31 Jul 2013

Masa Depan Malaysia Bukan Di Tangan UMNO


Orang Melayu jangan menaruh harapan yang tinggi kepada pimpinan UMNO

Saya menulis sebagai seorang pemerhati politik. Dan sebagai orang Melayu mengenai parti Melayu yang terbesar. Saya dapati berada dalam DAP memudahkan saya bercakap mengenai kepentingan orang Melayu yang tidak berani disuarakan oleh ahli UMNO. Jika Cina DAP tidak menyuarakan kepentingan Melayu, itu tidak jadi masaalah kepada saya selagi saya sendiri boleh melakukan nya.

Apa yang diharap pada bangsa lain untuk menyuarakan kepentingan Melayu? Yang orang UMNO sibuk hendak paksa cina bercakap dan menjuarai Melayu mengapa?

Kita lah yang bertanggungjawab atas masa depan bangsa kita. Dan bila saya sebut ‘kita’ tidaklah bermakna , Melayu itu mesti Melayu dalam UMNO. Orang Melayu dalam PAS, PKR bahkan DAP pun berhak menyuarakan hal2 kepentingan bangsa Melayu.

Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang mengaku menjuarai bansga Melayu mengkhianati kepentingan bangsa mereka sendiri. Yang menyedihkan kita ialah pimpinan UMNO yang menggunaknan nama bangsa Melayu untuk kepentingan peribadi. Ini kita tak terima.

Najib sebagai pemimpin terrtingi UMNO memperlihatkan betapa lemah nya dia dalam menjaga kepentingan Melayu. Dalam masa pentadbiran PM yang dulu2- MIC hanya diperuntukkan satu kerusi menteri. Yang lain hanya layak jadi timbalan menteri. Sudah parti tersebut minority, tapi Najib memberi mereka tempat prominent dalam cabinet. Berapa orang India mesti dihadirkan dalam pentadbiran negara?

Mana ada wanita UMNO jadi menteri penuh? Najib meletakkan wanita dari Sarawak jadi Menteri Penuh yang tak tahu latar belakang di Semanjung. Apa sudah jadi dengan Najib?

Ada orang UMNO yang sanggup mendedahkan rasuah dikalangan pimpinan UMNO? Ada yang sanggup mendedahkan soal kemiskinan dikalangan orang Melayu? Ada orang UMNO berani mendedahkan keperitan hidup orang Melayu? Jika tak berani, ketepi- saya boleh buat demikian. Saya boleh bercakap dan bersuara untuk bangsa saya dimana orang UMNO bacul dan tak berani.

Dari segi perjuagan UMNO sudah banyak menyimpang. Pimpinan nya mementingkan diri sendiri. Asset orang Melayu seperti tanah, hartabenda, saham tidak dijaga malah dibaham oleh pimpinan UMNO. Saham RM54billion yang diperuntukkan dibawah DEB habis dijual oleh golongan elit Melayu untuk mengayakan diri mereka. Pimpinan UMNO tak pandai mengurus asset bagi pihak orang Melayu. Tanah reseb Melayu tinggal sebahagian kecil dari yang asal dan tidak di ganti. GLC banyak yang rugi walaupun dikendalikan oleh orang Melayu. GLC rugi tapi pimpinan GLC kaya raya.

PNB misalnya mahu membina menara dan bangunan yang tinggi menelan belanja berbilion Ringgit. Perlukah PNB kepada bangunan baru? kalau berbilion Ringgit itu diagihkan dalam bentuk dividend bukan kah itu lebih baik untuk orang Melayu?

Komitment dan dedikasi pada perlaksanaan dasar2 yang menguatkan orang Melayu tidak mengiringi deklarasi dan pengucapan. Pimpinan UMNO lebih mengutamakan jeritan dan pekikan slogan daripada memberi isian kepada pengucapan. Najib terutama nya, lebih menyerlah pada segi melaungkan itu dan ini, tapi laungan tersebut tidak berisi.

Menjelang Perhumpian Agung UMNO pada bulan Disember ini, pelbagai spekulasi telah dibuat. Adakah Najib akan dicabar? Jawapan rengkas nya, ya dia akan dicabar. Pencabar nya ialah Muhyidin Yassin. Walaupin Muhyidin dilaourkan sebagai berasa letih untuk berlawan, dia tidak ada pilihan lain. Jika dia tidak mencabar, dia akan di pinggirkan sedikit demi sedikit. Bukan rahsia lagi, Najib membarisi tenaga2 untuk mengepung dan mengekang Muhyidin. Jika Muhyidin tidak berbuat sesuatu, masa depan nya akan gelap dan masa depan UMNO sebagai sumber pengharapan orang Melayu pun akan muram.

