15 Jun 2013

[BERGAMBAR] Peserta ‘Flash Mob’ Black 505 Ditahan Depan Sogo


Seramai 16 peserta termasuk wanita dan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun ditahan ketika mengadakan ‘flashmob’ sempena Himpunan Suara Rakyat depan gedung beli-belah Sogo dan Jalan Tunku Abd Rahman di sini.

Mereka ditahan selepas memulakan perhimpunan kira-kira jam 2.00 petang tadi.

Di antara yang terawal ditahan, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Eddy Noor Reduan.

Mereka dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan kenderaan Black Maria untuk tindakan lanjut.

Selepas kenderaan itu beredar, aktivis pelajar Ekhsan Bukharee dan seorang peserta lagi kemudiannya ditahan.

Peguam, New Sin Yew tiba di balai selepas dimaklumkan oleh seorang aktivis yang ditahan, bagaimanapun beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan aktivis yang ditahan itu.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta kebenaran membuat laporan polis ekoran tidak dibenarkan masuk di Balai Polis yang sama.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata penahanan peserta ‘flashmob’ itu tidak akan menggugat Himpunan Suara Rakyat pada 22 Jun ini.

”Walaupun 16 peserta ditahan, tetapi masih terdapat 16,000 rakyat masih menunggu untuk ditahan. Ini juga sebagai satu acara mobilisasi untuk himpunan. Apa yang penting kita fokus pada 22 Jun depan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis terbabit.

Dalam ‘flash mob’ tadi, Presiden Solidariti Mahasiswa (SMM), Safwan Anang memaklumkan ‘flashmob’ itu bertujuan untuk mengajak orang ramai turun pada 22 Jun ini.

“Kami bukan ingin menggulingkan kerajaan tetapi kami mahu menolak penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya. -selangorku


15 peserta 'flashmob' ditahan depan Sogo


Seramai 15 peserta 'flashmob' termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan sewaktu mengadakan 'flashmob' di hadapan gedung membeli-belah Sogo sekitar jam 2.50 petang tadi.

Mereka ditahan sewaktu mengadakan acara tersebut menjelang himpunan Black 505 di Padang Merbok pada 22 Jun ini.

Di antara yang terawal ditahan adalah Pengarah Propaganda NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan

Menurut seorang pegawai polis memaklumkan bahawa mereka di bawa ke ke Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, dengan kenderaan Black Maria untuk tindakan lanjut.

Selepas kenderaan itu beredar, aktivis pelajar Ekhsan Bukharee dan seorang peserta lagi kemudiannya ditahan selepas membuat pengumuman supaya orang ramai berhimpun di depan balai Dang Wangi sebagai tanda solidariti kepada peserta yang ditangkap.

Mereka dibawa IPD Dang Wangi dengan berjalan dalam keadaan bergari dan diiring dua anggota polis.

Penahanan tersebut berlaku selepas kira-kira 30 peserta 'flashmob' berkenaan menyeru orang ramai supaya turun ke himpunan membantah dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu.

Mereka berdiri di hadapan gedung Sogo berhadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman selama kira-kira 30 minit bermula sekitar jam 2.15 petang.

Sebahagian daripada mereka memegang plakad bertulisan 'Pengerusi SPR sila letak jawatan' dan 'Mari turun 22 Jun Blackout'.

Kira-kira 30 orang termasuk petugas media kini berada di hadapan ibu pejabat polis ini untuk mengetahui perkembangan lanjut mereka yang ditahan.

Aktivis mahasiswa, Adam Adli adalah antara yang menunggu di hadapan balai ketika ini.

Seorang peguam, New Sin Yew yang tiba di pintu masuk IPD Dang Wangi itu untuk menemui mereka yang ditahan polis.

Anggota polis yang berkawal di pintu masuk tidak membenarkan New masuk atas alasan beliau perlu menunggu arahan pegawai atasan sebelum dibenarkan berbuat demikian.

"Saya kenal Eddy secara peribadi dan saya di sini untuk menemui beliau," katanya.

