11 Jul 2013

Artis Dicekup Tak Berpuasa, Hisap Rokok & Main Mahjong

Puchong – Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam.

Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit.

Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.


Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ.

Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas.

Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung.

“Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen.

“Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ,” katanya.

Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil. -SH

Kerajaan Cuba Sembunyi Jumlah Sebenar Anggota Polis

Ahli Parlimen DAP Kulai kesal soalannya di Parlimen diubahsuai

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching terkejut apabila soalan beliau di Parlimen mengenai jumlah anggota polis di semua lapan jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diubah suai.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau soalan saya ditolak atas sebab sensitif dan mengancam keselamatan negara, itu hal lain tetapi soalan saya diterima Speaker.

“Saya juga tertanya-tanya siapa yang berkuasa mengubah soalan samada di pihak Speaker atau kementerian? Siapa pula yang memberi arahan untuk mengubah soalan itu, kalau diubah, mengapa pula saya tidak dimaklum,” soalnya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, adalah menjadi tanggungjawab seorang Ahli Parlimen untuk mendapat maklum balas kerajaan di Parlimen.

“Apa yang berlaku seolah-olah mengancam institusi Parlimen. Selain jumlah anggota polis, kami juga ingin tahu bilangan yang ada dalam Jabatan Cawangan Khas dan Pasukan Petugas Khas sebab selama ini tugas Cawangan Khas banyak ke arah politik, ikut aktiviti dan ceramah politik,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang berlaku menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu yang berkaitan dengan Jabatan Cawangan Khas.

Lapan pecahan jabatan dalam PDRM ialah Jabatan Pengurusan, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan KDN/KA, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Logistik dan Pasukan Petugas Khas.

Persoalan mengenai tugas polis kini menjadi perbincangan banyak pihak apabila kejadian jenayah yang hanya dianggap sebagai ‘persepsi’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin berleluasa dan mengancam keselamatan orang awam.-Roketkini


Zahid Hamidi Disaman Lagi Selepas Polis Didakwa Abai Aduan

Seorang ahli perniagaan mengambil tindakan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap laporannya.

Amir Bazli Abdullah berbuat demikian berikutan mendakwa polis mengabai laporannya mengenai kejadian Ahmad Zahid menumbuk mukanya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, pada 16 Januari 2006

Beliau juga mendakwa Ahmad Zahid yang ketika itu Timbalan Menteri Penerangan, mengugut membunuhnya selepas ditahan secara tidak sah di rumah Ahmad Zahid di Country Heights.

Dalam kenyataan tuntutannya, Amir Bazli menuntut kos ganti rugi khas, umum dan teruk, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, semalam, beliau berkata, laporan polis sudah dibuat di balai Dang Wangi pada hari sama tetapi dipindah ke balai Kajang.

“Seorang polis berpangkat cif inspektor merakam kenyataan saya selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata, tiga pegawai polis bertemunya yang dirawat di sebuah hospital di Kelantan dan ada mengambil laporan perubatannya.

“Tiga empat bulan kemudian, cif inspektor itu memberitahu kes itu diklasifikasi sebagai ‘tiada tindakan selanjutnya’. Saya persoalkan kerana dia berjanji akan siasat dengan adil.

“Pegawai itu memohon maaf dan berkata 'tangannya terikat' kerana ia arahan dari atas.”


Amir kemudian cuba bertemu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan di Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan tetapi mendakwa Musa enggan berjumpa.

“Saya sebaliknya disuruh berjumpa dengan Setiausaha KPN tetapi dia juga tidak mahu bertemu saya,” katanya.

Selepas dinasihati pegawai polis lain, Amir membuat aduan bertulis dan mengirimnya secara peribadi ke pejabat KPN tetapi tidak menerima sebarang jawapan selain pengesahan penerimaan surat itu.

Musa pula ketika mengulas hal ini memberitahu The Malaysian Insider dalam teks pesanan ringkas:“Saya tidak ingat dia pernah hubungi saya. Untuk berlaku adil, anda perlu bertanya kepada OCPD kawasan di mana laporan polis dibuat dan tanya kepadanya apa terjadi kepada laporan dan siasatan.”

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafi pertuduhan berkenaan, sebaliknya mendakwa Amir menipu jalan ceritanya dan beliau pula membuat tuntutan balas dengan mendakwa Amir memalukannya dan mengalami trauma dari segi emosi akibat pertuduhan ahli perniagaan itu.

Kes saman Amir akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan depan. -TMI

Ulasan GB

Cadangan GB yang diutarakan sebelum ini diterima.

Sepatutnya begitulah dilakukan jika polis tidak melakukan siasatan atau tidak mengambil peduli diatas laporan polis yang telah dibuat.

Sebelum ini GB sudah ulas. Petikan:

Kita perlu membuat aduan yang kedua iaitu aduan tentang polis yang tidak mengindahkanj laporan yang telah dilakukan.Kita pun rasa hairan dan pelik, kes menumbuk orang sehingga patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata hanya dikategorikan sebagai kes sivil dan bukan kes jenayah. Terlalu ketara polis yang berat sebelah dan jika menurut keterangan Gobind Singh Deo, laporan polis telah dibuat tetapi tiada siasatan dilakukan. Sepatutnya satu lagi laporan polis dibuat, kali ini, keatas polis yang tidak melakukan siasatan walaupun laporan telah dibuat.