Ketika Pak Lah hanya memenangi 140 kerusi parlimen tapi undi popular nya 51%, Muhyidin mengepalai gerakan untu mengusir Pak lah. Akhirnya Pak Lah terpaksa berhenti jadi presiden UMNO dan PM. Menantu nya tinggal dalam kegelapan manakala pimpinan setara dengan KJ mendapat tempat dalam pentadbiran negara.

Jika Muhyidin tidak menggesa Najib berhenti, maka dia akan dilihat sebagai tidak konsisten. Ternayata Najib gagal dalam banyak hal. Twitter nya dan blog nya tidak akan dapat menyembunyikan kekosongan dalam diri Najib. Dia hanya lebih dari segi bentuk, tapi kurang dalam segi isi.

Dia gagal bila berjaya mendapat hanya 133 kerusi parlimen berbanding dengan Pak lah 140 kerusi. Undi popular dalam tangan Najib hanya 47% berbanding Pak Lah dengan undi popular 51%. Betul UMNO menang lebih banyak kerusi tapi kemenangan itu disebabkan gerrymandering. Kepadatan pengundi yang kurang dalam kawasan yang ditandingi oleh UMNO membenarkan Najib memenangi lebih banyak kerusi untuk UMNO. Bawah pimpinan Najib, parti MCA hanya menang 7 kerusi parlimen berbanding dengan dibawah Pak lah dimana MCA menang 15 kerusi.

Najib gagal mendapat 2/3 kerusi parlimen. Najib gagal menawan Selangor. Perak hanya menang tipis. Terengganu menang tipis juga. Buat pertama kali di Negeri Pahang, ada 12 ADUN pembangkang dalam dewan undangan negeri.

ETP, GTP nya lebih indah khabar dari rupa. Dari jauh kelihatan jelita, bila dekat mendukacitakan. Itu kita bincang dibahagian lain. -sakmongkol

[VIDEO] Rujuk Saya Dahulu - Bapa Sanjeevan

Bapa Pengerusi My Watch Sri Sanjeevan A/L Ramakrishnan meminta pihak dan individu yang tidak berkenaan berhenti mengeluarkan apa jua kenyataan kepada media tentang keadaan anaknya tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan akhbar, Ramakrishnan Perianan berkata, dalam tempoh beberapa jam lalu, beliau mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan Sri Sanjeevan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan, katanya.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada Sanjeevan dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” katanya lagi.

Sri Sanjeevan, 29, cedera diperut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal apabila mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin kereta untuk merokok.

Kejadian itu berlaku pada 4.30 petang di satu persimpangan berdekatan Taman Awana Indah di Jempol, Negri Sembilan.

Ramakrishnan berkata, anaknya itu sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban petang semalam.

Keadaan beliau, katanya seperti yang dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang walaupun kritikal, tetapi lebih stabil.

“Saya juga ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan doktor, pakar dan kakitangan perubatan di Hospital Jempol, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Serdang yang bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan Sri Sanjeevan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia yang mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi kawalan keselamatan penuh terhadap Sri Sanjeevan sementara dia dirawat di hospital sekarang ini.

“Saya dan keluarga turut menghargai ucapan simpati dan kata-kata sokongan dari seluruh rakyat Malaysia serta doa mereka untuk Sri Sanjeevan,” katanya lagi. -TMI


‘Siapa Dalang Cubaan Pembunuhan Sanjeevan'


Pemuda PAS mendesak siasatan menyeluruh dibuat mengenai satu percubaan bunuh terhadap pengerusi NGO anti Jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Ini berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan bunuh terhadap Sri Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menganggap kenyataan Musa itu sebagai sesuatu yang serius.

“Jika benar dakwaan tersebut, ia bermakna ada beberapa pihak yang ‘merasa panas’ dengan pendedahan Sri Sanjeevan sehingga tergamak mengambil pembunuh upahan menembak beliau.

