Sambil menguap, saya membaca laporan akhbar Utusan Malaysia (28 Februari 2013) mengenai kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi pilihan raya media sosial pertama di negara ini.
Sebenarnya, pada 22 Februari 2013, saya menyatakan menerusi ruangan status Facebook, “Tak kisahlah bila tarikh PRU-13”. Hal ini kerana Najib masih menangguhkan penetapan tarikh pembubaran Parlimen – selepas mendapat perkenan Agong, tentunya.
Untuk rekod, PRU-12 diadakan pada 8 Mac 2008. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU seterusnya perlu diputuskan selewat-lewatnya pada Mac 2013. Kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Dengan adanya media sosial dan media alternatif yang melaporkan berita-berita yang “terlupa” dilaporkan media arus perdana, maka orang ramai sudah sedia maklum bahawa Parlimen akan terbubar secara automatik pada 28 April 2013 jika Najib masih berlengah-lengah dan menunggu para pengundi “kenyang” dengan transformasi yang dilakukan BN sebelum keluar mengundi.
Sebenarnya, seperti yang saya catatkan di blog (30 April 2010), saya sebagai rakyat (baca: The Third Force) amat meluat membaca berita di mana politikus ini dan politikus itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia sejak Februari 2010 bagi menghadapi PRU-13.
Akan tetapi, walaupun sibuk berkempen sebaik selepas mendapat “sedekah” undi daripada rakyat pada PRU-12, golongan politikus terbabit ternyata masih belum cukup “jantan” untuk menghadapi PRU-13 yang bersih, adil, telus dan penuh integriti.
Pada masa sama, agak melucukan apabila ada golongan politikus yang sejak September 2012 terlupa bahawa mereka yang memegang kuasa pemerintahan dalam kerajaan sebenarnya diundi oleh rakyat. Apabila mereka diberi kuasa oleh Rakyat, tidak bermakna kuasa itu – dan Putrajaya – menjadi milik mutlak politikus terbabit.
Saya tidak dapat membayangkan barisan menteri macam mana yang akan dilantik Perdana Menteri (menggunakan kuasa mutlak yang ada padanya) selepas PRU-13.
Pada 18 Februari 2013, kes mahkamah berhubung penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas ditangguhkan ke April 2013 kerana tandatangan pada dokumen terbabit (palsu?) perlu dihantar ke Jabatan Kimia.
Sebagai pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dan wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang terlibat cuba membantu mangsa terbabit sejak Ogos 2011, saya berharap individu yang memegang jawatan Menteri Pelajaran selepas PRU-13 akan tahu menggunakan kuasa untuk membela nasib penulis. Kalau tidak mampu, elok jangan pegang jawatan.
Sementara Najib masih seronok bermain teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen – yang bakal membuka laluan ke arah penetapan tarikh PRU-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – sekumpulan rakyat yang memenuhi syarat tertentu serta mengisi slip tertentu menerima BR1M 2.0 baru-baru ini.
Jangan pula ada mana-mana penerima beranggapan mereka wajib mengundi parti politik tertentu selepas menerima BR1M 2.0 kerana tindakan itu akan menjadikan “niat murni” kerajaan memberi bantuan ikhlas menjadi seolah-olah “rasuah pancing undi”.Sia-sia pula Kerajaan BN terpaksa menanggung dosa akibat kekhilafan masyarakat!
Buku terbit pada 8 Mac 2013
Bulan lalu turut disemarakkan oleh tulisan Ridhuan Tee Abdullah bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013) sehingga mengatasi populariti Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary dan kehebatan Najib bermain gendang Cina dalam iklan Tahun Baru Cina.
Sehubung itu, Pengarah Strategi MIC, Vell Paari bersuara lantang mengatakan bahawa jika tiada tindakan diambil ke atas Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali (Perkasa), maka anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu itu akan menggerakkan kempen meminta kaum India tidak mengundi calon BN pada PRU-13, seperti turut dilaporkan di Free Malaysia Today (22 Februari 2013).
