil kira pandangan penerbit, pawagam dan pengedar filem terbabit.

“Pawagam juga pastinya tidak mahu menanggung kerugian dengan menawarkan panggung yang lebih besar tetapi tiada penonton. Selepas dua minggu juga, pihak pawagam boleh menarik keluar sesuatu filem, jika sambutan kurang memberangsangkan.

“Kami sedaya-upaya memastikan filem tempatan dihargai kerana kerenah pengusaha pawagam tempatan hanya mahu menayangkan filem luar negara.

“Antara sebab pawagam menolak filem tempatan ialah kerana mutu filemnya yang rendah. Justeru, menjadi tanggungjawab FINAS membantu pengeluar filem tempatan mendapatkan tarikh yang sesuai untuk ditayangkan serta disiarkan empat kali sehari,” katanya.



Walaupun filem itu disambut dingin oleh orang ramai, sesetengah pemimpin kerajaan mengatakan filem itu adalah filem yang baik dan harus dikaji oleh universiti tempatan.

Dalam kenyataannya semalam, Shuhaimi mengatakan sambutan dingin terhadap filemnya kerana ia mula ditayangkan pada pertengahan minggu pada hari bekerja.

“Ini perkara biasa, walaupun untuk filem blockbuster Hollywood. Apa motif di sebalik laporan media negatif terhadap Tanda Putera,” katanya.

Shuhaimi berkata, di sebalik hentaman dan sindiran, termasuk daripada pemimpin politik yang didakwanya cuba memperlekeh dan menimbulkan kebencian kepada filem itu, beliau bersyukur kutipan masih baik.

"Kepada pembenci filem ini yang melabelkannya filem Umno, mana mungkin pawagam tidak dipenuhi ahli Umno seramai 3 juta orang itu pada 4 hari pertama filem ini ditayangkan.

"Sudah tentu pecah panggung dan mencatat pungutan box office berjuta-juta ringgit!" katanya.

Filem sejarah Shuhaimi sebelum ini “1957: Hati Malaya” juga menempa kegagalan selepas kutipan jualan tiket filem berkenaan hanya mencatatkan RM760,000 berbanding kos penerbitannya mencecah RM3.6 juta.

Filem terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd itu meskipun ditayangkan di 38 pawagam di seluruh negara, tetapi hanya mampu bertahan kira-kira tiga minggu saja.

“1957: Hati Malaya” memberi tumpuan kepada perjuangan Datuk Onn Jaafar, Pengasas Umno yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang Malayan Union pada 1946.

DAP dan MCA mengkritik filem berkenaan, menyuarakan kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem itu yang boleh mencetus ketegangan kaum.

Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Penahanan Pak Samad: Rancangan Jahat Untuk Wujudkan "Climate Of Fear"


Kibar Sang Saka Malaya tak hina Jalur Gemilang - Eekmal Ahmad

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) mengecam sekeras-kerasnya penahanan Sasterawan Negara A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli kononnya menghina Jalur Gemilang.

KsJT memandang serius penahanan ini kerana kami percaya ia sebahagian dari rekayasa jahat penguasa supaya rakyat dibelenggu climate of fear seterusnya menyebabkan kegelisahan tanpa sebab munasabah serta tidak berasaskan fakta tepat.

Rentetan isu anti Syiah, surau yang digunakan bukan Muslim di Johor, filem Tanda Putera dan kini kononnya ada yang menghina Jalur Gemilang ternyata sedang dieksploitasi penguasa untuk mengolah persetujuan rakyat serta keresahan terutamanya di kalangan Melayu-Muslim.

Komunite Seni Jalan Telawi percaya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini adalah projek Umno-Barisan Nasional untuk mengekang orang Melayu dan rakyat Malaysia daripada pelbagai tafsiran sejarah terutamanya berkaitan kemerdekaan.

Umno-BN sememangnya mahu memonopoli tafsiran sejarah kemerdekaan supaya terus mengekalkan mitos kononnya hanya pemimpin mereka yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Kami difahamkan ketiga-tiga mereka Sasterawan Negara, A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Mereka kononnya terlibat mengibarkan sejenis bendera yang digelar Sang Saka Malaya sewaktu sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka.