Beliau kemudiannya dibenarkan masuk selepas bertegas mahu membuat laporan kerana dihalang mewakili mereka yang ditahan.

Sementara itu, Bernama melaporkan lima belas individu termasuk kanak-kanak lelaki 10 tahun ditahan selepas ingkar arahan bersurai dalam perhimpunan di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata 13 lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak itu ditahan dalam perhimpunan bermula pukul 2 petang.

"Kita tahan mereka kerana tidak mahu bersurai bila diarahkan dan membuat gangguan awam di hadapan pusat membeli belah itu. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman," katanya.

Difahamkan, perhimpunan tersebut diadakan bagi menggesa orang ramai menyertai satu lagi perhimpunan di Padang Merbok, di sini 22 Jun depan untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
-mk



Wanita Dalam CCTV Dicari

CCTV sebuah bank di bandar ini berjaya merakam tindakan seorang wanita mengambil telefon pintar jenis Iphone 4S ditinggalkan pemiliknya di atas mesin deposit wang, sekitar jam 8 malam, 3 Jun lalu.

Berdasarkan rakaman terbabit, wanita berkenaan yang memakai baju, tudung dan seluar berwarna hitam, masuk ke dalam bank semata-mata untuk mengambil telefon bimbit tersebut.

Wanita dianggarkan berusia lewat 20-an itu dilihat keluar dan masuk semula ke dalam bank untuk melakukan transaksi di mesin sama selang seminit kemudian.

Pemilik telefon, Rosli Mustafa, 38, berkata, dia tertinggal telefonnya di mesin terbabit dan hanya menyedarinya sejam kemudian.

“Saya terus membuat beberapa panggilan, tetapi telefon saya ditutup. "Apabila saya kembali semula ke bank, saya dapati telefon bimbit saya sudah tiada,” katanya.

Rosli berkata, dia kemudiannya meminta kebenaran pihak bank untuk melihat CCTV dipasang di tempat kejadian bagi menjejaki individu yang mengambil telefonnya.

Katanya, berdasarkan rakaman tersebut, terdapat dua individu yang masuk ke bank berkenaan selepasnya.

“Individu pertama seorang lelaki menggunakan mesin sama, tetapi tidak mengambil telefon saya. Selang beberapa minit kemudian, masuk wanita terbabit.

“Saya tidak mahu berprasangka buruk, mungkin dia mengambil telefon itu untuk diserahkan kepada pihak lebih dipercayai agar dapat dikembalikan kepada saya semula,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setelah lebih seminggu kejadian itu berlaku, tiada sesiapa tampil untuk memulangkan semula telefon tersebut kepadanya.

“Telefon itu dibeli pada harga lebih RM2,500. Tambahan pula banyak kenangan saya dalam telefon itu. Saya harap wanita dalam rakaman CCTV ini dapat tampil dan berjumpa dengan saya.

“Kini saya sedang mendapatkan kerjasama daripada pihak bank untuk mengesan transaksi dilakukan wanita berkenaan. Jika tiada sebarang pemulangan, kemungkinan saya akan membuat laporan polis berdasarkan bukti yang ada ini,” katanya.

Pemilik kedai cermin mata Optik Jengka itu berkata, kejadian yang menimpanya itu boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersikap lebih jujur.

“Kalau terjumpa sesuatu yang bukan milik kita, tidak salah jika mengambilnya untuk diserahkan kepada pihak yang boleh memulangkannya kepada pemilik asal.

“Kebetulan kejadian sebegini dirakam CCTV. Kalau tidak kerana CCTV sekali pun, ingatlah ALLAH SWT itu Maha Melihat,” katanya. -SH

Peniaga Tentang 'Sekeras-kerasnya' Perobohan Pasar Besar Kedai Payang


Kuala Terengganu - Para peniaga menentang sekeras-kerasnya tindakan Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said yang berdegil mahu merobohkan Pasar Besar Kedai Payang.

