16 Jan 2013

[VIDEO] Bawani Tak Sangka Video Di Forum Itu Meletup

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang mencetuskan fenomena listen berkata, penyebaran video tersebut menunjukkan kepada rakyat tentang usaha pihak tertentu untuk menarik sokongan mahasiswa di universiti dalam suasana PRU13 yang semakin hampir.

Menurutnya, program tersebut adalah salah satu agenda untuk brainwash mahasiswa supaya tidak memberi sokongan kepada pembangkang.

"Kini rakyat di seluruh Malaysia telah membuka mata dan mengetahui apa yang berlaku di dalam universiti," katanya kepada Harakahdaily yang bertemu beliau di kediamannya di Air Kuning, Kampar semalam.

Bawani menjelaskan, program yang diberi tajuk Forum Mahasiswa dan Politk itu membangkitkan pelbagai isu politik di negara ini khususnya melibatkan mahasiswa.

Program yang bermotif politik itu, katanya turut diisi dengan pelbagai video yang mengutuk pembangkang seperti Himpunan Bersih, isu kontroversi melibatkan Nurul Izzah dan Himpunan Hapus PTPTN.

Jelasnya, pelbagai isu telah diceritakan oleh panelis termasuklah mempertikai protes PTPTN oleh mahasiswa dan mengatakan tuntutan pendidikan percuma tidak masuk akal.

"Saya cuba bangun mencelah untuk memberikan pandangan tetapi tidak dilayan dan saya menunggu sesi soal jawab.

"Namun semasa sesi soal jawab saya tidak sempat kerana hanya dua soalan yang boleh ditanya dan saya mengambil keputusan ke pembesar suara dan memberikan pandangan berhubung apa yang dibangkitkan.

"Saya terus memberikan hujah-hujah terutama isu pendidikan percuma tetapi belum sempat menghabiskan ucapan, moderator yang juga Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin telah enggan memberi saya peluang untuk menghabiskan ucapan saya dengan mengatakan listen, listen, listen seperti yang dapat dilihat di video itu," jelasnya lagi.

Tegas beliau, ini adalah satu penindasan kepada mahasiswa yang berhak bersuara dan memberikan pandangan.

Bawani berkata, sepatutnya moderator memberi peluang kepadanya menghabiskan ucapan kerana ia berkaitan isu yang dibangkitkan.

Ketika ditanya apakah respons daripada rakan mahasiswa yang lain, beliau menjelaskan, pada mulanya semua memberikan respons negatif terhadap saya yang dilihat tidak respect kepada Sharifah Zobra.

Namun katanya, selepas menonton kembali video tersebut, rakan-rakan memberikan sokongan padu kepadanya dan melihat tindakan Sharifah seolah-olah menyekat suara mahasiswa.

Beliau yang diminta mengulas tentang video yang menjadi buah mulut masyarakat itu, Bawani sangat terkejut dengan sambutan tersebut dan menganggap ianya menggambarkan masyarakat prihatin dengan isu mahasiswa.

"Ketika ini saya mendapat panggilan tanpa henti daripada rakan-rakan terutama daripada UUM yang memberikan sokongan padu kepada saya," jelasnya.

Bawani secara peribadi berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan padu kepadanya dan berharap suara mahasiswa terus menjadi perhatian masyarakat. -HD

[TERBONGKAR] Memang Wujud Kerjasama SPR-JPN Beri IC Kepada PATI

Bekas pegawai JPN dakwa SPR arah beri IC

Seorang bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini mengemukakan bukti berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.

Mohd Nasir Sugip ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai masalah imigrasi Sabah hari ini mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Mohd Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".

"Bos saya, pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin kemudiannya secara lisan memberitahu saya untuk menjalankan projek ini," katanya.

Mohd Nasir turut mengaitkan tiga lagi individu yang hadir ketika arahan itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, nama individu berkenaan tidak dapat diperolehi memandangkan pegawai RCI – wakil daripada pejabat peguam negara – enggan memberi kerjasama.

Katanya, beliau mengikut arahan tersebut dan mengambil pegawai yang tidak dinamakan di peringkat negeri untuk operasi berkenaan.

Mohd Nasir mendakwa, operasi berkenaan melibatkan tindakan memberi kad pengenalan kepada pendatang asing dan mengeluarkan nombor kad pengenalan berdasarkan tarikh lahir, foto dan nama yang diberikan SPR. mk

Ulasan GB

Pendedahan kes di atas membuktikan apa yang didedahkan oleh PAS sebelum ini adalah benar.