KsJT mempersoal kebijaksanaan pemerintah dan polis yang mengandaikan mengibarkan sejenis bendera lain itu dianggap menghina Jalur Gemilang.

Apakah bendera yang digelar Sang Saka Malaya itu kini ancaman kepada negara?

KsJT menggesa polis untuk meneliti sejarah sebenar bendera tersebut, yang tidak pernah diangkat sebagai bendera alternatif kepada bendera Malaysia.

Bahkan bendera itu hanya pernah dicadangkan Angkatan Pemuda Insaf sebagai bendera Umno namun ditolak selepas kalah undi. Justeru jika ini fakta sejarahnya kenapa pihak polis menahan ketiga-tiga itu atas alasan menghina Jalur Gemilang?

Kenapa polis bertindak seolah-olah mereka sebahagian daripada Umno dan beriya-iya menjaga maruah parti pemerintah itu serta menutup liku sejarah berkaitan bendera parti tersebut?


Kami percaya mengibarkan bendera tersebut bukan satu kesalahan kerana ia sejajar dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Kebebasan Bersuara dan bendera itu tidak pernah dan tidak akan mengancam kedaulatan negara.

Peristiwa ini juga adalah desakan terhadap pemerintah supaya akur kepada kenyataan bahawa generasi muda sudah muak dengan naratif sejarah sepihak yang menafikan sumbangan pejuang kemerdekaan yang punya fikrah berlainan.

Sewajarnya penceritaan sejarah kemerdekaan disemak dan sudah tiba masanya suatu naratif sejarah nasional diangkat tanpa menyisihkan fakta sejarah yang tepat.


Ambiga: Tergamak mereka layan Pak Samad begitu


Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga mempersoal tindakan polis menahan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada lewat tengah malam tadi semata-mata untuk disoal siasat polis.

Polis boleh memilih masa lain untuk menyoal siasat tokoh sastera itu, katanya yang menyifatkannya tindakan tersebut sebagai satu "gangguan".

"Tergamak mereka buat begitu kepada seorang individu yang sangat dihormati.

"Perlukah ke rumah beliau pada jam 12.30 tengah malam semata-mata untuk menahannya bagi soal siasat dan membebaskannya dua jam kemudian?," soal Ambiga.

"Ia satu bentuk gangguan, dan sama sekali tidak perlu... polis tahu yang mereka tidak perlu mengganggu beliau dengan cara demikian hanya kerana perkara yang sebegitu sifatnya," katanya kepada Malaysiakini.

Bekas pengerusi Majlis Peguam itu juga menggesa Ketua Polis Negara memohon maaf kepada A Samad kerana menuduhnya menyorok daripada ditangkap.

A Samad Said yang lebih mesra sebagai Pak Samad yang juga merupakan pengerusi bersama BERSIH, menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan beliau berada di rumah semalaman kelmarin dan tiada anggota polis datang ke rumahnya.
-mk


Pengguna internet marah Pak Samad ditahan awal pagi

Penahanan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pada 12.40 pagi tadi mencetuskan kemarahan pengguna di laman sosial, dan kebanyakannya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penahanan itu.

Antara yang berang ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan polis itu sebagai biadap kerana mengheret Samad pada tengah malam.

"Tindakan biadab! A Samad Said umur 80 tahun diheret jam 12 malam?" Reaksi Anwar dalam laman Twitternya ketika mengetahui Samad ditahan .

Anwar turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kepada sasterawan negara itu.

Dalam Twitternya, Anwar berkata, menteri dalam negeri wajib mohon maaf kepada kepada Samad kerana pada usianya 80 tahun, beliau dibawa tiga polis pada jam 12 tengah malam ke ibu pejabat polis.

“Tak dapat soal siasat siang hari? Perikemanusiaan?" katanya dalam Twitter.