Amnesti Internasional Kecam Kekerasan Yang Dilakukan Tentera Mesir


Organisasi pemantau masalah Hak Asasi Manusia Amnesti Internasional, Rabu (10/7/2013), menyatakan mereka memiliki sejumlah bukti yang menjelaskan penggunaan senjata api "secara tidak sepadan" oleh Angkatan Darat Mesir.

Pernyataan Amnesti ini dikeluarkan dua hari setelah sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh, sebaghaian besar dari mereka adalah pendukung Muhammad Mursi dalam demonstrasi di luar markas pasukan elit Kawalan Republik di Kaherah.

"Meskipun tentera Mesir mendawa para demontrans terlebih dahulu menyerang dalam perhimpunan hari Isnin itu, dan tidak ada perempuan atau anak-anak yang terluka, bukti-bukti yang dikumpulkan Amnesti Internasional menunjukkan gambaran yang jauh berbeza," kata Pengarah Regional Amnesti Internasional, Hassiba Hadj Sahraoui.

"Bahkan, jika sejumlah demonstran menggunakan kekerasan sekalipun, tindakbalas yang ditunjukkan tentera sangat tidak berpada yang menyebabkan hilangnya nyawa dan kecederaan di kalangan demonstran," tambah Saharaoui.

Amnesti menambahkan, para aktivisnya mengunjungi bilik mayat, rumah-rumah sakit, dan lokasi kekerasan di Kaherah dan Iskandariah. Mereka juga mengumpulkan saksi-saksi dari para demonstran yang tercedera dan keluarga mangsa yang terkorban.

"Semua itu mengarahkan kepada penggunaan senjata untuk membunuh oleh pasukan keselamatan ," Saharaoui menegaskan.

"Sebahagian besar mangsa terkorban dan tercedera akibat terkena tembakan di bahagian kepala dan tubuh bahagian atas dengan peluru tajam," lanjut Saharaoui.

Amnesti menambahkan, jika tentera Mesir tidak mengendalikan dan melarang penggunaan senjata yang membunuh, kehancuran sudah di depan mata.

Amnesti menambah, sekurang-kurang 88 orang terkorban, termasuk tiga anggota keselamatan, dalam rangkaian kekerasan politik yang terjadi sejak akhir minggu lalu di Mesir. Sementara itu, tak kurang dari 1.500 orang tercedera dalam perhimpunan di seluruh penjuru Mesir.

5 Peguam, Aktivis Menang Saman Terhadap Polis & Kerajaan


Lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis hari ini menang saman mereka terhadap polis dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan dengan niat jahat ke atas mereka semasa perarakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia pada 9 Dis, 2007.

Mahkamah memberikan ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada R. Sivarasa, N. Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu @ Abu Bakar Adnan dan memerintahkan para defendan membayar sejumlah RM60,000 sebagai kos kepada plaintif.

Pada 8 Dis, 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, Ketua POlis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan, penahanan dan pendakwaan ke atas mereka.

Semasa membenarkan tuntutan mereka, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara memutuskan penangkapan dan penahanan oleh pihak defendan adalah salah di sisi undang-undang.

O'hara berkata beliau telah berpeluang menonton video dan melihat gambar-gambar yang dirakamkan mengenai apa yang berlaku semasa insiden itu.

"Daripada video, saya dapati defendan pertama Superintenden Che Hamzah telah memberikan arahan yang bercelaru, mengelirukan dan bercanggah menerusi pembesar suara untuk plaintif-plaintif bersurai," katanya.

Lagi pun, katanya Che Hamzah tidak tegas semasa mengeluarkan arahan supaya mereka bersurai.

Dalam keputusannya, Hakim juga mendapati defendan telah menafikan hak plaintif untuk akses kepada peguam bela selepas mereka ditahan.

Bagaimanapun, beliau mendapati pendakwaan terhadap plaintif di Mahkamah Sesyen Jenayah bukan dibuat dengan niat jahat dan ia merupakan kuasa mutlak Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa mereka.

"Peguam Negara hanya menjalankan kerjanya dan melaksanakan tugasnya untuk mendakwa mereka...ini bukan pendakwaan dengan niat jahat" katanya dan menurutnya plaintif telah menamakan dengan betul semua pihak dalam saman itu.

Pada 10 Dis, 2007, keenam-enam mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan haram dan gagal mematuhi perintah polis untuk bersurai, didakwa dilakukan sehari sebelum (9 Dis, 2007) di depan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Pada 16 April, 2009, mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Rentetan itu, mereka memfailkan saman memohon perisytiharan bahawa hak asasi mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli dan juga mendakwa penangkapan dan penahanan mereka adalah salah di sisi undang-undang.

Mereka juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, faedah dan kos.

Dalam saman itu, mereka mendakwa mereka mengambil bahagian dalam dan/atau menganjurkan perhimpunan dan perarakan secara aman, sempena Hari Hak Asasi Manusia Dunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Dis setiap tahun.

Mereka berhujah mereka kemudiannya dibenar meneruskan mengambil bahagian dalam perarakan itu selama 10 minit tetapi sebelum tempoh 10 minit itu tamat, mereka mendapati diri mereka dikelilingi sekumpulan besar anggota polis.

Mereka mendakwa polis kemudian memberi arahan supaya bersurai tetapi semasa mereka cuba berbuat demikian (untuk bersurai), mereka telah ditahan.

Selepas prosiding itu, peguam Edmund Bon yang mewakili keenam-enam mereka memberitahu pemberita bahawa keputusan hari ini merupakan kemenangan besar bagi demokrasi dan hak asasi manusia. - Bernama