PAS sebelum ini pernah mendesak Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja siasatan (RCI) menyiasat kewujudan sindiket dianggotai pegawai kerajaan yang memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata RCI itu penting bukan sahaja di Sabah tapi seluruh negara bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan palsu kepada warga asing seterusnya didaftarkan menjadi pengundi pilihan raya.

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa antara individu yang terlibat adalah Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan diketuai Pegawai Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Othman Razak.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Fenomena "Listen Listen Listen": Template Tarbiyah UMNO BN Untuk Pelajar IPT

#Listen #Listen #Listen

MUSTAHIL anda tidak faham lawak tajuk di atas. Mustahil! Dalam dunia serba canggih dan maklumat di hunnjung jari ini, tipulah kalau anda kata anda tak tahu apa yang saya maksudkan. Begitu pantas sekali lelucon ‘listen, listen, listen’ ini tersebar di ruang maya sehinggakan dalam kurang 24 jam, Presiden Suara Wanita 1Malaya (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin berjaya menumpaskan seorang warga siber sensasi ‘Shasha Mendoza’ yang menjadi sumber hilai tawa ketika berlangsungnya himpunan KL112.

Saya tidak sanggup menonton video forum ‘Seiringkah Mahasiswa Dengan Politik’ yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu. Satu kerana saya rasa tajuk forum itu bodoh. Dan kedua, saya tak sanggup tengok orang bodoh memperbodohkan diri.

Apa yang saya tahu ialah Sharifah Zohra bertindak merampas mikrofon daripada seorang mahasiswi UUM bernama Bawani, mungkin kerana sudah tidak dapat menahan lagi keperluan untuk mematahkan soalan Bawani mengenai perkara sensitif, termasuk perihal ekonomi dan pendidikan.

Lumrah orang yang tidak boleh menjawab soalan, akan membalas soalan dengan meroyan. Itulah yang dilakukan Sharifah Zohra. Bukan sekali, malah SEPULUH kali beliau berkata ‘Listen’ (dengar) kepada Bawani, ketika belum sempat mahasiswi itu menghabiskan soalannya. Sambil memegang mikrofon yang dirampas, Sharifah Zohra harus pula menuturkan ‘Let me speak’ (bagi saya bercakap) sehingga tujuh kali. Kau dah pegang mikrofon, siapa lah yang nak halang kau bercakap.

Yang lebih menggelikan buah pinggang, hujah-hujah Bawani dibalas Sharifah Zohra dengan ‘animals have problem’, ‘kucing ada masalah’, ‘anjing boleh menggonggong’, ‘lembu kambing ada masalah’, ‘kita manusia lebih rakus daripada ikan’, ‘and you tau tak binatang apa yang paling banyak sekali masalah?’, ‘pernah makan shark fin?’

Ini saya kutip daripada surat terbuka yang ditulis orang kepada sang Presiden SW1M. Saya sehingga kini masih tidak sanggup menonton sepenuhnya video terbabit; risau saya akan dapat mendengar IQ saya jatuh merudum. Tambahan pula saya punya pundi kencing yang lemah.

Pembodohan

Apa yang kita lihat (err.. anda lihat) dalam video itu adalah sejenis pembodohan terancang yang dijana kelestariannya oleh kehendak United Malays National Organisation yang mahukan orang Melayu ini bengap sebengap-bengapnya supaya mudah ditolak ke tepi ke tengah dan diperintah-perintah. Lihat sahaja gaya macainya di SW1M itu yang menyuruh orang ‘listen’ sampai sepuluh kali kepada kata-katanya yang entah apa-apa.

Inilah dia ‘template’ pentarbiyahan UMNO terhadap anak-anak kalian di universiti dan sekolah-sekolah yang diheret ke latihan Biro Tata Negara. Pembodohan yang dipaksakan ini adalah rencah asli sup bunjut UMNO yang dihidangkan saban hari melalui media arus perdananya di kaca televisyen dan dada akhbar serta menjadi asas pembentukan mentaliti rakyat supaya tidak menyoal dan merelakan apa sahaja yang berlaku.

Namun begitu apa yang menyebabkan semua ini menjadi kelakar ialah respon Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairy Jamaluddin.Ketawa besar saya semalam setelah membaca kicauannya di laman sosial ‘Twitter’.

