13 Mei 2013

Petisyen: PR Yakin BN Tumbang


Pembangkang menaruh keyakinan akan dapat menumbangkan kerajaan BN termasuk menerusi cadangan memfailkan petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi parti pemerintah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika usaha itu berjaya, kerajaan BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya.

"BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan," katanya di sini, semalam.

Kit Siang berkata, mengambil kira undi popular, PR sudah dapat 51 peratus berbanding BN yang hanya dapat 47 peratus.

"BN dapat sokongan minoriti daripada undi popular," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai petisyen yang akan dikemukakan, Kit Siang berkata, DAP sudah melantik Gobind Singh Deo untuk mengetuai jawatankuasa yang akan meneliti perkara itu.

"Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN," katanya.

Ditanya mengenai cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan supaya 89 calon PR yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu tidak angkat sumpah kerana menolak keputusan PRU13, Kit Siang berkata: "Tidak perlu hirau cabaran ini. Kita tak perlu jawab apa-apa cabaran." -SH

[VIDEO] Rafizi Mula Teliti 237 Aduan Libatkan 27 Parlimen


Sebanyak 237 laporan penipuan Pilihan Raya Umum ke-13 diterima pasukan #SiasatPRU13 sepanjang minggu ini, dedah Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Katanya, melalui analisa awal #SiasatPRU13, empat kriteria dikenalpasti dalam siasatan, iaitu margin kemenangan tipis di bawah lima peratus dan margin kemenangan tipis yang tidak sepadan dengan undi rosak yang lebih besar dari majoriti kemenangan.

“Dua lagi kriteria ialah peratusan undi pos dan undi awal yang mengatasi margin kemenangan dari undi biasa sehingga keputusan pengundi biasa bertukar akibat pola undi pos dan undi awal diragukan.

“Dan keempat ialah kerusi yang dilaporkan wujudnya penipuan yang ada bukti kukuh beserta laporan polis,” kata Rafizi pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Menurutnya, 27 kerusi Parlimen disenaraipendek untuk siasatan lebih mendalam iaitu Bentong, Kuala Selangor, Baram, Sungai Besar, Pasir Gudang, Labis, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Tebrau, Bagan Serai, Kota Marudu dan Beaufort.

Selain itu ialah kerusi Parlimen Setiawangsa, Segamat, Ledang, Balik Pulau, Kulim Bandar Baharu, Pulai, Kuala Kangsar, Muar, Pendang, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan dan Saratok.

Tambah Rafizi, setakat ini beliau turut menerima aduan salah laku pilihan raya di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kebanyakannya dari Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Enam jenis kesalahan pilihan raya dikenal pasti dan proses mengumpul bukti sedang dilakukan minggu ini. Kesalahan pilihan raya tersebut ialah:

1. Pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana undi sudah dibuang orang lain, membuktikan wujudnya pengundi hantu dalam daftar pengundi.

2. BN membeli undi dengan menawar dan membayar wang atau baucer yanng boleh ditukarkan tunai kepada pengundi.

3. Wujud pengundi-pengundi tidak dikenali didaftarkan di alamat pemilik rumah, berdasarkan laporan polis dibuat pemilik rumah asal.

4. Dakwat kekal yang hilang dan tidak menepati syarat pengurusan pilihan raya.

5. Kesalahan SPR seperti menandatangani Borang 14 sebelum pengiraan bermula, atau tidak memberi salinan Borang 14 seperti diperuntukkan Undang-undang.

6. Pengundi disyaki warganegara asing yang diberikan kad pengenalan dan dibenarkan mengundi.

Justeru, Rafizi menggalakkan saksi atau mereka yang mempunyai bukti kesalahan pilihan raya untuk tampil membantu pasukan #SiasatPRU13 yang memulakan siasatan minggu ini.

“Kita perlu seminggu lagi untuk membina kes. Minggu ini, kami dibantu 67 sukarelawan yang terdiri dari peguam dan akauntan.

“Selain analisa kualitatif dibuat #SiasatPRU13, pasukan ini juga menjalankan analisa kuantitatif untuk mengenalpasti pelbagai perkara.

