12 Mei 2013

Sokongan Melayu Terhadap PAS Meningkat


Peningkatan sokongan kaum Melayu terhadap PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu dengan purata lebih 45 peratus membuktikan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu masih mendapat tempat di kalangan pengundi.

Purata sokongan yang diperolehi PAS daripada pengundi Melayu di Semenanjung itu berjaya menepis dakwaan Umno-BN berhubung ‘tsunami Cina’ yang mengaitkan isu perkauman.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan propaganda Umno-BN yang sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman nyata telah gagal dan tidak mempengaruhi rakyat.

Mengambil contoh di Selangor, katanya rakyat yang berada di bawah kepimpinan PR sejak lima tahun lalu tidak mengalami kerugian malah diberikan hak dan manfaat yang sama rata.

“Saya rasa di negeri Selangor, segala propaganda Umno-BN untuk menjadikan politik perkauman telah gagal.

“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang bersih seperti di Selangor di mana kita semua telah menikmati hasil daripada pemerintahan yang bersih.

“Sokongan masyarakat Melayu kini sudah semakin meningkat kerana propaganda Umno-BN telah memakan diri dan diketahui rakyat sebagai satu pembohongan,” katanya kepada TV Selangor.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata, kemenangan besar yang dicatatkan PR adalah atas dasar sokongan padu semua kaum terhadap gagasan itu yang mahukan perubahan.

Katanya, kebanyakan kerusi DUN yang dimenangi PAS dan PR membuktikan rakyat kini semakin bijak membuat pilihan dan menolak politik perkauman.

Sementara itu, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berpendapat peningkatan undi PR bukanlah disebabkan tsunami Cina, tetapi ia datang daripada sokongan masyarakat bandar dan kampung tradisi.

“Memang Cina kita lihat sebahagian besarnya menyokong PR tetapi dalam masa sama kemenangan yang dikecapi adalah hasil sokongan golongan muda dan Melayu. Contohnya di DUN Sabak yang mendapat majoriti undi daripada kaum Melayu. Itu sahaja sudah jelas menangkis anggapan BN tentang tsunami Cina,” tegasnya.

3 ulasan:

  1. melayu, cina, india dll ramai sokong pas

    BalasPadam
  2. Memang betul ,Begitu juga di tempat saya iaitu di UPU Felda Bukit Bading(Buka pada 1967 kemasukan peneroka) PRU12 undi majoriti Dacing 1 ribu lebih dan 2013 547 shj yg datangnya drpd umno tegar Generasi pertama yg semakin susut dan tidak mustahil pada PRU 14 golongan ini mungkin sudah tiada.Pada pengundi pasca merdekalah tempat kita bergantung harap.
    In sya Allah jika itu Kehendaknya.

    BalasPadam
  3. Adanya Pakatan Rakyat di bawah pimpinan DSAI , semua rakyat bersatu dalam PKR DAP PAS untuk membendung Parti Rasuah Kroni Rasis... Suara Rakyat, Suara Keramat !!!!!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.