“Soalnya, siapakah yang berusaha membunuh beliau dan siapakah pula dalang yang mengarahkan beliau dibunuh?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Khairul Faizi menambah, individu berprofil tinggi seperti Sri Sanjeevan sepatutnya dilindungi daripada sebarang cubaan jenayah terhadapnya.

Keberanian wajar dicontohi

Beliau katanya, menghadapi risiko dibunuh ekoran keberaniannya mendedahkan bahawa pegawai polis sendiri terlibat dengan jenayah.

Keberanian beliau wajar dicontohi dan seharusnya banyak pihak lain sanggup ke tengah dalam menegakkan kebenaran tanpa mempedulikan risiko yang bakal diambil, katanya lagi.

“Pendedahan beliau dan jenayah yang berlaku ke atasnya pastinya menggemparkan negara. Cubaan bunuh ke atas beliau menunjukkan bahawa ada beberapa kes besar yang boleh memeranjatkan melibatkan individu atau pihak tertentu cuba untuk dilenyapkan.

“Mungkin beliau memiliki rahsia besar yang perlu disingkapkan bagi pengetahuan umum,” katanya.

Bagaimanapun, Pemuda PAS mengharapkan penjenayah terbabit segera ditangkap untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Menurutnya, kejadian ke atas Sri Sanjeevan menunjukkan jenayah membunuh menggunakan senjata api adalah sesuatu yang serius dan Malaysia sudah tidak boleh dianggap selamat. -FMT


Suspek tembak disyaki kenalan Pengerusi MyWatch, kata KPN


Suspek yang disyaki terbabit dalam kes cubaan membunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan dipercayai kenalannya sendiri.

Mengikut laporan Free Malaysia Today (FMT), Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata siasatan awal membawa kepada petunjuk yang mengejutkan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berikutan siasatan sedang dijalankan dengan diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Mangsa sedang memandu kereta BMW kelabu di satu persimpangan di Bahau, Jempol sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal yang kemudian melepaskan tembakan.

Sebelum kejadian itu, Sanjeevan ada membuat laporan polis mengenai ancaman nyawa terhadapnya.

Mangsa dikatakan merancang membuat pendedahan berkaitan dakwaannya mengenai sebahagian pegawai polis terbabit dalam sindiket jenayah berat.

Pada masa ini, Sanjeevan masih dirawat di hospital dan keadaannya dilapor stabil. -TMI


ULASAN GB

KPN, Khalid Abu Bakar begitu cepat mengumumkan kematian Sanjeevan dengan menyatakan suspek yang disyaki terbabit dipercayai kenalannya sendiri.

Kepantasan itu seperti mahu cepat-cepat menutup dakwaan mengenai penglibatan anggota polis dalam sindiket jenayah.

Begitulah hukum kebenaran dan keadilan berjalan di mana pihak yang bersalah akan tersasul sendiri dengan tindakan dan kenyataannya.

Jawapannya lebih kurang di dalam kes pembunuhan Altantuya....
Siapa yang bunuh Altantuya...?
Siapa dalang yang suruh Altantuya dibunuh..?

Peruntukan Berbilion Untuk PDRM, Tapi Zahid Kata Polis Masih Kurang Anggota & Peralatan

Polis tidak boleh dipersalahkan

PUTRAJAYA: Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

“Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.

Semalam Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.

Sambil mengakui bahawa antara faktor peningkatan kadar jenayah berpunca daripada pembebasan tahanan di Simpang Renggam, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi pelbagai agensinya akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan negara yang menjadi lokasi untuk menyeludup senjata.

Kementerian juga akan mempertimbangkan pembelian peralatan baharu untuk anggota polis dan menambah lebih banyak litar kamera tertutup (CCTV) bagi membanteras kejadian jenayah pada masa depan, katanya.

Mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengekang fahaman itu. -Bernama


Polis Sambut Baik Peruntukan RM5.4 Bilion


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Peruntukan RM5.4 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2009 menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan PDRM, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Katanya peruntukan tersebut akan digunakan sebaik mungkin oleh PDRM, terutamanya dalam aspek pengurusan dan pembangunan PDRM yang lebih sistematik.

"Peruntukan ini dapat kita gunakan bagi membeli peralatan baru untuk pencegahan jenayah dan pembinaan balai-balai polis yang berkemudahan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ismail juga berkata langkah menaikkan elaun bayaran insentif khas untuk anggota PDRM daripada RM100 kepada RM200, juga akan menaikkan lagi semangat anggotanya untuk bekerja dengan penuh semangat.