“Ini menguatkan lagi sentimen rakyat bahawa PRU ke-13 dimenangi Barisan Nasional melalui penipuan,” kata Rafizi. -KD


Tiada Calon BN Kecuali Najib Dalam Top 20 Majoriti Tertinggi Pada PRU 13


Jom lihat senarai Top 20 majoriti tertinggi pada PRU 13 yang lalu.Yang sebelah sana hanya 1 kerusi je tersenarai iaitu Parlimen Pekan.

Walaupun memiliki kuasa dan sokongan media arus perdana,'orang tu' hanya mampu berada di kedudukan ke 9 je ~ Tinta Hijau DKB

Ulasan GB

Keadaan sudah berubah.

Jika dulu-dulu carta untuk TOP 10 atau TOP 20 bagu PRU sentiasa dibolot oleh BN tanpa ada ruang untuk calon-calon selain BN, kini keadaan sudah terbalik.

GB masih ingat di dalam tahun-tahun 80an dan 90an dimana kedudukan majoriti calon-calon khususnya UMNO memang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Untuk PAS masuk di dalam carta tersebut, semacam satu mimpi yang tidak mungkin tercapai.

Kini tiba-tiba hampir keseluruhan mereka yang berada di senarai TOP 20 itu adalah dari Pakatan Rakyat. Yang paling memeranjatkan PAS berada di dalam senarai itu iaitu Dr. Siti Mariah Mahmud, ahli parlimen Kota Raja di kedudukan ke 14 dengan majoriti 29,395!

InsyaAllah tren ini akan berterusan ke PRU-PRU yang akan datang.

18 Mei: Rakyat Turun Ke Jalanraya Jika Pengerusi & Timb SPR Tak Turun


Satu himpunan lebih besar akan diadakan pada Sabtu, 18 Mei bagi menuntut perletakan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan (SPR) dan jawapan badan itu berkenaan penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Perkara demikian dinyatakan aktivis mahasiswa, Adam Adli ketika berucap pada himpunan aman di depan Ibu Pejabat SPR di di sini petang ini.

“Kita beri tempoh seminggu dari sekarang. Pengerusi SPR didesak untuk meletakkan jawatan. Jika tidak, hari Sabtu 18 Mei depan, beliau akan berhadapan dengan kemarahan rakyat.

“Kita dah bagi ruang supaya Pengerusi SPR untuk letakkan jawatan. Kita dah lama bersabar. Hanya rakyat yang boleh selamatkan demokrasi di negara ini,” kata Adam disambut tepukan 200 aktivis NGO yang berhimpun.

Manakala dalam ucapan beberapa pimpinan mahasiswa dan wakil NGO, mereka menyatakan rasa marah kerana SPR sebagai badan pengendali pilihan raya tidak amanah menjalankan tanggungjawab sebagai ‘pengadil’.

“Kami tidak mewakili mana-mana parti. Sebab itu kami minta beri laluan untuk bertemu Pengerusi SPR.

“Mereka hanya berani bawa pengundi hantu. Mereka hanya berani tukar peti undi. Tapi mereka tak berani nak jumpa rakyat,” kata pemimpin mahasiswa, Safwan Anang.

Sementara itu, Pengarah Strategi KEADILAN pada kenyataan memaklumkan, beberapa Himpunan #Black505 akan diadakan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan penyelewengan pilihan raya oleh SPR.

Antaranya di Stadium Kompleks Sukan Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu, 11 Mei; Medan Istana, Ipoh, Perak pada Ahad, 12 Mei; Kuantan, Pahang (14 Mei) dan Johor Bahru, Johor (15 Mei).

Mereka yang hadir digalakkan memakai pakaian hitam sebagai simbolik berkabung atas kematian demokrasi di negara ini. -KD

Penipuan Pilihanraya Dibawa Ke Peringkat Antarabangsa


Laman web White House dipenuhi rakyat Malaysia tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Rakyat Malaysia telah mengajukan rungutan kepada petisyen online White House berkenaan penipuan dalam Pilihan Raya 2013, yang menyaksikan sejumlah 222,000 tandatangan telah diterima dalam masa seminggu dan menjadikannya isu kedua popular menurut Associated Press.

Petisyen online Presiden Amerika Syarikat Barack memerlukan 100,000 tandatangan untuk mendapatkan maklum balas daripada pegawai rasmi kerajaan.