Seorang peniaga suratkhabar dan makanan ringan, Ahmad Fazli Mohd Fahmi, 44, sebaliknya bersetuju sekiranya 'pasar warisan' tersebut dibaik pulih dan dinaiktaraf, dan bukannya dibangunkan sebuah hotel dan 'apartment'.

"saya tidak bersetuju sekeras-kerasnya tindakan Datuk (Seri) Ahmad Said, dengan tindakan beliau dan apa cara sekali pun untuk membangunkan Pasar Payang dengan cara begitu (merobohkan),

"bagi saya saya cukup (ia boleh) sekadar dibaik pulih atau menaikkan taraf Pasar Payang tidak berhubungan (berkaitan) dengan dibina hotel dan apartmen,"ujarnya ketika ditemui.

Ahmad Fazli menegaskan, sekiranya Ahmad Said tetap dengan keputusannnya mahu merobohkan dan mendirikan bangunan baru, beliau mewakili rakan-rakannya akan mengambil 'sesuatu' tindakan menyekat hasrat MB Terengganu itu. -BO


Umno Akan Jual Bangsa Melayu Untuk Kekal Kuasa


Hanya orang UMNO sahaja yang boleh memegang dua fikiran yang bercanggah pada masa yang sama. Hanya Najib saja yang boleh bercakap mengenai 1Malaysia dan bukan 1Malaysia ketika yang lain. Pada malam keputusan PRU, dengan muka yang bera, dia menyalahkan bangsa Cina kerana tidak menyokong UMNO. Siapa nak sokong parti yang pemimpinnya semua korup dan rasuah?

Hanya UMNO boleh bercakap mengenai perpaduan orang Melayu, tapi mendiskriminasi Melayu yang tidak menyokong mereka. Ketua kampung UMNO (pengerusi JKKK) bercakap besar mengenai menolong orang Melayu, tapi menyekat bantuan kepada Melayu yang tidak menyokong mereka. Hanya pemimpin UMNO yang malas pergi masjid dan surau, tapi menyekat Melayu lain menyemarakkan masjid dan surau.

Hanya pemimpin UMNO sahaja yang bercakap mengenai memberi tanah kepada orang Melayu tapi menyekat pemberian kepada Melayu yang tidak menyokong nya. Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup atas tanah lebih dari 40 tahun, masih tidak mendapat hakmilik. Pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di serata tempat.

Jadi, kepentingan yang UMNO jaga dan kukuhkan ialah bukan kepentingan Melayu keseluruhan nya tapi kepentingan kelompok dan puak mereka. Maka apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?

Yang kita kena sokong ialah penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan tegas dan menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan nya. Jika Melayu itu sudah majoriti, tidak dapat tidak, kepentingan Melayu lah yang diutamakan. Memahami ini tidak memerlukan ilmu hisab yang tinggi. Hanya orang UMNO sahaja yang menganggap orang Melayu di kampung-kampung bodoh dan hanya pemimpin UMNO sahaja yang menggelarkan orang Melayu lain haramjadah.

Orang UMNO memang tak tahu malu. Lebih ramai orang Melayu menyokong PR dari UMNO, pemimpin UMNO masih tidak faham-faham. Calon-calon UMNO, yang menang dan kalah mendapat 3.2 juta undi. Ada faham? 3.2 juta ini adalah undi keseluruhan kepada semua calon-calon UMNO.

Dari 3.2 juta undi ini, bukan semua yang mengundi terdiri dari orang Melayu. Cina dan India ada juga menyokong UMNO. Sekitar 10%. Ertinya, orang Melayu yang menyokong calon-calon UMNO secara lansung ialah 2.9 juta. Tak tahulah saya hendak ajar kalau tidak faham ilmu hisab mudah ini.

Jumlah ahli UMNO pun lebih banyak dari itu. Jika semua ahli UMNO menyokong calon UMNO dan semua calun BN, 3.2 juta penyokong mesti tidak dapat tidak ada 3.2 juta angka asas. Ahli UMNO pun tidak menyokong UMNO.