Akaun rasminya, @Khairykj menyiarkan ‘And on UUM issue. Please #listen to me: this Jabeen lady DOES NOT represent BN. Sekian,’ (Dan tentang isu UUM itu, tolonglah dengarkan saya. Perempuan Jabeen ini tidak mewakili BN.Sekian). Barangkali KJ pun sudah puas ketawa berdekah dan rasa terpaksa ikut serta untuk ‘menganjing’ respon si Jabeen.

Usaha Khairy untuk mengawal keadaan ini ternyata gagal. Takkan lah UUM nak biar siapa-siapa sahaja masuk berpogram dalam kawasannya jika tidak punya tauliah, apatah lagi tauliahan UMNO dan logo 1Malaysia. Lumrah, kalau sudah bodoh dan buruk, semua orang tak mahu mengaku kawan. Kasihan si Jabeen.

Fungsi universiti

Pastinya universiti itu adalah tempat untuk belajar dan tiada cara yang lebih baik untuk belajar selain bertanya soalan. Untuk ini Pakatan Rakyat menjanjikan kebebasan akademik tanpa campur tangan politik yang mengekang kebebasan berfikir dan bertanya soalan, lagi-lagi soalan yang bisa menyengat dan sensitif mengusik kalbu pemerintah.

Universiti pastinya bukan tadika. Tidak ada pasal untuk ada pihak-pihak tertentu masuk ke kampus dan menyuruh orang mendengar kata-katanya. Mahasiswa punya hak untuk memilih; samada untuk mendengar atau tidak, untuk percaya atau tidak. Dan mahasiswa juga berhak menyoal. Barulah namanya forum. Kalau mahu bercakap sahaja tanpa perhubungan dua hala daripada audien, jadilah DJ radio. Mudah.

Pindaan terhadap AUKU yang membenarkan mahasiswa berpolitik seharusnya dijadikan titik tolak untuk menerapkan kesedaran dan partisipasi politik di kalangan anak muda. Kalaupun UMNO mahu terus mendoktrinkan kebodohan ideologi politik etnosentriknya, lakukanlah dengan bijaksana dan dengan hujah-hujah yang ilmiah. Apabila saya sebut ilmiah, maksud saya hujah yang tidak mengaitkan masalah-masalah kambing, anjing dan ikan jerung dalam perdebatan yang sihat.

Forum akademik, walaupun tajuknya berbunyi bodoh; sewajarnya dijalankan dengan penuh rasa hormat kepada ilmu dan tempat menuntut ilmu Universiti bukan taman asuhan kanak-kanak riang untuk disumbat-sumbat kepala otak anak mahasiswa itu dengan maklumat tanpa soal jawab. Malahan budak-budak tadika sekarang pun sudah pandai bersoal jawab. Jabeen mungkin tidak datang daripada sistem pendidikan yang maju itu.

Listen

Ya, pastinya ada masa untuk mendengar. Dan masanya ialah sekarang. UMNO dan juak-juaknya telah menutup telinga sejak Mac 2008 dan tidak mempedulikan suara rakyat yang mahukan perubahan. Seperti budak kecil yang menutup telinga sambil menyanyi ‘lalalala’ tidak mahu dengar cakap orang tua; begitulah perangai kanak-kanak UMNO dan Barisan Nasional kini yang tidak akan langsung mengambil iktibar daripada tempeleng maha hebat lima tahun lalu.

Kini UMNO terus hidup dalam penafian, dan akan mati dalam penafian dan angan-angan yang mengabui matanya sendiri.

Penyudah kepada forum anjuran proksi UMNO di UUM itu pastinya tidak mendapatkan apa-apa hasil selain daripada hilai tawa masyarakat yang menyaksikan pembodohan oleh pecacainya yang gagal sama sekali mengubah pendirian rakyat untuk menghumbankan UMNO dan macai-macainya itu ke lohong paling gelap dalam sejarah negara.

UMNO seharusnya mendengar teguran ramai, atau menanggung risiko untuk pupus selama-lamanya.

Listen! – Izmil Amri/[Roketkini]

Laporan sebelum ini
klik untuk baca


[MAHKAMAH] UMNO Kalah Lagi: Anwar Menang Saman, Khairy Tarik Balik Fitnah

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menang kes saman terhadap Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan Ketua Pemuda Umno itu menarik semula kenyataan fitnah beliau ke atas Ketua Umum KEADILAN dan kes selesai.