Menurut laporan AP, laman web pentadbiran Obama “Kami adalah Rakyat” telah dimulakan pada 2011 sebagai projek kerajaan terbuka untuk pengguna Internet.

Walaupun hanya untuk rakyat AS, syarat mengumpul tandatangan online itu kekal terbuka yang cukup bagi membolehkan aktivis luar negara yang tidak berpuas hati dengan kerajaan sendiri untuk menyuarakannya di peringkat antarabnagsa, kata AP.

Laman berkenaan bagaimanapun tidak memrlukan kerakyatan seseorang.

Mereka hanya perlu berusia 13 dan ke atas dan mempunyai alamat emel yang sah bagi mencipta akaun bagi memulakan petisyen.

White House juga berkata akan memberikan layanan sama terhadap petisyen dari luar negara. Kerajaan AS bagaimanapun masih lagi belum memberikan maklum balas terhadap petisyen Malaysia itu.

Sebarang kritikan AS terhadap pilihan raya tercetus minggu ini apabila Jabatan Negara AS mengiktiraf keputusan pilihan raya, sambil mengakui kewujudan keraguan dalam pilihan raya, lapor AP.

Petisyen “spoke out the dissatisfactions to the international communities successfully”, oleh virologist dan penganjur petisyen, Kuan Ping Ang, berkata di laman Facebook miliknya, seperti dilaporkan AP.

Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya lalu namun tewas undi popular kepada Pakatan Rakyat (PR).

BN hanya memenangi 47 peratus undi sedangkan PR memenangi lebih separuh jumlah undi popular.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PR telah menganjurkan dua perhimpunan - di Petaling Jaya dan Pulau Pinang- bagi menunjukkan rasa ketidak puasan hati yang dakwa mereka telah ditipu.

PR telah mengkritik berkenaan paten pengundi yang meragukan, keraguan dalam menguruskan peti undi, dan isu lain yang mana DAP dan PAS berdiam diri berhubung petisyen keputusan pilihan raya.

PR berkata mereka menjangkakan 29 keputusan pilihan raya dan perhimpunan, yang bermula di Selangor Rabu lalu, akan diteruskan dengan perhimpunan sekali lagi di Perak hari ini. -TMI


Ulasan GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan penipuan adalah satu jenayah dan tiada keberkatannya.

Seperti yang GB katakan sebelum ini, kemenangan melalui penipuan adalah kemenangan yang rapuh ... dan ia akan tumbang dengan sendirinya kerana "dasarnya" lemah.

GB amat yakin jika kerajaan Najib dan UMNO BN memperolehi kemenangan dengan cara penipuan, kerajaannya akan tumbang tidak berapa lama lagi.

Dan semua yang terlibat dengan penipuan akan tetap dihukum
walaupun penipuan itu licik dan tidak diketahui orang. Tetapi Allah Maha Mengetahui! Anda tidak boleh lari.

Kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran selama-lamanya. Itu hukum alamiah, itu hukum Allah swt!

Kerjasama Erat PAS-PKR-DAP Bolehkan PR Tawan Bukit Baru, Duyong & Tumbangkan Ali Rustam


Ikatan PR buka laluan 'anak sulung' PAS di Melaka Oleh LanH14

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan: "Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

KETIKA berceloteh mengenai suasana hari penamaan calon di Melaka 20 April lalu, saya menyatakan ada 'kemajuan menarik' antara PAS dan DAP tatkala melihat buat pertama kalinya penyokong kedua-dua parti saling bercampur dengan bendera mereka (bulan dan roket) berkibaran berselang seli. Situasi itu tidak saya lihat pada PRU 2008 dan sebelumnya.

'Percampuran' itu terbukti membantu PAS dalam melahirkan anak sulungnya di bumi Hang Tuah (PAS melalui calonnya Dr Mohd Khalid Kassim menang di Bukit Baru, N17 dengan majoriti 48 undi) manakala DAP meraih manfaatnya apabila akhirnya berjaya mengakhiri legasi BN (MCA) di kawasan seperti Duyong (N23). Di Duyong, Pengerusi MCA Melaka yang juga penyandang kerusi itu, Dato' Gan Tian Loo ditewaskan oleh Pengerusi DAP negeri, Goh Leong San dengan majoriti 205 undi.

