1 Ogo 2013

DAP Tak Akan Patuhi Arahan RoS, Bakal Cabar Di Mahkamah


DAP enggan patuhi arahan RoS adakan pemilihan semula

DAP tidak berpuas hati dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang meminta parti itu mengadakan semula pemilihan jawatankuasa parti, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu juga meminta penjelasan RoS, dari sudut mana mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan parti yang dijalankan Disember lalu mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata, RoS perlu menjelaskan peruntukan undang-undang mana yang diguna pakai bagi meminta DAP untuk mengadakan semula pemilihan parti.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang turut hadir sidang media itu, berkata berdasarkan Seksyen 16 (1), RoS tiada kuasa untuk mengarahkan DAP bagi mengadakan semula pemilihan parti.

Katanya, perkara yang tidak berlandaskan undang-undang tidak wajar untuk dipatuhi dan DAP akan mengantar surat kepada RoS esok bagi meminta penjelasan lanjut.

"Kami tidak akan menemui RoS tetapi hanya mengirimkan surat dan berharap RoS segera memberi jawapan kerana ini menjadi perhatian kami saat ini.

"DAP juga tidak menolak kemungkinan untuk mencabar keputusan RoS di mahkamah tetapi biar kita lihat dahulu jawapan RoS,"
katanya, menjawab soalan pemberita di ibu pejabat DAP malam ini.

Awal bulan ini, Bernama melaporkan, bekas Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G Asoghan mendakwa seramai 547 orang dikenal pasti sebagai 'perwakilan haram' dari Pulau Pinang mengundi pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada Disember lalu.

Mendakwa perwakilan haram itu mengundi bagi memastikan 'Dinasti Lim' terus berkuasa dalam DAP, beliau meminta Lim memberi senarai lengkap perwakilan yang layak hadir bagi membuktikan tiada pengundi haram.

Awal tahun ini, media melaporkan Pengarah Pemilihan DAP, Pooi Weng Keong meletak jawatan ekoran kesilapan teknikal pada pengiraan undi CEC DAP.

DAP sebulat suara tolak arahan tidak munasabah ROS

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi membuat keputusan menolak arahan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula jawatankuasa berkenaan.

CEC sebulat suara membuat keputusan itu kerana mereka tidak boleh menerima arahan ROS seperti mana surat bertarikh 30 Julai lalu yang diterima DAP lewat petang semalam.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan selepas mesyuarat tergempar itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan DAP tidak boleh terima arahan itu kerana dua sebab yang perlu dinyatakan ROS terlebih dahulu.

Katanya, pertama, CEC menggesa ROS memberi punca atau sebab mengapa mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi DAP mengenai pengendalian pemilihan CEC pada 15 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pertubuhan 1966.

“Kedua, ROS perlu menjelaskan peruntukan mengikut arahan undang-undang mana yang menyebabkan DAP perlu mengadakan pemilihan semula.

DAP ros 2“Saya anggap ia amat luar biasa bila mereka menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula dengan hanya alasan mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan dan kerjasama penuh yang diberikan.

“Mereka hanya memberi jawapan ringkas mengatakan tidak berpuas hati tanpa memberi sebarang sebab mengapa ROS tidak puas hati atau menjelaskan kepada kita mengikut undang-undang mana yang menyebabkan mereka tidak puas hati.

“Kami merasakan seolah-olah kami seperti dijadikan tebusan,” ujarnya Guan Eng juga Ketua Menteri Pulau Pinang yang kesal dengan tindakan ROS itu.

Beliau berkata, ROS mesti menjawab pertanyaan DAP itu terlebih dahulu mengikut saluran undang-undang yang betul dan berlaku adil.
-Roketkini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.