21 Jul 2013

DAP Akui Che Long Ada Kelebihan Peribadi

Besut: DAP Terengganu berkeyakinan tidak mustahil calon PAS yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut bakal membuat kejutan pada hari mengundi, 24 Julai nanti.

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata populariti calon PAS, Endot@Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long di kalangan masyarakat setempat diakui benar.

Menurutnya, tinjauan kempen DAP di Kuala Besut ini mendapati rakyat terutama pengundi tempat rata-rata mengenali Che Long yang bertanding pilihan raya ini.

“Saya lihat calon kita (Pakatan Rakyat) yang diwakili oleh PAS ini boleh buat kejutan menang pada hari mengundi. Sebab, beliau dikenali ramai oleh penduduk setempat walau pun di kalangan orang Umno.

“Calon PAS ini tidak ada masalah dengan rakyat, suka tolong orang, baik dan mesra dengan rakyat. Ramai orang kenali dia, itu kelebihan peribadi Che Long.

“Saya dan rakan-rakan DAP telah buat kempen di Kuala Besut ini dan sambutan cukup baik kerana calon kita tidak ada masalah dengan orang ramai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau memulakan kempen di Kuala Besut bagi mencari serta mengenal pasti pengundi Tionghua yang terlibat dengan pilihan raya kali ini.

Justeru, kata Chai Hing, jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat perlu bekerja lebih kuat bagi mempastikan Che Long menang meski pun dengan kelebihan satu undi.

Tambahnya lagi, rakyat di Kuala Besut ini perlu mengambil peluang besar ini untuk membuat perubahan bagi menjadikan kuasa politik Terengganu seimbang. -HD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.