10 Jan 2013

[BERGAMBAR] SYABAS Perlu Beri Penjelasan & Bayar Pampasan

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dituntut memberi penjelasan berhubung krisis air yang melanda sebahagian besar penduduk di kawasan Ampang, Pandan dan Cheras baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengetuai pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan pagi ini yang turut disertai ahli-ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta wakil persatuan penduduk kawasan terlibat.

Menurut Zuraida, 60, 000 penduduk di kawasan berkenaan terjejas teruk ekoran krisis air tersebut, lebih-lebih lagi mereka yang menetap di rumah flat kos rendah.

Pihak Syabas dikemukakan enam tuntutan iaitu menjelaskan masalah sebenar rumah pam di Wangsa Maju yang didakwa gagal berfungsi sehingga mengakibatkan bekalan air terputus di kawasan berkenaan.

Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail juga dituntut memberi penjelasan dan memohon maaf kepada penduduk berhubung krisis air itu.

Mengapa berlarutan?

“Pihak kami meminta penjelasan dari Pengerusi Syabas mengapa krisis air yang dikatakan boleh ditangani beberapa hari akan berlarutan sehingga Tahun Baru Cina? “Besar harapan kami sekiranya pihak Syabas terutama pengerusinya memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang terlibat.

“Memandangkan pengerusi Syabas menjangkakan krisis air akan berlarutan sehingga Tahun Baru Cina,maka kami ingin mengetahui pelan tindakan yang disediakan kerana ia melibatkan jangka masa yang panjang,” katanya ketika ditemui di luar Ibu pejabat Syabas pagi ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita PKR, turut menuntut jaminan dari Syabas agar perkara seumpama ini tidak berulang.

Ujar beliau, disebabkan para penduduk yang terlibat berpendapatan sederhana dan rendah maka wajar untuk sebuah dana khas bencana disalurkan kepada mangsa.

Zuraida berkata, terdapat golongan berpendapatan rendah terpaksa mengikat perut ekoran tiada wang untuk membeli makanan, menghantar baju ke dobi sepanjang krisis air in berlaku.

Selepas pertemuan kira-kira sejam itu, Zuraida memberitahu, Syabas memberi jaminan bahawa satu lencongan air sedang dibina dan dijangka beroperasi Isnin depan.

Lencongan ini katanya, memberi fokus kepada flat kos rendah yang mengalami gangguan.

Satu kaedah penjadualan air akan dilakukan oleh Syabas bersama-sama kerajaan negeri bagi mengatasi krisis air sehingga Tahun Baru Cina.

“Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah meluluskan pembinaan lencongan, walaupun kapasiti air bukan seperti biasa.

“Dengan pembaikan pam itu, daripada 100, 000 orang terlibat kini hanya 28, 000 sahaja yang terlibat,” katanya Zuraida. -FMT


Penduduk mahu bukti jika SYABAS tak sabotaj


Sekumpulan penduduk Ampang dan Cheras yang terjejas dengan krisis air di kawasan tersebut meminta satu siasatan terperinci dilakukan bagi mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung krisis bekalan air di kawasan tersebut.

Pengerusi NGO Hak Air Untuk Rakyat (HAYAT) Arshad Ahamad yang mewakili kumpulan penduduk berkenaan berkata, siasatan itu perlu dilakukan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Kegagalan demi kegagalan pada sistem SYABAS ( Syarikat Bekalan Air Selangor) dalam tempoh beberapa hari sahaja menimbulkan pelbagai tanda tanya.

"Oleh yang demikian kami mahu siasatan terperinci untuk mengesahkan kejadian-kejadian itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mereka yang berniat memburukkan kerajaan negeri Selagor," katanya yang membacakan satu memorandum.

Beliau bersama lebih 40 penduduk lain berhimpun di hadapan Wisma Rozali, yang menempatkan pejabat SYABAS di Shah Alam bagi menyerahkan memorandum tuntutan berkenaan.

Kumpulan penduduk itu hadir ke ibu pejabat syarikat berkenaan susulan kenyataan SYABAS pada Selasa lalu yang menafikan bahawa perkara itu merupakan unsur sabotaj yang sengaja dilakukan pihaknya.

Kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan "Hidup rakyat. Hancur SYABAS" dan membawa kain rentang yang antara lainnya dengan tulisan: "Nak selesaikan masalah booster pam pecah Wangsa Maju pun ambil masa lebih 14 hari. Memang tak boleh harap punya SYABAS".