Saya terus teringat bagaimana dalam novel Atlas Shrugged (1957) timbul pertanyaan berulang “Who is John Galt?” dan saya pula percaya bahawa di negara kita, ramai yang akan segera tampil menyatakan “I am The Third Force” – sekurang-kurangnya pada ruangan status di Facebook.
Dua hari kemudian, pada 24 Februari 2013, keluar pula berita (yang sedikit pun tidak menghairankan) bahawa Najib dilantik ke jawatan Pengarah Pilihan Raya BN di Selangor. Selepas mukanya menghiasi tembok serata negeri – khususnya di Stesen Komuter – tentulah beliau mungkin dianggap bermuka tembok pada erti kata sebenar jika tidak dilantik (melantik diri?) ke jawatan itu.
“Terdapat terlalu banyak masalah di Selangor sekarang kerana parti politik yang menguasai kerajaan negeri tidak sama dengan parti politik yang menangani kerajaan persekutuan.” Demikian terjemahan kata-kata Najib yang saya baca di akhbar theSun (25 Februari 2013). Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa tidak salah untuk para pengundi mengubah kerajaan pusat supaya sama dengan kerajaan negeri di Selangor kerana itu adalah permintaan Najib sendiri!
Akhbar Utusan Malaysia (25 Februari 2013) melaporkan bahawa Najib “mengambil masa untuk mengumumkan tarikh PRU-13” (walaupun itu sebenarnya kuasa SPR, bukan kuasa Perdana Menteri!) kerana “mahu memastikan setiap dasar transformasi kerajaan benar-benar diyakini rakyat dan berjaya serta bersifat inklusif.
” Terjemahan: Najib tidak bersedia untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen sampai bila-bila!
Selepas membaca berita yang “menghiburkan” itu, saya menulis pada ruangan status Facebook: “Baiklah, saya akan umumkan tarikh pemasaran buku Kisah dari Siru Kambam sebelum Pengerusi BN umumkan tarikh Parlimen dibubar. Janji Ditepati.”
Maka, sukacita diumumkan bahawa kumpulan cerpen berkenaan boleh dibeli terus daripada saya mulai 8 Mac 2013 – sempena lima tahun sejak tarikh PRU-12 dan “tsunami politik” yang membuktikan kuasa Rakyat dalam menentukan masa depan negara.
Secara kebetulan, cerpen-cerpen seperti “Nating”, “Saya Sebatang Pensel”, “PRU-O” dan “Datuk Datang ke Kampung Kami” secara khusus mengutarakan kisah-kisah politik dan politikus berlatarkan sebuah kampung kecil bernama Siru Kambam.
Allahyarham Dr Othman Puteh merangkumkan Siru Kambam yang menjadi latar bagi kebanyakan cerpen saya sebagai “suatu daerah berhampiran Taiping yang menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungannya dengan masyarakat majmuk” (Siru Kambam, 1996).
Sama ada disedari atau tidak – dirancang atau tidak – kumpulan cerpen setebal lebih 350 halaman itu sesuai dibaca dan dihayati dalam suasana sosio-politik semasa sebagai persiapan mental menjelang PRU-13. Misalnya, ditampilkan Pertubuhan Politik India (PPI) yang kononnya mahu menjadi wakil tunggal suara kaum India dalam kerajaan.
Usaha tumbang BN dari dalam?
Pada tarikh 25 Februari 2013 juga manifesto Pakatan Rakyat dilancarkan dalam beberapa bahasa. Bolehlah dibaca, dikaji, dianalisis dan dibahaskan oleh Rakyat dengan fikiran matang sementara Najib menunggu “wahyu” (tanda kutip) untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.
Nampaknya sudah ada kumpulan pejuang hak minoriti daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan kaum India yang lantang bersuara mempersoalkan mengapa hak mereka dinafikan dalam manifesto itu. Seolah-olah mereka dianak tirikan oleh BN dan Pakatan Rakyat (PR).