Tentunya kejayaan itu dibantu KeADILAN, dan ia menjadi lebih manis lagi apabila ikatan padu ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu melenyapkan ego Ketua Menteri, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang kecundang di kawasan Parlimen Bukit Katil (P137) dengan majoriti agak besar (5,447 undi) di tangan Pengerusi KeADILan Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin.
Kekalahan Mohd Ali yang pernah mengadakan majlis kahwin anaknya yang dihadiri lebih 100,000 tetamu, diselubungi 'misteri' seperti terpadamnya lampu ketika pengiraan undi. Beliau menyalahkan rakyat terutama orang Cina yang dakwanya tidak pandai 'mengenang budi'.

Berdasarkan senario di Dun dalam Parlimen Bukit Katil (Bukit Baru, Bachang, Ayer Keroh dan Ayer Molek) dan Parlimen Bukit Katil sendiri, ada iktibar menarik yang boleh dijadikan panduan. Hanya kawasan inilah yang mencatatkan perubahan di Melaka; kawasan lain (luar bandar) tetap didominasi oleh BN manakala di bandar (terutama Kota Melaka) dimonopoli DAP.
br> Di Dun Bukit Baru, pengundi Melayunya ada kira-kira 55 peratus, Cina lebih kurang 40 peratus manakala India kira-kira 5 peratus. Dipercayai pengundi Melayu berpecah dua; dan apabila situasi ini berlaku, dengan undian pengundi Cina terutama daripada DAP menyebelahi calon PAS, maka tercatatlah sejarah Dr Khalid yang pernah menjadi Timbalan Pengarah Hospital Melaka, 'melahirkan anak sulung' PAS di negeri Hang Tuah.

Bagi Parlimen Bukit Katil (pengundi Melayunya 51 peratus, Cina 42 peratus dan India 6 peratus) faktor kebangkitan anak muda dan kesedaran sesetengah pengundi akan amalan korupsi dan seumpamanya, dibantu kejituan jentera dan penyokong PAS, KeADILan dan DAP serta kewibawaan dan kelantangan calonnya (Shamsul Iskandar), memberi sumbangan kepada kejatuhan Mohd Ali, ketua menteri selama lebih sedekad.

Jika ditinjau kemenangan DAP (Goh Leong San) di Duyong pula (pengundi Cina lebih 50 peratus, Melayu 45 peratus dan India 4 peratus), saya percaya selain daripada sokongan pengundi tegar DAP, kesediaan ahli dan penyokong PAS dan KeADILan untuk memberi undi kepadanya berdasarkan suntikan semangat Pakatan Rakyat; menyebabkan Tian Loo beserta penyokongnya daripada orang Cina dan Melayu tersungkur sama.

Rumusannya, kerjasama erat PAS, DAP dan KeADILan, membolehkan ketiga-tiga pihaknya mencatat kejayaan ditandingi calon mereka yang merupakan sejarah di bumi Hang Tuah. Penyokong rakan PAS dalam Pakatan Rakyat terutama DAP telah membuka laluan untuk PAS mencatat 'kelahiran anak sulung' dengan memenangi Dun Bukit Baru manakala penyokong PAS telah membantu calon DAP untuk menang di Dun seperti Duyong.

Berkenaan sahabat saya, Harun Mohamed yang bertanding di Dun Telok Mas (N23) seperti dicoretkan dalam keluaran lalu; syabas diucapkan kerana beliau berjaya merapatkan jurang majoriti kekalahan kepada hanya 701 undi (beliau mendapat 7,332 undi berbanding Latiff Tamby Chik memperolehi 8,033 undi), Mungkin undian penyokong DAP sebagai bantuan kepadanya masih tidak memadai untuk beliau menang kerana kawasan itu mempunyai pengundi Melayu yang tinggi (70 peratus) sedangkan Cina hanya 28 peratus.

Akhir sekali, syabas PAS Melaka kerana berjaya melahirkan anak sulung; pada PRU berikutnya diharapkan dapat melahirkan kembar yang banyak pula seterusnya mengetuai kerajaan baru rakyat; jadi terus bekerja keras dan berdoalah mulai sekarang!