16 Okt 2013

[WARNA-WARNI AIDIL-ADHA] Lembu Lepaskan Diri Lari Ke Lebuhraya


Puchong: Pengguna yang melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Masjid Batu 12, Puchong di sini gempar apabila seekor lembu jantan untuk korban sempena Aidiladha terlepas dari tempat penyembelihan hingga menghalang lalu lintas, semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila haiwan seberat 300 kilogram itu dikatakan tiba-tiba ‘naik minyak’ ketika orang kampung berusaha menumbangkannya sewaktu hendak disembelih menyebabkan tali yang diikat pada pokok putus sebelum ia melarikan diri dua kilometer.

Menurut sumber, dua unit peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa setengah jam menangkap haiwan itu.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas haiwan itu ditangkap semula sebelum dibawa ke masjid dan disembelih.

“Sebelum kejadian, saya datang ke masjid untuk sembahyang sunat Aidiladha dan membantu orang kampung menyembelih lembu korban. Namun tidak menyangka terpaksa mengejar lembu.

“Lembu itu adalah lembu ketiga yang mahu disembelih. Saya difahamkan sejak kelmarin ia menunjukkan ciri-ciri seperti mahu naik minyak,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga menjadi panik apabila haiwan itu bertindak liar dan nyaris merempuh orang kampung dan beberapa anggota polis yang mengejarnya.

Selain itu, berlaku juga kesesakan jalan raya 20 minit apabila pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan masing-masing kerana bimbang melanggar haiwan itu. -HM

1 ulasan:

  1. hahaha dia nak pi cari u know who di 'nfc' ! ABU jangan lupa !

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.