Tindakan polis menahan Samad turut dikritik rakan seperjuangannya dalam Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0.

"Pak Samad, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi. Layanan yang mengejutkan dalam menghormati sasterawan negara," memetik dari laman twitter Ambiga.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kini berada di Sibu turut mengutuk tindakan polis.

"Penahanan yang dibuat pada polis merupakan satu kebiadapan ia mesti dikutuk oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Manakala seorang pengguna sosial, Radin Shamsulkamar @radins berkata dalam twitternya : "Kalau Pak A Samad Said berjalur Umno, nescaya PDRM tidak akan bertindak semustahil ini.”

Komen twitter itu turut dihantar kepada Zahid Hamidi dan Ketua Polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Zaim Al Amin @zaimhq : "Sasterawan negara berusia 80 tahun dibawa ke Balai Polis pada waktu malam untuk disiasat.”

Semalam, Samad ditahan polis di rumahnya di Bangsar, kira-kira jam 12.40 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung pengibaran bendera Sang Saka Malaya.

Sasterawan negara itu disoal siasat selama hampir dua jam selepas tiga anggota polis mengambilnya di rumah berhubung insiden pada malam ambang kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Pak Samad dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi selepas keterangannya diambil,” kata aktivis, Adam Adli Abdul Halim kepada The Malaysian Insider.

Samad diwakili peguam, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Latheefa memberitahu The Malaysian Insider, Samad disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 505, Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis turut menahan dan menyoal siasat aktivis, Hishamuddin Rais dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan 1948 semalam.

Insiden kibaran bendera Sang Saka Malaya itu turut tersebar dalam laman sosial Youtube.

Berlaku ketegangan apabila kelibat seorang pemuda yang menjerit kepada kumpulan tersebut berkata "Itu bendera Malaysia."

Selain itu, tiga bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul manakala Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa polis mengenakan tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap kumpulan yang mengibarkan Sang Saka Malaya.
-TMI



"Pemerintah Sementara Mesir Telah Melakukan Jenayah Terburuk Dalam Sejarah Manusia"


Gabungan Kebangsaan Bagi Menyokong Kesahtarafan ( Legitimasi) Mesir, iaitu sebuah perikatan Islam yang menyokong Presiden Mohamed Morsi, berkata pada Selasa bahawa Mesir telah kini mengalami pelbagai bentuk kerugian politik dan ekonomi sejak bekas presiden yang dipilih digulingkan pada 3 Julai lalu.

Sebagai tanda memperingati 60 hari penggulingan Morsi oleh pihak tentera, dan dikuti dengan ledakan bantahan dari massa, pihak gabungan telah mengeluarkan kenyataan menyenaraikan kerugian yang Mesir hadapi semenjak berada di bawah "pihak berkuasa rampasan kuasa," termasuklah penutupan beberapa kilang-kilang, penanggungan hutang yang meningkat, dan keadaan darurat yang diperbaharui yang dijangka berakhir dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

"Enam puluh hari telah berlalu semenjak rampasan kuasa pada 3 Julai 2013 ke atas presiden pertama yang dipilih secara demokrasi di Mesir," kata kenyataan. "Rakyat Mesir kini telah tertakluk kepada pemalsuan sejarah yang mungkin paling buruk dalam di dalam sejarah manusia."

"Pihak berkuasa yang melakukan rampasan kuasa itu telah melakukan jenayah terburuk terhadap kemanusiaan ; Mereka membunuh, membakar, dan menyiksa mereka yang berjiwa Islam dan patriotik, memutarkan fakta... dan ekonomi Mesir telah mengalami pukulan dasyat sejak saat pertama (rampasan kuasa)."


Golongan Islam pro- Morsi telah mengadakan demo pada semalam (Selasa) bagi memperingati 2 bulan penggulingan Morsi, dengan kehadiran para demonstrasi dianggarkan dalam ribuan orang.

