27 Jun 2013

Dakwat Kekal: Putarbelit Oleh SPR Untuk Pertahankan Penipuannya!


SSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hari ini di Dewan Rakyat tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan keberkesanannya semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dipersoalkan kerana boleh ditanggalkan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan," kata Shahidan hari ini.

Kenyataan tersebut nyata berbeza dengan penjelasan SPR sebelum ini yang mengatakan mereka menggunakan Nitrat Perak dalam dakwat kekal sebelum ini dan memberikan alasan pengurangan kandungan tersebut sebagai punca kemelut dakwat kekal tersebut ditanggalkan berlaku.

Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal adalah empat bulan daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.

"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan.

"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal berkenaan," katanya lagi.

Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal disamping perbelanjaan tambahan RM200 ribu meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM7.1 juta.

Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.

Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013.

Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa oleh PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan insiden dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik mengundi pada 5 Mei lalu.

Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama selepas dicalit.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk menang majoriti mudah.

Walau bagaimanapun, kemenangan BN kali ini lebih kecil di Parlimen sejak negara Merdeka pada 1957.

PR enggan menerima kekalahan tersebut, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.

PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan di dalam 25 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana BN menang dengan majoriti kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.

Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. -TMI

LAPORAN SEBELUM INI

Dakwat kekal tidak boleh ditanggal, kata pengerusi SPR



KUALA LUMPUR, 30 April — Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan minyak enjin motor atau bahan-bahan lain boleh digunakan untuk menanggalkan dakwat kekal pada pengundi, pelbagai bantahan tercetus mengatakan ia tidak boleh kekal seperti dikatakan.

Abdul Aziz berkata dakwat yang digunakan SPR tersebut mengandungi bahan nitrat perak (silver nitrate) yang meresap ke dalam kulit dan mustahil ia ditanggalkan dengan sebarang cara walaupun dengan apa cara sekalipun, malah bahan seperti minyak ataupun bahan-bahan lain tidak boleh menanggalkannya.

“Mustahil, saya tidak percaya dakwat kekal itu boleh ditanggalkan... gunalah minyak atau bahan apa pun, ia tidak boleh ditanggarl kerana ia dibuat daripada nitrat perak.

“Bila dakwat itu diletak pada kuku, ia akan meresap ke dalam kulit,”
kata Abdul Aziz.

Walaupun kesan pada kuku itu boleh hilang jika dibasuh atau dengan menggunakan minyak, Abdul Aziz menegaskan kesannya pada kulit masih lagi boleh dilihat dan pengundi tidak akan dapat menipu untuk mengundi sebanyak dua kali seperti yang didakwa sebelum ini.

“Kalau dia guna minyak atau basuh pun, kesannya pada kulit masih ada... pegawai bertugas boleh melihat dan menghalang daripada pengundi tersebut mengundi sebanyak dua kali,” terang Abdul Aziz lagi.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal tidak akan hilang selama tujuh hari bagi mereka yang mengundi awal, serta menggesa sekiranya pihak tersebut mempunyai bukti supaya tampil ke hadapan dan buktikan dakwaan tentang penggunaan petrol untuk menanggalkan dakwat tersebut.

“Tak boleh tipu mengundi dua kali, dakwat kekal yang pengundi awal gunakan tidak akan hilang dalam masa tujuh hari.

“Kalau mereka ada bukti, saya harap tampillah buat aduan kepada SPR,” katanya lagi.

SPR telah menyediakan lebih 200,000 unit botol dakwat kekal untuk kegunaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Daripada jumlah itu, 10,000 botol akan digunakan untuk pengundi awal, manakala selebihnya untuk kegunaan pengundi biasa.

Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
-TMI (30/4/2013)

6 ulasan:

  1. Kalau setakat pembekal jet pejuang pun boleh dedah kepada umum, takkan nak dedahkan pembekal dakwat kekal ni pun boleh dikira mengancam keselamatan...?

    Nak cover pun agak2 la Shahidan wei....

    BalasPadam
  2. Putor belit belaka

    1. "pegawai bertugas boleh MEMBENARKAN pengundi mengundi DUA TIGA kali jika dia dikehendaki berbuat begitu” terang Abedol Aziz.

    Kalau orang SPR kata gini molek gok
    2. "pegawai bertugas telah menghalang pengundi drp mengundi kerana namanya didapati ditanda sebagai telah mengundi oleh ORANG LAIN, WALAUPON SEBENARNYA DIA BELOM MENGUNDI berdasarkan tiada bekas calit dAkWaT pada jarinya” terang Abedol Aziz

    lagi satu
    2. "Bagi memboktikan SAYA BERCAKAP BENAR, saya sanggup berendam dalam daawat kekal, sekiranya saya tidak keluar rumah selama 7 hari selepas itu" Abedol Aziz dipetik sebagai berkata.

    Apamacam ada BETOL ka Enche Abedol Aziz? Ini saya mau tanya saja.

    BalasPadam
  3. Dia lupa satu lg dunia kekal untuk semua umat manusia. Dia berharap dia dpt bertaubat diakhir hayatnya nanti maka clearlah dosa nya.. dosa dgn Allah ya betul..dosa dgn 27 juta umat Malaysia..lu jawabla...

    BalasPadam
  4. Kalau orang jepun yang membuat salah begini, dah lama letak jawatan sendiri. Kalau dia pegawai askar dah laksanakan 'harikiri'.
    Tapi dua orang malaysia ni tak tahu malu. Bukan saja itu, sempat pula menyalahkan orang lain. Sungguh menjijikkan. Rasa nak muntah.

    BalasPadam
  5. Benar kata ustaz saya. Sekali kita menipu maka akan terus menipu. Inilah contohnya. Kita bantah penipuan.

    BalasPadam
  6. Pak Aziz ni takda maruah, kaki penipu & kaki putar alam. Ingatkan cerdik, sebenarnya dia telah menzalimi diri sendiri

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.