16 Jul 2013

Fitnah Dana Asing: Anwar Mahu Saman Berita Harian


Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk menyaman akhbar Berita Harian berikutan laporan fitnah kononnya Ketua Pembangkang itu mendapat dana besar pihak asing dari Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk aktiviti perhimpunan Black 505.

Laporan pada 29 Jun lalu tersebut memetik satu wawancara khas Yusoff Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

“Saya telah putuskan untuk saman Berita Harian kerana fitnah jahat ini,” kata Anwar dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan demikian pada sesi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri berhubung fitnah tersebut.

Anwar mahu Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan mengapa Kementerian berkenaan terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan dalam isu ini.

Ini berikutan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum itu membangkitkan isu tersebut dan meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bentuk pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian dalam memantau NG0-NGO yang mendapat bantuan dana antarabangsa dalam melakukan aktiviti mereka di Malaysia.

“Dengan kenyataan terbuka di media dan kenyataan Yusoff Kalla, mengapa Kementerian Dalam Negeri menunggu berbulan untuk memberi penjelasan berhubung persoalan yang dikorek oleh (Ahli Parlimen) Kepala Batas sedangkan isu itu terbatal dengan sendirinya,” bidas Anwar.

Anwar memberitahu, beliau dihubungi Yusoff Kalla melalui telefon bahawa rakannya di Indonesia itu tidak menyangka kenyataannya diputar belit sedemikian.

“Tulisan itu tak benar. Tidak datang dari saya. Saya akan bantah,” kata Anwar, membacakan pesanan teks yang dihantar Yusoff Kalla kepadanya.

Tambahnya, Yusoff Kalla telah menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Berita Harian, Ketua Pengarang Berita Harian, Eksekutif Berita Harian dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian dan New Straits Times.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada pembetulan dan penjelasan,” kata Ketua Umum KEADILAN itu menjelaskan artikel tersebut adalah terbitan sebuah laman blog tajaan Umno.

Justeru Anwar menyatakan peguamnya dan Yusoff Kalla akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Berita Harian yang memfitnah kedua-dua mereka. -KD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.