17 Mac 2013

Masuk Bolos Keluar Pun Bolos - Apa Sudah Jadi Dengan Tahap Pertahanan Negara?


Ketua Penceroboh Sulu bolos bukti perairan negara mudah ditembusi

BAGAN SERAI 17 MAC: Bekas Panglima Angkatan Tentera Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein mempersoal tahap pertahanan negara berikutan perairan negara khususnya di Sabah, terlalu mudah ditembusi.

“Ikut media arus perdana, ada dua bot keluar dari perairan kita. Maknanya bolos dan hanya dicekup tentera laut Filipina. Jadi, Orang masuk pun bolos, orang keluar pun senang-senang sahaja.

“Itu sebab saya kata, mungkin ada agenda tersembunyi yang kita tak tahu,” katanya yang meminta lebih 5,000 hadirin menjawab sendiri persoalan itu, ketika berucap pada Jelajah Merdeka Rakyat di Bagan Serai, Perak malam kelmarin.

Beliau merujuk kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yang mengesahkan Ketua Penceroboh Sulu, Azzumudie Kiram melarikan diri ke selatan Filipina 15 Mac lalu.

Hashim yang pernah berkhidmat di Sabah hairan berikutan berlaku pencerobohan di Lahad Datu yang disifatkannya tidak harus berlaku kerana sistem pertahanan negara berlapis-lapis hingga sukar ditembusi.

“Kita buat berlapis. Kumpulan paling rendah sekali – infantri, keupayaannnya terbatas. Mereka jaga di tepi pantai, dilengkapi peralatan untuk awasi kawasan hadapan.

“Itu lapisan pertama. Dan kita ada bot-bot tempur yang boleh meronda kawasan laut. Lapisan kedua, kawasan laut luas ditugas kepada TLDM dan TUDM untuk buat pengawasan.

“Lapisan ketiga sebelum sempadan antarabangsa, kapal terbang dan bot besar ditempatkan di lautan luas. Jadi berlapis-lapis dan diperkuat pula dengan radar – boleh kesan musuh,” katanya.

Hashim berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki peralatan canggih dan mahal tetapi mempersoal sama ada ia dibeli dengan harga tinggi tetapi tidak berfungsi kerana kualitinya rendah.

“Mungkin juga rosak sebab kurang diselenggara. Mungkin, alat ganti tak ada, tak dibeli. Kontraktor tahu bekal sahaja. Rosak, selenggaraan, bukan dia kira,” katanya.

Beliau bertugas bersama ATM selama 38 tahun dan pernah bertugas di Sandakan, Sabah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan dan Pegawai Kanan di Wisma Putra serta pernah berkhidmat di Bosnia.

Najib Juga Didakwa Dalang Pencerobohan Di Lahad Datu


Dakwaan mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kemasukkan penceroboh Selantan Filipina ke Lahad Datu, Sabah, oleh pemimpin Umno-BN dengan berpaksikan kenyataan media luar adalah satu bahan jenaka dunia.

Lebih-lebih lagi apabila juga terdapat kenyataan media dari luar Malaysia yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang sebenarnya dalang kepada kemasukkan kumpulan bersenjata Sulu ke Sabah.

Sepatutnya, sebuah kerajaan yang penuh kreadibiliti dan mempunyai agensi yang kukuh di bawah naunganya, hendaklah menjalankan siasatan mereka sendiri mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam reaksinya berkata, menggunakan media untuk membuat tuduhan adalah satu tindakan yang tidak profesional dan kerajaan sepatutnya mengemukakan bukti terperinci.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar terlibat, maka dia boleh dakwa secara formal. Tidak mungkin kerajaan begitu hebat main tuduh-tuduh begitu sahaja.

“Ini kerajaan yang tidak bertanggungjawab kerana tuduhan ini adalah tuduhan yang serius, yang melibatkan keselamatan negara,” katanya kepada TVSelangor.

Tegasnya, soal keselamatan negara merupakan perkara penting yang perlu diutamakan dan bukan menjadikan individu tertentu sebagai ‘kambing hitam’ untuk ‘menyelesaikan masalah’.

Disebalik keghairahan pihak tertentu mengaitkan Anwar, beberapa ‘bukti’ yang mengkaitikan Najib dengan insiden Lahad Datu telah tersebar hangat di laman sosial.

Dalam sebuah artikel portal Manila Buletin Publishing Corporation “Don’t Harm Sultan’s Men, Nur Warns Malaysia”, Pengerusi Fron Pembebasan Nasional Bangsa Moro (MNLF), Nur Misuari ada menyebut nama Najib.

“When he was in Jolo, Sulu, over the week, Misuari said that what he heard was that the group of the Crown Prince Rajah Muda Agbimuddin Kiram, younger brother of Kiram, crossed the sea to the island because they were allegedly promised to be settled in Sabah by Prime Minister Dato Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Addul Razak,” rujuk portal berkenaan.

