31 Jul 2013

[VIDEO] Rujuk Saya Dahulu - Bapa Sanjeevan

Bapa Pengerusi My Watch Sri Sanjeevan A/L Ramakrishnan meminta pihak dan individu yang tidak berkenaan berhenti mengeluarkan apa jua kenyataan kepada media tentang keadaan anaknya tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan akhbar, Ramakrishnan Perianan berkata, dalam tempoh beberapa jam lalu, beliau mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan Sri Sanjeevan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan, katanya.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada Sanjeevan dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” katanya lagi.

Sri Sanjeevan, 29, cedera diperut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal apabila mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin kereta untuk merokok.

Kejadian itu berlaku pada 4.30 petang di satu persimpangan berdekatan Taman Awana Indah di Jempol, Negri Sembilan.

Ramakrishnan berkata, anaknya itu sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban petang semalam.

Keadaan beliau, katanya seperti yang dimaklumkan oleh pihak Hospital Serdang walaupun kritikal, tetapi lebih stabil.

“Saya juga ingin mengambil peluang untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan doktor, pakar dan kakitangan perubatan di Hospital Jempol, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Serdang yang bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan Sri Sanjeevan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia yang mengambil langkah berjaga-jaga dan memberi kawalan keselamatan penuh terhadap Sri Sanjeevan sementara dia dirawat di hospital sekarang ini.

“Saya dan keluarga turut menghargai ucapan simpati dan kata-kata sokongan dari seluruh rakyat Malaysia serta doa mereka untuk Sri Sanjeevan,” katanya lagi. -TMI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.