Khairy sebelum ini berpendirian bahawa beliau ada menuturkan kata-kata terhadap plaintif (Anwar) adalah pengkhianat Melayu dan boneka kepada Amerika Syarikat dan Yahudi.

Semalam, Khairy menarik balik kenyataan tersebut dan mengambil pendirian beliau tidak pernah berkata demikian.

“Sekarang Khairy mengatakan beliau tidak pernah mengucapkan kata-kata tersebut. Ini bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini. Pihaknya tarik balik dan kita berpuas hati,” kata Anwar mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Khairy kata saya pengkhianat Melayu, dah tarik balik maksudnya saya ni pahlawan Melayulah…,” seloroh Anwar yang berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Hadir sama mendengar keputusan yang dibacakan oleh Hakim Datuk Su Geok Yiam adalah Khairy dan seorang lagi peguam Anwar, Gobind Singh Deo.

Ekoran tindakan Khairy itu, Anwar mengingatkan pemimpin Umno agar berhenti menggunakan saluran media sesuka hati untuk memburukkan imej beliau.

Peguam mewakili Anwar, Haijan Omar turut berpuas hati dengan penarikan tersebut.

“Dia (Khairy) menarik balik sebab bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini. Kita berpuas hati dan setuju untuk selesaikan,” kata Haijan kepada pemberita.

“Lagipun ia menjimatkan masa dan kos semua pihak,” tambahnya.

Anwar memfailkan saman tersebut pada 7 September 2007 dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menfitnah beliau semasa menghadiri satu majlis politik di Kuala Kangsar, Perak, pada Ogos 2007.

Menurut beliau, kenyataan fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan eletronik dalam negara pada 3 Ogos 2007.

Anwar juga mendakwa kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang ahli politik yang tidak boleh dipercayai oleh orang Melayu, yang tidak mengutamakan perjuangan orang Melayu serta hak mereka, dan beliau berkeupayaan untuk mengkhianati perjuangan dan hak orang Melayu demi mendapatkan sokongan bukan Melayu dalam negara.

Beliau turut berkata, Khairy membuat kenyataan itu untuk menyindir bahawa beliau (Anwar) merupakan seorang ejen politik Amerika Syarikat dan pihak Yahudi, di samping bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya, dan Khairy menurutnya berniat jahat ketika membuat kenyataan itu yang merupakan satu pembohongan, tidak berasas dan tidak benar.

Selain ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, Anwar turut memohon injunksi bagi menghalang Khairy, atau ejennya, daripada mengulangi kenyataan itu. -KD

Lim Guan Eng & PRkah Yang Sebabkan Melayu Di Johor Semakin Merempat?

Kedudukan Melayu Johor membimbangkan

Tanah kerajaan diswastakan tanpa mengira harga dan mudaratnya kepada bangsa Melayu serta rakyat Johor keseluruhannya.

KUALA LUMPUR: Masa depan hak ekuiti masyarakat Melayu Johor kini didakwa semakin merosot dan jurang perbezaan prestasi ekonominya kian membesar akibat lambakan pelabur asing masuk ke negeri itu.

Kebimbangan itu dinyatakan wakil agensi kerajaan, perwakilan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam satu resolusi Kongres Ekonomi Melayu Peringkat Zon Selatan.

Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas ketika membentangkan resolusi yang tercapai pada 6 Januari lalu itu berkata, kongres turut kesal dengan isu hak milik tanah orang Melayu Johor apabila tanah kerajaan diswastakan tanpa mengira harga dan mudaratnya kepada bangsa Melayu serta rakyat Johor keseluruhannya.

Syed Ali berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor akan ditentukan daripada projek pembangunan Iskandar Malaysia di mana 80 peratus daripadanya dikuasai pelabur asing.

“Projek Iskandar memundur dan memiggirkan orang Melayu dari segi ekonomi sekaligus meningkatkan jurang kemiskinan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, pendapatan perkapita penduduk Johor juga semakin rendah apabila kebanyakan masyarakat Melayu kini tidak mampu lagi membeli rumah di sekitar kawasan Iskandar.

`Tanah sendiri dimiliki orang asing’

“Bayangkan rumah dengan keluasan 1, 300 kaki persegi kini mencecah RM1juta.

Individu yang bergaji RM5,000 pun tak mampu membelinya kerana bank hanya membenarkan pinjaman sehingga RM200,000 sahaja.

