15 Jun 2013

Portal "The Malaysian Insider" Goyang, 23 Kakitangannya Buka Portal Baru


Selepas berbulan-bulan dilanda spekulasi, portal berita The Malaysian Insider (TMI) hari ini menyaksikan hampir seluruh kakitangannya meninggalkan syarikat itu.

Penghijrahan, yang diketuai oleh editor eksekutif TMI, Leslie Lau, yang akan menyaksikan pewujudan sebuah portal berita baru, The Malay Mail Online (MMO), yang dijangka mula operasi pada 1 Julai.

"Kami mengambil semua orang (untuk menyertai MMO) - semua sub-editor dan wartawan - kecuali tiga wartawan Bahasa Malaysia yang masih mahu (bersama TMI) pada saat-saat akhir," katanya.

Leslie Lau, bersama dengan editor urusan Joan Lau, akan mengendalikan portal berita baru itu yang akan berfungsi secara berasingan dan bebas daripada Malay Mail versi cetak.

"Saya rasa pasukan itu telah menunjukkan bahawa ia berkemampuan dan kita ingin membina satu jenama dan perniagaan baru. Itu adalah cabaran peribadi saya," katanya.

Kakitangan terbabit, yang sepatutnya secara rasmi menamatkan perkhidmatan mereka di TMI esok, secara tiba-tiba menamatkan operasi petang ini.

"Saya bekerja pagi ini, tetapi sesuatu berlaku, jadi saya umumkan cuti untuk kakitangan dan kita pergi menonton filem," kata Lau.

Beliau enggan mengulas lanjut sama ada berlaku konflik antara kakitangan yang akan meninggalkan TMI dengan Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq.

Dalam satu kenyataan di TMI petang ini, Jahabar berkata jenama berusia lima tahun itu akan terus beroperasi.

TMI dipercayai dibiayai oleh seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang dan Malaysiakini memahami ini menjadi satu punca konflik di kalangan editor utamanya sebelum penghijrahan tersebut.

Menurut sumber yang mengetahui, TMI telah berjaya memperbaharui pembiayaan dan akan terus beroperasi dengan pasukan baru.

Portal berita dijangka mengambil editor dan wartawan baru dari media arus perdana. Kumpulan pertama dijangka mula bertugas minggu depan.

Pada masa ini ditulis, senarai 23 kakitangan asal TMI telah dikeluarkan dari lamanwebnya, dan hanya tinggal nama tiga wartawan meja bahasa Melayu dan editor serta nama Jahabar sendiri.

Usaha untuk menghubungi Jahabar tidak dijawab. -mk

2 ulasan:

  1. Siapa yang dah beli TMI? Mungkin Tun Mamak kot.

    BalasPadam
  2. apakah ini bermaksud tmi akan lebih condong kepada barisan nasional selepas ini? ini bermaksud tmi akan mula mengalami kemerosotan pengunjung online. lihatlah nanti

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.