(Apabila dia berada di Jolo, Sulu, minggu lepas, Misuari berkata dia telah mendengar bahawa kumpulan Putera Mahkota Raja Muda Agbimuddin Kiram, adik Kiram, menyeberangi laut ke pulau itu kerana mereka mendakwa dijanjikan akan ditempatkan di Sabah oleh Perdana Menteri Dato Seri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Addul Razak.

) Carian Tv Selangor pada pautan
http://www.mb.com.ph/article.php?aid=1201&sid=1&subid=1#.UUQrvxzqicO
mendapati artikerl berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

Sebelum ini, beberapa media pro-Umno mendakwa Anwar terlibat di dalam pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan media asing.

Ekoran itu, Anwar telah memfailkan tuntutan saman berjumlah RM 100 juta masing-masing terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Stesen Televisyen TV3.


Tian Chua Sudah Didakwa, Tapi Masih Terkial-kial Mencari Bukti


Enam anggota polis kelmarin bertindak menyerbu pejabat Suara Keadilan di Cheras dengan alasan untuk mendapatkan nota tulisan wartawan Keadilan Daily.

Mereka merupakan pasukan penyiasatan dari Johor Baharu berhubung kes kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua berkaitan kontroversi Lahad Datu yang dimuat naik portal Keadilan Daily, 1 Mac lalu.

Ketika awal serbuan, polis mendakwa mempunyai waran menggeledah dan merampas komputer yang terlibat tetapi apabila diminta gagal menunjukan waran yang disebut.

“Mulanya kata nak rampas komputer, kemudian apabila peguam masuk campur membantah tindakan mereka, mereka kata nak ambil nota wartawan pula.

“Mereka boleh saja datang ambil, tidak perlu untuk geledah,” ujar Editor Suara Keadilan, Fazallah Pit ketika dihubungi TVSelangor berhubung kejadian pagi tersebut.

Beliau turut melahirkan rasa pelik dengan tindakan kumpulan polis berkenaan kerana pihaknya memberikan kerjasama yang baik terhadap siasatan yang dijalankan sebelum ini.

“Saya bersama-sama sub editor dan wartawan, beberapa kali beri kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung siasatan tersebut namun tidak pernah pula mereka meminta nota wartawan.

“Serbuan pagi ini memang tak diduga dan menyebabkan suasana tidak senang,” tegasnya lagi.

Kakitangan pejabat kemudian menelefon peguam Latheefa Koya yang meminta polis berurusan dengannya.

Polis kemudian beredar tanpa mengambil apa-apa daripada pejabat kira-kira setengah jam berikutnya namun memberitahu mereka mahu menunggu wartawan, Aisha Geoffrey yang bercuti hari ini untuk mengambil notanya.

Berhubung permintaan tersebut, Fazallah dan Aisha hadir bersama dengan peguam Eric Paulsen di Balai Polis Pudu, kira-kira jam 1 petang tadi untuk menyerahkan nota itu sebelum beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Peguam Eric turut memohon salinan waran geledah tersebut tetapi polis enggan berbuat demikian.


Ulasan GB

Bukankah Tian Chua sudah didakwa di mahkamah Sesyen yang sepatutnya polis sudah mempunyai bukti maka dengan sebab itu beliau didakwa?

Mengapa pula baru sekarang mahu mencari bukti dengan mendapatkan nota tulisan wartawan Keadilan Daily berkenaan?

Prinsip asas bahawa "one is considered innocent until proven guilty" sepatutnya terpakai dan bukan seperti di negara ini di mana "one is considered guilty until proven innocent".

Ust Zamri, Ex-IKIM.fm Bersama 6 Tokoh Imam Muda Sertai PAS


Seramai enam tokoh Imam Muda mengisytiharkan sokongan kepada PAS sempena Xpresi Ulama Muda Haraki yang berlangsung di Maahad Ehya Asy Syarif Gunung Semanggol, Perak.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin Aman Razali mengumumkan perkara itu di pentas expresi tersebut.

Mohd Fakhrurrazi Hussin mewakili 6 orang Imam Muda berucap dan menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi dan berikrar akan turut membantu perjuangan Islam sehinggalah bumi Allah dapat diimarahkan dengan syariat-Nya.




Selain Mohd Fakhrurrazi (IM Fakhrul), lima lagi Imam Muda berkenaan ialah Khairul Azhar Ghazali (IM Azhar), Abdul Fattah Ridzwan (IM Fatah), Syed Faris Syed Roslan(IM Faris), Megat Mohd Zahid Megat Azmuddin (IM Megat) dan Fakhrulrazi Ibrahim ( IM Ar Razi)

Pilihan raya Umum ke-13 menjadi turning point untuk melakukan perubahan dalam negara kita dan Ulama Muda Haraki akan Memacu Kebangkitan dan Memimpin Perubahan.

Insya Allah seorang lagi tokoh ulama muda negara kita akan turut menyatakan sokongan kepada perjuangan suci ini pada sebelah malam sempena Pentas Ulama Haraki di tapak program yang sama.