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Arshad yang ditemani empat lagi wakil penduduk kepada pengarah eksekutif SYABAS Ismail Hashim.

Ismail semasa menerima memorandum tersebut berkata beliau akan membawa perkara itu kepada pihak pengurusan.

Penduduk di sekitar Ampang dan Wangsa Maju mengalami masalah gangguan air sejak 29 Disember lalu, yang dikatakan berpunca daripada paip di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu mengalami kerosakan.

Dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Arshad berkata, pihaknya akan turut mempertimbangkan untuk mengemukakan saman kepada SYABAS sekiranya masalah air tidak selesai.

Katanya, perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya tiada apa-apa tindak balas daripada SYABAS selepas memorandum itu diserahkan.

"Kita akan mempertimbang untuk saman SYABAS. Insya Allah akan bincang dengan pihak peguam untuk ambil tindakan dalam masa terdekat," katanya lagi.
-mk

Unsur Sabotaj Isu Air : Hayat Mahu SPRM Siasat SPAN, SYABAS


Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mahu satu siasatan terperinci dijalankan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam isu krisis bekalan air di Ampang.

Presidennya, Arshad Ahmad berkata siasatan itu perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis bagi memastikan kejadikan bekalan air yang terputus itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berniat untuk memburukkan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Syabas mendakwa lima pam air di Wangsa Maju rosak menyebabkan penduduk sekitar Ampang dan Cheras terputus bekalan air sejak dua minggu lalu.

“Kami tidak boleh terima alasan yang diberikan oleh Syabas kerana ia adalah tanggungjawab Syabas membuat perancangan dan pemantauan secara berkala.

“Kegagalan demi kegagalan kepada sistem Syabas dalam tempoh kebelakangan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya contohnya kegagalan fungsi rumah pam Wangsa Maju dan rumah pam Pudu Hulu.

“Mengapa semua pam itu rosak? Adakah ia satu sabotaj dari mana-mana pihak untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menyalahkan Kerajaan Negeri,”
katanya dalam sidang media selepas membuat satu bantahan aman terhadap Syabas di Wisma Rozali.

Kira-kira 50 penduduk di sekitar Ampang hadir mendesak Syabas menyelesaikan masalah itu.

Antara kawasan yang terlibat Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Jaya, Taman Nirwana dan Ampang Mewah.
-selangorku




Pembangkang M’sia Dinafi Liputan Bersih & Adil – J/K Pemerhati Muslim Amerika


Pembangkang Malaysia dinafi mendapat liputan adil dan bersih di saluran media kerajaan, menurut wakil Jawatankuasa Pemerhati Pilihan Raya Muslim Amerika, Dr Inayat Malik.

Sedangkan katanya, kebebasan media merupakan isu terbesar yang perlu diberi perhatian bagi menjamin pilihan raya bersih dan adil.

Tegas Inayat, sangat penting untuk semua parti politik memiliki akses yang bebas dan adil kepada media penyiaran dan bercetak.

“Kami perhatikan di Malaysia, parti pembangkang dinafikan liputan yang adil di media penyiaran dan bercetak arus perdana.

“Media (arus perdana) hanya cerminkan satu sudut pandang. Sudut pandang berbeza sangat kurang…Pandangan berlawanan harus diberi peluang untuk disuarakan,”
kata Pengerusi Bersama Dialog Antara Agama, Islamic Society of North America (ISNA) itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan hasil misi pencarian fakta berkaitan reformasi dan penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia, di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Inayat bersama dua lagi wakil lain dalam lawatan ke Malaysia bagi memerhati proses pilihan raya Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Menurutnya, mana-mana pihak wajib melakukan sesuatu untuk memastikan media bebas.

“Mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menteri atau pemerintah…(Yang penting) mana-mana pihak perlu buat sesuatu,” kata Inayat.

ISNA yang ditubuhkan pada 1982 adalah organisasi masyarakat Muslim terbesar di Amerika Utara.

Wakil lain yang turut ke negara ini adalah Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya dan Demokrasi ISNA, Dr Mirza Baig dan Konsul ISNA, Mazen Asbahi.

Perkara lain yang turut menjadi perhatian mereka adalah tahap integriti daftar pengundi SPR dan peranan kerajaan untuk menjamin keadilan dan menghalang salah guna jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya. -KD

[KECOH] Ada Babi "Masuk" Mahkamah Majistret

Alor Gajah - Suasana pekarangan tempat letak kenderaan Mahkamah Majistret di sini, kecoh seketika apabila muncul seekor babi jantan yang sesat dipercayai dari hutan berhampiran.