Faktanya ialah adalah menjadi kerugian besar jika orang Melayu memilih UMNO untuk menjaga kepentingan mereka. Wakil UMNO pemalas dan penipu. Saya amat senang hati mendedahkan mutu kerja wakil UMNO di Raub misalnya. Tunggulah.

Kerja membalun UMNO ini tidak akan selesai sehingga mereka bukan lagi kerajaan. Selagi UMNO menghalang kejayaan bangsa Melayu, kita mesti bantai mereka. kita tidak boleh terima keangkuhan UMNO mengaku bahawa mereka wakil tunggal kepentingan Melayu. Kepentingan orang Melayu ialah mendapatkan keperkasaan ekonomi dan perkongsian kuasa. Kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan feudal UMNO.

Ya , UMNO itu parti bersifat feudal. UMNO distrukturkan supaya sekumpulan kecil yang terpilih menungang di atas belakang rakyat yang diperhamba abdikan. Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan ini menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO.

Dalam kawasan yang tidak ditandingi oleh calon UMNO, orang Melayu tetap ada menyokong parti BN. Kita akui ini. Tapi berapa ramai sangatlah orang Melayu yang menyokong mereka. Dari 899,000 undi yang diperolehi oleh calon MCA (menang dan kalah) berapa ramai Melayu yang menyokong mereka? Katalah 20% Melayu menyokong calonn MCA. Baru ada sekitar 180,000 orang. Melayu yang menyokong MIC? 10% dari 292,000 ialah kira-kira-kira 29,000. Melayu yang menyokong PBB di Sarawak? 40% dari 232,000=91,000.

Wal hasil balik asal, jumlah orang Melayu yang menyokong UMNO secara langsung dan tidak langsung (melalui sekutu-sekutu BN) ialah 3.2 juta. 3.2 juta sama jumlahnya dengan jumlah ahli UMNO. Jadi apalah yang hendak dibanggakan oleh UMNO.

Setelah belanja berbilion ringgit dan setelah menyogok dan merasuah orang Melayu terutamanya, dari 2.2 juta undi Melayu dalam tahun 2008, UMNO hanya dapat menambahkan 1 juta sahaja pengundi Melayu.


Kalau MIC, PBB dan yang lain-lain tinggalkan UMNO, UMNO akan mati. Penyokong UMNO faham signifikans perkara ini tidak? Ini akan menyebabkan Najib akan melakukan apa sahaja untuk menjual harga dirinya untuk memastikan UMNO kekal sebagai kerajaan. Ini termasuklah menggadaikan kepentingan bangsa Melayu. Apa dia peduli? Selagi dia terus kekal jadi PM.

Marilah bangsa Melayu sedar bahawa masa depan mereka bukanlah bergantung pada UMNO. UMNO kojol pun, bangsa Melayu tetap hidup. UMNO perlukan bangsa Melayu, bukan bangsa Melayu perlukan UMNO. -sakmongkol

Portal "The Malaysian Insider" Goyang, 23 Kakitangannya Buka Portal Baru


Selepas berbulan-bulan dilanda spekulasi, portal berita The Malaysian Insider (TMI) hari ini menyaksikan hampir seluruh kakitangannya meninggalkan syarikat itu.

Penghijrahan, yang diketuai oleh editor eksekutif TMI, Leslie Lau, yang akan menyaksikan pewujudan sebuah portal berita baru, The Malay Mail Online (MMO), yang dijangka mula operasi pada 1 Julai.

"Kami mengambil semua orang (untuk menyertai MMO) - semua sub-editor dan wartawan - kecuali tiga wartawan Bahasa Malaysia yang masih mahu (bersama TMI) pada saat-saat akhir," katanya.

Leslie Lau, bersama dengan editor urusan Joan Lau, akan mengendalikan portal berita baru itu yang akan berfungsi secara berasingan dan bebas daripada Malay Mail versi cetak.