Pihak berkuasa sementara telah mengusir secara paksa mereka yang pro- Morsi daripada berada di Rabaa Al- Adawiya dan dataran Al- Nahda (di Kaherah dan Giza) pada 14 Ogos, menyebabkan beratus-ratus orang mati, kebanyakannya dari kem Islam. Ini diikuti oleh aliran penangkapan pbeberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin yang terkenal, yang telah dihadapkan dengan pelbagai tuduhan jenayah.

Dua hari selepas pertempuran maut, pada Jumaat 16 Ogos menyaksikan perhimpunan besar yang dihadiri oleh menyokong Morsi, dari Ikhwan Muslimin, telah ditandai dengan satu pertukaran diantara kehidupan bersama bahang tembakan dengan berpuluh-puluh kematian.

Demontrasi semalam berlaku pada pada hari yang sama dengan keputusan mahkamah yang menutup satelit Saluran TV Al Jazeera Mubasher Misr, sebuah saluran television tempatan bersama rangkaian Al-Jazeera Qatar. Saluran ini telah memberikan liputan demonstrasi pro-Morsi, tidak seperti saluran-saluran swasta dan kerajaan lain yang berpihak kepada kerajaan sementara Mesir.

Dalam ketetapan yang sama juga, Mahkamah Pentadbiran juga menutup saluran Islam-sekutu Al-Yarmouk, Al-Quds dan Ahrar 25.

Sementara itu, mahkamah tentera di Mesir telah menjatuhkan hukuman penjara kepada penyokong Presidennya, Mohamed Mursi selepas mendapati mereka bersalah menyerang tentera.

Seorang dipenjara seumur hidup, tiga yang lain dipenjara 15 tahun dan 45 lagi lima tahun penjara, kata kenyataan yang dikeluarkan tentera.

Defendan dituduh memulakan tembakan kepada tentera ketika rusuhan yang berlaku di bandar pelabuhan Suez, bulan lalu.

Mesir Berusaha Untuk Bubarkan Ikhwanul Muslimin

Satu panel kehakiman Mesir pada hari Isnin telah mencadangkan pembubaran Ikhwan Muslimin - organisasi politik terbesar Mesir - dan mencadangkan juga ibu pejabatnya ditutup.

Dalam cadangan yang tidak terikat kepada mahkamah pentadbiran Mesir, panel tersebut telah menuduh kononnya Ikhwanul Muslimin beroperasi di luar kerangka undang-undang dan tidak memenuhi matlamat penubuhannya.

Langkah untuk membubarkan Ikhwan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sah adalah cabaran terbaru kepada kumpulan Islam tersebut daripada pihak kerajaan sementara Mesir yang disokong oleh pihak tentera yang telah menggulingkan bekas Presiden Mohamed Morsi pada bulan Julai lalu.

Cadangan untuk membubarkan Ikhwanul Muslimin dilihat oleh beberapa pemerhati politik sebagai cubaan untuk menyekat pertubuhan berkenaan daripada bertanding di dalam pilihanraya baru Mesir dan untuk mempastikan kemenangan golongan sekular di dalam pilihanraya tersebut nanti setelah mengheret Morsi ke pengadilan selepas penggulingannya.

Pada hari Ahad lepas, media kerajaan melaporkan bahawa Morsi, yang berada di dalam tahanan, akan dibicarakan bersama-sama dengan 14 lagi suspek di atas tuduhan menghasut keganasan dan pembunuhan. Dakwaan berpunca daripada pertempuran diantara penyokong Ikhwan Morsi dan puak pembangkang di Kaherah akhir tahun lepas. Pihak berkuasa menyatakan tujuh orang terbunuh dalam keganasan tersebut.

Ikhwan Muslimin 85 tahun telah menjadi barisan hadapan dalam politik Mesir selepas kebangkitan "Arab Spring 2011" yang menyebabkan bekas presiden Hosni Mubarak terlucut dari kuasanya. Pergerakan Islam kemudiannya menubuhkan parti politik dan memenangi majoriti kerusi di Parlimen.