Kejadian itu disedari beberapa pekerja mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi semalam, apabila melihat seekor haiwan berwarna kelabu gelap berlari sambil menyondol pagar kawat.

Saksi yang juga pelawat mahkamah, Ahmad Harun, 52, berkata, sebaik tiba di bangunan mahkamah, dia ternampak babi itu sedang tidur dalam longkang di hadapan bangunan mahkamah sebelum bangkit dan keluar.

“Ketika naik ke tingkat satu, saya terkejut melihat babi itu sedang tidur dalam longkang berdekatan bangunan dan keluar beberapa minit kemudian sebelum memanjat tebing pagar kawat.

“Kemudian saya lihat babi itu berlari di sepanjang tepi pagar sambil menyondol untuk mencari laluan keluar, namun gagal sebelum berpatah semula sehingga disedari pekerja kantin mahkamah," katanya.

Menurutnya, keadaan agak kecoh kerana pekerja kantin dan orang awam bimbang akan disondol babi itu yang mengganas sebelum seorang kakitangan mahkamah menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Perhilitan.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Ismail Zulkefeli Ahmad berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, babi itu masih berlari di tepi pagar.

Menurutnya, babi itu mula mengejar anggota JPAM dan orang awam, namun tergelincir tetapi berjaya bangun sebelum naik ke atas tebing pagar berkenaan.

"Pergerakan babi itu mula perlahan mungkin disebabkan kepenatan selepas berlari untuk mencari jalan keluar dan anggota mengambil meletakkan sangkar di atas tebing yang menjadi laluannya.

“Namun selepas melihat pergerakan babi itu kembali berlari laju, anggota JPAM meletakkan sangkar di hadapannya dan berjaya memerangkapnya, namun babi itu meronta sehingga sangkar terbalik sebelum jatuh ke bawah," katanya.

Katanya, disebabkan rontaan kuat, besi penutup sangkar tercabut sehingga memberi ruang kepada babi itu keluar dan mengejar anggota sebelum naik ke tebing di tepi pagar.

Sementara itu, anggota Perhilitan, Mohd Razak Sadikon berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, beliau melihat babi itu semakin agresif sehingga memaksa pihaknya menembak kaki haiwan berkenaan.

“Tembakan pertama mengena di bahagian badan dan kaki babi itu mengakibatkannya terjatuh ke bawah sebelum tembakan kedua dilepaskan ke bahagian kepalanya,” katanya.

Katanya, akibat tembakan itu, babi berkenaan mati.

Pelajar Dicekup Sembunyi Bawah Katil Hotel Bajet

Kluang - Bahana tidak berfikir panjang dan terlalu mengikut nafsu, seorang pelajar perempuan tingkatan lima sanggup ponteng sekolah kerana ingin berjumpa teman lelakinya di sebuah hotel bajet di bandar ini, pagi semalam.

Malangnya, mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan dilakukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) kira-kira jam 9 pagi.

Pegawai Tadbir Jaij daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat awam.

“Sewaktu operasi dijalankan, lelaki berusia 18 tahun berkenaan yang bekerja di pasar malam membuka pintu bilik hotel, manakala pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menyorok di bawah katil lengkap berpakaian sekolah dan bertudung.

“Hasil soal siasat dijalankan, pelajar tersebut pada mulanya pergi ke sekolah tetapi tidak masuk ke kelas sebaliknya menunggu teman lelaki mengambilnya di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan akan di dakwa di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, ibu bapa pasangan tersebut akan dipanggil untuk ke pejabat agama malah, pengetua serta guru kaunseling turut dimaklumkan mengenainya.

[HKR 112] Mat Sabu: Tiada Perarakan, Cuma Berjalan Lenggang Lenggok Ke Stadium Merdeka..


Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa penganjur tidak akan mengadakan perarakan ke Stadium Merdeka bagi perhimpunan 12 Januari.

"Tidak ada perarakan, cuma berjalan lenggang lenggok secara bersantai ke sana," katanya sambil diiringi ketawa kecil wartawan.

Tambahnya, penganjur akan memaklumkan kepada ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar mengenai kesediaan Stadium Merdeka untuk membenarkan lokasi itu digunakan bagi perhimpunan tersebut.