Beliau berkata PDRM juga menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi galakan cukai ke atas pemasangan alat kawalan keselamatan di premis kilang dan pengesan kenderaan bagi meningkatkan keselamatan barangan.

"Alat kawalan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) amat penting dalam penyelesaian kes-kes jenayah. Saya percaya CCTV yang lebih berkualiti dan berteknologi dapat dipasang oleh premis-premis selepas ini," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata Elaun Modal Dipercepatkan untuk alat kawalan keselamatan akan memberi peluang kepada sektor swasta untuk memasang lebih banyak CCTV bagi mencegah jenayah yang kian meningkat.

"Kalau dulu hanya kilang dapat elaun terbabit, tetapi sekarang semua pihak seperti hotel dan bank pun dapat. Maka semua pihak terbabit akan memasang CCTV atau alat penggera yang berteknologi tinggi.

"Dengan ini pemilik premis hotel, kilang dan bank dapat memantau operasi seharian mereka dengan efisyen dan ini sama sekali dapat meminimakan kadar jenayah," katanya.

Beliau juga berpendapat peruntukan RM220 juta untuk pembinaan balai polis dan pondok polis baru di seluruh negara dapat meningkatkan prestasi anggota polis dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.-- BERNAMA



Bajet 2013: RM591 juta jayakan usaha kurangkan jenayah: Najib


KUALA LUMPUR: Usaha menambah bilangan jawatan baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini. Najib berkata, peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya, penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akan diberikan geran berjumlah RM10,000 bagi menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan yang dilakukan persatuan terbabit.

Najib berkata, kerajaan juga menyasarkan penubuhan 6,500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu bagi mempertingkatkan peranan KRT dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan.

Katanya, bagi pemberian geran kepada persatuan penduduk, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta, manakala RM39 juta disediakan untuk membiayai aktiviti KRT di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan imej Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), seramai 300,000 anggota Rela yang aktif akan dibekalkan dengan sepasang pakaian seragam melibatkan peruntukan sebanyak RM90 juta. - BERNAMA


ULASAN GB

Apakah peruntukan berbilion-bilion untuk polis selama ini masih belum mencukupi untuk mengatasi kekurangan anggota dan peralatan PDRM?

Atau apakah jawapan Zahid itu semata-mata satu helah untuk menutup kelemahan PDRM yang beliau sebagai Menteri KDN?

Sekarang kejadian tembak-menembak (sehingga menyebabkan kematian & kecederaan parah) semakin menjadi-jadi tetapi pihak polis mendabik dada dengan angkanya yang menyatakan "kadar jenayah semakin menurun dan Menteri KDN sebelum ini pula membuat perisytiharan menyatakan negara Malaysia paling selamat di Asia Tenggara.

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, dan nampaknya perisytiharan dan pengiktirafan yang kononnya Malaysia negara paling selamat dan paling aman adalah berdasarkan kepada statistik palsu untuk menutup kepincangan dan kelemahan PDRM.

Dan seperkara yang perlu direnungkan ialah, kejadian jenayah berleluasa sehingga negara menjadi seperti sangkar samseng bermaharajalela sekarang ini adalah kerana kita mempunyai seorang Menteri KDN yang mempunyai rekod jenayah memukul orang awam yang kesnya masih berjalan di mahkamah.

Dan kita mempunyai seorang KPN yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai orang bertanggungjawab terhadapematian tahanan di dalam penjara!

[BONGKAR] Jasbir Pernah Saman Razak Baginda Sebelum "Diselesaikan Di Luar Mahkamah"


Suaram: Jasbir sorok fakta rundingan Scorpene

Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel menyifatkan saksi kes Scorpene di Perancis, Jasbir Singh Chahl tidak mendedahkan sepenuhnya maklumat yang diketahuinya mengenai urus niaga pembelian kapal selam itu kepada media arus perdana.

"Perkara ini menjadi perhatian ramai tetapi beliau tidak mendedahkan semua," katanya pada sidang media hari ini bagi mengulas kenyataan Jasbir yang dilihat memburuk-burukkan Suaram dalam NST.

Beliau berkata, Jasbir sepatutnya mendedahkan butiran pembekalan, selain peranannya dan mengapa beliau digugurkan dari rundingan berkenaan.