Morsi bertanding untuk kerusi Presiden di atas tiket Ikhanul Muslimin dan dan telah berjaya menjadi presiden pertama negara Mesir yang dipilih secara demokrasi pada Jun 2012. Tetapi pihak yang menentangnya telah mencetuskan huru-hara dan penentangan besar-besaran apabila beliau berusaha untuk mengukuhkan kuasanya.


IKHWANUL MUSLIMIN - Wikipedia


IKHWANUL-MUSLIMIN

Ikhwanul Muslimun (Bahasa Arab: الإخوان المسلمون‎ al-ikhwān al-muslimūn, atau ringkasnya الإخوان al-Ikhwān; Bahasa Melayu: Saudara Muslim) adalah satu gerakan Islam antarabangsa yang berpengaruh di dunia. Al-Ikhwan juga adalah parti pembangkang berpengaruh di kebanyakan negara Arab terutamanya Mesir.

Gerakan ini diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928 dan beberapa gerakan Islam lain ditubuhkan di seluruh dunia Islam yang mempunyai kaitan dengan al-Ikhwan.

Gerakan Al-Ikhwan tidak memandang peranan Islam dengan mudah, sebaliknya merujuk Islam sebagai "the way of life" (jalan kehidupan). Ia menyokong satu langkah dari sekularisme, dan kembali kepada peraturan Al-Quran sebagai asas untuk pembentukan keluarga, masyarakat, dan negara yang sihat dan mapan.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin secara rasmi menolak penggunaan apa-apa cara keganasan untuk mencapai sesuatu matlamat. Bagaimanapun, cabang-cabang kumpulan itu telah dikaitkan dengan serangan pada masa lalu, dan pengkritik menyalahkan Ikhwan untuk mencetuskan kekacauan di tempat lain di Timur Tengah. Ramai yang menganggap pendahulu (forerunner) militan moden Islamisme.

Doktrin al-Ikhwan adalah:

"Allah adalah matlamat kita. Nabi adalah pemimpin kita. Quran adalah undang-undang kita. Jihad adalah jalan kita. Mati di jalan Allah (syahid) adalah cita-cita kita."

Doktrin ini diringkaskan dalam sebuah nasyid yang dipopularkan oleh Kumpulan [Nada Murni]: Allahu rabbuna (Allah Allah) Allahu ghayatuna (Allahu akbar, Allahu akbar) Ar-rasul qudwatuna (Allah Allah) Al-Qur'an dusturuna (Allahu akbar, Allahu akbar) Al-jihadu sabiluna, Al-mautu fi sabilillah asma'amanina

Allah Tuhan kami Allah matlamat kami Ar-Rasul ikutan kami Al-Qur’an panduan kami Jihad jalan kami Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami

Sejarah

Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin adalah suatu bahagian dalam senario politik Mesir lebih daripada 80 tahun lamanya. Ia telah dipelopori dan ditubuhkan oleh Sheikh Hassan al Banna pada tahun 1928.

Sheikh Hassan Al-Banna dan pengikutnya pada asalnya telah bersatu-padu untuk menggulingkan penaklukan dan pengawalan British di Mesir, dan membersihkan negara tersebut dari apa yang mereka nampak sebagai "kerosakan" akibat dari pengaruh-pengaruh Barat.

Dalam tahun-tahun awal penubuhan, kumpulan Al-Ikhwan hanya menumpukan kepada isu-isu keagaamaan, pendidikan dan khidmat sosial kepada masyarakat, tetapi penyertaan keahlian semakin meningkat, ia beralih kedalam sfera politik, dan mengajurkan protes kepada kerajaan Mesir.

Pada era 1940, sayap bersenjata Ikhwan telah dipersalahkan kerana rentetan dari perbuatan ganas, termasuk pembunuhan Perdana Menteri Mesir Mahmud Fahmi al-Nuqrashi dalam tahun 1948 -- sejurus selepas dia telah mengarahkan pembubaran gerakan Ikhwanul Muslimin.

Al-Banna sendiri telah dibunuh tidak beberapa lama kemudian -- penyokongnya mengatakan bahawa pembunuhan keatas beliau telah diarahkan oleh kerajaan.