Selain itu, penganjur juga akan menghantar wakil untuk bertemu ketua polis daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok bagi menyelaras kerjasama berhubung perhimpunan tersebut.

"Hasrat IGP mahukan perhimpunan ini himpunan yang bersejarah, aman, teratur sebelum pilihan raya umum kerana selepas ini Pakatan Rakyat akan mengambil alih melalui proses demokrasi.

"Himpunan ini akan menjadi rekod kepada negara dunia ketiga dengan memberi isyarat kepada SPR dan pengamal media kerajaan supaya menunaikan tuntutan rakyat.

"Kita tak mahu ambil alih (negara) melalui pertumpahan darah," katanya.

Selain itu, pihaknya akan menghantar delegasi itu bertemu dengan OCPD Dang Wangi Zainuddin Ahmad esok untuk menyelaraskan kerjasama bagi menjaya perhimpunan tersebut, katanya.

Seorang lagi anggota jawatankuasa penganjur, Tian Chua berkata beliau tidak melihat bahawa kekacauan akan berlaku dalam perhimpunan berkenaan.

"Pihak penganjur dan polis sentiasa mengadakan perbincangan dan dialog untuk memastikan ia berjalan dengan lancar," kata Tian.

Polis juga tidak meletakkan syarat yang melarang orang membawa kain rentang pada perhimpunan tersebut dan pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan pada hari tersebut.

"Polis tidak akan membuat sekatan jalan raya. Polis memberi jaminan tidak akan ada halangan. Dan kita ada wakil untuk bantu orang ramai ke stadium.

Seorang lagi anggota jawatankuasanya, Hishamuddin Rais berkata, perhimpinan berkenaan antara lainnya akan diisi dengan ucapan pemimpin parti politik, NGO dan diselang seli dengan lagu dan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Pihak penganjut juga akan membaca deklarasi Himpunan Kebangkitan Rakyat dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, katanya. -mk

Comandan Berjalan Lenggang Lenggok HKR #112 Stadium Merdeka

Masjid Negara -
YB Khalid Samad, YB Azmin Ali, YB Mujahid

Pasar Seni -
YB Elly Wong, YB Siti Mariah, YB Teresa Kok

Masjid Rahman(UM) -
Adam Adli, YB Nurul Izzah, Safwan Anang, Raja Iskandar, YB Ng Swee Lin

KLCC -
Mazlan Aliman, YB Husam Musa, YB Teng Chang Kim

Jalan Sultan -
Ishak Surin, YB Fuziah Salleh, Wong Tak, YB Tan Kok Wai

KL Sentral/Brickfields -
Arun (PSM), Rajaratnam, Faizal OkU, Mariah Chin

[PANAS] Kes Puspahanas - RM100 Juta Dibayar Tapi Hanya Buat Signboard & Pagar Zink!


Awan Megah Gagal Siap Projek, Rafizi Hairan Kementah Tidak Tuntut RM72.5 Juta?

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan(Kementah) yang tidak mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

Beliau mendakwa dalam perjanjian, Kementah mensyaratkan penyediaan bon tanah dengan nilai itu sebagai jaminan projek terbabit akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Lebih membimbangkan, katanya apabila bon tanah itu luput secara automatik pada 3 Februari 2011.

“Jadi, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara itu sedangkan dengan wang RM72.5 juta itu ia boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Projek pembinaan Puspahanas itu lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai tahun 2005 dan sepatutnya siap Januari 2011 mengikut jadual yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kementerian Pertahanan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ini antaranya mengapa Kementerian tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran.

“Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah baru bagi menggantikan bon tanah asal yang luput,” katanya.

Tinjauan Rafizi ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya dua daripada 12 bangunan utama sedang dibina.

Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub kontraktor di tapak pembinaan, kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, satu jelajah nasional ke kawasan kem tentera akan diadakan mulai esok bagi menerangkan isu salah guna wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jelajah itu akan dimulakan di Setiawangsa, Lumut, Bandar Tun Razak, Kuantan dan Butterworth.

RM160 Juta LTAT : Kerabat Akan Lapor Polis

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa urusan pembelian Astacanggih dan Awan Megah oleh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”) merupakan satu pelaburan yang baik adalah tidak masuk akal.

