24 Jul 2013

Sekolah Keb Seri Pristana Diarah Tukar Tempat Makan


Kementerian Pendidikan mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan sementara untuk para pelajar bukan beragama Islam pada bulan Ramadan adalah tidak sesuai sama sekali.

"Perkara ini tidak harus berlaku. Saya kecewa. Kementerian memandang serius perkara ini dan meminta BPSH membuat siasatan serta-merta dan katakan pada kita mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pegawai yang membuat keputusan ini (makan di bilik persalinan)," katanya kepada Bernama di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

"Ia hanya bilik persalinan dan bukanlah tandas. Walaupun ia bilik persalinan, itu bukanlah tempat untuk kita makan, no foods allowed," tegasnya sambil berkata beliau difahamkan kantin sekolah itu baru memulakan proses penambahbaikan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya murid bukan Islam di sebuah sekolah rendah dipaksa makan di tandas semasa Ramadan.

Gambar yang tersebar di laman sosial memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.

Kamalanathan berkata: "Sekiranya pengusaha kantin tidak mahu beroperasi pada bulan Ramadan, pihak sekolah boleh melantik pengurusan kantin sementara.

"Sekiranya kantin dalam proses baik pulih, mereka harus mencari lokasi yang sesuai di mana ada keperluan untuk sesebuah kantin seperti tempat yang bersih, ada tempat untuk mencuci tangan dan ada tempat duduk untuk makan dan minum."

Sambil memohon maaf sekiranya apa yang berlaku mewujudkan perasaan tidak selesa dalam kalangan ibu bapa, timbalan menteri itu berharap kejadian seumpama itu tidak berulang. - Bernama


Sekolah Sungai Buloh silap, kata pemimpin Islam


Tokoh-tokoh Islam terkejut dengan langkah sebuah sekolah di Sungai Buloh yang mengarahkan murid bukan Islam untuk makan di bilik mandi bagi menjaga kesucian bulan Ramadan.

Mereka mengatakan ia bukan cara sesuai untuk mendidik murid bukan Islam dalam menghormati Ramadan.

“Sekalipun sekolah mahu mendidik murid menghormati umat Islam yang berpuasa, ia harus dilakukan dengan cara memberi nasihat, bukan tindakan sebegini.

“Kalau insiden ini benar-benar berlaku, ia bukanlah sesuatu yang wajar,” kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga bersetuju ia bukan cara untuk mendidik murid bukan Islam.

Katanya, sekolah seharusnya menyediakan tempat lebih baik bagi murid bukan Islam jika kantin sedang diubah suai.

“Sekolah seharusnya memilih tempat yang lebih baik seperti bilik darjah jika mahu mengasingkan pelajar Islam yang berpuasa dan bukan Islam.

“Walaupun orang Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, tidak wajarlah kalau diasingkan bukan Islam di tempat seperti bilik air. Mereka pun hilang selera untuk makan,” katanya.

Sekolah SK Seri Pristana heboh di media selepas laporan keluar murid bukan Muslim diarah makan di bilik mandi semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.

Gambar menunjukkan murid sedang makan di bilik mandi tersebar luas di Facebook.

Setakat ini, pentadbiran sekolah belum mengeluarkan kenyataan tetapi Kementerian Pendidikan semalam mengarahkan sekolah itu menghenti perbuatan murid bukan Islam makan di bilik mandi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan memberi amaran tindakan akan diambil jika benar.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan mengatakan walaupun Ramadan merupakan bulan suci kepada umat Islam, tidak seharusnya menghalang bukan Muslim untuk makan di tempat awam.

Setakat ini, satu laporan polis dibuat terhadap sekolah itu, semalam.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mengatakan: “Salah bagi sekolah untuk melakukan perkara ini di atas nama agama.”

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata mereka yang bertanggungjawab harus meminta maaf kepada murid dan ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, beliau mengatakan guru besar mungkin tidak sedar perkara itu dan mungkin berlaku disebabkan oleh orang bawahannya.

“Sesiapa sahaja yang membuat keputusan itu, salah.

Tidak boleh diterima untuk memaksa murid makan di bilik mandi.”

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru Nasional, Datuk Mohd Ali Hassan menyifatkan tindakan sekolah itu 'tidak berperikemanusiaan'.

Beliau menggesa Jabatan Pendidikan untuk menjalankan siasatan dan mengambil langkah sepatutnya agar insiden itu tidak merebak ke sekolah lain.
-TMI

4 ulasan:

  1. Kesian kat kaum guru. Tersilap sikit aja, kiri kanan depa hentam. Menteri cakap,Timbalan cakap. Bukan teruk sangat bilik persalinan tu pun. Maklumlah p/raya umum dah lepas. Suara lemak manis dah takda. Insaflah kawan.

    BalasPadam
  2. Kalau kantin sekolah sempit untuk menampung murid murid, apa yang pihak sekolah bolih lakukan ialah buat 2 sesi rehat seperti pukul 9:50 pagi & 10:20 pagi. Ini dilakukan dibeberapa buah sekolah di Petaling Jaya yang mempunyai pelajar lebih 1,500 orang

    BalasPadam
  3. Hello arahkan sahajakah?? Kalau arahkan sahaja saya pun boleh buat. So please buat pemantauan juga sekali. Kalau boleh sampai habis bulan Ramadhan ini.

    BalasPadam
  4. Tiap2 sesuatu berlaku ada hikmah & rahsia tersirat yg hanya Allah saja yg tau.

    Yg jelas & nyata, sekolah tu & guru besarnya dah jadi terkenal -> lepas ni samade depa kena tukar atau dikena tindakan tata tertib atau sebaliknya, tunggu lah!!

    Sebab kalau niat asalnya semata2 kerana Allah (wlu x berapa kena cara, mungkin disebabkan keputusan tergesa2 apelagi x cukup peruntukan), insyaAllah yg baik berpihak pada pihak sekolah tu.

    Apa nak takut pada manusia. Kita semua tak sempurna. Usaha telah dibuat.

    Kepada Allah berserah.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.