Seperti dikatakan dan diakui oleh Najib, segala luahan dan kempen itu dilakukan menerusi laman sosial dan media sosial.
Saya juga menggunakan paparan status Facebook pada 25 Februari 2013 untuk menyampaikan nasihat saya kepada Najib; dengan harapan ada juak-juak yang akan menyampaikan mesej saya kepada beliau.
Nasihat terbuka saya (selaku perunding media) kepada Najib (selaku Pengerusi BN): “Lebih lama Datuk Seri berlengah untuk umum tarikh pembubaran Parimen, lebih ramai Rakyat bertambah meluat dengan BN. Jangan biarkan Rakyat termuntah-muntah.”
Najib tentu tiada masa untuk membaca “nasihat terbuka” ini. Tapi pasti akan ada juak-juak serta golongan etnosentrik, ultra kiasu, kaki ampu, pakar bakar kitab, tokoh tayang punggung dan sekutu mereka yang melatah, meroyan dan terkinja-kinja pada saat ini. Biarkan. Saya hanya memberi nasihat profesional secara ikhlas.
Najib perlu berhenti mencari dan mengesan musuh yang berada di luar; dalam PR. Menerusi beberapa makalah saya di beberapa media alternatif sejak tahun lalu, saya sudah membayangkan bahawa musah sebenar Najib mungkin sahaja berada di dalam lingkungan. Atau jika Najib adalah “Adiwira Najib” maka Rakyat adalah “wira sebenar”.
Pada pemerhatian saya, UMNO dan sekutu tidak memerlukan “pembangkang” untuk menumbangkan BN. “Orang dalam” seperti Sharifah Zohra dan Norhayati Saiddin sudah lebih daripada mencukupi. Tambahan pula, Tun Mahathir Muhammad juga seolah-olah tidak mahu “terlepas peluang” kembali menunjukkan taring.
Sebelum ini, apabila Najib bermati-matian mengemukakan gagasan “1Malaysia” dan “Malaysian first”, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menegaskan pendirian “Malay first” selain (hampir) bermati-matian mempertahankan novel teks Komsas, Interlok: Edisi Murid (2010) yang jelas bertentangan dengan impian “1Malaysia” Najib dan isteri tersayang, Datin Seri Rosmah Mansor.
Semua ini tersebar menerusi media sosial dan tentu Najib sedia maklum. Masakan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang boleh menganjurkan kempen Twitter sempena “Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati” untuk mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records (Ogos 2012) tidak mampu memastikan segala suara Rakyat (The Third Force) sampai ke mata, telinga, minda dan hati ketuanya.
Orang ramai tentu sudah biasa dengan peribahasa “Nasi sudah menjadi bubur”. Saya nyatakan di Facebook pada tengah hari 26 Februari 2013 bahawa mungkin selepas ini akan ada peribahasa moden “Parlimen sudah menjadi bubar”. Walaupun bukan peribahasa asli, lebih 50 rakan menyukai paparan itu dalam masa yang relatif singkat. Mungkin kerana itu juga suara hati mereka.
Saya ada menyebut mengenai kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam. Apabila buku yang memuatkan 20 cerpen itu terbit, saya merancang siri “Baca Cerpen Siru Kambam” di beberapa tempat dengan kerjasama Kavyan.
Pada 30 Mac 2013, saya dan sekumpulan penulis/peminat buku akan terlibat dalam aktiviti membaca anjuran Sharon Bakar di Bangsar. Maka saya sudah “menasihatkan” Najib menerusi media sosial supaya jangan kacau tarikh itu.
Apa pun, sehingga makalah ini ditulis pada 28 Februari 2013, ternyata Najib masih menunggu “wahyu”. Perjalanannya untuk sampai ke titik yang sesuai sebelum mengambil keputusan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen nampaknya masih jauh. Maka, tidak salah jika saya mengucapkan: Selamat jalan, Najib.
Uthaya Sankar SB menerbitkan sendiri buku-bukunya sejak 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.