11 Jul 2013

Kerajaan Cuba Sembunyi Jumlah Sebenar Anggota Polis

Ahli Parlimen DAP Kulai kesal soalannya di Parlimen diubahsuai

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching terkejut apabila soalan beliau di Parlimen mengenai jumlah anggota polis di semua lapan jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diubah suai.

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Kalau soalan saya ditolak atas sebab sensitif dan mengancam keselamatan negara, itu hal lain tetapi soalan saya diterima Speaker.

“Saya juga tertanya-tanya siapa yang berkuasa mengubah soalan samada di pihak Speaker atau kementerian? Siapa pula yang memberi arahan untuk mengubah soalan itu, kalau diubah, mengapa pula saya tidak dimaklum,” soalnya.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, adalah menjadi tanggungjawab seorang Ahli Parlimen untuk mendapat maklum balas kerajaan di Parlimen.

“Apa yang berlaku seolah-olah mengancam institusi Parlimen. Selain jumlah anggota polis, kami juga ingin tahu bilangan yang ada dalam Jabatan Cawangan Khas dan Pasukan Petugas Khas sebab selama ini tugas Cawangan Khas banyak ke arah politik, ikut aktiviti dan ceramah politik,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang berlaku menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu yang berkaitan dengan Jabatan Cawangan Khas.

Lapan pecahan jabatan dalam PDRM ialah Jabatan Pengurusan, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan KDN/KA, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Logistik dan Pasukan Petugas Khas.

Persoalan mengenai tugas polis kini menjadi perbincangan banyak pihak apabila kejadian jenayah yang hanya dianggap sebagai ‘persepsi’ oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin berleluasa dan mengancam keselamatan orang awam.-Roketkini


1 ulasan:

  1. Bilangan anggota Polis pun nak sembunyikah? Jangan-jangan ada Banglasia yang menjadi POLIS DI RAJA MELAYU MALAYSIA kot.
    Kalau setakat bertanya bilangan anggota ni tak kan mengganggu keselamatan negara kot.
    Pelik bin Ajaib.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.