Sekiranya LTAT benar-benar berminat untuk mengambilalih syarikat ini, ada dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan nilaian syarikat-syarikat ini, iaitu:

1. Tanah yang dimiliki oleh Awan Megah yang menentukan bayaran kepada Awan Megah. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM130 juta kononnya untuk membeli tanah 223 ekar yang didakwa milik Awan Megah

2. Nilai projek penswastaan dan keuntungan yang bakal diperolehi dari projek penswastaan Puspahanas. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM30 juta untuk membeli saham Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya untuk menentukan nilaian yang adil bagi urusan ini, jika LTAT dan Boustead benar-benar berminat mengambilalih syarikat ini berdasarkan pertimbangan komersil.

Nilaian tanah 223 ekar

Saya merujuk kepada surat bertarikh 17 Julai 2009 dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang dilampirkan bersama.

Kandungan surat tersebut menyatakan rayuan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada keputusan Kerajaan Selangor yang menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk memindahmilik tanah seluas 223 ekar kepada Awan Megah.

Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan.

Status terkini tanah 223 ekar itu adalah jelas: ia bukan hakmilik Awan Megah dan Kerajaan Selangor telah menetapkan bahawa ia tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan pembinaan markas, seperti mana tujuan asal tanah itu dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dahulu.

Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Raja Ropiah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor samalah dengan memberi wang RM130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hakmilik tanah itu.

Projek penswastaan Puspahanas

Boustead terpaksa menyiapkan Puspahanas yang kini tergendala mengikut perjanjian dengan Astacanggih dan Awan Megah. Salah satu pertimbangan nilaian berjumlah RM160 juta (iaitu RM30 juta kepada Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah) adalah kos projek yang telah dilaksanakan oleh Awan Megah.

Tanggungan Awan Megah kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan projek ini boleh dirujuk kepada Perjanjian Penswastaan muka surat 13, Perkara 3.3 mengenai Bon Tanah (“Land Bond”) yang perlu dibayar oleh Awan Megah.

Bon Tanah ini adalah satu bentuk jaminan kewangan yang bersamaan dengan jumlah keseluruhan projek penswastaan, iaitu pembinaan Puspahanas yang perlu dilaksanakan oleh Awan Megah.

Sekiranya Awan Megah gagal menyiapkan projek, Kerajaan Persekutuan berhak menuntukan Bon Tanah ini untuk digunakan bagi menyiapkan projek tersebut.

Perjanjian Penswastaan secara jelas menyatakan bahawa Bon Tanah sebagai jaminan Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Ini bermakna, kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan dan nilainya RM72.5 juta sahaja, pembayaran RM160 juta oleh Boustead sudah tentu satu harga yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini.

Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.


Dua Pemimpin Dunia Yang Menghafal Al-Quran


HHafiz (penghafal Al-Quran) dan juga pemimpin negara. Itulah dua gelaran yang disandang oleh Mohammed Mursi dan Ismail Haniya.

Mursi tercatat sebagai Presiden Mesir pertama yang hafal Al-Quran.Beliau yang mempunyai nama lengkap Mohammed Mursi Issa Ayyat ini bersama isteri dan seluruh ahli keluarganya adalah penghafal Alquran.

Mursi menjadi Presiden ke-5 Mesir sejak 30 Jun 2012 yang lalu. Mursi menjadi Anggota Parlimen di Majlis Rakyat Mesir pada penggal tahun 2000-2005 dan seorang tokoh terkemuka di Ikhwanul Muslimin.

Sejak 30 April 2011, beliau menjabat jawatan Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sebuah parti politik yang didirikan oleh Ikhwanul Muslimin setelah Revolusi Mesir 2011. Beliau dipilih sebagai calon presiden dari FJP pada pilihan raya umum presiden Mei-Jun 2012 yang lalu.

Pada 24 Jun 2012, Lembaga Pemilihan Umum Mesir mengumumkan bahawa Mursi memenangi pilihan raya umum Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafik, Perdana Menteri terakhir di bawah kekuasaan Hosni Mubarak.

Selain Mursi, pemimpin dunia yang juga penghafal Al-Quran adalah Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya. Bahkan anaknya yang bernama Aid berjaya menyempurnakan hafalan Al-Quran dalam 35 hari dan memperoleh gelaran mumtaz (sempurna).

Baik Mursi mahupun Haniya memiliki akar yang sama, iaitu Ikhwanul Muslimin.

Mursi mewakili sayap politik Ikhwan di Mesir melalui Parti Kebebasan dan Keadilan. Sedangkan Haniya adalah pemimpin Hamas yang didirikan oleh Syaikh Ahmad Yassin sebagai pemimpin perjuangan Ikhwanul Muslimin di Palestin. -HalimIslam