"Kami pelik mengapa butiran itu tidak disiarkan NST,"
katanya yang berpendapat Jasbir juga wajar mendedahkan punca Datuk Seri Najib Razak campur tangan dan pembabitan kawan lamanya, Abdul Razak Baginda dalam rundingan itu.

Tidak setuju dengan kenyataan dalam akhbar berkenaan, Cynthia berkata, Jasbir menyatakan Altantuya Shaariibuu tidak terlibat dalam proses rundingan tetapi ia bertentangan dengan kenyataan bapanya sendiri yang mendedahkan anaknya perunding rojek itu.

"Jika bukan perunding projek, mengapa Altantuya meminta $500,000 sebagai komisen,"
katanya.

Antara 2009 dan 2010 sewaktu kapal selam dalam proses penghantaran, beliau berkata, Jasbir membayar €114.9 juta kepada Perimekar yang mencatatkan kerugian daripada untung bersih, RM19 juta kepada RM3.3 juta.

Beliau berkata, laporan kewangan syarikat pada 2010 menunjukkan projek dengan kerajaan tamat pada Disember 2009 dan kerugian berlaku.

"Jadi, adakah Permekar ditubuhkan hanya untuk menerima projek kapal selam? Dan, kenapa Jasbir tidak mendedahkannya?" katanya.

Cynthia turut mempersoal peranan Jasbir dalam Terasasi Sdn Bhd dan mengapa syarikat itu tidak didedahkan kepada umum.

"Jasbir pernah menjadi pengarah di syarikat itu sebelum Razak dan bapanya turut terlibat sama, katanya sambil mendesak suruhanjaya siasatan ditubuh bagi mendedahkan hal berkenaan kepada umum.


Menyatakan Jasbir pernah menjadi perunding dalam perolehan dua kapal selam sebelum digugur, beliau berkata, saksi kes Scorpene itu juga memfail saman RM50 juta terhadap Razak yang sebelum membuat penyelesaian luar mahkamah.

Pada kenyataan dalam NST baru-baru ini, Jasbir bersumpah Altantuya tidak berada di Perancis semasa rundingan pembelian kapal selam.

Urus niaga pembelian kapal selam juga menjadi antara sebab Razak menjadi tumpuan media pada 2006 apabila Altantuya didakwa mengancamnya sebelum mayatnya diletup di Puncak Alam.

Pada 2009, Suaram membuat aduan kepada Mahkamah Perancis yang membawa kepada siasatan membabitkan dua hakim berhubung dakwaan kerajaan Malaysia terbabit dalam rasuah pembelian dua kapal selam Scorpene. -TMI

ULASAN GB

Ada beberapa persoalan yang timbul berkaitan dengan isu ini:

1) Mengapa di satu ketika seorang peguam dari Perancis, Wiliam Bourdon yang mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene, dihantar pulang ke negaranya setelah ditahan Pegawai Imegresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). mengapa takut sangat dengan beliau?

2) Mengapa kini tiba-tiba muncul apa yang dikatakan "Untold Stories" daripada seorang akitek perjanjian bernama Jasbir Singh Chahl ini yang sebelum ini lansung tidak pernah bersuara tatkala isu sorpene ini hebat dibincangkan?

3) Jasbir menyatakan "bersumpah Altantuya tidak berada di Perancis semasa rundingan pembelian kapal selam." Apa kena mengena isian sumpah itu kerana ada atau tidak Altantuya di Perancis bukan bererti beliau tidak terlibat sebagai jurubahasa. Mahukah Jasbir bersumpah bahawa konon apa yang dikatakan "pendedahan" itu tulus dan bukan akibat dari permintaan dari mana-mana pihak dan beliau tidak dibayar apa-apa pun untuk berbuat demikian? Apakah ia sebahagian terma penyelesaian "diluar mahkamah"?

4) Mengapa kerajaan enggan malah begitu takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal yang melibatkan wang rakyat yang begitu besar ini?

5) Dan yang terakhir, hakikatnya, Altantuya telah dibunuh, telah dibom. Persoalan yang masih belum terjawab sekalipun perbicaraan di mahkamah telah dilakukan ialah SIAPA MENGARAHKAN ALTANTUYA DIBUNUH DAN APA SEBABNYA?

Kebenaran akan tetap muncul di satu ketika nanti! Lagi cuba ditutup lagi cepat ianya terbongkar. Demikianlah Hukum Kebenaran dan Keadilan berjalan.