“Lebih teruk tanah sendiri dimiliki orang asing…ini situasi merbahaya yang dihadapi penduduk Johor,” katanya.

Koridor pembangunan yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad dan terletak di Selatan Johor itu mempunyai keluasan kira-kira 500,000 ekar, kira-kira tiga kali ganda daripada keluasan Singapura.

Sehubungan itu, Kongres itu mencapai satu resolusi mahu mendesak kerajaan memperuntukkan 30 peratus (24,000 ekar) Nusajaya kepada orang Melayu.

Selain itu, kongres turut meminta Jambatan Selat Tebrau yang dikenali sebagai ‘Jambatan Bengkok’ yang terbengkalai diteruskan semula.

“Rugi kalau jambatan yang dibina dengan kos RM700 juta itu terbiar.

Kalau tambah modal RM700 juta lagi boleh selesai,” katanya.

Kongres itu juga mengambil ketetapan untuk menggunakan status Melayu, dan bukan lagi Bumiputera bagi mengelakkan daripada penyelewengan dan kekeliruan kepada status ‘Bumiputera’ dimanipulasi oleh pihak lain demi keuntungan pihak tertentu. -FMT

Ulasan GB

Sebelum ini media pencacai heboh menyerang kerajaan Pulau Pinang kononnya penyebab kepada tergadainya tanah-tanah milik orang Melayu di negeri itu.

Lim Guan Eng caivinis, Lim Guan Eng pengkhianat, Lim Guan Eng hapus tanah milik Melayu dan segala macam ungkapan mak nenek untuk memfitnah kerajaan PR di Pulau Pinang.

Bangunlah segala jenis pencacai dan malaon todi berdemo dan berarak untuk menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang, siap dengan mencarut dan bahasa perkauman.

Tup tup hukum kebenaran dan keadilan pun terdedah. Rupa-rupanya di negeri dimana UMNO berkuasa dan paling kuat di negara ini, itulah negeri yang telah menyebabkankan tanah-tanah milik orang Melayu terjual dan tergadai bukan kepada rakyat di negara ini tetapi kepada warga asing.

Sekarang meludah ke langit terkena sendiri!

Semuga Datuk Siti Istiqamah Bertudung Penuh


Berhijab Penuh: Siti Nurhaliza Tunai Janji Dengan Fans Manis bertudung litup sejak menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-34 pada 11 Januari lalu, penyanyi tersohor Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin mengesahkan bahawa keputusannya untuk berimej sopan dengan berhijab penuh itu dilakukan dengan kerelaan hatinya sendiri.

Malah, Siti Nurhaliza berkata sudah tiba masanya dia menunaikan kata-kata serta janjinya selama ini yang mahu berhijab penuh sebaik sahaja pulang daripada menunaikan Haji di Kota Suci Mekah tidak lama dulu.

“Inilah doa daripada orang ramai dan peminat. Saya pernah kata dulu yang saya akan berhijab penuh, dan kini saya tunaikan jua. Alhamdulilah pada hari jadi saya yang ke 34 yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat saya mengambil keputusan untuk berhijab penuh,” katanya ringkas yang tidak berniat untuk mengulas lanjut.

Siti Nurhaliza ditemui murai.com.my di majlis resepsi ketiga penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex dan Leuniey di Hotel Royale Damansara, malam semalam.

Pada majlis yang berkonsepkan English itu, Siti telah menyumbangkan sebuah lagu untuk kedua-dua mempelai yang berjudul Kengan Terindah dendangan Samsons.

Mengenakan gaun berwarna cokelat lembut atau nude colour rekaan pereka fesyen kegemarannya, Rizman Ruzaini, penampilan Siti itu telah dipadankan dengan tudung litup dari rona serupa.

Bukan sekadar tudung dan gaun dari rona serupa, dia turut memadankan penampilan mempesonanya itu dengan clutch serta tumit tinggi warna yang sama. -murai

Ulasan GB

Semuga Datuk Siti istiqamah dengan tindakannya memakai tudung penuh tersebut.

Itu yang pertama. Yang kedua semuga Datuk Siti mensucikan niat bertudung penuh itu kerana Dia, bukan dikeranakan dengan kerana-keranan yang lain.

Semuga kehidupan Datuk Siti sekeluarga dilimpahi hidayah, inayah, perlindungan dan rahmatNya.