Gerakan ini kemudiannya bergerak secara senyap-senyap (bawah tanah) pada era 1950, dan dekad-dekat dimana pemerintah Mesir terus menjalankan operasi pembersihan anggota gerakan, mengakibatkan ramai ahli Ikhwanul Muslimin telah berpindah ke negara lain dan ada diantara mereka yang dipenjarakan.

Ikwanul Muslimin telah kembali berkembang pada tahun 1980 seiring dengan perkembangan umum dalam minatnya mendalami agama Islam, serangan tentera Amerika Syarikat keatas Iraq pada tahun 2003 telah merancakkan peningkatan keahlian yang mendadak.

Kepentingan Mesir

Ikhwanul Muslimin adalah kumpulan pembangkang yang tertua dan terbesar di Mesir. Ia telah mendapat sokongan dan dokongan yang kuat dari kalagan rakyat Mesir kelas pertengahan, dan ahli-ahlinya telah berjaya mengawal banyak organisasi professional dalam negara Mesir.

Sehinggalah tahun 2011, adalah menjadi kesalahan menurut undang-undang mana parti politik di Mesir yang menjadikan agama sebagai asas perjuangan. Namun pada bulan Disember 2011, Al-Ikhwan telah mendominasi pengundian parlimen, dan memenangi kira-kira separuh dari kerusi-kerusi parlimen.

Pengaruh Ikhwanul Muslimun di arena politik dunia

Terdapat banyak cabang gerakan Ikhwanul Muslimun di pelbagai negara serata Timur Tengah dan Utara dan Timur Afrika. Ini termasuklah Sudan, Syria dan Arab Saudi. Terdapat juga cabang Al-Ikhwan di Amerika Syarikat.

Cabang-cabang diluar Mesir ditandai lebih konservatif dalam pandangan mereka; Sebagai contoh, cabang Kuwait dikatakan telah meminggirkan hak-hak untuk wanita mengundi.

As-Sheikh Sayyid Qutb, ahli Ihkwanul Muslimun sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, telah membangunkan doktrin jihad, dan parti politik Hamas di Palestin dipercayai merupakan cabang dari Ikhwanul Muslimun di Palestin.

Di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), berpendirian untuk terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) dan akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi dan pilihanraya.

[VIDEO] Najib Dicabar Bayar Petrol Sendiri

Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kabinet dicabar membayar sendiri perbelanjaan petrol dan diesel yang selama ini dinikmati mereka atas pembiayaan wang rakyat secara percuma.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membuat cabaran itu berikutan kenaikan harga RON 95 dan diesel sebanyak RM20 sen berkuat kuasa tengah malam tadi.

Dengan kenaikan itu, RON 95 berharga RM2.10 seliter manakala diesel pula RM2.00 seliter.

“Najib bertanggungjawab menaikkan harga minyak, wajarlah beliau mengarahkan semua Menteri Kabinetnya seramai lebih kurang 70 orang itu membayar sendiri petrol dan diesel yang selama ini ditanggung wang rakyat.

“Mereka mesti berlaku adil kepada rakyat yang selama ini menanggung perbelanjaan ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.

Najib semalam memberi alasan kenaikan itu kononnya langkah rasionalisasi subsidi dan proses pengukuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana oleh kerajaan bertujuan memberi kesan positif kepada rakyat.

Memetik Keadilan Daily, Ahli Parlimen Pandan itu menolak alasan itu dengan membawa fakta bahawa kenaikan harga minyak memberi kesan berganda kepada rakyat terutama golongan miskin.

Berdasarkan Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Kaji Selidik Isirumah 2009/2010, katanya, menunjukkan kenaikan itu memberi kesan lebih buruk kepada golongan miskin.

“Contohnya, golongan berpendapatan bawah RM500 sebulan membelanjakan 35 peratus pendapatan untuk petrol dan diesel sahaja.

“Mereka yang bergaji lebih RM4,000 sebulan hanya membelanjakan 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk hal sama,” katanya.