Bekas penerbit rancangan Ikim.fm umum sertai PAS


GUNUNG SEMANGGOL: Bekas penyampai dan penerbit rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim.fm), Ustaz Zamri Zainal Abidin mengisytiharkan menyertai PAS pada majlis ceramah sempena Xpresi Ulama Muda Haraki di Maahad Ehya Asy Syarif di sini, malam tadi.

Petang semalam, seramai enam Imam Muda telah mengumumkan menyertai PAS iaitu Mohd Fakhrurrazi Hussin (IM Fakhrul), lima lagi Imam Muda berkenaan ialah Khairul Azhar Ghazali (IM Azhar), Abdul Fattah Ridzwan (IM Fatah), Syed Faris Syed Roslan(IM Faris), Megat Mohd Zahid Megat Azmuddin (IM Megat) dan Fakhrulrazi Ibrahim (IM Ar Razi).

Penyertaan mereka diumumkan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali.

“Insya Allah seorang lagi tokoh ulama muda negara kita akan turut menyatakan sokongan kepada perjuangan suci ini pada sebelah malam sempena Pentas Ulama Haraki di tapak program yang sama,” ulas satu kenyataan semalam berhubung penyertaan Ustaz Zamri itu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib merasmikan majlis penutup Xpresi Ulama Muda Haraki pada petang semalam.

Ketika berucap pada majlis yang disertai kira-kira 1,000 ulama muda haraki dari seluruh Negara itu semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, umat Islam seharusnya memberi kemenangan kepada Islam di dalam PRU13 untuk merealisasikan pelaksanaan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama berkata, umat Islam yang mengharapkan kebangkitan Islam sekali gus menunjukkan kemenangan Islam yang tulen.

[BERGAMBAR] Walaupun Tanpa K-Pop, Ribuan Banjiri Malam Seni Untuk Perubahan


Malam Seni Untuk Perubahan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menyaksikan lebih 5,000 orang ramai memenuhi padang kelab ini walaupun keadaan becak.

Program malam seni ini membariskan penampilan khas pendakwah bebas yang sedang hangat pada masa ini, Ustaz Azhar Idrus dengan slot soal jawabnya.

Orang ramai mula memenuhi padang seawal jam 8.00 malam untuk bersama-sama barisan artis dan mendengar soal jawab daripada Ustaz Azhar.

Pelbagai soalan yang diajukan orang ramai kepada Ustaz Azhar termasuklah soalan berkaitan PTPTN, demonstrasi dan PRU13.

Soalan tersebut adalah "apa hukum negara yang bagi pinjaman PTPTN pada pelajar kemudian pelajar berdemonstrasi minta hapuskan PTPTN".

Ustaz Azhar secara spontan menjawab, "kalau negara tu kaya kenalah bagi pendidikan percuma kepada pelajar. Cuba tengok menara KLCC tu, menara jagung dua butir, negara miskin mana ada tu...".

Penampilan istimewa pada malam ini antaranya Yassin Brothers, Ito Blues Gang, Aisyah, Abby Abadi, dan Hairie Othman dan lain-lain barisan artis dan pelukis yang telah berhijrah memilih Pakatan Rakyat.

Para barisan pimpinan Pakatan Rakyat turut bersama-sama dalam program malam seni ini menyatakan sokongan padu kepada artis yang mahukan perubahan.

Antara barisan pimpinan itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di samping Dr Syed Azman, Dr Muhaimin Sulam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Pyan Habib dan aktivis Hishamuddin Rais.






[EDISI KANTOI] Rambut Pelaku Itu Di Belah Tengah!


Tatkala blog-blog pro-UMNO bersuka-ria meletakkan beberapa gambar individu kononnya Anwar yang mengadakan hubungan seks sejenis, ramai mempertikaikan kenapa gambar-gambar itu hitam putih dan tidak berwarna.

Apatah lagi, di sebelah muka Anwar itu gelap dan tidak terkena cahaya dari tingkap, sedangkan badannya jelas dipancar dengan cahaya tersebut.


Tetapi yang menjadikan gambar itu lebih kantoi ialah belahan rambut pelaku di dalam gambar tersebut berbanding dengan belahan rambut Anwar yang sebenar seperti paparan gambar di atas sekali.

Di dalam gambar-gambar itu ternyata lelaki berkenaan mempunyai belahan rambut di sebelah tengah walhal Anwar sentiasa menyikat dan membelah rambutnya di sebelah tepi.

Justeru itu bertambah nyata, pelaku di dalam gambar itu bukannya Anwar.

Sebelum inipun telah dijelaskan bahawa "badan lelaki dalam gambar itu adalah terlalu tegap dan terlalu muda, tiada kedutan jika mahu dibandingkan lelaki berusia 65 tahun."

Kebenaran akan tetap terserlah jua, dan apa jua "fitnah" tetap tidak mempunyai kekuatan - orang yang memfitnah akan terus berdosa dan orang yang diftnah akan sentiasa mendapat pahala selagi ada yang menyebar dan mempercayai fitnah itu.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat nanti seorang akan terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya? Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat (memfitnah) engkau tanpa engkau ketahui.”