"Saya rasa pasukan itu telah menunjukkan bahawa ia berkemampuan dan kita ingin membina satu jenama dan perniagaan baru. Itu adalah cabaran peribadi saya," katanya.

Kakitangan terbabit, yang sepatutnya secara rasmi menamatkan perkhidmatan mereka di TMI esok, secara tiba-tiba menamatkan operasi petang ini.

"Saya bekerja pagi ini, tetapi sesuatu berlaku, jadi saya umumkan cuti untuk kakitangan dan kita pergi menonton filem," kata Lau.

Beliau enggan mengulas lanjut sama ada berlaku konflik antara kakitangan yang akan meninggalkan TMI dengan Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq.

Dalam satu kenyataan di TMI petang ini, Jahabar berkata jenama berusia lima tahun itu akan terus beroperasi.

TMI dipercayai dibiayai oleh seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang dan Malaysiakini memahami ini menjadi satu punca konflik di kalangan editor utamanya sebelum penghijrahan tersebut.

Menurut sumber yang mengetahui, TMI telah berjaya memperbaharui pembiayaan dan akan terus beroperasi dengan pasukan baru.

Portal berita dijangka mengambil editor dan wartawan baru dari media arus perdana. Kumpulan pertama dijangka mula bertugas minggu depan.

Pada masa ini ditulis, senarai 23 kakitangan asal TMI telah dikeluarkan dari lamanwebnya, dan hanya tinggal nama tiga wartawan meja bahasa Melayu dan editor serta nama Jahabar sendiri.

Usaha untuk menghubungi Jahabar tidak dijawab. -mk

Zahid Hamidi Perlu Dicutikan Sehingga 2 Kes Memalukan BN Selesai


MMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya bercuti daripada menjalankan tugasnya sehingga dua kes yang memalukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selesai.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dua kes yang memalukan BN iaitu Ahmad Zahid dituduh mencederakan Amir Abdullah Bazli pada Januari 2006 dan didakwa melanggar undang-undang pilihan raya kerana berbelanja lebih RM2 juta iaitu melebihi had RM200,000 yang dibenarkan ketika berkempen untuk kerusi Parlimen Bagan Datoh, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dalam sebuah video yang dipaparkan dalam laman web beliau sendiri, Ahmad Zahid mengakui mengupah 24,000 penyokong BN Bagan Datoh yang juga pengundi tempatan sebagai pekerja kempen ketika beliau bertanding untuk memenangi kerusi Parlimen itu.

Katanya, dalam video terbabit, beliau juga mengaku memberi setiap pekerja kempen RM100 dan 5 kilogram beras.

Menurutnya, selain politik wang pada pilihan raya, Ahmad Zahid mengupah 24,000 “pekerja pilihan raya” sedangkan jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Bagan Datoh hanya 34,670 pengundi dan jumlah undi yang diraih Ahmad Zahid sendiri hanya 17,176 undi – bererti lebih daripada seorang “pekerja pilihan raya” diperlukan beliau untuk memenangi satu undi dan perkara ini boleh dianggap sebagai rekod tersendiri dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

“Saya bersetuju dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ismail yang baru-baru ini menyatakan dalam surat terbuka bahawa keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memerintahkan Ahmad Zahid menjawab tuduhan Amir Abdullah menunjukkan tuduhan itu kukuh dan menimbulkan pertikaian mengapa polis gagal mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid atas kesalahan itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Mengikut surat terbuka itu Mat Zain menyebut:

“PDRM tidak akan mampu meyakinkan orang ramai bahawa ia bersikap adil dan berpegang pada undang-undang jika ia gagal mengheret Zahid ke mahkamah, terutama ketika bekas ketuanya sendiri (bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor) telah dituduh atas kesalahan yang sama.

“PDRM akan kehilangan asas moralnya memandangkan ia tidak mampu menjustifikasi kegagalannya untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang, jika ia tidak mampu mengambil tindakan terhadap Menterinya sendiri yang telah dinilai sebagai seorang penjenayah oleh mahkamah.” -Roketkini.