Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa agar Pakatan Rakyat (PR) mengasak Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya segera meluluskan pendaftaran PR sebagai sebuah entiti.
Ini kerana menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kegagalan berbuat demikian hanya menyukarkan untuk PR bergerak sebagai sebuah entiti sehingga berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
“Ia masih menunjukkan kelemahan PR untuk menjamin kesatuan dan kerjasama dalam memfokuskan sasaran dengan menumbangkan satu sahaja musuh; BN.
“Sehubungan itu, sudah sampai masanya, bagi PR terus menggasak ROS bagi meluluskan PR sebagai sebuah entiti dengan fokus ‘satu parti, satu bendera, satu pengerusi dan satu manifesto,” ujar Shamsul dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.
Sebelum ini, PR mengemukakan permohonan pendaftarannya pada 2010 namun menghadapi halangan yang mana ROS mengkehendaki ia didaftar sebagai ‘Pakatan Rakyat Malaysia’.
ROS turut menolak pendaftaran PR dengan alasan Datuk Zaid Ibrahim yang ketika itu bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran tersebut sudah keluar dari PR.
PR selepas itu memasukan pendaftaran baru dengan menamakan Datuk Kamaruddin Jaffar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja PR yang baru.
Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 3 Januari lalu, sehingga kini RoS masih tidak memberikan sebarang jawapan terhadap permohonan tersebut.
Ulasan GB
GB dah acapkali suarakan hal ini.
Sepatutnya pimpinan PR sudah heret ROS ke mahkamah kerana gagal mendaftarkan Pakatan Rakyat dengan memberikan PR pelbagai alasan yang karut-marut.
Petikan ulasan GB sebelum ini:
Melambat-lambatkan pendaftaran Pakatan Rakyat adalah strategi jahat yang digunakan oleh RoS supaya Pakatan Rakyat tidak dapat menggunakan nama parti itu untuk bertanding di dalam pilihanraya.
Sudah bertahun permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat dikemukakan untuk kelulusan tetapi ROS mengemukakan pelbagai alasan dan helah untuk melambat-lambat proses pendaftarannya.
ROS, salah satu agensi yang diperalatkan selain dari SPR, SPRM, PDRM dan lain-lain yang digunakan UMNO BN untuk menekan dan menzalimi PR agar tidak berkesemapatan untuk menggunakan satu nama dan lambang di dalam pilihanraya yang akan datang.
Pakatan Rakyat PERLU mengheret RoS ke muka pengadilan dan pihak pendaftar RoS perlu dihukum oleh mahkamah kerana strategi jahatnya itu yang bertindak secara diskriminasi dan pilih kasih.