Beliau turut menyangkal kenyataan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong BN di Parlimen, Datuk Bung Mokhtar Radin yang menyifatkan kenaikan itu tidak memudaratkan orang kampung kerana yang berkereta kebanyakannya orang kaya.

“Rakyat termasuk golongan miskin guna kerana bukan kerana pilihan tetapi keperluan,” kata Rafizi. -selangorku


Harga minyak naik: Hari-hari terakhir Najib


“Kenaikan harga minyak memperlihatkan kepada kita satu lagi babak kisah hari-hari terakhir seorang Perdana Menteri,” kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Sejarah berulang lagi. Apa yang berlaku kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kini sedang berlaku kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Sama seperti Pak Lah, Najib gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dan Najib juga membuat kesilapan seperti Pak Lah dalam pembentukan kabinetnya selepas PRU13," katanya.

Bagi Salahuddin, kabinet Najib yang baru dipenuhi oleh personaliti yang hanya dilantik dengan tujuan menguatkan kedudukannya menghadapi pemilihan Umno.

"Kabinet Najib dipenuhi oleh mereka yang hanya bertujuan mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, bukan mereka yang dapat memakmurkan negara dan rakyat," katanya.

Dengan latar belakang sedemikian, kata beliau, tidak hairanlah Najib melakukan apa yang telah dilakukan oleh Pak Lah, iaitu menaikkan harga minyak yang secara langsung dan serta merta akan menaikkan kos pengangkutan, harga makanan dan juga harga barang-barang keperluan.

Kesemua itu, kata Salahuddin, akan menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang tidak terkawal atau runaway inflation.

Beliau melihat, kesemua faktor itu akan menguatkan apa yang diheboh-hebohkan sebagai ‘Gerakan Singkir Najib (GSN)’ di dalam Umno.

"Kenaikan harga minyak merupakan faktor ketiga yang akan memberikan lampu hijau kpd GSN dalam Umno untuk mempertingkatkan usaha mereka menjatuhkan Najib dan (isterinya, Datin Seri) Rosmah (Mansor) daripada tampuk pemerintahan.

"Tokoh-tokoh dan ahli-ahli Umno yang tidak senang dengan regu Najib-Rosmah akan menggunakan kemarahan rakyat akibat kenaikan harga minyak sebagai faktor utama dalam usaha penyingkiran tersebut," katanya.

Salahuddin juga menyatakan kekesalannya dengan tindakan Najib menarik balik subsidi minyak kepada rakyat.

"Subsidi minyak kepada rakyat Najib rampas, sedangkan subsidi kepada kroni-kroni yang menjadi tuan-tuan punya penjana kuasa bebas (IPP) tidak diusik sedikit pun, hutang setengah bilion ringgit (Tan Sri) Tajuddin Ramli dihapuskan manakala pemerasan kroni-kroni yang menjadi pemegang-pemegang konsesi tol di lebuhraya-lebuhraya diteruskan.

"Subsidi kepada golongan kapitalis diteruskan, contohnya melalui geran-geran Dana Mudahcara (Facilitation Fund) yang dikendalikan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan juga Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjangkau berbilion ringgit," katanya.

Selain dari itu, kata Salahuddin, ratusan juta boleh pula diberikan kepada konsultan-konsultan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah JPM, tetapi kalau kepada rakyat, subsidi yang tidak seberapa bagi setiap individu pun dirampas atau dikurangkan oleh kerajaan Najib.

"Sharizat boleh dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri dengan gaji menteri dan segala nikmat dengan jawatan tersebut, tetapi kapada rakyat marhaen 'no subsidy'. Inilah Najibnomics," katanya.

Salahuddin mengakui, adalah sukar bagi sesiapa pun menolak kemungkinan protes-protes rakyat akibat kenaikan melampau harga minyak akan tercetus dengan hebat.

"Tidak perlu sesiapa pun menghasut, kemarahan rakyat yang semakin membara amat jelas di mana-mana.

"Mereka sendiri yang berkempen secara besar-besaran menentang kenaikan harga minyak ini," katanya.
-HD